Saturday, December 14, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1426: BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MELAKUKAN SOLAT DI ATAS PERAHU KETIKA MEMANCING

AL-KAFI #1426: BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MELAKUKAN SOLAT DI ATAS PERAHU KETIKA MEMANCING

Download PDF

 

Soalanak1426.JPG

Assalamualaikum w.b.t Saya ingin bertanya berkenaan panduan solat di atas bot memancing yang kecil. Umum mengetahui ramai rakyat Malaysia yang menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi. Sebagai contoh situasi, keluar memancing di laut dalam akan mengambil masa selama 8 jam. Keluar jam 6 pagi dan balik pada 6 petang. Keadaan memancing di dalam bot yang sempit dan sukar mengambil wudhu dan solat di atas bot menjadikan sebahagian besar kaki memancing tidak menjalankan solat fardhu. Mohon Tuan Mufti memberikan panduan yang mudah untuk kaki pancing melaksanakan ibadah solat di atas bot yang kecil ini. Sekian, terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat merupakan rukun kedua daripada rukun Islam selepas beriman kepada Allah SWT. Dan solat ini merupakan ibadah yang wajib dilakukan tidak kira dalam apa jua keadaan Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’, 103)

Perihal Solat Di Atas Perahu

Berbalik kepada persoalan di atas, solat di atas perahu ketika memancing bukanlah alasan untuk tidak mengerjakan solat fardhu. Ini kerana, solat merupakah ibadah yang wajib di lakukan. Firman Allah SWT:

وَأمُر أَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah ahli kamu untuk menunaikan solat dan bersabarlah ke atasnya.

(Surah Taha 132)

Mengambil wuduk ketika di atas perahu dengan menggunakan air laut adalah dibolehkan. Ini kerana, air laut merupakan air yang boleh digunakan untuk bersuci serta dapat menghilangkan hadas kecil bagi menyempurnakan solat.

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “air yang suci dan menyucikan ialah air hujan, air laut, air sungai air telaga, air mata air dan air salji”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/37)

Menunaikan solat di atas perahu adalah sah sekiranya memenuhi syarat serta rukun solat yang di tetapkan. Dengan menunaikan kewajipan seperti menghadap ke arah kiblat seperti mana firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya,

(Surah al-Baqarah, 150)

Begitu juga dengan kewajipan untuk berdiri sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran dan halangan. Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah, 238)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam Kitabnya menyatakan, ayat di atas adalah ayat perintah untuk berdiri dan ia merupakan satu kewajipan. Dan ayat ini bermaksud tidak diwajibkan ke atas kamu berdiri melainkan ketika melakukan solat. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/243)

Selain itu, hadis yang diriwayat Imran bin Hussain mempunyai penyakit buasir. Lalu Beliau bertanya kepada Baginda SAW berkenaan dengan solat. Sabda Nabi SAW:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, dan sekiranya tidak mampu maka duduklah, dan sekiranya tidak mampu solat secara berbaring.

Riwayat Bukhari (1117)

Imam Nawawi menerangkan berkenaan dengan solat ketika di dalam perahu di wajibkan untuk berdiri sekiranya tidak berlaku keuzuran serta kewajipan untuk menghadap kiblat. Ini seperti yang dinyatakan di dalam kitabnya:

Sekiranya melakukan solat fardhu di atas kapal tidak harus baginya meninggalkan rukun berdiri seperti mana ketika berada di daratan. Ini juga pendapat yang dinyatakan Imam Malik dan Imam Ahmad. Pendapat Imam Abu Hanifah harus untuk tidak berdiri ketika kapal bergerak. Begitu juga pandangan Mazhab Syafi’e menyatakan sekiranya berlaku keuzuran seperti mabuk laut dan selainnya maka diharuskan untuk solat duduk. Dan sekiranya berubah arah kiblatnya kerana tiupan angin, maka wajib ke atasnya untuk menghalakan semula ke arah kiblat semula”.

(Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/242)

Dan sekiranya tidak dapat menyempurnakan salah satu daripada rukun seperti tidak dapat menghadap kiblat atas disebabkan keadaan tertentu maka dituntut untuk solat hormat waktu. Imam Nawawi di dalam kitabnya menyatakan:

Mengikut pandangan mazhab Syafi’e sekiranya ketika menunaikan solat fardhu akan tertinggal ketika musafir atau takut sekiranya turun dari tunggangan untuk menghadap kiblat maka akan terputus hubungan dengan kumpulannya atau dirinya dan hartanya terancam maka tidak harus meninggalkan solat sehingga keluar pada waktunya. Bahkan dituntut untu menunaikan solat hormat waktu di atas tunggangannya dan wajib untuk mengulang sembahyangnya itu”.

(Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 3/242)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, dapat disimpulkan berdasarkan dalil dan nas yang diberikan bahawa memancing bukan sebagai alasan untuk meninggalkan solat. Oleh itu, bagi pemancing sebaiknya tahu cara untuk melakukan solat di atas perahu bagi memenuhi kesempurnaan tuntutan solat.

  • Mengambil wuduk dan membersihkan pakaian yang terkena najis dengan menggunakan air laut adalah diharuskan kerana ia termasuk di dalam air mutlak.
  • Solat mesti dengan menghadap kiblat, dan ini merupakan syarat sahnya solat. Sekiranya beralih arah kiblatnya disebabkan angin atau arus air maka ia dituntut untuk berpaling semula ke arah kiblat.
  • Melakukan solat dalam keadaan berdiri serta melaksanakan segala rukun solat sekadar yang termampu. Dan sekiranya berlaku keuzuran semasa melakukan solat seperti mabuk laut atau bimbang boleh menyebabkan kecederaan maka dibolehkan untuk melakukannya secara duduk.
  • Sekiranya tidak dapat melakukan solat secara sempurna rukunnya seperti tidak dapat menghadap kiblat, maka di tuntut untuk solat hormat waktu dan wajib untuk mengqada’ semula apabila sampai ke destinasi.

Semoga dengan ini dapat memberi penjelasan dan tidak meninggalkan solat dan melakukannya sebaik-baik mungkin. Ini seperti saranan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA Sabda Nabi SAW:

فإذا نهيتكم عن شيء فاجتنبوه، وإذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم

Maksudnya: Apabila aku melaran sesuatu ke atas kamu maka hindarilah, dan sekiranya aku memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka lakukanlah dengan sebaik-baiknya.

Riwayat Bukhari (7288)

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1479: BOLEHKAH PENGANTIN BERWUDUK DENGAN MAZHAB YANG LAIN KETIKA MAJLIS PERKAHWINAN

Saya sering menjaga wudu’ sepanjang waktu dan saya bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi bagaimana …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *