Sunday, December 8, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Rukun Iman » Rukun Kedua: Beriman Dengan Malaikat

Rukun Kedua: Beriman Dengan Malaikat

Download PDF

Video Syarah Rukun Iman – Beriman Kepada Malaikat

A – PENGERTIAN

Beriman dengan Malaikat: ialah iktikad dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah mempunyai malaikat yang dijadikan daripada cahaya yang telah ditentukan untuk melakukan ketaatan, tidak melakukan sebarang maksiat terhadap Allah dan melaksanakan semua arahan yang diperintahkan, mereka sentiasa bertasbih kepada Allah malam dan siang dengan tidak pernah berasa jemu, tidak diketahui bilangan mereka kecuali Allah. Allah telah menetapkan ke atas mereka tugas dan tanggungjawab yang bermacam-macam.

Firman Allah Taala:

…tetapi kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan para malaikat…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Firman Allah Taala:

“Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. Mereka berkata: Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari rasul-rasulNya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 285).

Tersebut dalam hadis Jibrail yang masyhur: Sewaktu Jibrail (dengan menyerupai manusia) datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Iman, Islam dan Ihsan. Katanya: “Beritahu kepada saya pengertian iman”.

Sabda Nabi s.a.w:

(( أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر، وأن تؤمن بالقدر خيره وشره )).

“Hendaklah engkau beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan Hari Akhirat serta Qadar (untung) baik dan yang tidak baik”.

Para ulama’ telah berijma’ (bersepakat) tentang kewajipan beriman dengan para malaikat, maka sesiapa yang mengingkari kewujudan mereka atau sebahagian daripada mereka seperti mana yang disebut oleh Allah Taala, hukumnya adalah kafir serta bercanggah dengan Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’ ulama’.

Kedudukan Beriman Kepada Malaikat Di Sisi Agama Serta Hukumnya.

Beriman kepada malaikat ialah rukun kedua daripada Rukun Iman yang enam, tidak sah dan tidak diterima iman seorang hamba itu melainkan beriman dengannya.

Firman Allah Taala:

“Sesiapa yang kufur kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (Surah An-Nisa’, ayat 136).

B – CARA BERIMAN DENGAN MALAIKAT

Beriman dengan malaikat secara umum dan terperinci.

1. Beriman Dengan Malaikat Secara Umum Mengandungi Perkara Berikut:

a) Mengakui kewujudan mereka, mereka adalah makhluk ciptaan Allah yang diciptakan untuk beribadat kepadaNya, kewujudan mereka adalah hakiki, kita tidak dapat melihat mereka bukan bermakna mereka tidak wujud, buktinya berapa banyak makhluk lain dalam alam ini yang kita tidak nampak, sedangkan ianya memang wujud.

Sesungguhnya Nabi s.a.w telah melihat rupa asli Jibrail a.s sebanyak dua kali, begitu juga para sahabat r.ahum telah melihat sebahagian daripada malaikat yang menyerupai manusia.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam ‘Musnad’nya daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya:

(( رأى رسول الله ﷺ جبريل في صورته وله ستمائة جناح، وكل جناح منها قد سدّ الأفق )).

“Rasulullah s.a.w. telah melihat Jibrail dengan rupanya yang asli, mempunyai 600 sayap, setiap helai sayapnya memenuhi ufuk”.

Telah sabit dalam hadis Jibrail yang masyhur yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Bahawa Jibrail a.s datang bertemu Rasulullah s.a.w dengan menyerupai seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya kesan kepenatan bermusafir sedangkan tiada seorang pun daripada kalangan sahabat yang mengenalinya.

b) Meletakkan taraf kedudukannya pada tempat yang telah Allah tentukan kepada mereka, mereka adalah hamba-hamba Allah yang diberi arahan (tugas), Allah telah memuliakan mereka dengan mengangkat martabat kedudukan yang hampir denganNya, sebahagian daripada mereka menjadi utusan menyampaikan wahyu, mereka tidak berkuasa melakukan sesuatu perkara kecuali dengan kuasa yang Allah berikan kepada mereka, mereka tidak memiliki kuasa untuk memberi manfaat atau memudharatkan diri mereka atau orang lain selain daripada kuasa Allah, kerana itu tidak harus melakukan sebarang ibadat kepada mereka apalagi menjadikan mereka memiliki beberapa sifat ketuhanan (Ar-Rububiyyah) sebagaimana iktikad orang-orang Nasrani (Kristian) dengan Ruh Al-Qudus (Jibrail) a.s.

Firman Allah Taala:

“Dan mereka (yang musyrik) berkata: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 26-27).

Firman Allah Taala:

“Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah At-Tahrim, ayat 6).

Maka inilah tahap keimanan yang wajib ke atas setiap muslim dan muslimah. Wajib ke atas mereka mempelajari dan mempercayainya serta mereka tidak dimaafkan jika jahil tentangnya.

2. Manakala Huraian Mengenai Beriman Dengan Malaikat Secara Terperinci Adalah Seperti Berikut:

A) Asal Kejadian Malaikat.

Allah s.w.t mencipta malaikat daripada cahaya sebagaimana Allah menjadikan jin daripada api dan anak Adam (manusia) daripada tanah. Malaikat telah dicipta sebelum dijadikan Adam a.s, tersebut di dalam hadis:

((خلقت الملائكة من نور، وخلق الجان من مارج من نار، وخلق آدم مما وصف لكم )) [ رواه مسلم ].

“Dijadikan malaikat daripada cahaya dan dijadikan jin daripada api yang menjulang serta dijadikan manusia daripada benda yang disifatkan kepada kamu (tanah)”. (H.R. Muslim).

b) Bilangan Malaikat.

Malaikat ialah sejenis makhluk yang tidak terhingga banyaknya, tidak dapat dihitung bilangannya kecuali Allah sahajalah yang mengetahuinya. Tidak ada tempat seluas empat anak jari di langit kecuali ada malaikat yang sedang sujud atau berdiri (solat). Di Baitul Ma’mur yang terletak di langit ketujuh, 70 ribu malaikat masuk setiap hari kemudian mereka yang telah masuk ke dalamnya tidak dapat kembali lagi (untuk memasukinya) kerana bilangannya terlalu ramai. Pada Hari Kiamat nanti akan dibawa neraka yang mempunyai 70 ribu tali penarik dan setiap tali ditarik oleh 70 ribu malaikat. Firman Allah Taala:

“Dan tiada yang mengetahui tentera (malaikat) Tuhanmu melainkan Dialah sahaja”. (Surah Al-Muddatthir, ayat 31).

Tersebut dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

(( أطَّت السماء وحق أن تَئِطَّ، ما فيها موضع قدم إلا وفيه ملك ساجد وراكع )).

“Langit berbunyi dan memang patut ia berbunyi, tiada tempat sebesar tapak kaki melainkan ada di situ malaikat yang sedang sujud atau rukuk”.

Sabda Nabi s.aw tentang Baitul Ma’mur:

(( يدخله في كل يوم سبعون ألف ملك لا يعودون إليه )). [رواه البخاري ومسلم].

“70 ribu malaikat masuk setiap hari ke dalam Baitul Ma’mur, kemudian mereka yang telah masuk tidak akan kembali lagi ke tempat itu”. (H.R. Al-Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi s.a.w:

((يؤتي بجهنم يومئذٍ لها سبعون ألف زمام، مع كل زمام سبعون ألف ملك )) [ رواه مسلم ].

“Pada Hari Kiamat nanti akan dibawa Neraka Jahannam yang mempunyai 70 ribu tali penarik dan setiap tali itu ditarik oleh 70 ribu malaikat”. (H.R. Muslim).

Dengan ini jelaslah kepada kita betapa banyaknya bilangan malaikat, bilangan mereka (yang menarik sebuah neraka) sahaja 4,900 juta malaikat, bagaimana dengan bilangan malaikat yang lain. Maha Suci Allah yang telah mencipta malaikat dan mengetahui bilangannya.

C) Nama-Nama Malaikat.

Kita wajib beriman dengan malaikat yang telah disebut nama mereka oleh Allah dalam Al-Quran atau disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam As-Sunnah, yang teragungnya tiga:

i. Jibril dan dinamakan juga dengan Jibrail, dia ialah Ruh Al-Qudus yang menurunkan wahyu. Dan dengan wahyu inilah telah dapat menghidupkan hati-hati ke atas rasul-rasul ‘alahimussalam.

ii. Mikail, dinamakan juga dengan Mikal. Dia telah ditugas menurunkan hujan yang menghidupkan bumi. Dan membawanya ke tempat yang telah diarahkan oleh Allah s.w.t.

iii. Israfil. Ditugaskan untuk meniup serunai sangkakala yang dengannya berakhirlah kehidupan dunia dan bermulalah kehidupan akhirat, yang akan menghidupkan semua jasad.

d) Sifat-Sifat Malaikat.

Malaikat ialah suatu makhluk yang memang wujud, mempunyai jisim yang hakiki serta bersifat dengan sifat-sifat kejadian (bentuk luaran) dan sifat akhlak yang baik, antaranya:

i) Besar kejadian serta tubuh badan mereka. Allah s.w.t. telah mencipta malaikat dengan bentuk yang besar dan kuat, sesuai dengan tugas mereka yang mulia sama ada di langit dan di bumi.

ii) Mereka mempunyai sayap. Allah menciptakan bagi mereka sayap, ada yang mempunyai dua, tiga dan empat atau lebih, sebagaimana Rasulullah s.a.w. telah melihat rupa Jibrail yang sebenar mempunyai 600 sayap yang memenuhi ufuk.

Firman Allah Taala:

“Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap dua, tiga dan empat. Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya”. (Surah Fathir, ayat 1).

iii) Tidak berhajat kepada makanan dan minuman. Allah Taala mencipta malaikat yang tidak berhajat kepada makan dan minum juga tidak berkahwin dan tidak mempunyai keturunan.

iv) Malaikat suatu makhluk yang cerdik serta mempunyai pemikiran yang pintar. Mereka berbicara dengan Allah dan Allah juga berkata-kata dengan mereka. Mereka juga bercakap dengan Adam a.s dan nabi-nabi yang lain.

v) Boleh bertukar rupa daripada kejadian mereka yang asal. Allah telah mengurniakan kepada mereka kebolehan untuk bertukar rupa menjadi rupa lelaki daripada kalangan manusia, ini sekaligus menolak dakwaan penyembah berhala yang menyangka bahawa malaikat ialah anak perempuan Allah. Kita tidak dapat mengetahui bagaimana cara mereka bertukar rupa, tetapi memang mereka berupaya untuk berupa menjadi manusia sehingga tidak dapat dibezakan dengan manusia sebenar.

vi) Kematian malaikat. Mereka semua akan mati pada Hari Kiamat termasuk Malakul Maut (yang mencabut nyawa), kemudian mereka akan dibangkitkan semula untuk melaksakan tugas yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka.

vii) Ibadat malaikat. Mereka melakukan ibadat kepada Allah Taala dengan berbagai-bagai jenis ibadat, antaranya: solat, doa, tasbih (memuji Allah), rukuk, sujud, khauf (takut), khasyiah (takut), mahabbah dan lainnya.

Antara sifat-sifat ibadat mereka ialah:

– Berkekalan dan berterusan dengan tidak pernah berasa jemu.

– Ikhlas kepada Allah Taala.

– Sentiasa melakukan ketaatan dan tidak pernah melakukan maksiat kerana mereka terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat.

– Sentiasa bersifat tawadhu’ (merendah diri) walaupun banyak beribadat. Firman Allah Taala:

Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 20).

e) Tugas-tugas Malaikat.

Para malaikat menjalankan tugas-tugas mulia yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada mereka, antaranya:

i) Memikul Arasy.

ii) Menurunkan wahyu kepada rasul-rasul.

iii) Menjaga syurga dan neraka.

iv) Menjaga awan, hujan dan tumbuh-tumbuhan.

v) Menjaga bukit bukau dan gunung-ganang.

vi) Meniup serunai sangkakala.

vii) Menulis amalan anak Adam (manusia).

viii) Menjaga anak Adam. Apabila seseorang itu telah ditakdir oleh Allah akan ditimpa bencana mereka akan meninggalkannya kemudian bala pun menimpa orang itu.

ix) Sentiasa bersama manusia dan mendoakan untuknya ke arah kebaikan.

x) Menjaga air mani di dalam rahim, kemudian meniup roh manusia, menulis rezekinya, amalannya, baik atau celaka hidupnya.

xi) Mengambil nyawa manusia ketika sampai ajalnya.

xii) Menyoal manusia di dalam kubur dan mengenakan balasan ke atas mereka, nikmat atau azab.

xiii) Menyampaikan salam yang diucapkan oleh setiap umat kepada Nabi s.a.w.

Oleh yang demikian, seorang muslim tidak perlu bermusafir ke makam Nabi s.a.w untuk menyampaikan salam, memadai dengan membaca selawat dan salam kepada Nabi s.aw di mana saja mereka berada, kerana malaikat akan membawa serta menyampaikannya kepada Nabi s.a.w seseorang itu boleh bermusafir ke masjid Nabi untuk menunaikan solat di dalamnya.

Para malaikat mempunyai kerja dan tugas yang amat banyak, apa yang disebutkan di atas hanyalah yang masyhur.

Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada tugas mereka ialah:

Firman Allah Taala:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman”. (Surah Ghafir, ayat 7).

Firman Allah Taala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah”. (Surah Al-Baqarah, ayat 97).

Firman Allah Taala:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan sakratulmaut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri)”. (Surah Al-An’am, ayat 93).

f) Hak-Hak Malaikat Ke Atas Manusia

i) Beriman dengan mereka.

ii) Mengasihi serta memuliakan mereka serta menyebut kelebihan mereka.

iii) Haram mencerca atau mengurangkan ketinggian darjat mereka atau mempersendakan mereka.

iv) Hindarkan daripada melakukan perkara yang dibenci oleh malaikat, kerana mereka akan berasa kurang senang sebagaimana anak Adam merasainya.

C – NATIJAH BERIMAN KEPADA MALAIKAT

1. Merealisasikan maksud iman, kerana tidak sah iman itu melainkan dengan beriman dengan mereka.

2. Mengetahui keagungan Pencipta mereka Yang Maha Tinggi dan mengetahui kekuatan serta kerajaanNya, kerana kehebatan makhluk ciptaanNya menunjukkan keagungan penciptanya.

3. Bertambah keimanan di dalam hati seseorang muslim dengan mengetahui sifat-sifat malaikat, keadaan serta tugas-tugas mereka.

4. Mendapat keamanan dan ketenangan bagi seseorang muslim apabila Allah menguatkan mereka dengan bantuan malaikat.

5. Kasihkan para malaikat kerana mereka telah menjalankan ibadat dengan sempurna serta mereka sentiasa beristighfar (meminta ampun) bagi orang-orang mukmin.

6. Membenci semua perbuatan jahat dan maksiat.

7. Bersyukur kepada Allah Taala kerana sentiasa mengambil berat terhadap hamba-hambaNya, dengan mengutuskan malaikat yang sentiasa menjaga keselamatan, menulis semua amalan yang dilakukan dan lainnya bagi kebaikan manusia.

***

“Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Rukun Iman: Pengenalan

بسم الله الرحمن الرحيم Rukun Iman ialah: Beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan Hari …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *