Saturday, December 14, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1428: ANTARA NAFKAH ISTERI DAN IBU BAPA: MANA PERLU DIUTAMAKAN?

AL-KAFI #1428: ANTARA NAFKAH ISTERI DAN IBU BAPA: MANA PERLU DIUTAMAKAN?

Download PDF

NAFKAH ISTERI DAN IBU.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Antara nafkah isteri dan nafkah ibu bapa kita, mana satukah yang lebih perlu diutamakan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa. (Lihat Nail al-Autar, 6/381)

Mafhum daripada hadis di atas menunjukkan ‘فَلِأَهْلِكَ’ lebih kepada isteri dan anak-anak. Justeru, selama mana ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

تَصَدَّقُوا ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ، فَقَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ

Maksudnya: “Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Hai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.”

Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.”

Riwayat Ahmad (2335), Abu Daud (1691) dan al-Nasa’ie (2353)

Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi menukilkan bahawa al-Khattabi berkata: Susunan ini jika engkau memperhatikannya, maka engkau akan mengetahui bahawa Baginda SAW mendahulukan yang utama dan kerabat yang dekat. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 5/76)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan tanggungjawab kepada isteri adalah yang utama selepas diri sendiri.

Imam Nawawi menyebut: Apabila berhimpun pada seseorang, orang-orang yang berhajat daripada mereka yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya. Namun, sekiranya hartanya tidak lebih kecuali untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk keluarga lain. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/93)

Imam al-Syaukani berkata: Telah sampai pada tahap ijma’ akan kewajiban memberi nafkah pada isteri. Kemudian jika masih ada lebihan harta daripada itu, barulah ada kewajiban nafkah terhadap keluarga yang lain. (Lihat Nail al-Autar, 6/381)

Para ulama’ menyebut, memberi nafkah kepada ibubapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan berikut:

  • Ibubapanya miskin dan memerlukan bantuan.
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’. (Lihat Mughni al-Muhtaj,3/446; al-Insaf, 9/392 dan Hasyiyah Ibn Abidin, 2/678)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas-nas dan hujah para ulama, kami berpendapat nafkah kepada isteri adalah didahulukan, kecuali dalam keadaan ibubapa yang tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kehidupan. Ketika itu, ia hendaklah didahulukan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan.

Dalam isu seperti ini, perlu ada keselarasan dan persefahaman oleh semua anak-anak ibu atau bapa untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibubapa. Dengan cara ini, tidaklah terbeban kepada satu-satu anak sahaja sedangkan yang lain semua lepas tangan. Ingatlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW:

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الوَالِدِ ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (194)

Seterusnya, bantuan kepada ibu bapa janganlah kita menganggap sebagai beban tetapi ehsan yang sewajibnya kita tunaikan sebagai hak ibu bapa kita. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Surah al-Isra’ (23)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah, semoga kita menjadi hamba-Nya yang soleh dan mentaati kedua ibubapa. Amin.

 

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1479: BOLEHKAH PENGANTIN BERWUDUK DENGAN MAZHAB YANG LAIN KETIKA MAJLIS PERKAHWINAN

Saya sering menjaga wudu’ sepanjang waktu dan saya bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi bagaimana …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *