Saturday, October 31, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1729 : BOLEHKAH SOLAT WITIR DILAKUKAN SATU RAKAAT DAHULU KEMUDIAN BARU DUA RAKAAT ?

AL-KAFI #1729 : BOLEHKAH SOLAT WITIR DILAKUKAN SATU RAKAAT DAHULU KEMUDIAN BARU DUA RAKAAT ?

Download PDF

AK1729

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, dalam situasi solat witir tiga rakaat secara berjemaah, imam buat solat witir satu rakaat dahulu kemudian baru buat dua rakaat. Boleh atau tidak begitu ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر   watru dan witru dari sudut bahasa membawa maksud tunggal (bilangan yang ganjil) iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’ (genap). Manakala dari sudut istilah pula, witir bermaksud : ‘’Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam, sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam’’. Bilangan rakaatnya adalah bilangan yang ganjil dan disebabkan itulah ia dinamakan sebagai witir.

Solat witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini. Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata :

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya : Kekasihku (Rasulullah S.A.W) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu : Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Riwayat Al-Bukhari (1981)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa solat witir adalah solat terakhir pada waktu malam. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya : Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.

Riwayat Al-Bukhari (998)

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh  Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya : Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).‏

Riwayat Muslim (752)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan tentang tatacara solat malam, lalu baginda bersabda :

مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَصَلِّ رَكْعَةً وَاجْعَلْ آخِرَ صَلاَتِكَ وِتْرًا

Maksudnya : (Solat malam) dilakukan sebanyak dua rakaat dua rakaat, apabila kamu khuatir masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat dan jadikan akhir solat kamu adalah witir.

Riwayat Muslim (749)

Berdasarkan beberapa riwayat di atas, solat witir itu adalah solat penghujung. Maknanya bagi mereka yang melakukan solat witir tiga rakaat dengan memisahkan antara dua rakaat syafa’ dan satu rakaat witir hendaklah mendahulukan solat syafa’ dahulu dan barulah solat witir.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, serta merujuk kepada definisi solat witir yang telah kami sertakan, kami menyatakan bahawa solat witir dengan cara melakukan satu rakaat terlebih dahulu dan kemudiannya dua rakaat adalah menyelisihi sunnah. Ini kerana, apabila seseorang itu berniat melakukan solat witir, maka sudah pastilah solat tersebut diakhiri dengan witir dan bukanlah syafa’ (iaitu dua rakaat), bahkan jika diakhiri solat witir dengan solat syafa’, ini jelas menafikan maksud solat witir itu sendiri. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Download PDF

Check Also

AL-KAFI # 1738 : STATUS ROTI CANAI DARI TELUR AYAM YANG TIDAK DIBASUH

  SOALAN. Assalamualaikum,  Saya agak risau terhadap penebar roti canai yang menguli tepung kemudian menggunakan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *