Wednesday, January 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Artikel Pilihan » Makanan & Minuman

Makanan & Minuman

Download PDF

Makanan yang halal adalah amat penting dalam Islam kerana ianya menyebabkan doa kita diterima Allah dan menyebabkan Allah merahmati kekayaan harta benda dan anak pinak kita. Makanan yang halal ialah makanan yang diperolehi dengan cara yang sah dan benar tanpa menganiayai atau mengambil hak-hak orang lain.

Kaedah Umum Berkenaan Makanan Dan Minuman

Kaedah umum dalam syariat Islam ialah semua makanan dan minuman adalah halal kecuali yang diharamkan dengan jelas yang mana ianya akan membahayakan kesihatan, merosakkan akhlak dan merosakkan agama. Allah mengingatkan kepada kita bahawa Dia mencipta semua benda di atas dunia adalah untuk manfaat kita,  kecuali perkara-perkara yang diharamkan  sebagaimana di dalam al-Quran, “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi” (Surat al-Baqarah, 2:29)

Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan

Semua jenis tumbuhan yang manusia tanam atau pokok yang tumbuh melata, herba dan cendawan dari berbagai jenis  adalah halal dan sesuai untuk dimakan oleh manusia, kecuali apa-apa yang membahayakan kesihatan, mengancam nyawa atau bahan-bahan memabukkan yang merosakkan akal seperti minuman yang memabukkan (termasuk juga dadah).

Arak dan minuman yang memabukkan

Minuman yang memabukkan ialah bahan yang menutup akal dan menjadikan seseorang itu  khayal sehinggalah mabuk, keadaan di mana hilangnya  rasa malu dan kawalan diri. Nabi s.a.w ada menyebutkan, “Setiap yang memabukkan adalah haram”. Oleh itu minuman beralkohol (arak) adalah haram, samada ianya diperbuat dari buah-buhan seperti anggur, tamar, zaitun, zabit atau dari bijiran seperti gandum, barli,  jagung atau beras atau dari bahan-bahan manis seperti madu. Oleh itu, definisi arak juga termasuk semua bahan yang memabukkan dalam apa bentuk sekalipun atau apa-apa nama; walaupun ditambah jus buahan asli, pemanis dan coklat.  Islam memelihara akal dari sebarang anasir yang boleh merosakkannya

Menjaga Akal

Islam memberi nikmat kepada penganutnya  untuk kehidupan di dunia ini dan juga di akhirat. Dan di antara  nikmat dan keperluan yang paling utama ialah lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.  Akal ialah perkara asas untuk membolehkan tuntutan syariat dipenuhi dan faktor utama kemuliaan dan kelebihan kejadian manusia. Dengan sebab inilah Islam ingin menjaga dan memeliharanya daripada  perkara-perkara yang melemahkan atau merosakkannya.

Hukum Minuman Beralkohol (Arak)

Meminum minuman beralkohol (arak), contohnya wain, ialah salah satu dosa besar dan pengharamannya  berdalil dari ayat-ayat al-Quran dan juga hadith-hadith nabi s.a.w. Diantaranya:

Ayat al-Quran yang bermaksud,” Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya”.  (Surah al-Maa’idah, 5:90). Ayat ini menjelaskan semua jenis minuman yang memabukkan adalah kekotoran dan kekejian dan memerintahkan orang-orang beriman menjauhinya untuk mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

  • Nabi s.a.w. bersabda, lebih kurang maksudnya, ”Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), dan arak itu adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia ini dan meninggal dalam keadaan ketagihan dan tidak bertaubat, tidak akan dapat meminumnya di akhirat nanti”. ( Sahih Muslim, hadis no 2003)

Meminum arak akan mengurangkan iman dan tidak sesuai dengan orang yang beriman. Baginda bersabda, “Tidak beriman orang yang meminum arak ketika dia sedang meminumnya.” (Sahih al-Bukhari, hadis no 5256 dan Sahih Muslim hadis no. 57)

Allah telah menetapkan hukuman hudud kepada peminum arak; Hukuman ini akan menjatuhkan maruah mereka dan hilangnya kehormatan di dalam masyarakat.

Baginda s.a.w memberi ancaman dengan balasan neraka yang dahsyat kepada mereka yang berterusan meminum arak, (atau pun lain-lain perkara yang memabukkan) , dan mati dalam keadaan tidak bertaubat kepada Allah.  Nabi s.a.w. bersabda, “Allah yang maha Tinggi dan Maha Agung, telah menjanjikan bahawa peminum arak  akan diberi minum “Teenat al-Khabaal” (Sahih Muslim, hadis no 2002). “Teenat al-Khabal” merujuk kepada nanah atau cecair yang kotor yang keluar dari tubuh-tubuh penghuni neraka.

Amaran keras ini  ditujukan juga kepada mereka yang terlibat dalam pemerosesan  dan meminum arak. Nabi s.a.w., telah melaknat sepuluh golongan manusia yang ada kaitan dengan arak iaitu, mereka yang membuat, orang yang dibuat arak untuknya, orang yang meminumnya, orang yang menghidangkannya, orang yang membawanya, orang yang dibawa arak untuknya, orang yang menjualnya, orang yang mendapat manfaat dari hasil jualannya , orang yang membelinya dan orang yang dibelikan arak untuknya. (Hadis Sunan at-Timizi, hadis no 1295)

Bacaan lanjut – Dosa Besar – Minum Minuman Keras

 

Dadah

Mengambil atau menagih dadah, samada dari sumber tumbuh-tumbuhan atau diproses di kilang-kilang, samada ianya disedut, dihisap, ditelan atau dicucuk, adalah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam kerana disamping ianya memabukkan ianya merosakkan sistem saraf dan menyebabkan mereka yang mengambilnya mengalami  berbagai kesan saikologi dan kerosakan otak dan saraf, malah boleh menyebabkan kematian. Allah yang maha Penyayang, berfirman di dalam al-Quran “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. …(Surah an-Nisa’, 4:29)

Makanan Yang Berasal Dari Laut (Atau Hidup Dalam Air)

Makanan laut (atau air) adalah  berasal dari rumpai laut yang boleh dimakan dan juga haiwan-haiwan yang hidup dalam air sepenuh masa  atau sebahagian besar  dari hidup mereka.

Semua jenis rumpai laut dan juga haiwan yang hidup di dalam air boleh dimakan, samada ianya ditangkap hidup atau mati, kecuali ianya membahayakan  kesihatan atau boleh menyebabkan kematian. Al-Quran menyatakan, “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut,…(Surah Al-Maa’dah 5:96).  Kalimah “binatang  yang ditangkap” di dalam ayat al-Quran di atas merujuk kepada haiwan-haiwan yang  ditangkap hidup-hidup, manakala perkataan “makanan” merujuk kepada haiwan-haiwan yang telah mati yang dihanyutkan ke pantai.

Haiwan Darat

Haiwan darat yang halal dimakan hendaklah menepati dua syarat:

  1. Haiwan tersebut adalah dari jenis yang halal dimakan dagingnya
  2. Haiwan tersebut hendaklah disembelih atau diburu sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.

Apakah haiwan yang halal dimakan?

Pada asasnya, Islam menetapkan  bahawa semua haiwan boleh dimakan kecuali mana-mana haiwan yang secara terang dilarang di dalam al-Quran dan hadis-hadis nabi.

Haiwan  yang haram dimakan adalah sebagaimana berikut:

1)  Babi – semua bahagian tubuh dan produk-produk  yang berasal dari babi, adalah haram di sisi Islam dan tidak dibenarkan untuk dimakan. Sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran, “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)” (Surah Al-Maidah 5:3)

Sebarang haiwan yang tidak dilarang  untuk dimakan didalam al-Quran dan hadis nabi adalah halal.

2) Semua haiwan yang memakan daging, samada mereka besar, seperti singa dan harimau, ataupun haiwan yang kecil seperti kucing dan anjing adalah termasuk dalam kategori ini.

3) Semua burung yang menyambar seperti helang.

4) Serangga – semua serangga darat adalah tidak halal kerana ianya tidak boleh disembelih, kecuali belalang sebagaimana hadis nabi, “Telah dihalalkan kepada kamu bangkai dua jenis binatang, belalang dan ikan

5) Ular dan tikus – Binatang-bninatang ini adalah haram untuk dimakan dalam Islam, malah diarahkan untuk membunuh mereka. Nabi s.a.w. bersabda, “Ada lima binatang yang tidak berdosa membunuhnya walaupun seseorang itu sedang berihram, gagak, helang, tikus, kala-jengking dan anjing gila” (Sahih al-Bukhari, hadis no 3136 dan Sahih Muslim, hadis no 1198)

6) Himar jinak; haiwan yang digunakan di kawasan pedalaman untuk ditunggang atau membawa barang-barang.

Haiwan-haiwan yang halal dimakan

Haiwan yang halal dimakan oleh orang-orang Islam terdiri dari dua jenis, iaitu,

  • Binatang liar, yang hidup bebas di dalam hutan (tidak dipelihara di dalam rumah atau ladang), yang hidup liar dan lari bila bertemu manusia dan agak sukar untuk ditangkap dan disembelih. Binatang ini halal dimakan hanya bila  diburu secara yang disyariatkan oleh Islam.
  • Binatang jinak yang senang ditangkap. Binatang-binatang ini halal dimakan bila ianya disembelih sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Penyembelihan Secara Islam

Penyembelihan secara Islam bermaksud menyembelih haiwan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak. Syarat-syarat sembelihan dalam Islam ialah:

  1. Orang yang menyembelih binatang tersebut hendaklah orang Islam. Dia hendaklah seorang yang “mummayiz” (faham bersih kotor) dan mempunyai niat untuk menyembelih.
  2. Alat atau pisau yang digunakan adalah sesuai untuk tujuan menyembelih dan hendaklah tajam. Tidak dibenarkan menggunakan alat atau bahan yang mematikan binatang tersebut dengan sebab beratnya, mengetuk kepala sehingga haiwan tersebut mati atau mengenakan renjatan elektrik untuk mematikannya.
  3. Hendaklah disebut nama Allah dengan membaca “Bismillah” bila menyembelih haiwan tersebut.
  4. Hendaklah memutuskan sekurang-kurangnya dua urat berikut: halkum (saluran pernafasan) dan mareh (saluran makanan).

Sekiranya semua syarat-syarat di atas dipenuhi, daging binatang  tersebut adalah halal, tetapi sekiranya walaupun satu syarat tidak dipenuhi, daging binatang tersebut tidak halal untuk dimakan.

 

Bacaan lanjut - Dosa Besar – Memakan Benda Haram
Bacaan lanjut: https://shafiqolbu.wordpress.com/2011/11/07/kaedah-sembelihan-menurut-islam/
Disaring dari artikel berikut – http://newmuslimguide.com/en/your-food-and-drink

 

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Amalan Membatalkan Pahala

Post Views: 121 Share...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>