Sunday, April 5, 2020
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1278: ADAKAH BOLEH MENYIMPAN HARTA WAQAF UNTUK TUJUAN KESELAMATAN?

AL-KAFI #1278: ADAKAH BOLEH MENYIMPAN HARTA WAQAF UNTUK TUJUAN KESELAMATAN?

Download PDF

 simpan harta wakaf.JPG

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada Sahibus Samahah berkaitan pengurusan harta wakaf di masjid kami. Ada hamba Allah yang mewakafkan beberapa perlatan elektrik kepada masjid dan meminta pihak pengurusan masjid untuk menjaganya. Adakah boleh kami keluarkan daripada masjid dan simpan di dalam pejabat masjid?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita fahami tentang wakaf. Yang pertama, kami telah pun menerangkan konsep wakaf secara umumnya melalui artikel kami yang bertajuk: AL-KAFI #988: APAKAH KEISTIMEWAAN WAKAF BERBANDING SEDEKAH LAIN[1]. Dalam artikel ini kami nyatakan takrifan wakaf bahawa:

Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti menegah dan menahan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, seperti mana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Asas untuk memahami konsep wakaf ialah berteraskan kepada satu teras yang penting iaitu wakaf hendaklah diurus sesuai dengan segala syarat yang diletakkan oleh pewakaf sebagaimana seperti yang disebutkan oleh Ibn al-Qasim:

الوقف (على ما شرط الواقف) فيه

Maksudnya: Wakaf adalah berdasarkan apa yang disyaratkan oleh pewakaf pada wakaf itu sendiri.

Maka dalam persoalan ini perlu untuk difahami konsep al-Nazr. al-Nazr adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud memerhati. Al-Nazir pula adalah orang yang diminta memerhati atau untuk menjaga harta wakaf sama ada disyaratkan ketika pewakaf mewakafkan harta atau diupah oleh pewakaf sendiri. Dalam hal ini, para fuqaha’ bersepakat untuk mengikut kehendak yang diletakkan oleh pewakaf untuk meletakkan al-Nazir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah (44/204).

Dalil pensyariatan al-Nazr ini berdasarkan sebuah atsar yang ditakhrijkan oleh Imam al-Baihaqi tentang tindakan yang dilakukan oleh Saidina Umar, yang mewakafkan harta kepada Hafsah dan mensyaratkan bersama dengan harta itu, orang yang diamanahkan untuk memerhati atau menjaga harta tersebut. Lihat Sunan al-Kubra (6/161).

Dr. Ikrimah Sa’id Sobry menyatakan, kerja al-Nazir ini termasuklah menjaga, membaikpulih, menyelenggara, membangun, mengurus hasil, mengagih hasil tersebut kepada penerima wakaf dan segala bentuk kerja dan usaha yang mampu mengekalkan sumber harta wakaf dan meningkatkan penghasilan manfaatnya kepada penerima. Antara tugas lain al-nazir ialah memenuhi tuntutan dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pewakaf terhadap pengurusan harta wakaf tersebut. Selagi sesuatu syarat itu selari dengan syarak dan maslahah, ia perlu dilaksanakan. Lihat al-Waqf al-Islamiy Bayn al-Nazariyyah wa al-Tatbiq (280).

 

Kesimpulan

Berdasarkan atsar dan hujah yang disebutkan di atas, kami nyatakan bahawa tindakan memelihara harta wakaf seperti mana yang diperintahkan oleh pewakaf adalah wajib dijalankan. Ini seperti mana yang disepakati oleh para fuqaha’ dan memenuhi maqasid waqaf itu sendiri untuk dimanfaatkan.

Semoga kita mendapat hidayah dan taufiq untuk melakukan segala yang diperintah-Nya.

Nota Hujung:

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2929-al-kafi-988-apakah-keistimewaan-wakaf-berbanding-sedekah-lain?highlight=WyJ3YWthZiIsIid3YWthZiJd

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

Soalan Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *