Thursday, March 21, 2019

Sombong

Download PDF

 

1.1  Definisi:

Sombong dari sudut bahasa ‘Arab bermaksud التعظم iaitu merasa besar diri.

Menerusi hadith Nabi shallallahu’alaihiwasallam, sabda Baginda:

«لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ» قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً، قَالَ: «إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ»

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. Seorang lelaki bertanya: “(Adakah termasuk sombong) seseorang lelaki suka sekiranya pakaiannya berkeadaan cantik dan kasutnya juga berkeadaan cantik?”. Sabda Baginda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan dia sukakan perkara-perkara yang indah. Sombong bermaksud menolak kebenaran dan memperlekehkan orang lain”. [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]

 Menerusi sabda Baginda tersebut, sombong atau dalam bahasa ‘Arabnya الكبر memberikan dua maksud:

Pertama: Menolak kebenaran.

Kedua: Memperkecilkan orang lain.

1.2  Sebab-Sebab Kesombongan:

Orang yang dalam dirinya ada sekelumit perasaan sombong merasakan besar diri dan merasakan orang lain kecil dan hina. Antara sebab-sebab yang menimbulkan perasaan sombong dalam diri seseorang adalah:

Pertama: Tidak mahu tunduk dan patuh kepada orang lain. Perasaan besar diri menghalang seseorang untuk menundukkan diri dan hormat kepada orang lain kerana baginya orang lain adalah lekeh, hina dan tidak bernilai jika dibandingkan dirinya. Hal ini lebih parah jika sampai ke tahap tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah juga kerana perasaan sombongnya. Ini apabila seseorang merasakan dirinya sudah mempunyai kecukupan. Firman Allah Ta’ala:

كَلَّا إِنَّ الْإِنْسَانَ لَيَطْغَى (6) أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى (7 ِ

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar derhaka, apabila dia melihat (diri)nya telah cukup”. [Surah al-‘Alaq, ayat 6-7]

Kedua: Mengharapkan pujian daripada orang ramai. Orang yang sombong merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding orang lain sehingga selayaknya dia diberikan pujian oleh orang ramai.

Ketiga: Orang lain terlalu merendah diri dihadapannya. Faktor penyebab menjadikan seseorang menjadi sombong adalah kerana orang sekeliling yang menunjukkan rendah diri di hadapan orang yang sombong hingga menyebabkannya merasa hebat di hadapan mereka.

1.3  Contoh Golongan Yang Sombong:

Dalam al-Qur’an sendiri Allah telah memberikan contoh terhadap golongan yang sombong. Antaranya:

Golongan pertama: Iblis. Kesombongan merupakan faktor yang mendorong iblis untuk kufur kepada Allah dan melanggar perintahNya. Firman Allah Ta’ala:

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ (72) فَسَجَدَ الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ (73) إِلَّا إِبْلِيسَ اسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (74)

“Kemudian apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh ciptaanKu kepadanya, maka tunduklah kamu dengan bersujud kepadanya. Lalu para malaikat pun bersujud kesemuanya, kecuali iblis, ia menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir”. [Surah Sod ayat 72-74]

 Golongan kedua: Fir’aun dan kuncu-kuncunya. Kesombongan Fir’aun dan kuncu-kuncunya telah disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an, firmanNya:

وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لَا يُرْجَعُونَ (39):

“Dan Fir’aun serta bala tenteranya telah berlagak sombong di bumi (Mesir) tanpa sebab yang benar dan mereka telah menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami”. [Surah al-Qashash, ayat 39]

 Golongan ketiga: Bani Israil. Kesombongan dan lagak angkuh Bani Israil telah menjadi sebab mereka menolak dakwah yang dibawa oleh para Nabi mereka hingga mereka tergolong dalam golongan yang dimurkai oleh Allah. Allah berfirman berkenaan sikap sombong Bani Israil:

 

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ (87)

“Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan kitab kepada Musa dan Kami iringi selepasnya dengan rasul-rasul yang lain, dan Kami juga telah mengurniakan kepada ‘Isa putera Maryam mukjizat-mukjizat yang amat jelas dan Kami bantukannya dengan roh al-Qudus (Jibril). Apakah setiap kali datang seorang rasul kepada kamu membawa pengajaran yang tidak disukai hati kamu, kamu bertindak sombong angkuh, sebahagian kamu dustakannya dan sebahagian lagi kamu bunuh”. [Surah al-Baqarah, ayat 87]

1.4  Kesan Negatif Sikap Sombong:

Sikap sombong adalah penyakit yang mengotorkan hati manusia hingga ianya diterjemahkan dengan perbuatan dan kelakuan yang jelek dan buruk. Kesan negatif yang terhasil akibat hati yang sombong angkuh antaranya:

  • Sering mencari kesalahan dan kelemahan orang lain: Bagi menjustifikasikan dirinya sebagai orang yang mempunyai kehebatan, maka orang yang sombong adakalanya mengambil jalan mencari-cari kelemahan dan kekurangan orang lain.
  • Gemar mengumpat: Orang yang sombong dalam usahanya merendahkan kedudukan orang lain, maka cara yang diambil supaya tercapai cita-citanya adalah dengan mengumpat, menfitnah dan sebagainya agar orang lain melihat kelemahan orang yang fitnah.
  • Tidak mahu menerima nasihat: Allah berfirman:

وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ (206)

“Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah kepada Allah, ia terus dikongkong oleh kebanggaan untuk (terus) melakukan dosa. Oleh itu, padanlah baginya balasan neraka Jahannam dan sesungguhnya Neraka Jahannam itu seburuk-buruk kediaman”. [Surah al-Baqarah, ayat 206]

  • Tidak mahu mendalami ilmu: al-Imam Mujahid berkata:

لا يتعلم العلم مستحي ولا مستكبر

“Ilmu tidak akan dipelajari oleh orang yang malu tidak bertempat dan orang yang sombong angkuh”.

Kesan negatif yang Allah akan timpakan kepada orang yang sombong dan angkuh antaranya:

  • Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam telah menjanjikan azab di dunia bagi orang yang sombong: Daripada Salamah bin al-Akwa’ radhiallahu’anhu, katanya: Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda: “Seseorang itu terus menerus mengangkat dirinya hingga dia ditulis termasuk golongan Jabbarin (sombong lagi angkuh seperti fir’aun, Haman, Qarun). Akibatnya, dia akan ditimpa sebagaimana yang telah menimpa mereka (fir’aun, Haman, dan Qarun)”. [Hadith riwayat al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai hasan]
  • Allah menghilangkan nikmat daripadanya: Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa’ bahawa seorang lelaki pernah makan menggunakan tangan kirinya di sisi Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam. Lalu Baginda pun menegur: “Makanlah dengan tangan kananmu”. Lelaki tersebut menjawab: “Aku tidak mampu (sedangkan dia mampu)”. Baginda pun mengucapkan: “Engkau tidak akan mampu”. Kesombongan yang telah menghalangnya makan dengan tangan kanan. Lalu lelaki tersebut pun tidak mampu mengangkat tangan ke mulutnya”. [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]

 

Bacaan lanjut: http://darulkautsar.net/asas-islam/?p=1568
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Riya':

  1.1 Definisi: Riya’ bermaksud tidak ikhlas dalam beramal dengan menjadikan amalan untuk tujuan lain …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>