Saturday, April 4, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1552 : ADAKAH ORGAN YANG DIDERMA PERLU DITANAM ASING SETELAH MATI?

AL-KAFI #1552 : ADAKAH ORGAN YANG DIDERMA PERLU DITANAM ASING SETELAH MATI?

Download PDF

af1552 compressed

Soalan:

Adakah wajib untuk mengeluarkan semula organ yang diderma, contohnya buah pinggang, apabila penerima sudah meninggal dunia dan dikebumikan secara berasingan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama berbeza pendapat berkenaan melakukan pembedahan ke atas mayat untuk mendapatkan tulang dan organnya untuk menyelamatkan orang yang hidup. Berkata Imam Syihabuddin al-Ramli Rahimahullah dalam mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi, antara lain menyebut:

وَعَظْمُ غَيْرِهِ مِنْ الْآدَمِيِّينَ فِي تَحْرِيمِ الْوَصْلِ بِهِ وَوُجُوبِ نَزْعِهِ كَالْعَظْمِ النَّجِسِ، وَلَا فَرْقَ فِي الْآدَمِيِّ بَيْنَ أَنْ يَكُونَ مُحْتَرَمًا أَوْ لَا كَمُرْتَدٍّ وَحَرْبِيٍّ خِلَافًا لِبَعْضِ الْمُتَأَخِّرِينَ، فَقَدْ نَصَّ فِي الْمُخْتَصَرِ بِقَوْلِهِ: وَلَا يَصِلُ إلَى مَا انْكَسَرَ مِنْ عَظْمِهِ إلَّا بِعَظْمِ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ ذَكِيًّا، وَيُؤْخَذُ مِنْهُ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ الْجَبْرُ بِعَظْمِ الْآدَمِيِّ مُطْلَقًا، فَلَوْ وَجَدَ نَجِسًا يَصْلُحُ وَعَظْمَ آدَمِيٍّ كَذَلِكَ وَجَبَ تَقْدِيمُ الْأَوَّلِ، وَخِيَاطَةُ الْجُرْحِ وَمُدَاوَاتُهُ بِالنَّجِسِ كَالْجَبْرِ فِي تَفْصِيلِهِ الْمَذْكُورِ.

Maksudnya: “Dan bermula tulang lain, seperti tulang anak Adam, sama hukumnya dengan penggunaan tulang najis, pada hukum pengharamannya sebagai penyambung dan kewajiban mencabutnya. Tiada perbezaan jika diambil dari (penderma) yang dimuliakan dan tidak, seperti orang murtad dan kafir harbi, tetapi berbeza dengan pendapat mutaakhkhirin. (Imam al-Nawawi) telah menaskan dalam al-Mukhtasar dengan katanya: Tidak boleh seseorang menyambung apa yang telah pecah/binasa daripada tulangnya, melainkan dengan tulang (haiwan) yang boleh dimakan apabila disembelih. Diambil (kefahaman) daripada sini bahawa tidak dibenarkan menguatkan (tulang) dengan tulang manusia secara mutlak. Justeru apabila wujud bahan bernajis yang berfungsi sama dengan (kualiti) tulang manusia (sebagai penguat) maka wajib mendahulukan bahan yang pertama (yakni najis). Begitu juga benang luka dan ubat-ubat daripada najis, maka hukumnya sama dengan al-jabr (penguat) (bahkan lebih awla).

Rujuk Nihayah al-Muhtaj (2/222)

Kenyataan ini dihuraikan lagi oleh Syeikh Ali al-Syabramalisi dalam Hasyiahnya:

ثُمَّ ظَاهِرُ إطْلَاقِ جَوَازِ الْوَصْلِ لِعَظْمِ الْآدَمِيِّ أَنَّهُ لَا فَرْقَ فِي ذَلِكَ بَيْنَ كَوْنِهِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، فَيَجُوزُ لِلرَّجُلِ الْوَصْلُ بِعَظْمِ الْأُنْثَى وَعَكْسُهُ، ثُمَّ يَنْبَغِي إذَا مَسَّهُ هُوَ أَوْ غَيْرُهُ، فَإِنْ اكْتَسَى لَحْمًا وَحَلَّتْهُ الْحَيَاةُ صَارَ حُكْمُهُ حُكْمَ بَقِيَّةِ أَجْزَاءِ الرَّجُلِ فَلَا يُنْتَقَضُ وُضُوءُهُ وَلَا وُضُوءُ غَيْرِهِ مِنْ الرِّجَالِ بِمَسِّهِ، وَإِنْ كَانَ ظَاهِرًا مَكْشُوفًا وَلَمْ تَحِلَّهُ الْحَيَاةُ فَهُوَ بَاقٍ عَلَى نِسْبَتِهِ لِلْأُنْثَى، وَمَعَ ذَلِكَ لَا يُنْتَقَضُ وُضُوءُهُ وَوُضُوءُ غَيْرِهِ بِمَسِّهِ؛ لِأَنَّ الْعُضْوَ الْمُبَانَ لَا يُنْتَقَضُ الْوُضُوءُ بِمَسِّهِ إلَّا إذَا كَانَ مِنْ الْفَرْجِ وَأَطْلَقَ اسْمَهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kemudian yang zahir daripada itlaqnya kenyataan itu akan harusnya menyambung dengan tulang manusia, bahawa tiada beza pada hukumnya, jika tulang itu dari lelaki atau wanita. Maka, harus bagi seorang lelaki untuk menyambung tulangnya dengan tulang wanita dan sebaliknya. Kemudian, hendaklah diketahui apa yang berlaku jika lelaki menyentuh sambungan itu atau orang lain menyentuhnya. Maka, tulang tersebut sudah ditutup dengan daging dan terdapat hayat padanya maka jadilah hukum sambungan itu sama seperti bahagian-bahagian lain tubuh lelaki itu. Justeru, ia tidak membatalkan wudhuk lelaki itu dan begitu juga lelaki-lelaki lain yang menyentuhnya. Dan jika ia terletak pada zahir permukaan badan dan terdedah, dan tidak terdapat hayat padanya, maka kekallah nisbahnya kepada wanita (penderma). Sekalipun begitu, tidak juga membatalkan wudhu’ lelaki (penerima) mahupun lelaki-lelaki lain yang menyentuhnya, kerana anggota yang terpotong itu tidak membatalkan wudhu’ dengan menyentuhnya melainkan jika ia adalah faraj (dubur dan qubul, lelaki atau perempuan) dan kekal itlaq nama itu ke atasnya.”

Rujuk Hasyiah Nihayah al-Muhtaj (2/222)

Justeru Syeikh Sulaiman al-Bujairami menyebut dalam Hasyiahnya:

وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّ الْعُضْوَ الْمُبَانَ مَتَى الْتَصَقَ وَحَلَّتْهُ الْحَيَاةُ نَقَضَ وَإِلَّا فَلَا …. فَإِذَا الْتَصَقَتْ يَدُ رَجُلٍ بِبَدَنِ امْرَأَةٍ وَحَلَّتْهَا الْحَيَاةُ انْتَقَضَ وُضُوءُ الرَّجُلِ صَاحِبِ الْيَدِ بِلَمْسِهَا

Maksudnya: “Dan pendapat yang mu`tamad bahawa anggota yang terpotong apabila dilekatkan kemudian menjadi hidup akan membatalkan wudhuk. Jika tidak hidup maka tidak batal. Maka jika tangan seorang lelaki dipasang pada badan seorang wanita kemudian tangan itu hidup berfungsi, maka batal wudhuk lelaki pemilik asal tangan itu apabila menyentuh tangan itu tadi.”

Rujuk Hasyiah al-Bujairami `ala Syarh al-Manhaj (1/44)

Manakala Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23-24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut:

  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
  4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, hukum pendermaan organ adalah diharuskan berdasarkan syarat-syaratnya. Manakala organ yang telah didermakan kepada penerima adalah dinisbahkan kepada badan penerima, apabila organ tersebut boleh berfungsi dalam badan yang baharu. Justeru, tidak disyariatkan untuk mengeluarkan organ itu setelah penerima meninggal dunia untuk dikebumikan secara asing, apatahlagi perbuatan tersebut dianggap perbuatan menghina mayat yang diharamkan oleh Hukum Syarak. Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita semua. 

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *