Sunday, April 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1524 : NASAB ANAK YANG BERKEMUNGKINAN HASIL DARIPADA ZINA

AL-KAFI #1524 : NASAB ANAK YANG BERKEMUNGKINAN HASIL DARIPADA ZINA

Download PDF

af1524 compressed

Soalan:

Assalamualaikum, saya nak bertanya berkenaan nasab anak.

Situasinya begini, saya bernikah pada 23/11/2019 dan pada 9/12/2019, saya mengambil pregnancy test dan didapati saya mengandung. Hasil Test Positif. Kemudian, saya pergi ke klinik dan Dr. mengesahkan saya telah mengandung 6 minggu. Untuk pengetahuan Ustaz/Ustazah, saya telah melakukan persetubuhan dengan suami saya sebelum kami bernikah, dan saya juga telah mengambil pregnancy test pada 7/11/2019 dan didapati negatif. Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan kandungan saya sehingga lah saya berasa mual-mual selepas beberapa hari nikah.

Soalan saya adalah:-

  1. Saya tahu status anak saya adalah status anak luar nikah. Tetapi adakah anak saya masih boleh dinasabkan kepada suami saya?
  2. Sekiranya anak saya perempuan, adakah suami saya masih boleh menjadi walinya? Mohon penjelasan yang terperinci. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, kami mengucapkan tahniah atas perkahwinan yang baru dilangsung. Kami berdoa agar Allah ﷻ memberkati pasangan serta menghimpunkan suami dan isteri dalam dalam kebaikan dan kebahagiaan.

Kedua, kami menasihatkan agar pihak pasangan benar-benar bertaubat kepada Allah ﷻ atas perbuatan zina yang berlaku sebelum berkahwin. Ingatlah bahawa Allah ﷻ berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’ : 32)

Firman-Nya lagi:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (4) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (5)

Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nur: 4-5)

Nasihat kami agar pasangan melengkapkan diri dengan ilmu agama, memperbanyakkan amalan soleh dan saling memperbaiki antara satu sama lain.

Berkenaan dengan isu anak tak sah taraf, merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan, anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan hasil:

  1. Persetubuhan yang berlaku sebelum akad nikah sama ada akibat zina atau rogol; atau
  2. Melalui cara saintifik yang bertentangan dengan Hukum Syara, dan bukan anak yang dilahirkan hasil daripada persetubuhan syubhah, atau bukan anak perhambaan; atau
  • Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan mengikut takwim qamariah dari mtarikh akad nikah.

Rujuk Himpunan Fatwa Wilayah Persekutuan 1987-2019 (hlm. 198-199)

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah ﷺ berikut. Daripada Aisyah RAnha berkata:

كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ: أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي، فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ، فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ، فَقَالَ: ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ ، فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي، قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ» ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ: «احْتَجِبِي مِنْهُ» لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ، فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ

Maksudnya: Adalah ‘Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sungguh kepada saudaranya Sa’d bahawa anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan Zam’ah adalah anaknya. Justeru, ambillah dan peliharalah. Tatkala tahun pembukaan kota Mekah, Sa’d mengambilnya seraya berkata, “Ini anak saudaraku yang diminta kepadaku untuk memeliharanya.” Kemudian ‘Abd bin Zam’ah bangkit dan berkata, “Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku.” Kemudian kedua-duanya berlumba-lumba menuju kepada Nabi SAW. Maka kata Sa’d, ‘Ya Rasulullah, dia anak saudaraka yang diwasiatkan kepadaku untuk memeliharanya.’ Kemudian Abd bin Zam’ah mencelah, ‘Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku yang dilahirkan pada masa perkahwinan.’ Maka jawab Nabi SAW, ‘

هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya: “Dia bagi kamu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Ini kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina adalah keaiban.”

Kemudian sabda Bagindakepada Saudah binti Zam’ah, Hendaklah kamu berhijab daripadanya. Ini kerana Rasulullahmendapati anak tersebut amat menyerupai ‘Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu Allah atau mati.”

Riwayat al-Bukhari (6749) dan Muslim (1457); Rujuk huraian terhadap hadis ini dalam artikel kami yang bertajuk Bayan Linnas Siri Ke-106 : Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan

Justeru, perlu dilihat waktu anak itu dilahirkan akan datang. Jika lahirnya kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan maka dikira anak tidak sah taraf. Jika lebih, maka dikira anak sah taraf dan dinasabkan kepada suami dalam perkahwinan tersebut. Berta Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Wasit (2/308):

“Jika suami itu mengetahui bahawa isterinya berzina, tetapi ada kemungkinan anak yang itu datang darinya atau dari zina, maka haram menafikannya kerana perlu meraikan firasy (hubungan perkahwinan atau perhambaan, serta haram qazaf dan li`an atas pendapat yang sahih.”

Isu seterusnya ialah sekiranya anak yang dilahirkan itu perempuan, adakah suami boleh menjadi walinya? Jawapannya tertakluk kepada isu pertama. Tidak boleh suami itu menjadi wali jika anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh pernikahan, dan boleh jika sebaliknya.

Semoga jawapan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Wallahua’lam.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *