Sunday, April 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1561 : HUKUM MENGERJAKAN SOLAT SUNAT WUDUK PADA WAKTU-WAKTU YANG DIMAKRUHKAN SOLAT

AL-KAFI #1561 : HUKUM MENGERJAKAN SOLAT SUNAT WUDUK PADA WAKTU-WAKTU YANG DIMAKRUHKAN SOLAT

Download PDF

AK1561

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, apakah hukum seseorang itu mengerjakan solat sunat wuduk pada waktu yang dimakruhkan solat ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat sunat wuduk adalah salah satu solat sunat yang disyariatkan dan tsabit sandarannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَوَضَّأَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، لاَ يُحَدِّثُ نَفْسَهُ فِيهِمَا بِشَىْءٍ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk aku ini, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, yang mana dia tidak lalai di dalamnya, maka akan diampunkan dosa-dosa (kecilnya) yang terdahulu.

Riwayat Al-Bukhari (1934)

Imam Al-Ramli berhujah menggunakan hadis di atas dalam menjelaskan pensyariatan solat sunat wuduk dengan kata beliau : Disunatkan dua rakaat untuk wuduk, dengan cara seseorang itu melaksanakan solat sesudah berwuduk dengan diniatkan sebagai solat sunat. Rujuk Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48).

Manakala berkenaan isu waktu-waktu yang dimakruhkan buat seseorang itu untuk mendirikan solat pula, Syeikh Taqiyuddin Al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu tersebut iaitu :

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
  • Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam.
  • Ketika matahari terbenam sehingga sempurna benamnya.

Rujuk Kifayah Al-Akhyar, Taqiyuddin Al-Hisni (Hlm. 126)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami mengongsikan kenyataan Imam Al-Nawawi yang berkata :

النَّهْيُ وَالْكَرَاهَةُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ، إِنَّمَا هُوَ فِي صَلَاةٍ لَيْسَ لَهَا سَبَبٌ، فَأَمَّا مَا لَهَا سَبَبٌ فَلَا كَرَاهَةَ

Maksudnya : Larangan dan kemakruhan pada waktu-waktu ini hanyalah pada solat yang tidak ada sebab, adapun solat-solat yang mempunyai sebab maka ia tidak dimakruhkan (untuk dilaksanakan pada waktu-waktu ini).

Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/192)

Kemudian dalam kenyataan yang lain Imam Al-Nawawi menyebutkan beberapa contoh solat-solat yang mempunyai sebab dengan kata beliau :

فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ

Maksudnya : Antara solat yang mempunyai sebab adalah solat-solat yang ditinggalkan, sama ada solat fardhu atau solat sunat apabila kita menyatakan bahawa pendapat yang sahih adalah disunatkan mengqadha solat-solat nafilah (yang ditinggalkan), maka boleh bagi seseorang itu melaksanakan qadha’ bagi solat-solat fardhu dan juga solat sunat rawatib yang ditinggalkan pada waktu-waktu ini, yang dia telah menjadikan perkara tersebut (solat sunat rawatib) sebagai kelaziman. Dan boleh juga untuk seseorang itu mengerjakan solat nazar, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, dan juga solat sunat tawaf.

Dalil yang menunjukkan bahawa dibolehkan melakukan solat-solat yang bersebab ini pada waktu-waktu yang dilarang padanya untuk bersolat ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Qais bin ‘Amr beliau berkata :

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ فَقَالَ الرَّجُلُ إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya : Rasulullah S.A.W melihat seorang lelaki menunaikan solat sesudah solat subuh sebanyak dua rakaat. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda : Solat subuh itu dua rakaat. Maka lelaki itu berkata : Sesungguhnya aku belum lagi melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh, maka aku melakukannya sekarang (iaitu selepas solat subuh). Maka Rasulullah S.A.W pun diam.

Riwayat Abu Daud (1267)

Justeru, diamnya Nabi S.A.W menjelaskan bahawa baginda tidak menghalang berlakunya solat sunat yang mempunyai sebab untuk dilakukan selepas dari solat fardhu subuh.

Berkenaan isu solat sunat wuduk yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang, Imam Al-Nawawi menyebutkan berkenaan isu tersebut dengan kata beliau :

وَلَوْ تَوَضَّأَ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ فَلَهُ أَنْ يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْ الْوُضُوءِ صَرَّحَ بِهِ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِنَا

Maksudnya : Sekiranya seseorang itu berwuduk pada waktu-waktu yang dimakruhkan ini maka boleh untuk dia menunaikan dua rakaat solat wuduk seperti yang telah disebutkan secara jelas dari kalangan ashab kami.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/170)

Meskipun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa solat sunat wuduk ini terhasil sekiranya seseorang itu mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih. Kerana itu Imam Al-Ramli berkata : ‘’Dan kedua rakaat ini (solat wuduk) terhasil dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih sama seperti dua rakaat tahiyyatul masjid’’. Rujuk Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum melakukan solat sunat wuduk pada waktu-waktu yang dimakruhkan padanya untuk solat adalah harus. Ini kerana solat sunat wuduk bukanlah dalam kategori solat sunat mutlak atau solat sunat tanpa sebab. Sebaliknya, ia termasuk dalam kategori solat-solat sunat yang bersebab.

Akhir kalam kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *