Wednesday, March 20, 2019
Home » ASAS ISLAM » Fatwa Terkini Dari Pejabat Mufti W. Persekutuan » AL-KAFI #1038 : HUKUM ORANG PEREMPUAN MENGHADIRI SOLAT JUMAAT

AL-KAFI #1038 : HUKUM ORANG PEREMPUAN MENGHADIRI SOLAT JUMAAT

Download PDF

AK1038

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukumnya seorang perempuan itu hadir menunaikan solat Jumaat, adakah sah solatnya atau perlu juga solat zohor ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, adalah dibolehkan bagi seorang perempuan itu untuk hadir ke masjid. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: Janganlah kamu menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah.

Riwayat Muslim (442)

Imam Al-Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Hadis ini dan yang seumpama dengannya dari hadis-hadis bab adalah jelas dalam menyatakan bahawa orang perempuan tidak dilarang untuk hadir ke masjid, akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis. Iaitu hendaklah seorang perempuan itu tidak berwangi-wangian, tidak memakai perhiasan, tidak memakai gelang kaki yang boleh didengari bunyiannya, pakaian-pakaian yang menonjol, serta tidak bercampur dengan orang-orang lelaki sama ada dewasa atau remaja. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/161).

Meskipun orang perempuan dibolehkan untuk hadir ke masjid dengan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan, timbul juga persoalan berkaitan yang manakah lebih afdhal antara solat orang perempuan di masjid atau solat mereka di rumah. Isu tersebut telah kami jawab secara panjang lebar di dalam laman web kami dalam ruangan Al-Kafi Li Al-Fatawi Siri Ke- 936 : Tempat Solat Yang Terbaik Bagi Wanita. Ia boleh diakses melalui pautan berikut https://bit.ly/2RFLOPI

Hukum Orang Perempuan Menghadiri Solat Jumaat

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa secara asasnya solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas orang perempuan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: (Solat) Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjamaah melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit.

Riwayat Abu Daud (1067)

Orang perempuan tidak diwajibkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat, kerana faktor berikut: Kerana kesibukan mereka dalam menjaga anak-anak serta urusan-urusan rumah, serta terhasilnya masyaqqah (kepayahan) buat mereka sekiranya diwajibkan hadir ke tempat tertentu pada waktu yang tertentu. Lihat Al-Feqh Al-Manhaji (1/201).

Meskipun tidak diwajibkan, adalah dibolehkan untuk orang-orang perempuan menghadiri solat Jumaat. Ini berdasarkan keumuman hadis:

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: Janganlah kamu menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah.

Riwayat Muslim (442)

Hadis di atas membawa makna umum bahawa janganlah dilarang hamba-hamba perempuan Allah untuk hadir ke masjid dalam mana-mana solat sama ada solat fardhu lima waktu, solat dua hari raya ‘Aid al-Fitri dan ‘Aid al-Adha, solat Jumaat, dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum orang perempuan menghadiri solat Jumaat adalah dibolehkan. Bahkan solat Jumaat yang didirikannya adalah sah dan melepaskan zimmah (tanggungjawab) nya dari sudut gugur kewajipannya untuk solat zohor. Namun perlulah diraikan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam isu kehadiran wanita ke masjid seperti yang telah kami sebutkan.

Kami juga menyatakan bahawa kehadiran orang perempuan ke masjid untuk solat Jumaat itu hendaklah turut melihat kepada keadaan masjid atau surau Jumaat, sama ada ruangan mencukupi atau akan menyebabkan kesesakan. Sekiranya ruang solat tidak mencukupi kerana kehadiran orang lelaki sahaja sudah melimpah ruah, maka tidak perlu bagi orang perempuan hadir ke masjid. Namun jika didapati bahawa ruangan untuk orang perempuan mencukupi tanpa menyebabkan kesesakan dan kesukaran pada jemaah lelaki apabila mereka hadir ke masjid untuk solat Jumaat, maka ia dibolehkan dalam hal ini. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama melalui penulisan ini. Ameen.

Source: FATWA TERKINI DARI PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1159: MEMBAWA PULANG TANAH DAN TUMBUHAN DARIPADA TANAH HARAM

  SOALAN Assalamualaikum Tuan Mufti, baru-baru ni saya pergi menunaikan umrah. Semasa di ladang kurma …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>