Friday, October 18, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1370: HUKUM BUKAN MAHRAM MENUMPANG TIDUR DI RUMAH

AL-KAFI #1370: HUKUM BUKAN MAHRAM MENUMPANG TIDUR DI RUMAH

Download PDF

ELKAFI1370

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya ada seorang sahabat baik (perempuan) yang masih bujang, dia terlalu rapat dengan saya sehinggakan saya sediakan baginya bilik khas di rumah. Saya dan suami bekerja sebagai penjawat awam dan selalu pulang lewat, jadi dia membantu untuk menguruskan anak-anak saya.

Soalan saya, apakah suami dan sahabat saya dikira bersekedudukan jika saya tiada di rumah? Dan apa yang perlu saya lakukan untuk minta sahabat saya tidak terlalu kerap menumpang tidur di rumah?

Mohon penjelasan Tuan Mufti, terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Nur, ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: 30-31)

Antara batasan pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.

Hadith riwayat Muslim: (1341)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa apabila seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi duduk bersama dan tiada orang yang ketiga bersama-sama mereka, maka perbuatan tersebut adalah haram dengan ijma’ para ulama’. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim Lin Nawawi, 9:109)

Begitu juga dalam satu hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: (2165)

Justeru itu, perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani orang ketiga adalah haram dan dikira sebagai khalwat.

Begitu juga, tafsiran undang-undang mengenai khalwat merujuk kepada Akta 559, Bahagian IV, Kesalahan Yang Berhubung Dengan Kesusilaan, Seksyen 27 (Khalwat) menyebutkan bahawa: Mana-mana-

  1. orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
  2. orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Berbalik kepada soalan yang ditanya, situasi dalam soalan tersebut hampir sama seperti perbahasan hukum suami tinggal bersama isteri dalam tempoh iddah. Ini kerana hubungan suami dengan isteri yang telah ditalak sama hukumnya dengan seorang wanita ajnabi dan bukan mahram baginya, yang haram dilihat auratnya dan haram bersentuhan.

Dalam isu ini mengikut kepada pandangan mazhab al-Syafie, suami tidak boleh tinggal bersama isteri yang telah ditalaknya dalam tempoh ‘iddah di rumah yang sama kecuali jika hilangnya kemungkinan (ihtimal) khalwat dengan:

  1. terdapat mahram isteri atau perempuan yang lain bersama mereka,
  2. atau terdapat penghadang yang menghalang antara mereka seperti bilik dan sebagainya,
  3. atau diasingkan mengikut tingkat seperti tingkat bawah dan tingkat atas dan sebagainya.

Ini seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e:

فَإِنْ كَانَ فِي الدَّارِ مَحْرَمٌ لَهَا ذَكَرٌ أَوْ أُنْثَى أَوْ مَحْرَمٌ لَهُ وَلَوْ زَوْجَةٌ أُخْرَى أَوْ وُجِدَ امْرَأَةٌ أَجْنَبِيَّةٌ جَازَ لَهُ الدُخُولُ وَ المُسَاكَنَةُ لانْتِفَاءِ المَحْذُور. لَكِن مَعَ الكَرَاهَةِ لاحْتِمَالِ النَظَرُ. أَوْ كَانَ فِي الدَّارِ حَاجِزٌ بَيْنَهُمَا أَوْ عُلُوٌّ أَوْ سُفْلٌ

Maksudnya: Jika sekiranya di dalam rumah tersebut terdapat mahram bagi isteri samada lelaki atau perempuan, atau mahram bagi suami walaupun isterinya yang lain, atau wujud perempuan ajnabiyah, maka harus bagi suami untuk masuk dan tinggal (di rumah isteri yang ber’iddah) kerana hilang pengharamannya tersebut, namun ia berserta dengan hukum makruh kerana dikhuatiri terlihat kepada aurat. Begitu juga, harus jika sekiranya di dalam rumah tersebut terdapat penghadang yang menghalang antara kedua-duanya atau rumah yang mempunyai tingkat atas dan tingkat bawah. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 4:268)

Oleh yang demikian, dalam situasi yang disebutkan di dalam soalan, jika disertai dengan orang ketiga seperti mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut atau perempuan ajnabi yang lain atau yang seumpamanya atau sekiranya di rumah tersebut mempunyai penghadang seperti bilik atau tingkat bawah dan atas seterusnya hilangnya kemungkinan khalwat, maka hal yang demikian dari sudut hukum fiqhnya tidak dikira sebagai khalwat

Namun begitu, ia dibolehkan dengan syarat hendaklah memastikan masing-masing dapat menjaga batasan aurat dan pergaulan. Justeru, ia diharuskan tetapi makruh kerana dikhuatiri terlihat aurat. Jika sekiranya ia boleh untuk dielakkan, maka hendaklah dielakkan sedaya mungkin.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan situasi dinyatakan di dalam soalan tidaklah dikira sebagai khalwat atau bersekedudukan kerana terdapat penghadang dan penghalang iaitu bilik. Namun, hendaklah sebolehnya dielakkan supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan fitnah kerana ia boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat laporan.

Justeru itu, jika ketiadaan isteri dan hanya suami sahaja berada di rumah, maka seeloknya sahabat isteri tersebut tidak berada di dalam rumah yang sama dalam keadaan berdua-duaan sahaja kerana ia akan menimbulkan syak dan fitnah. Hendaklah dinasihatkan dengan memberikan penerangan yang jelas kepada sahabat isteri tersebut supaya tidak menumpang atau bermalam jika isteri tiada di rumah. Adapun jika disertai oleh isteri atau orang yang lain seperti yang disebutkan di atas, maka diharuskan tetapi makruh yang sebolehnya perlu dielakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan taufiq dan hidayah untuk melaksanakan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *