Saturday, April 4, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1535: HUKUM WANG KUTU YANG DITERIMA SEBELUM MENINGGAL DUNIA

AL-KAFI #1535: HUKUM WANG KUTU YANG DITERIMA SEBELUM MENINGGAL DUNIA

Download PDF

alkafi1535

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada satu kemusykilan berkenaan main kutu. Sekiranya sebelum si mati meninggal dunia, si mati ada bermain kutu dan ditakdirkan meninggal sebelum langsai semua pusingan kutu. Ini bermakna si mati masih ada lagi baki pusingan kutu yang perlu di bayar. Soalannya ialah sekiranya waris si mati berhasrat untuk menyambung bayar kutu bagi pihak si mati, perlukah waris tersebut membuat akad di hadapan pemain-pemain kutu yang lain dengan memaklumkan bahawa hutang baki kutu akan ditanggung si fulan (nama waris tertentu). Ini bermakna si mati sudah tidak terikat dengan hutang tersebut. Boleh ke waris keluarga mengatakan hutang kutu akan dibayar oleh waris tetapi tidak spesifik nama waris yang akan menanggung hutang tersebut. Sekiranya waris tersebut gagal melaksanakan tugas tersebut pada masa akan datang, ia dikira sebagai hutang atau tanggungan kepada waris tersebut? Mohon pencerahan dari pihak ustaz dengan lebih lanjut mengenai masalah diatas. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

﴿مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ﴾

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Surah al-Nisa’ (11)

Melalui ayat ini, para ulama’ telah bersepakat bahawa pembahagian harta pusaka hanyalah boleh dilakukan sementelah dilunaskan segala hutangnya dan ditunaikan segala wasiatnya. Dan dalam ayat ini, Allah S.W.T menyebut wasiat terlebih dahulu bukannya bermaksud wasiat wajib diutamakan berbanding hutang. Namun, ia sebagai suatu tanda keprihatinan dan galakan agar pewaris menunaikannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/73-74].

Berbalik kepada persoalan di atas, kami akan menghuraikan persoalan ini kepada beberapa pecahan isi penting.

Hukum Main Kutu

Dalam hal ini, kutu atau maksud sebenarnya ialah usaha gotong-royong bagi mengumpulkan wang tiap-tiap bulan dan menentu­kan giliran orang yg mendapatnya dengan cara mengundi. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat). Pada dasarnya, hukum bermain kutu adalah harus. Perkara ini telah dibincangkan secara panjang lebar hukumnya dari sudut agama dan undang-undang Malaysia, dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI 131: HUKUM MAIN KUTU MODEN.

Adakah Ia Dikira Sebagai Pusaka

Mengambil petikan yang disebut dalam artikel kami sebelum ini:

“wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara ‘in advance’ disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran ‘In advance’ ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan. Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya”

Berdasarkan penjelasan yang dikemukakan, dapat difahami di sini bahawa wang kutu sebenarnya adalah merupakan wang simpanan sendiri cuma ia dalam bentuk pinjaman, maka terbukti di sini, sekiranya si mati meninggal dunia dan telah menerima wang kutu, ia dikira sebagai harta pusaka dan mestilah dibahagikan kepada para warisnya yang berhak.

Begitu juga, jika wang kutu tersebut belum diterimanya, maka waris perlu menuntutnya dari ahli kumpulan yang bermain kutu atau ibu kutu (ketua) yang mengelolanya, dan ia tetap dikira sebagai pusaka disebabkan ia merupakan simpanan si mati.

Hutang Kutu Bagi Bulan Berikutnya

Persoalan yang seterusnya timbul apabila wang yang diterima sebelum si mati meninggal dunia namun pusingan bayaran bagi bulan-bulan berikutnya belum selesai dan belum dijelaskan, maka di sini menjadi tanggungjawab ke atas para waris untuk melunaskan hutang tersebut sebelum dibahagikan baki harta kepada para waris. Ini kerana, si mati berhutang dengan ahli kumpulan kutu yang lain.

Pelunasan hutang merupakan salah satu daripada empat kewajipan terhadap si mati yang perlu ditunaikan oleh para waris. Segala urusan berkenaan pelunasan hutang pula perlulah diambil dari harta peninggalan si mati melainkan wujudnya waris atau pihak yang sudi untuk menanggung hutang tersebut. Ini kerana hutang tetap menjadi beban kepada penghutang (orang yang berhutang) sama ada semasa hidup atau sesudah dia meninggal dunia. Orang yang berhutang masih lagi dituntut hutangnya oleh pemiutang (orang yang memberi wang) dan apabila dia meninggal dunia, maka menjadi tanggungjawab waris untuk menjelaskan hutang tersebut. Ini bermakna, si mati akan terlepas tanggungan hutangnya bilamana hutang tersebut telah diselesaikan ataupun ada waris yang sudi membayar bagi pihak si mati atau dihalalkan hutang tersebut.

Akad Tabarru’at (Kebajikan)/Jaminan

Di sini, jika si waris mengatakan bahawa dia sanggup menanggung hutang si mati maka perlu dikenal pasti terlebih dahulu bahawa ia merupakan akad tabarru’at yang bersifat kebajikan atau kebaikan, ataupun ia akad jaminan.

Jika, ia merupakan akad tabarru’at iaitu waris ingin menanggung hutang si mati secara sukarela, maka zimmah (beban) hutang tetap pada si mati kerana waris berhak menarik semula keinginannya untuk menanggung hutang tersebut. Perlu diingat juga di sini bahawa perbezaannya ialah duit pada akad ini diambil dari harta waris bukannya harta si mati disebabkan ia merupakan kebajikan dari pihak waris terhadap ahlinya yang telah meninggal dunia.

Berbeza pula dengan akad jaminan iaitu dari segi harta si mati diambil terlebih dahulu kemudiannya jika tidak mencukupi maka baharulah ditanggung oleh si penjamin bagi melunaskan hutang tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, menjawab kepada persoalan yang dikemukakan, kami katakan di sini bahawa wang kutu yang diterima sebelum si mati meninggal dunia adalah pusaka dan perlulah dibahagikan kepada para warisnya yang berhak. Kemudian, bagi baki bayaran bulan berikutnya perlulah dilunaskan oleh para waris menggunakan harta peninggalan si mati melainkan wujudnya waris yang ingin menanggung hutang tersebut dan si mati dikira terlepas dari beban tanggungannya (zimmah) setelah diselesaikan hutangnya. Akhir kalam, kami nukilkan sepotong hadith Nabi Muhammad S.A.W:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).

Riwayat al-Tirmizi (1078)

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam memahami agamaNya, memberikan kemurahan rezeki dan keberkatan serta menjauhkan diri kita dari belenggu-belenggu hutang.

Wallahua’lam. 

 

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *