Sunday, April 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1569 : MENDATANGI ISTERI KERANA SANGKAAN HAID SUDAH BERHENTI

AL-KAFI #1569 : MENDATANGI ISTERI KERANA SANGKAAN HAID SUDAH BERHENTI

Download PDF

af1569 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt.

Kebiasaannya isteri saya berhaid selama 7 hari. Baru-baru ini, selepas isteri keluar darah haid selama 7 hari, dan telah mandi wajib, saya dan isteri ada mengadakan hubungan kelamin. Namun kami mandi wajib, isteri saya mendapati keluar bekas-bekas darah berwarna kekuningan daripada alat sulitnya. Soalan saya; adakah saya berdosa kerana mengadakan hubungan kelamin dengan isteri sewaktu haid sedangkan saya tidak tahu dan yaqin haid sudah tamat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam melarang pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan intim sepanjang tempoh keluarnya darah haid.. Larangan ini dinyatakan melalui firman Allah ﷻ:

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ ُ

Maksudnya: Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

(Surah al-Baqarah: 222)

Berkata Imam al-Mawardi dalam menafsirkan ayat di atas: “Yang dimaksudkan dengan al-i`tizal dalam ayat ini terbahagi kepada tiga pendapat;

  • Meninggalkan seluruh badan isterinya daripada mubasyarah (dinikmati secara seksual dan secara langsung). Inilah pendapat Ubaidah al-Silmani.
  • Meninggalkan (mubasyarah) pada bahagian di antara pusat dan lutut. Ini pendapat Syuraih.
  • Meninggalkan (persetubuhan) pada faraj. Inilah pendapat Aisyah, Maimunah, Hafsah dan Jumhur ahli tafsir.

Rujuk al-Nukat wa al-`Uyun (1/238)

Sekiranya sabit berlakunya persetubuhan semasa tempoh haid atau sebelum mandi wajib, maka hukumnya adalah berdosa dan disunatkan untuk membayar kaffarah kepada golongan faqir atau miskin..Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas R.Anhuma:

إِذَا أَصَابَهَا فِي الدَّمِ فَدِينَارٌ، وَإِذَا أَصَابَهَا فِي انْقِطَاعِ الدَّمِ فَنِصْفُ دِينَارٍ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haid, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya sudah berhenti maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar

Riwayat Abu Daud (2169)

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuh. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

Rujuk al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (146-147)      

Namun begitu jika hubungan kelamin itu berlaku akibat jahil terhadap keadaan haid itu dan tersilap, maka suami dan isteri itu tidak berdosa dan tidak diperintahkan kepada suami untuk membayar denda.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Umat Islam telah berijmak akan pengharaman bersetubuh dengan isteri yang haid berdasarkan ayat (al-Quran) yang mulia dan hadis-hadis sahih. Berkata al-Mahamili dalam al-Majmu’: Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: Barangsiapa yang melakukannya maka dia melakukan dosa besar. Berkata ashab kami dan selain mereka: Barangsiapa yang menghalalkan persetubuhan dengan wanita haid maka dihukum kafir. Para ashab juga berkata barangsiapa yang melakukannya (bersetubuh semasa haid) kerana jahil tentang wujudnya haid, atau jahil tentang pengharamannya, atau lupa, atau dipaksa, maka tidak ada dosa ke atasnya dan tidak ada kaffarah (denda). Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabibersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اُسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku perkara yang dilakukan kerana tersilap, lupa dan dipaksa ke atasnya.”

Hadis ini hasan, diriwayatkan oleh Ibn Majar, al-Baihaqi dan selain mereka.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (2/359)

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, hukum suami melakukan persetubuhan dengan secara sengaja semasa haid adalah diharamkan, berdosa besar dan wajib bertaubat. Begitu juga ke atas isteri jika dia melakukannya dengan rela kerana membantu kepada maksiat adalah maksiat. Adapun jika suami isteri itu melakukannya lantaran tersilap pada sangkaan bahawa haid sudah tamat mengikut adat, padahal belum, maka tidaklah mereka berdosa.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua. 

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *