Tuesday, July 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1222 : HUKUM PEGAWAI KERAJAAN MENYELIA URUSAN BERKAITAN ARAK

AL-KAFI #1222 : HUKUM PEGAWAI KERAJAAN MENYELIA URUSAN BERKAITAN ARAK

Download PDF


Pegawai Kerajaan Arak.JPGSoalan
:

Apakah hukum jika saya terlibat dalam meluluskan lesen premis menjual minuman keras? Saya bekerja di Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan premis bagi memastikan arak yang dijual mematuhi peraturan-peraturan makanan. Proses ini melibatkan pemeriksaan pemeriksaan label pada botol arak, tanda larangan menjual arak kepada orang berumur bawah 21 tahun, tanda amaran meminum arak membahayakan kesihatan perlu ditampal di premis yang terlibat. Bagaimana pula dengan seorang pegawai Kastam yang mengurusan keluar masuk minuman beralkohol?

Adakah kedua-dua pekerjaan ini termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT seperti yang disebut dalam hadith Nabi SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Arak merupakan satu perkara yang diharamkan secara jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Betapa besarnya mudarat arak sehingga Islam mengharamkan kita daripada melibatkan diri dengan sebarang urusan yang melibatkan arak.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

Pengurusan Perkara Berkaitan Arak, Adakah Kesemuanya Haram?

Berdasarkan hadith di atas, adakah boleh untuk diqiyaskan sepuluh golongan yang tersebut dengan kesemua aktiviti menguruskan arak, seperti pegawai kastam yang menguruskan keluar masuk minuman beralkohol, atau pegawai kesihatan yang menyelia premis-premis yang menjualnya?

Menurut pandangan kami, kedua-dua pekerjaan yang disebut oleh penanya di atas tidak termasuk di dalam kalangan yang dilaknat Allah SWT. Berikut kami kemukakan qaedah-qaedah fiqhiyyah yang kami jadikan sandaran:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat.

Pegawai kastam yang menyelia kemasukan arak bukanlah berniat untuk bersubahat dalam aktiviti meminum arak, tapi hanya melakukan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, iaitu untuk meneliti dan memeriksa segala keluar masuk barangan ke dalam atau ke luar negara. Begitu juga pegawai jabatan kesihatan bertanggungjawab menyelia premis yang menjual arak bagi memastikan arak tidak dijual kepada individu di bawah umur 21 tahun, dan arak tersebut tidak mempunyai kandungan yang dilarang. Qaedah lain menyebut:

ما لا يدرك كله لا يترك جله

Maksudnya: Apa-apa perintah syara’ yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka janganlah pula ia ditinggalkan semuanya.

Larangan menjual arak kepada individu di bawah umur 21 tahun merupakan salah satu cabang menghindari bahaya arak, meskipun ia tidak sepenuhnya menepati kehendak syaria’ah iaitu pengharaman arak secara total.

Begitu juga dengan qaedah yang berbunyi:

إذا ضاق الأمر اتسع

Maksudnya: Suatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.

Jika staf-staf dan pegawai Muslim diharamkan daripada terlibat dalam urusan seperti ini, maka berkemungkinan ia akan mengganggu kelancaran proses pengurusan kerajaan dan membawa kepada mudarat yang lain, seperti penjualan arak kepada individu bawah umur dan kemasukan arak yang tidak dicukai. Maka dalam hal ini, salah satu prinsip syariah iaitu raf’ul haraj (mengelakkan kesukaran) perlu diambil kira.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami berpandangan bahawa pegawai kastam yang menguruskan keluar masuk minuman beralkohol dan pegawai kesihatan yang menyelia premis-premis yang menjualnya adalah tidak berdosa dan tidak dianggap sebagai bersubahat dalam aktiviti meminum arak. Begitu juga dengan pekerjaan-pekerjaan lain yang mempunyai persamaan dengan pekerjaan yang kami bahaskan ini.

Allah SWT juga berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT (dengan melaksanakan segala arahan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya) semampu yang boleh.

Surah al-Taghabun (16)

Namun demikian, adalah diharapkan bahawa pihak kerajaan dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera bagi merangka polisi khas dalam urusan-urusan yang melibatkan arak, bagi memastikan hanya pekerja non-Muslim sahaja yang menguruskan segala perkara teknikal berkaitan arak.

Sementara polisi yang demikian masih belum dirangka, adalah dinasihatkan agar pegawai yang terlibat mengadakan perbincangan dengan rakan sekerjanya dan pegawai-pegawai atasan untuk memilih pekerja-pekerja non-Muslim bagi menguruskan segala perkara teknikal berkaitan arak. Kami percaya ruang untuk fleksibiliti hasil perbincangan secara harmoni merupakan jalan yang terbaik.

Wallahu a’lam.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1327 : HUKUM MAJIKAN MENGARAHKAN STAF MENDIRIKAN SOLAT DHUHA BERJEMAAH SEMINGGU SEKALI

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah dibolehkah bagi pihak pejabat menyuruh para staf mendirikan solat dhuha …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *