Sunday, December 8, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1418 : ADAKAH KEMASUKAN SUPOSITORI KE DALAM DUBUR MEMBATALKAN WUDUK ?

AL-KAFI #1418 : ADAKAH KEMASUKAN SUPOSITORI KE DALAM DUBUR MEMBATALKAN WUDUK ?

Download PDF

AK1418

 

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S. Mufti, sekiranya dimasukkan supositori ke dalam dubur seseorang yang dalam keadaan berwuduk, apakah batal wuduknya ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Supositori merupakan pepejal ubat yang dimasukkan ke dalam dubur, uretra atau kemaluan wanita, kemudian ia dibiarkan lalu menjadi cair. Manakala menurut Kamus Dewan, supositori adalah (Ubat) ubat pejal berbentuk silinder atau kon yg dimasukkan ke dlm dubur atau faraj supaya larut dan melepaskan bahan aktifnya. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, berikut merupakan beberapa perkara yang membatalkan wuduk :

  • Keluarnya sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur).
  • Tidur dalam keadaan yang tidak tetap.
  • Hilangnya akal sama ada disebabkan mabuk atau sakit.
  • Bersentuhan kulit di antara seorang lelaki dengan perempuan ajnabi tanpa sebarang lapik.
  • Menyentuh kemaluan anak Adam dengan bahagian dalam (باطن)
  • Menyentuh halaqah (lubang) dubur dengan bahagian dalam tangan.

Dalam menjelaskan berkenaan maksud ‘’sesuatu yang keluar dari dua saluran qubul dan dubur’’, Imam Al-Mawardi membahagikannya kepada tiga bahagian yang berikut :

Pertama : Satu kategori mewajibkan istinja’ iaitu najis (tahi), air kencing, dan semua yang keluar dalam keadaan basah.

Kedua : Ada juga kategori yang tidak mewajibkan istinja’ seperti bunyi dan angin (dari kentut).

Ketiga : Bahagian yang berlaku perbezaan pendapat padanya iaitu sesuatu yang keluar dari dua saluran tersebut dalam bentuk ‘ain yang tidak ada kebasahan padanya seperti ulat atau batu yang keluar dalam keadaan kering. Maka berlaku perbezaan pendapat akan kewajipan beristinja’ darinya kepada dua pendapat. Pertama, tidak wajib beristinja’ kerana tidak basah sama seperti kentut. Kedua, wajib beristinja’ kerana terdapatnya ‘ain (benda) iaitu ulat atau batu. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (1/60).

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan di atas, secara asasnya kaedah umum yang diletakkan oleh para ulama berkenaan perkara-perkara yang mewajibkan wuduk ini adalah ia disebabkan oleh keluarnya sesuatu dari badan dan bukan kerana masuknya sesuatu. Hal ini berdasarkan kata-kata daripada Ibn Abbas R.Anhuma :

الْوُضُوءُ مِمَّا خَرَجَ وَلَيْسَ مِمَّا دَخَلَ

Maksudnya : Wuduk itu disebabkan sesuatu yang keluar dan bukannya disebabkan sesuatu yang masuk.

Riwayat Ibn Abi Syaibah (535)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa masuknya supositori ke dalam dubur seseorang yang dalam keadaan berwuduk tidaklah membatalkan wuduk. Meskipun begitu, terdapat dua keadaan yang boleh membatalkan wuduk individu tersebut iaitu :

  • Sekiranya dia memasukkan sendiri supositori tersebut ke dalam duburnya lalu bahagian dalam tangannya menyentuh lubang duburnya. Maka keadaan ini membatalkan wuduk. Sekiranya dengan sarung tangan, maka ia tidak membatalkan wuduk.
  • Jika supositori yang telah dimasukkan itu keluar semula dari saluran dubur, maka hal tersebut membatalkan wuduk. Maka dalam keadaan ini, wajib untuk beristinja sekiranya ia keluar dalam keadaan basah dan ia mewajibkan wuduk.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1463: BOLEHKAH HARTA PENINGGALAN DIBAHAGI SECARA SAMA RATA TANPA IKUT FARAID

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh atau tidak harta peninggalan si mati dibahagi secara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *