Friday, October 18, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » ALKAFI #1369: APAKAH HUKUM MENGGUNAKAN PAGE MENCARI JODOH DAN MUAT NAIK GAMBAR DI DALAMNYA

ALKAFI #1369: APAKAH HUKUM MENGGUNAKAN PAGE MENCARI JODOH DAN MUAT NAIK GAMBAR DI DALAMNYA

Download PDF

ak1369

Soalan

Assalamualaikum. Nak tanya berkenaan dengan hukum page mencari jodoh serta gambar yang diupload biasanya tabarruj yang boleh menimbulkan fitnah. Apa hukum menggunakan page2 yg seperti ini ya tuan mufti terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan

Jodoh dan Perkahwinan

Allah SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan, bertujuan saling berkenalan antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”.

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan tujuan penciptaan manusia berpasang-pasangan sehingga melahirkan zuriat dan membentuk keluarga. Oleh kerana itu dapat mendirikan hubungan kasih sayang serta menjalinkan kerjasama dan silaturrahim dan ini merupakan dalil di atas kekuasaan Ilahi. (Lihat: al-Tafsir al-Munir li al-Zuhaili 4/223)

Nabi SAW menasihatkan supaya sekiranya datang seseorang yang baik akhlak dan agamanya maka kahwinilah ia. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: “Jika datang kepada kalian sesiapa yang kalian redha akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kalian tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.”

Riwayat al-Tabarani (280) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir

Syeikh A’tiyah Salim menyatakan bahawa rumah tangga yang ingin dibina mestilah berasaskan ketaqwaan dan agama (Lihat: Syarah Bulugh al-Maram, 2/357)

Hukum Melihat Ajnabi

Pada asalnya hukum seseorang itu melihat perempuan atau lelaki yang ajnabi (bukan Mahram) adalah diharamkan dengan tanpa tujuan dan keperluan. Ini seperti mana firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: 30-31)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa menjaga pandangan dan kemaluan merupakan satu kehormatan dan kemuliaan. Firman Allah SWT menjelaskan hukum melihat dan menutup aurat. Ianya bertujuan untuk menutup pintu kerosakan dan mencegah daripada terjadinya sesuatu perkara yang haram. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li al-Zuhaili: 2/1746)

Namun di dalam hal yang lain, dibenarkan untuk melihat kepada ajnabi sekiranya bertujuan untuk meminanginya. Ini seperti mana yang diceritakan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Sabda Nabi SAW:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ مِنْهَا، إِذَا كَانَ إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ، وَإِنْ كَانَتْ لاَ تَعْلَمُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.”

Riwayat Ahmad (5/424)

Dan perkara ini digalakkan di dalam Islam namun terdapat batasan dan had pandangan yang ditetapkan syara’. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa tidak diharuskan seseorang yang ingin bertunang melihat pasangannya melainkan pada muka dan kedua tapak tangannya. Ini kerana kedua-dunya itu adalah perhiasan wanita yang dibolehkan syara’ untuk melihatnya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 4/47)

Firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: 31)

Bahkan dibolehkan berulang kali melihat pasangan yang hendak ditunanginya sekiranya untuk memastikan keadaan dan situasinya agar tidak menyesal selepas menikahinya. (Lihat:al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 22/17)

Tabarruj (Berlebihan dalam berhias)

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarrjuj apa yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah menyatakan:

Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 10/62)

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu

(Surah al-Ahzab: 33)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat: Tafsir al-Maraghi: 22/6)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa penggunaan laman sesawang mencari jodoh pada asalnya adalah diharuskan. Ini berdasarkan kaedah feqah:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya

Oleh itu, tujuan pembinaan laman sesawang itu diharuskan sekiranya matlamatnya adalah untuk kebaikan dan haram hukumnya sekiranya bertujuan untuk kemaksiatan.

Begitu juga tujuan dan tatacara penggunaannya. Terdapat kaedah feqah yang menyebut:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Kesemua wasilah (cara) baginya adalah berdasarkan hukum yang hendak dicapai

Ini bermaksud setiap perkara yang membawa kepada hukum haram maka matlamat yang hendak dicapai itu juga haram hukumnya. Sebagai contoh, menjual anggur adalah harus pada asalnya. Tetapi jika diketahui bahawa pembeli mahu membeli bagi memproses menjadikannya arak, maka menjual kepadanya adalah diharamkan.

Maka hal berkenaan laman sesawang mencari jodoh, hukum asalnya adalah diharuskan, namun sekiranya penggunaannya atau pembinaannya bertujuan untuk kemaksiatan dan melakukan perkara yang diharamkan, maka hukumnnya adalah diharamkan.

Begitu juga haram hukumnya, sekiranya memuat naik gambar tabarruj dan menonjolkan perhiasan yang berlebihan sehingga menimbulkan syahwat dan fitnah kepada yang melihatnya.

Sebaiknya pihak admin laman sesawang menetapkan garis panduan yang sepatutnya seperti gambar yang menutup aurat, menjaga privasi pengguna, menjaga batas syariat pergaulan di antara berlainan jantina dan sebagainya.

Selain itu bolehlah melayari laman web PMWP yang bertajuk AL-FATWA #227- HUKUM MEMUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DI MEDIA SOSIAL untuk lebih terperinci

Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini memberikan kita ilmu dan kefahaman yang jelas tentang agama dan permasalahannya.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *