Tuesday, July 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1159: MEMBAWA PULANG TANAH DAN TUMBUHAN DARIPADA TANAH HARAM

AL-KAFI #1159: MEMBAWA PULANG TANAH DAN TUMBUHAN DARIPADA TANAH HARAM

Download PDF

NEW BAWA PULANG TANAH DARI TANAH HARAM

 

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti, baru-baru ni saya pergi menunaikan umrah. Semasa di ladang kurma di Madinah, peniaga kurma ada menghadiahkan anak pokok kurma berserta sedikit tanah sebagai medium pokok tersebut. Apakah hukum saya membawa pokok tersebut ke Malaysia?

Untuk makluman, anak saya sekarang kurang sihat (cirit birit) dan ibu saya mengatakan tindakan saya membawa pokok tersebut adalah punca kepada masalah kesihatan anak saya. Mohon penjelasan Tuan Mufti.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Mekkah dan Madinah merupakan dua tanah haram bagi umat Islam yang mempunyai kelebihan dan keistmewaanya tersendiri. Dua tanah haram ini juga mempunyai hukum hakam tersendiri yang berbeza dengan tempat-tempat lain. Nabi SAW bersabda:

عن عبد الله بن زيد رضي الله عنه, أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إنَّ إبْراهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ ودَعا لأَهْلِها، وإنِّي حَرَّمْتُ المَدِينَةَ كما حَرَّمَ إبْراهِيمُ مَكَّةَ 

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Zaid RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS telah menjadikan Mekkah sebagai tanah haram dan mendoakan penduduknya, dan aku telah menjadikan Madinah sebagai tanah haram sepertimana Nabi Ibrahim AS telah menjadikan Mekkah sebagai tanah haram”

Riwayat Muslim (1360)

Bagi menjawab persoalan di atas, kita perlu membahaskan secara ringkas beberapa hukum yang berkaitan.

  1. Hukum membawa keluar tanah daripada tanah haram

Ulama’ berbeza pandangan mengenai hukum mengeluarkan tanah daripada tanah haram kepada tiga pendapat:

  • Harus. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan ulama’-ulama’ dalam mazhab Hanafi. Mereka berhujah bahawa apa-apa yang boleh dimanfaatkan di tanah haram seperti tanah dan batu-batuan, maka dibolehkan untuk membawanya keluar. Adapun riwayat daripada Umar RA dan Ibn Abbas RA adalah riwayat yang syaz kerana bertentangan dengan kebiasaan amalan manusia di sana yang mengeluarkan tanah-tanah daripada tanah haram tanpa ada yang menghalang mereka. Setiap athar sahabat yang syaz dan bertentangan dengan zahir amalan kebiasaan manusia, maka ia tidak boleh dijadikan hujah. Lihat al-Mabsut (30/161)
  • Makruh. Ini adalah pendapat dalam mazhab Hanbali dan sebahagian ulama’-ulama’ mazhab Maliki dan asy-Syafi’e berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA. Lihat Muntaha al-Iradat (2/375), Mufidul Anam fi Tahrir Ahkam lil Haj (1/233), Raudhah at-Tolibin (3/168).
  • Haram. Ini adalah pendapat yang lebih kuat di sisi mazhab asy-Syafi’e berdasarkan riwayat Ibn Abbas dan Ibn Umar RA. Lihat Raudhah at-Tolibin (3/168), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/455), Tuhfat al-Muhtaj (4/194)

Imam asy-Syafie berkata: “Tiada kebaikan mengeluarkan batu-batu daripada tanah haram, begitu juga tanahnya (tanah haram) keluar ke tanah halal. Ini kerana tanah haram ada kehormatannya yang jelas berbeza dengan tempat-tempat yang lain. Aku tidak melihat -wallahua’lam- keharusan bagi seseorang untuk menghapuskannya (kehormatan haram) daripada tanah haram yang jelas berbeza dengan tempat-tempat lain sehingga disamakan”. Lihat al-Umm (7/155)

Khilaf di kalangan para ulama’ ini hanya pada hukum mengeluarkan tanah atau batu-batuan tanpa sebab tertentu, adapun jika dikeluarkan untuk mengambil keberkatan daripadanya, maka hukumnya adalah haram. Lihat Hasyiyah al-Khuluti ala Muntaha al-Iradat (2/375), Mufidul Anam fi Tahrir Ahkam lil Haj (1/233)

  1. Hukum mencabut tanaman atau tumbuhan di tanah haram

Ulama’ bersepakat bahawa haram hukumnya mencabut tumbuhan atau tanaman di tanah haram jika ia tidak ditanam oleh manusia sama ada ke atas mereka yang berada dalam keadaan berihram ataupun tidak. Lihat al-Mughni (3/349-351), Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar al-Khalil (1/198-199), Bada’i as-Sona’i (5/200), Mughni al-Muhtaj (1/527).

Asas kepada pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا

Maksudnya: “Tidakkah mereka melihat bahawa Kami telah menjadikan (Mekkah) tanah suci yang dihormati lagi aman?”

Surah al-Ankabut: 67

Begitu juga larangan daripada hadith Nabi SAW:

لاَ يُخْتَلَى شَوْكُهَا وَلاَ يُعْضَدُ شَجَرُهَا

Maksudnya: “Tidak boleh dipotong dahannya (di tanah haram) dan tidak boleh dicabut pokok-pokoknya (di tanah haram)”

Riwayat al-Bukhari (1833) dan Muslim (13555)

Terdapat pengecualian terhadap larangan ini, iaitu pokok al-idzkhir (sejenis rumput yang tumbuh di tanah Arab serta digunakan oleh orang Arab sebagai haruman dan juga diletakkan di dalam minuman). Pokok al-idzkhir dibenarkan untuk mencabutnya walaupun ia tumbuh sendiri di tanah haram berdasarkan jawapan Nabi SAW terhadap respon al-‘Abbas RA terhadap larangan ini. Lihat hadith dalam Sahih al-Bukhari (no. 112, 1833). Sebahagian ulama’ menqiyaskan pokok-pokok lain ke atas pokok al-idzkhir dalam pengecualian terhadap larangan ini berdasarkan keperluan manusia terhadap tumbuhan tersebut atau ia boleh memberi mudarat kepada manusia.

Adapun pokok di tanah haram yang ditanam oleh manusia, majoriti ulama’ mengharuskannya untuk dicabut mengikut keperluan. Lihat Hasyiyah ad-Dasuki (2/79-80), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (2/603), Kasyaf al-Qina’ (6/221), Nihayah al-Muhtaj (3/353)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, kami cenderung untuk memilih pendapat yang terpilih dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, iaitu tidak boleh membawa tanah daripada tanah haram keluar ke tanah halal. Jika sudah terlanjur membawanya keluar, hendaklah memulangkannya kembali ke tanah haram jika berkemampuan.

Imam al-Mawardi telah berkata: “Jika seseorang itu mengeluarkan sesuatu daripada batu-batuan atau tanah daripada tanah haram, maka hendaklah dipulangkan ke tempatnya dan dikembalikannya ke tanah haram” Lihat al-Hawi fi Fiqh asy-Syafi’e (4/314). Imam an-Nawawi juga membawakan kata-kata Imam al-Mawardi di dalam kitab beliau, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (7/460) dan mengakuinya.

Adapun mengenai pokok kurma, jika ia ditanam oleh manusia, maka diharuskan untuk membawanya keluar. Jika pokok tersebut tumbuh sendiri tanpa ditanam oleh manusia, maka tidak boleh dibawa keluar daripada tanah haram.

Jika sudah terlanjur membawanya keluar daripada tanah haram, maka hendaklah beristighfar, kemudian mengembalikan tanah tersebut ke mana-mana bahagian di tanah haram jika berkemampuan. Jika tidak berkemampuan untuk pergi ke tanah haram, dibolehkan untuk mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang dipercayainya untuk meletakkanya kembali ke mana-mana bahagian di tanah haram. Jika tidak mampu untuk mewakilkan kepada orang lain, maka letakkanlah tanah tersebut di mana-mana tempat yang bersih. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْساً إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan sesuatu yang dapat dipikulnya”

Surah al-Baqarah: 286

Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (17/195)

Mengenai penyakit yang menimpa anak, kami menasihati agar membawanya ke hospital atau klinik yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1327 : HUKUM MAJIKAN MENGARAHKAN STAF MENDIRIKAN SOLAT DHUHA BERJEMAAH SEMINGGU SEKALI

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah dibolehkah bagi pihak pejabat menyuruh para staf mendirikan solat dhuha …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *