Friday, June 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1689 : ADAKAH MAKRUH MENYEBUT NAMA MANA-MANA SURAH SECARA TERUS (DIRECT)?

AL-KAFI #1689 : ADAKAH MAKRUH MENYEBUT NAMA MANA-MANA SURAH SECARA TERUS (DIRECT)?

Download PDF

al Kafi 1689 AL QURAN

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Adakah benar makruh hukumnya untuk menyebut mana-mana surah secara direct namanya seperti dengan mengatakan surah al-Baqarah, surah al-Nisa’ dan lain-lain? Dan sepatutnya kita mesti menyebutnya secara tidak direct seperti mengatakan surah yang mana disebut di dalamnya al-Baqarah (lembu betina) atau surah yang mana disebut di dalamnya al-Nisa’ (mengenai perempuan) atau lain-lain. Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi surah (السورة)

Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa para ulama telah berbeza pendapat mengenai makna surah iaitu dari kalimah apa ia diambil. Ada yang berpendapat ia diambil dari kalimah (الإبانة- jelas) dan (الارتفاع- tinggi). Maka, seolah-olah pembaca (al-Quran) akan berpindah dengannya (surah-surah tersebut) dari satu kedudukan ke kedudukan yang lain. Ada pula yang berpendapat kerana kemuliaan dan ketinggiannya seperti (سور البلد) iaitu tembok tinggi di sekeliling negeri. Ada juga yang berpendapat ia dinamakan demikian kerana ia adalah merupakan potongan daripada al-Quran dan juzuk daripadanya. Selain itu, ada juga yang berpendapat kerana kesempurnaannya (lengkap dan menyeluruh). Hal ini kerana masyarakat Arab menamakan unta yang sempurna sebagai surah. Manakala menurut Imam Ibn Kathir sendiri, ada kemungkinan ia adalah himpunan yang meliputi ayat-ayatnya sebagaimana dinamakan (سور البلد) kerana ia meliputi rumah-rumahnya dan kawasan-kawasannya di dalam negeri tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, Cet. Dar Ibn al-Jauzi, 1/141-142)

Hukum menyebut nama surah

Terdapat riwayat Imam al-Bukhari di dalam sahihnya daripada al-A’masy, katanya :

سَمِعْتُ الحَجَّاجَ، يَقُولُ عَلَى المِنْبَرِ: السُّورَةُ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا البَقَرَةُ، وَالسُّورَةُ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا آلُ عِمْرَانَ، وَالسُّورَةُ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا النِّسَاءُ، قَالَ: فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِإِبْرَاهِيمَ…

Maksudnya : Aku telah mendengar al-Hajjaj berkata di atas minbar : “Surah yang disebut di dalamnya al-Baqarah, surah yang disebut di dalamnya Ali Imran, dan surah yang disebut di dalamnya al-Nisa’.” Al-A’masy berkata : “Lalu aku menceritakan perkara itu kepada Ibrahim…” Riwayat al-Bukhari (1750)

Dalam riwayat lain datang dengan lafaz tambahan iaitu :

عَنِ الْأَعْمَشِ، قَالَ: سَمِعْتُ الْحَجَّاجَ، يَقُولُ: لَا تَقُولُوا سُورَةُ الْبَقَرَةِ، قُولُوا: السُّورَةُ الَّتِي تُذْكَرُ فِيهَا الْبَقَرَةُ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِإِبْرَاهِيمَ…

Maksudnya :Daripada al-A’masy, katanya : Aku mendengar al-Hajjaj bin Yusuf berkata : ‘Janganlah kalian mengatakan surah al-Baqarah, tetapi katakanlah surah yag disebut di dalamnya al-Baqarah.’ Lalu aku menceritakan perkara itu kepada Ibrahim…” Riwayat al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (4065), Riwayat Abu ‘Awanah di dalam mustakhrajnya (3564) dan Riwayat Muslim (1296).

Daripada riwayat-riwayat tersebut, kita ketahui bahawa ada sebahagian salaf (ulama terdahulu) yang berpendapat demikian.

Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi yang menyebutkan sebahagian ulama terdahulu mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh menyebut nama surah secara terus seperti surah al-Baqarah, surah Ali Imran dan lain-lain. Akan tetapi disebutkan, surah yang disebut di dalamnya al-Baqarah, surah yang disebut di dalamnya Ali Imran, surah yang disbut di dalamnya al-Nisa’ dan begitulah seterusnya.

Walau bagaimanapun, pendapat yang sahih ialah harus untuk disebut surah al-Baqarah, surah Ali Imran, surah al-Nisa’, surah al-Maidah dan begitulah seterusnya bagi baki surah-surah yang lain serta tidak makruh berbuat demikian. Ini adalah merupakan pendapat majoriti ulama daripada kalangan salaf (ulama terdahulu) mahupun khalaf (ulama terkemudian).

(Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, Cet. Dar Ibn Rejab, hlm. 119 dan al-Azkar, Cet. Dar Ibn Hazm, hlm. 208)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat tidak mengapa menyebut nama surah secara terus seperti surah al-Baqarah, surah Ali Imran dan lain-lain serta tidak makruh berbuat demikian. Hal ini kerana terdapat banyak hadis-hadis serta pandangan salaf yang menunjukan akan keharusannya dan tidak mengapa menyebutnya begitu.

Antaranya, daripada riwayat Abu Mas’ud al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الآيَتانِ مِن آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ، مَن قَرَأَهُما في لَيْلَةٍ كَفَتاهُ

Maksudnya : “Dua ayat dari akhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membaca kedua-dua ayat tersebut pada waktu malam, maka dua ayat itu telah mencukupinya.” Riwayat al-Bukhari (4008) dan Muslim (807)

Begitu juga, daripada perkataan sahabat sendiri seperti kata-kata Ibn Mas’ud R.A  :

مِنْ هَا هُنَا وَالَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ قَامَ الَّذِي أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ البَقَرَةِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya : “Dari sinilah -Demi Zat yang tidak ada Tuhan selain Dia- telah berdiri seseorang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah iaitu Nabi Muhammad SAW.” Riwayat al-Bukhari (1750)

Imam al-Bukhari telah meletakan satu bab di dalam sahihnya iaitu bab sesiapa yang berpendapat tidak mengapa untuk mengatakan surah al-Baqarah dan surah sekian dan sekian. (Lihat Sahih al-Bukhari, 6/194) Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bab ini adalah merupakan isyarat bagi menolak mereka yang berpandangan bahawa makruh hukumnya untuk menyebut nama surah sekian. Juga mereka yang berpendapat tidak boleh menyebut nama surah (secara terus) melainkan dengan menyebut surah yang disebut di dalamnya sekian. Al-Qadi ‘Iyad menyebut hadis Abu Mas’ud R.A menjadi hujah yang menunjukan keharusan untuk menyebut nama surah al-Baqarah dan seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 9/87)   

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa tidak mengapa menyebut nama surah secara terus seperti surah al-Baqarah, surah Ali Imran, surah al-Maidah dan seumpamanya, serta tidak makruh berbuat demikian sebagaimana pendapat majoriti ulama dalam kalangan salaf mahupun khalaf.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1732 : HUKUM MENDERMA DARAH DALAM RUMAH IBADAT ORANG BUKAN ISLAM

Soalan: Assalamualaikum wrm. wbt., Apakah hukum menderma darah di dalam rumah ibadat orang bukan Islam? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *