Friday, May 24, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1235: MEMAKAI KASUT KETIKA SOLAT

AL-KAFI #1235: MEMAKAI KASUT KETIKA SOLAT

Download PDF

pakai kasut solat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah memakai kasut ketika solat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasut ditakrifkan sebagai alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain.

Di dalam sebuah hadis daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ

Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf.”

Riwayat Abu Daud (652)

Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: Sesungguhnya mereka tidak solat dalam keadaan memakai selipar, maka solatlah kamu jika sekiranya bersih tanpa najis. Diambil dengan zahirnya bahawa sebahagian ulama salaf berkata, sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus solat padanya. Inilah qaul qadim bagi Imam Syafie manakala qaul jadid menyalahinya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/431)

Imam Badruddin al-`Aini dalam ‘Umdah al-Qari menyebut: “Maka jadilah ia sunat dari segi qasad untuk mukhalafah (menyelisihi) perbuatan orang Yahudi dan bukanlah sunnah. Ini kerana, solat dengan bersepatu atau memakai selipar bukanlah mempunyai maksud itu sahaja.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/119)

Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud menyebut: Hadis ini sekurang-kurangnya menunjukkan hukumnya sunat. Begitu juga hadis Abi Said al-Khudri dan beberapa hadis yang lain yang menunjukkan sunat solat dengan bersepatu. Istidlal dengan tidak harus pula adalah berdasarkan hadis Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya dan hadis daripada Abi Hurairah….Justeru, Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah berkata: Rasulullah SAW telah solat dengan dua sepatunya. Maka orang ramai pun bersolat dengan sepatu masing-masing. Kemudian Baginda menanggalkannya, dan orang ramai pun menanggalkannya. Maka sesiapa yang mahu untuk solat dengan dua sepatunya, maka solatlah dan siapa yang mahu menanggalkannya, maka tanggalkanlah.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/354)

Walaubagaimanapun, kasut yang dipakai tersebut hendaklah bersih dan suci daripada najis. Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)

Ibn Ruslan berkata: Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Disebut dalam kitab Subul al-Salam: Hadis tersebut menunjukkan pensyariatan solat dengan memakai selipar atau sepatu. Begitu juga sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137)

 

Kesimpulan

Kami berpandangan dengan melihat kepada suasana dan uruf di Malaysia, keadaannya adalah berbeza. Justeru, tidak memakai kasut semasa berada di dalam masjid dan untuk solat adalah perkara yang biasa bahkan di rumah sendiri pun ditanggalkan kasut ketika mahu memasukinya. Inilah yang lebih aula dan utama daripada memakai kasut yang dibawa masuk ke dalam masjid untuk solat dengannya.

Perkara seperti ini sudah makruf hatta di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi kecuali bagi mereka yang memakai khuf. Adapun khuf, maka tiada khilaf berkenaan kebolehannya dan telah diterima pakai berdasarkan nas yang sahih serta amalan salafussoleh sehingga ke zaman kini.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua dalam berinteraksi dengan nas dan hadis Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1263 : HUKUM MENYELAM KE DALAM AIR YANG KURANG DARIPADA DUA KOLAH

SOALAN Assalamualaikum, saya nak bertanya pendapat S.S. Datuk Seri Mufti. Adakah mandi wajib saya sah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>