Tuesday, July 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1220 : BAGAIMANAKAH MENGKAFANKAN JENAZAH JIKA TIADA KAIN PUTIH ?

AL-KAFI #1220 : BAGAIMANAKAH MENGKAFANKAN JENAZAH JIKA TIADA KAIN PUTIH ?

Download PDF

ALKAFI1220

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bagaimanakah kita ingin mengkafankan jenazah di kawasan yang tiada padanya kain kafan berwarna putih ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kafan bermaksud suatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.

Riwayat Abu Daud (4061)

Kata perintah dalam ayat tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah S.A.W ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. Lihat Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/110).

Justeru, jika tiada kain kafan dalam pemahaman masyarakat iaitu kain yang berwarna putih, maka boleh untuk jenazah dikafankan dengan apa sahaja kain yang dibolehkan untuk si mati memakainya semasa hayatnya.

Sekiranya tidak mencukupi tiga helai kain, memadailah dengan sekadar satu helai kain sahaja untuk menjadi kain kafan kepada si mati. Kata Imam al-Nawawi:

أقل الكفن ثوب ، وأكمله للرجال ثلاثة ، وفي قدر الثوب الواجب ، وجهان . أحدهما : ما يستر العورة ، ويختلف باختلاف عورة المكفن في الذكورة والأنوثة . والثاني : ما يستر جميع بدنه إلا رأس المحرم ، ووجه المحرمة

Maksudnya: Sekurang-kurang kain kafan adalah sehelai pakaian. Yang paling lengkap adalah tiga helai pakaian. Kadar pakaian yang wajib (sebagai kain kafan) ada dua pandangan (di sisi ulama mazhab).

Pertama: (Pakaian) yang menutup aurat, dan ia berbeza dengan perbezaan aurat individu yang dikafankan antara jenazah lelaki dan jenazah wanita.

Kedua: Pakaian yang menutup kesemua tubuh badan jenazah melainkan kepada jenazah yang dalam keadaan berihram dan wajah jenazah perempuan yang dalam keadaan berihram. Rujuk Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/110).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa sekiranya tidak terdapat kain kafan yang berwarna putih keseluruhannya itu untuk digunakan dalam proses mengkafankan jenazah, adalah dibolehkan untuk dikafankan jenazah dengan pakaian yang menutup seluruh aurat jenazah dengan jenis kain yang dibolehkan kepada dirinya untuk dipakai semasa hayatnya di dunia.

Kami juga mencadangkan agar para pendakwah yang berdakwah kepada masyarakat-masyarakat di pedalaman agar turut membawa bersama bahan-bahan pengebumian masyarakat bagi memudahkan urusan masyarakat tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1327 : HUKUM MAJIKAN MENGARAHKAN STAF MENDIRIKAN SOLAT DHUHA BERJEMAAH SEMINGGU SEKALI

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah dibolehkah bagi pihak pejabat menyuruh para staf mendirikan solat dhuha …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *