Thursday, November 14, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1399: PERLUKAH MENUKAR NAMA JIKA DIDAPATI MAKSUDNYA KURANG BAIK

AL-KAFI #1399: PERLUKAH MENUKAR NAMA JIKA DIDAPATI MAKSUDNYA KURANG BAIK

Download PDF

MENUKAR NAMA.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya telah diberi satu nama oleh ibubapa saya ketika kecil. Setelah dewasa, saya dapati nama yang saya miliki mempunyai maksud yang kurang baik. Adakah saya perlu menukar nama tersebut? Mohon pandangan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Islam menyuruh umatnya untuk menggunakan nama-nama yang baik. Hal ini kerana mereka akan diseru dengan nama-nama tersebut pada hari Kiamat nanti. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Di dalam kitab Hasyiyah al-Baijuri menjelaskan bahawa disunatkan pada seseorang untuk memperelokkan namanya berdasarkan hadis di atas. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 2/305)

Begitu juga, jika mempunyai nama yang kurang elok, maka dianjurkan seseorang untuk mengubah kepada nama yang lebih baik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn al-Musayyib daripada bapanya bahawa datuknya bertemu dengan Nabi SAW, lalu Nabi SAW bertanya kepadanya:

مَا اسْمُكَ ، قَالَ: حَزْنٌ ، قَالَ: أَنْتَ سَهْلٌ ، قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي ، قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ

Maksudnya: “Apa nama kamu? Maka dia menjawab: Hazn (kesukaran). Lalu sabda Nabi SAW: Nama awak sekarang ialah Sahl (kemudahan). Maka dia berkata: Saya tidak akan menukar nama yang telah diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesukaran sentiasa menimpa kami.”

Riwayat al-Bukhari (6190)

Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadith riwayat Ibn ‘Umar RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ وَقَالَ :أَنْتِ جَمِيلَةُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menukar nama ‘Asiah (عَاصِيَةَ) (Pendosa) dan Baginda berkata: “Kamu Jamilah (جَمِيلَةُ) (Yang cantik)”.

Riwayat Abu Daud (4952)

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya:

أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

Maksudnya: Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.  

Riwayat al-Bukhari (6192)

Oleh itu, menggunakan nama-nama yang kurang elok adalah makruh. Bahkan, sekiranya nama tersebut adalah termasuk dalam nama yang diharamkan dalam Islam, maka wajib menukarnya.

Dijelaskan dalam kitab Hasyiyah al-Baijuri seperti berikut: Dimakruhkan nama-nama yang tidak elok, seperti himar (keldai). Manakala haram hukumnya menamakan seseorang dengan ‘Abd al-Ka’bah (hamba Ka’bah), ‘Abd al-Hasan (hamba Hasan) atau ‘Abd Ali (Hamba Ali). Wajib bagi seseorang menukar nama yang haram menurut pendapat yang lebih sahih. Ini kerana ia bererti menghilangkan kemungkaran. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 2/305)

Manakala, di dalam kitab Tanwir al-Qulub, turut ditegaskan bahawa wajib mengubah nama-nama yang diharamkan dan sunat mengubah nama-nama yang makruh. (Lihat Tanwir al-Qulub oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi, hlm. 234)

 

Kesimpulan

Berdasarkan sirah Rasulullah SAW jelas menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW menukar sebahagian nama sahabatnya sama ada lelaki atau perempuan. Sebagai contoh, seorang sahabat perempuan bernama ‘Asiah (عاصية) (pendosa), lantas Nabi menukarnya kepada Jamilah (yang cantik). Begitu juga, sahabat yang namanya di’abdukan (dihambakan) kepada selain Allah, ditukar kepada nama yang lain.

Justeru, kami menasihatkan kepada para ibubapa, tatkala menamakan anak, sekurang-kurangnya tanyalah para ulama’, adakah nama dan maksudnya baik ataupun tidak jika seseorang tidak mengetahui maksudnya.

Marilah sama-sama kita menamakan nama anak kita dengan nama-nama baik dan mulia. Mudah-mudahan secara tafa’ulnya, ia menjadi doa apabila sentiasa dipanggil dan disebut dengan nama yang baik tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1422 : BEREBUT BARANG SEDEKAH DI MASJID

Soalan: Apa hukumnya sesetengah AJK dan orang ramai mengambil banyak-banyak dan bawa balik makanan yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *