Thursday, November 14, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1400: HUKUM KANAK-KANAK MENGUMANDANGKAN AZAN

AL-KAFI #1400: HUKUM KANAK-KANAK MENGUMANDANGKAN AZAN

Download PDF

KANAK2 KUMANDANG AZAN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum kanak-kanak mengumandangkan azan? Adakah sah azan tersebut.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337)

Azan mempunyai kelebihan yang banyak sepertimana disebut di dalam nas-nas. Antaranya, Nabi SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

MaksudnyaKalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan dan berada di saf pertama, kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.

Riwayat al-Bukhari (615)

Dalam menjawab isu di atas, sekiranya kanak-kanak yang mengumandangkan azan tersebut masih belum mumaiyiz, maka azannya tidak sah. Hal ini kerana dia tidak memenuhi syarat mumaiyiz di mana ia merupakan salah satu syarat sah azan. Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji: “(Antara syarat sah azan ialah) mumayyiz iaitu tahu membezakan antara baik dan buruk. Justeru, tidak sah azan kanak-kanak yang tidak mumayyiz kerana dia juga tiada kelayakan untuk melakukan ibadat dan tidak tahu mempastikan waktu.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/340)

Di dalam kitab Bada’i’ al-Sana’i’ turut dinyatakan: Azan kanak-kanak yang belum berakal (belum mumaiyiz), tidaklah sah dan harus diulang. Ini kerana azan tersebut tidak datang dari orang yang berakal sehingga tidak sah, sepertimana suara (azan) burung. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 1/150)

Al-Wazir Abu al-Muzaffar al-Syaibani menyatakan: “Tidak sah azan dari kanak-kanak yang belum mumaiyiz, dan ia masih tidak menggugurkan kewajiban azan (pada satu-satu kawasan).” (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/463)

Namun, sekiranya kanak-kanak tersebut sudah mumaiyiz meskipun belum baligh, maka azannya adalah sah. Dalam sebuah riwayat daripada Abdillah bin Abi Bakr bin Anas, katanya:

كَانَ عُمُومَتِي يَأْمُرُونَنِي أَنْ أُؤَذِّنَ لَهُمْ وَأَنَا غُلَامٌ لَمْ أَحْتَلِمْ ، وَأَنَسُ بْنُ مَالِكٍ شَاهِدٌ، فلَمْ يُنْكِرْ ذَلِكَ

Bapa-bapa saudaraku menyuruhku azan sedangkan ketika itu aku masih kanak-kanak belum baligh. Kemudian Anas bin Malik menyaksikan perkara itu dan beliau tidak mengingkari hal tersebut. (Lihat al-Ausath oleh Ibn al-Munzir, 3/41)

Imam Nawawi menyatakan: “Azan anak kecil yang sudah mumaiyiz adalah sah sebagaimana sahnya apabila menjadi imam. Inilah pendapat Mazhab Syafi’i, dan ini yang ditegaskan oleh majoriti ulama.” (Lihat al-Majmu’, 3/107)

Di dalam kitab al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah turut dinyatakan: Tidak disyaratkan pada seorang muazzin daripada orang yang baligh. Bahkan sah azan kanak-kanak yang telah mumaiyiz sama ada azan dengan sendirinya atau bergantung kepada azan muazzin yang baligh dengan kesepakatan tiga imam. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/286)

 

Kesimpulan

Azan kanak-kanak adalah sah jika sekiranya sudah mumaiyiz. Kami berpendapat, amat sesuai digalakkan kanak-kanak mengumandangkan azan sebagaimana thabit dalam beberapa nas serta amalan salafus soleh yang terdahulu yang menyuruh anak-anak mereka untuk mengumandangkan azan. Ini juga termasuk dalam kaedah tarbawi melatih dan menjinakkan remaja serta diberi peranan dalam masjid.

Justeru, generasi yang kita wariskan akan menjadi kasih dan cinta kepada masjid serta mampu untuk menggalas tugas yang akan ditinggalkan dengan rasa tenang tanpa sebarang kekok atau kesukaran dalam menguruskan masjid.

Semoga kita dikurniakan ilmu dan kefahaman yang baik dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI 1421: SAMBUT MAULID DAN CINTA RASUL

Soalan: Apa pandangan ustaz mengenai fenomena menyambut Maulidur Rasul yang dipenuhi dengan nasyid, qasidah dan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *