Friday, August 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Syariat- Fiqh » Meningkatkan Kualiti Ibadat » Puasa Dan Hikmah Pengislahan Akhlaq

Puasa Dan Hikmah Pengislahan Akhlaq

Download PDF
Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, amalan dusta dan bertindak jahil maka Allah s.w.t tidak memerlukan kepada dia meninggalkan makan dan minumnya. (al-Bukhari)

Lapar dan dahaga tidak memberi apa-apa manfaat kepada orang yang berpuasa melainkan dia menjaga dirinya dari kata-kata batil dan amalan dusta. Makna hakiki bagi puasa ialah menjaga akhlak, menjauhi sifat-sifat yang tercela. Punca utama kejatuhan akhlak ialah diri yang tunduk kepada kejahatan dusta.

Kata-kata dusta bukan terbatas pada penipuan dalam kata-kata dan memberi kesaksian palsu di mahkamah tetapi merangkumi setiap ucapan yang melencong dari kebenaran dan menjauhkan seseorang dari jalan yang lurus, sama ada penipuan dalam mu’amalat, menyembunyikan keaiban, mengumpat, memfitnah, mengkhianati dalam memberi nasihat, memaki hamun, meninggi diri, mengungkit dan sebagainya.

Hadis ini mengingatkan kita supaya tidak mensia-siakan amalan puasa. Walaupun seseorang itu menyempurnakan kesemua syarat dan rukunnya namun kerana tidak menjaga dan menghormati adab-adab maka puasa menjadi sia-sia.

Hadis ini memberi dorongan supaya menjaga setiap anggota dari melakukan dosa. Menjaga mata dari memandang perkara yang haram, menjaga telinga dari mendengar sesuatu yang melalaikan diri dari mengingati Allah s.w.t.

Dalam suasana berpuasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan berada dalam tahap shahwah yang lemah maka sepatutnya seseorang dapat mengawal dirinya. Akan tetapi jika berterusan juga dalam melakukan kemaksiatan maka kedudukannya lebih berat lagi daripada melakukan kemaksiatan di bulan-bulan lain.

Takabbur haram pada setiap masa dan zina haram pada semua keadaan tetapi haramnya itu lebih berat pada ketika dan keadaan yang khusus. Begitu juga dengan mengumpat, setiap masa adalah haram dan keharamannya lebih berat pada masa berpuasa kerana ibadat puasa itu sendiri telah dicemari dengan maksiat. Wujudnya maksiat di luar ibadat tidaklah sedahsyat maksiat yang terjadi dalam ibadat.

Maksud kejahilan ada dua, lawan kepada ilmu dan lawan kepada hilm, yakni kesantunan. Jahil dengan maksud bertindak jahil, tidak penyantun, tidak beradab, bertindak bodoh, melanggar batas, melampaui hak orang lain. Yang lebih sesuai dengan maksud hadis ialah dengan makna bertindak jahil dan tidak beramal mengikut tuntutan dan adab-adab Islam, walaupun dia seorang yang berpengetahuan tinggi.

Apabila kita merujuk kepada puasa, maka tujuannya ialah untuk penyucian jiwa dari segala kekotoran maksiat dan dosa. Ia mendidik dan menjinakkan nafsu ammarah supaya menjadi nafsu yang mutma`innah. Diri yang lapar dapat menghapuskan atau setidak-tidaknya meredakan api kemarahan dan sifat perengus.

Dari segi matlamat, puasa mempunyai persamaan dengan maksud rukun-rukun Islam yang lain iaitu mengislah diri dan mensucikan jiwa daripada kemaksiatan dan tingkah laku yang jelek. Dengan tercapai matlamat ini, maka wujud dalam dirinya ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

· Sembahyang dikerjakan untuk menjauhkan diri dari fahsha` dan munkar.

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

(Surah al-‘Ankabut:45)

· Zakat untuk menyucikan jiwa dan juga harta


Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Surah al-Tawbah: 103)

· Kelebihan haji juga sebagai membersihkan jiwa.

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan Ibadat Haji. dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Surah al-Baqarah: 197)

Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.

(Surah al-Hajj: 30)

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Menangani Sifat Was-Was

Oleh: Ahmad Nasim Abd Raof   “Waswasah” atau was-was dari segi bahasa bermakna lintasan hati …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *