Thursday, November 14, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1287: SOLAT RAYA SEMULA SETELAH IMAM TERKURANG TAKBIR

AL-KAFI #1287: SOLAT RAYA SEMULA SETELAH IMAM TERKURANG TAKBIR

Download PDF

imam kurang takbir.JPG

SOALAN

Ketika solat hari raya pada rakaat yang kedua, imam hanya bertakbir sebanyak empat kali sahaja. Kemudian setelah solat, ada makmum yang menegur lalu didirikan semula solat hari raya buat kali kedua. Mohon pandangan dalam hal ini?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Umat Islam mempunyai dua hari raya yang disambut saban tahun, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Kedua-dua hari raya ini disyariatkan kepada umat Islam untuk mendirikan solat sunat berdasarkan dalil yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadith. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Selain itu, hal ini turut disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW keluar pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha menuju ke tempat sembahyang, dan perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda adalah solat (sunat hari raya).

Riwayat al-Bukhari (956)

Imam al-Nawawi menyatakan Solat sunat hari raya ini tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan umat Islam bersepakat akan pensyariatannya.Lihat al-Minhaj (1/310), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/5).

Solat sunat hari raya ini mempunyai kelainan dan kaifiat yang khusus yang tidak ada pada solat lain. Kelainan tersebut ialah bilangan takbir yang disunatkan pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali. Hal ini seperti mana yang disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amr Bin Shuaib, dari bapanya dari datuknya, bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَبَّرَ فِي صَلاَةِ الْعِيدِ سَبْعًا وَخَمْسًا‏.

Maksudnya: Nabi SAW bertabir pada solat hari raya sebanyak tujuh kali dan lima kali.

Riwayat Ibn Majah (1278)

Sekiranya dilihat isu ini menurut mazhab Imam al-Syafie yang dibincangkan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

ولو نسي الإمام، أو المنفرد التكبيرات، وتذكرها قبل الركوع وقد شرع بالقراءة فاتت التكبيرات، ولا يتداركها، ولو ترك الإمام التكبيرات لم يأت بها المؤتم، لأن التكبيرات ليست فرضأ، ولا سنة بعض، ولكنها سنة هيئة كالتعوذ ودعاء الاستفتاح، فلا يسجد لتركها عمدا ولا سهوا، ولكن الترك لكلهن أو بعضهن مكروه، ولو صلی خلف من يكبر ستين أو ثلاث مثلا تابعه، ولم يزد عليها ندبا

Maksudnya: Sekiranya imam atau seseorang individu itu terlupa takbir-takbir, kemudian ingat semula sebelum ruku’, maka disyariatkan untuk membaca al-Quran selepas takbir-takbir itu, dan tidak perlu mengulanginya. Sekiranya imam meninggalkan takbir-takbir, maka makmum tidak perlu menambah, kerana takbir-takbir itu bukanlah fardhu, malah bukan sunat yang dituntut, tetapi hanyalah sekadar sunat hai’ah seperti membaca ta’awuz. Lihat al-Mu’tamad (1/553).

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan bahawa takbir sebanyak tujuh kali dan lima kali adalah sunat hai’ah sahaja seperti yang disebutkan. Oleh itu, perbuatan meninggalkan sunat ini tidaklah membatalkan solat sehingga memerlukan solat diulang semula.

Kejadian ini juga mengandungi hikmah yang besar iaitu semua ahli masyarakat hendaklah menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu supaya dapat terkeluar daripada kelompok kejahilan.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1422 : BEREBUT BARANG SEDEKAH DI MASJID

Soalan: Apa hukumnya sesetengah AJK dan orang ramai mengambil banyak-banyak dan bawa balik makanan yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *