Friday, June 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1730 : BAHAGIAN FARAID UNTUK NENEK SAUDARA DI INDONESIA

AL-KAFI #1730 : BAHAGIAN FARAID UNTUK NENEK SAUDARA DI INDONESIA

Download PDF

af1730 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Nenek saya memiliki sebidang tanah. Dia telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang adik perempuan yang tinggal di Jakarta, Indonesia, serta dua orang anak perempuan, ibu saya dan makcik saya. Kemudian, kami mendapat berita bahawa nenek saudara saya di seberang itu telah meninggal dunia selepas kematian nenek saya dan meninggalkan beberapa orang waris. Soalan saya, adakah ibu saya wajib menyerahkan satu pertiga daripada jualan sebidang tanah tadi kepada waris nenek saudara saya di Indonesia? Ketika berurusan dengan pejabat tanah, mereka memaklumkan nenek saudara saya itu berhak mendapat satu pertiga. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menurut hukum faraid, bahagian dua orang anak perempuan ialah dua pertiga. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ

Maksudnya: “Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.”

(Surah al-Nisa: 11)

Berkata ulama:

“Perkara yang dimaksudkan daripada firman Allah Taala: “lebih dari dua” ialah dua orang dan juga bilangan yang lebih dari dua, berdasarkan ijmak. Kalimah fauqa (lebih) bertujuan untuk menguatkan.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/370)

Manakala, bagi saudara perempuan mendapat bahagian baki daripada harta pusaka setelah ditolak bahagian dua anak perempuan, iaitu satu pertiga. Ini juga disebutkan sebagai asabah ma`a al-ghair (asabah bersama orang lain). Ini kerana wujudnya anak perempuan tadi.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/391)

Dalil pensyariatannya ialah hadis Abdullah bin Mas`ud RA bahawa dia akan berhukum dengan keputusan Nabi ﷺ:

للاِبْنَةِ النِّصْفُ، وَلِابْنَةِ الِابْنِ السُّدُسُ، وَمَا بَقِيَ فَلِلْأُخْتِ

Maksudnya: “Bagi anak perempuan mendapat separuh, bagi cucu perempuan mendapat satu perenam, manakala bakinya untuk saudara perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (no. 6742)

Berkenaan isu, adakah ada beza jika waris tinggal di negara lain? Jawapannya, tiada beza dan wajib harta pusaka itu diserahkan kepada waris yang tinggal di negara lain, berdasarkan kemampuan, atau pengurus harta hendaklah memegang amanah tersebut sehinggalah harta tersebut dalam diberikan kepada yang berhak. Jika waris itu sudah meninggal dunia, maka hendaklah diberikan kepada waris kepada waris tersebut.

 

Kesimpulan

Melihat kepada fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:

  • Bahagian untuk emak dan makcik saudara bagi pihak penanya mendapat bahagian dua pertiga daripada hasil jualan tanah berkenaan. Bahagian tersebut kemudian dibahagi sama rata antara dua orang adik beradik perempuan itu.
  • Bahagian untuk nenek saudara kandung yang berada di Indonesia itu ialah satu pertiga, di mana pembahagian ini berdasarkan asabah ma`a al-ghair.
  • Keberadaan nenek saudara di luar negara tidak menafikan haknya untuk mendapatkan bahagian faraid dan menjadi tanggungjawab pengurus harta pusaka untuk menyerahkan kepadanya atau warisnya jika sudah meninggal dunia.

Wallahua`lam.

Semoga jawapan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita rezeki yang halal dan baik. Amin

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1732 : HUKUM MENDERMA DARAH DALAM RUMAH IBADAT ORANG BUKAN ISLAM

Soalan: Assalamualaikum wrm. wbt., Apakah hukum menderma darah di dalam rumah ibadat orang bukan Islam? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *