Sunday, April 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1571: HUKUM HADIR WALIMAH TANPA DIJEMPUT

AL-KAFI #1571: HUKUM HADIR WALIMAH TANPA DIJEMPUT

Download PDF

walimah_dijemput.JPG

Soalan:

Apakah hukum hadir ke majlis perkahwinan atau walimatul urus tanpa dijemput dan makan jamuan yang disediakan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.

Sahih Muslim (1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.

Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukum menghadiri walimah ialah sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 45/235-236).

 

Hadir walimah tanpa dijemput

Persoalan yang dibangkitkan adalah berkenaan hadir ke walimatul urus tanpa dijemput oleh tuan rumah atau wakilnya. Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, orang yang hadir ke walimatul urus tanpa dijemput diistilahkan oleh para ulama sebagai al-tufaili ( الطفيلي ), iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan manusia tanpa mereka menjemputnya. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari 21/63)

Telah sepakat para ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) akan haramnya bagi seseorang hadir majlis kenduri tanpa dijemput, atau tanpa diketahui samada tuan rumah redha ataupun tidak. Dia dihukum sebagai fasiq dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut, kerana ia termasuk kategori perbuatan memakan makanan yang haram. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan:

مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا

Maksudnya: Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah engkar kepada Allah dan Rasul-Nya; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang .

Sunan Abi Dawud (3741)

(Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 12/143; Nihayah al-Muhtaj 6/377 dan Al-Mughni li Ibn Qudamah 10/163)

Begitu juga dengan hadith daripada Abu Mas’ud R.A yang meriwayatkan:

جَاءَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يُكْنَى أَبَا شُعَيْبٍ فَقَالَ لِغُلاَمٍ لَهُ قَصَّابٍ اجْعَلْ لِي طَعَامًا يَكْفِي خَمْسَةً، فَإِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَدْعُوَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم خَامِسَ خَمْسَةٍ، فَإِنِّي قَدْ عَرَفْتُ فِي وَجْهِهِ الْجُوعَ‏.‏ فَدَعَاهُمْ، فَجَاءَ مَعَهُمْ رَجُلٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ هَذَا قَدْ تَبِعَنَا، فَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَأْذَنَ لَهُ فَأْذَنْ لَهُ، وَإِنْ شِئْتَ أَنْ يَرْجِعَ رَجَعَ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ لاَ، بَلْ قَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Maksudnya: Seorang lelaki dari kaum Ansar yang diberi gelaran Abu Syu’aib berkata kepada hambanya yang bertugas untuk memotong daging: “Sediakan hidangan untuk lima orang, kerana aku ingin menjemput Rasulullah SAW bersama empat orang yang lain, aku lihat tanda-tanda lapar pada wajah Baginda SAW. Abu Syu’aib pun memanggil mereka, lalu datang seorang yang lain (yang tidak dijemput) bersama mereka. Nabi SAW berkata kepada Abu Syu’aib: “Lelaki ini mengikuti kami, jika kamu memberi izin, dia akan makan bersama kita, kalau kamu mahu dia pulang, dia akan pulang. Abu Syu’aib berkata: “Dia tidak perlu pulang, aku benarkannya untuk makan bersama”.

Sahih al-Bukhari (2081)

Jelas daripada hadith Abu Mas’ud ini, meskipun seseorang itu pada asalnya tidak boleh hadir untuk makan di majlis jamuan atau walimah orang tanpa dijemput. Namun jika tuan rumah memberi keizinan, atau diketahui adanya keizinan daripada tuan rumah, maka hukumnya adalah harus.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, para ulama mengharamkan seseorang yang hadir ke kenduri tanpa dijemput, jika diyakini tuan rumah tidak redha dengan tersebut.

Adapun jika kita yakin tuan rumah redha dengan kehadiran kita, contohnya dia merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun terlupa untuk menjemput kita; maka dalam keadaan tersebut ia tidak diharamkan.

Wallahu a’lam.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *