Sunday, September 22, 2019
Home » ASAS ISLAM » Artikel Pilihan » Rukun Kelima: Beriman Dengan Hari Akhirat

Rukun Kelima: Beriman Dengan Hari Akhirat

Download PDF
Video Syarah Rukun Iman – Beriman Dengan Hari Akhirat

 

A – BERIMAN DENGAN HARI AKHIRAT

Iaitu iktikad (percaya) akan berakhirnya kehidupan dunia dan memasuki kehidupan akhirat selepasnya, ianya bermula dengan kematian dan kehidupan di alam barzakh (kubur), diikuti dengan berlakunya kiamat kemudian dibangkitkan semula (seluruh manusia) dan dihimpunkan di Padang Mahsyar, selepas itu mereka akan menerima balasan sama ada ke syurga atau neraka.

Beriman dengan Hari Akhirat merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Tidak sempurna iman seseorang kecuali beriman dengannya, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir. Firman Allah Taala:

“Tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat”. (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Sabda Nabi s.a.w. sebagaimana yang tersebut di dalam hadis Jibrail: Sewaktu Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang iman. Katanya: “Beritahu kepada saya pengertian iman”. Sabda Nabi s.a.w.:

(( أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر، وأن تؤمن بالقدر خيره وشره )). [ رواه مسلم ].

“Hendaklah engkau beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan Hari Akhirat serta Qadar (ketetapan) yang baik dan buruk”. (H.R. Muslim).

Di antara perkara yang wajib kita beriman dengannya ialah permulaan (mukaddimah) Hari Akhirat yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w iaitu perkara-perkara yang akan berlaku sebagai tanda hampirnya kiamat.

Para ulama’ telah membahagikan tanda-tanda kiamat kepada dua bahagian:

1. Tanda-Tanda Kiamat Yang Kecil.

Iaitu tanda yang menunjukkan hampirnya kiamat, tanda-tanda ini sangat banyak, kebanyakannya telah berlaku walaupun tidak kesemuanya, antaranya:

Kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w, amanah telah disia-siakan, menghiasi masjid dan berbangga-bangga dengannya, pengembala kambing (orang-orang kampung) mendirikan bangunan yang tinggi, peperangan dengan Yahudi dan orang Islam akan membunuh mereka, masa menjadi singkat, manusia kurang melakukan amal kebajikan, banyak timbulnya fitnah, banyak berlaku pembunuhan, berleluasanya penzinaan dan kefasikan. Firman Allah Taala:

“Telah hampir saat (kedatangan Hari Kiamat) dan terbelahlah bulan”. (Surah Al-Qamar, ayat 1).

2. Tanda-Tanda Kiamat Yang Besar.

Iaitu tanda-tanda atau alamat yang akan berlaku apabila hampir kiamat dan peringatan kepada permulaan akan terjadinya kiamat, tanda-tanda tersebut terdapat sebanyak 10 perkara dan belum ada yang terjadi lagi sehingga sekarang.

Antara tanda-tanda tersebut ialah:

a) Keluarnya Imam Mahdi.

b) Munculnya Dajjal.

c) Turunnya Nabi ‘Isa a.s. dari langit dan melaksanakan pemerintahan yang adil, mematahkan salib, membunuh Dajjal dan khinzir, menghapuskan jizyah (bayaran cukai yang dikenakan ke atas orang kafir yang berada di dalam negara Islam) dan melaksanakan syariat (perundangan) Islam.

d) Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj dan kemudiannya Nabi ‘Isa a.s. berdoa supaya mereka dimatikan.

e) Berlaku tiga khusuf (manusia ditelan bumi): di timur, di barat dan di Semenanjung Tanah Arab.

f) Keluarnya asap tebal dari langit yang menyelubungi dan menutupi manusia.

g) Diangkatkan Al-Quran dari bumi ke langit.

h) Terbitnya matahari dari sebelah barat.

i) Keluarnya Dabbah (binatang besar yang keluar dari Bukit Safa).

j) Keluarnya api besar dari sebelah ‘Adan (Yaman) menghalau manusia menuju ke arah Syam (Syria dan Jordan), inilah alamat besar yang terakhir.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Huzaifah bin Usaid Al-Ghifari r.a. katanya: ‘Nabi s.a.w datang sedang kami duduk berbincang, maka sabdanya: “Apa yang kamu bincangkan?”. Kami menjawab: ‘Kami berbincang tentang kiamat’. Sabdanya:

((إنها لن تقوم حتى تروا قبلها عشر آيات. فذكر: الدخان، والدجال، والدابة، وطلوع الشمس من مغربها، ونزول عيسى بن مريم، ويأجوج، وثلاثة خسوف: خسف بالمشرق، وخسف بالمغرب، وخسف بجزيرة العرب، وآخر ذلك نار تخرج من اليمن تطرد الناس إلى محشرهم)). [ رواه مسلم ].

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu melihat sepuluh tanda ini. Maka disebutnya (tanda-tanda itu ialah): Asap, Dajjal, Dabbah (binatang besar), terbit matahari dari sebelah barat, turun Nabi ‘Isa a.s., keluar Ya’juj, berlaku tiga khusuf (manusia ditelan bumi): di timur, di barat dan di Semenanjung Tanah Arab dan yang terakhirnya keluar api dari arah Yaman menghalau manusia menuju ke tempat perhimpunan mereka (mahsyar)”. (H.R. Muslim).

Sabda Nabi s.a.w:

(( يخرج في آخر أمتي المهدي، يسقيه الله الغيث، وتخرج الأرض نباتها، ويعطي المال صحاحاً, وتكثر الماشية، وتعظم الأمة، يعيش سبعاً، أو ثمانياً، يعني حججاً )) [ رواه الحاكم في المستدرك ].

“Akan keluar di akhir zaman umatku Al-Mahdi, (diwaktu itu) Allah Taala akan menurunkan hujan, maka bumi akan mengeluarkan tanaman, harta menjadi banyak, binatang ternakan membiak, dimuliakan umat ini, beliau hidup selama tujuh atau lapan tahun”. (H.R. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak).

Terdapat riwayat yang menyebut bahawa tanda-tanda ini akan terjadi mengikut turutan satu demi satu, seperti permata yang di cucuk dengan tali, apabila berlaku tanda yang pertama akan diikuti dengan yang kedua dan seterusnya dan apabila semuanya terjadi maka berlakulah kiamat dengan izin Allah Taala.

Maksud Hari Kiamat ialah: hari yang dikeluarkan manusia dari kubur mereka dengan perintah Allah untuk pembalasan, maka sesiapa yang baik akan mendapat nikmat dan sesiapa yang jahat akan diazab.

Firman Allah Taala:

“Pada hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu)”. (Surah Al-Ma’arij, ayat 43).

Hari Kiamat disebut dengan pelbagai nama dalam Al-Quran, antaranya:

Hari Kiamat, Al-Qari’ah (hari yang menggemparkan), Hari Perhitungan, Hari Pembalasan, At-Tommah (hari bencana), Al-Waqi’ah (kiamat), Al-Haqqah (saat yang tetap berlaku), As-Sokkhah (suara jeritan yang dahsyat), Al-Ghasyiah (huru-hara yang meliputi) dan lainnya.

Dalil daripada Al-Quran berkenaan dengan nama-nama tersebut:

a) Hari Kiamat. Firman Allah Taala:

“Aku bersumpah dengan Hari Kiamat”. (Surah Al-Qiyamah, ayat 1).

b) Al-Qari’ah (hari yang menggemparkan). Firman Allah Taala:

“Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu?”. (Surah Al-Qari’ah, ayat 1-2).

c) Hari Perhitungan. Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Sad, ayat 26).

d) Hari Pembalasan. Firman Allah Taala:

“Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, ditempatkan di dalam neraka yang menjulang-julang. Mereka menderita dengan bakaran neraka itu pada hari pembalasan”. (Surah Al-Infitar, ayat 14-15).

e) At-Tommah (Hari Bencana). Firman Allah Taala:

“Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar”. (Surah An-Nazi’at, ayat 34).

f) Al-Waqi’ah (Kiamat). Firman Allah Taala:

“Apabila berlaku Hari Kiamat itu”. (Surah Al-Waqi’ah, ayat 1).

g) Al-Haqqah (Saat yang tetap berlaku). Firman Allah Taala:

“Saat yang tetap berlaku itu. Apakah ia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu?”. (Surah Al-Haqqah, ayat 1-2).

h) As-Sokkhah (suara jeritan yang dahsyat). Firman Allah Taala:

“Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat”. (Surah ‘Abasa, ayat 33).

j) Al-Ghasyiah (huru-hara yang meliputi). Firman Allah Taala:

“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Hari Kiamat yang huru-haranya meliputi?”. (Surah Al-Ghasyiah, ayat 1).

B – SIFAT BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT

Beriman dengan Hari Akhirat secara umum dan terperinci.

Secara umum: iaitu kita beriman bahawa di sana ada hari yang Allah himpunkan pada hari tersebut orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian, lalu Allah membalas setiap orang mengikut amalan yang dilakukannya, sebahagiannya ke syurga dan sebahagian lagi ke neraka. Firman Allah Taala:

“Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan pada Hari Kiamat yang termaklum”. (Surah Al-Waqi’ah, ayat 49-50).

Secara terperinci: iaitu beriman dengan semua perkara yang berlaku selepas mati, ia merangkumi beberapa perkara, antaranya:

1. Fitnah Kubur.

Iaitu mayat akan disoal selepas dikebumikan tentang Tuhannya, agamanya dan Nabinya Muhammad s.a.w Maka Allah Taala menetapkan orang-orang yang beriman dengan jawapan yang teguh, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis, ketika orang yang beriman disoal mereka akan menjawab:

(( ربي الله ، وديني الإسلام، ونبي محمد ﷺ )) [ متفق عليه ].

“Tuhanku ialah Allah, agamaku Islam dan nabiku Muhammad s.a.w.”. (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

Maka kita wajib beriman dengan semua perkara yang telah disebut di dalam hadis, antaranya soalan dari Munkar dan Nakir, cara-cara mereka menyoal dan jawapan daripada orang-orang mukmin serta jawapan daripada orang-orang munafik.

2. Azab Kubur Dan Nikmatnya.

Wajib beriman dengan azab kubur dan nikmatnya, sama ada kubur itu merupakan satu lubang dari lubang-lubang neraka atau satu taman dari taman-taman syurga. Kubur merupakan perhentian pertama daripada beberapa perhentian akhirat, sesiapa yang selamat daripada azab kubur maka perhentian yang berikutnya akan menjadi lebih mudah baginya dan sesiapa yang tidak terselamat daripada azabnya maka yang seterusnya lebih dahsyat lagi. Sesiapa yang mati bererti bermulalah kiamatnya.

Nikmat dan azab akan menimpa roh dan jasad di dalam kubur, adakalanya akan menimpa roh sahaja. Azabnya akan menimpa ke atas orang-orang yang zalim dan nikmatnya untuk orang-orang yang beriman lagi benar.

Mayat akan tetap diazab atau dikurniakan nikmat di alam barzakh, tidak kira sama ada ianya dikebumikan di dalam kubur atau pun tidak, sekalipun dibakar, tenggelam dalam air, dimakan binatang buas atau burung pasti ia akan mendapat balasan siksa atau nikmat.

Firman Allah Taala berkenaan dengan azab kubur:

“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir, ayat 46). Sabda Nabi s.a.w.:

(( فلو لا أن لا تدافنوا لدعوت الله أن يسمعكم من عذاب القبر )). [ رواه مسلم ].

“Kalau sekiranya aku tidak takut kamu tidak dapat mengebumikan mayat ke dalam kubur, nescaya aku berdoa agar Allah memperdengarkan kepada kamu siksaan yang berlaku di dalam kubur”. (H.R. Muslim).

3. Tiupan Sangkakala.

Sangkakala iaitu serunai daripada tanduk yang ditiup oleh Israfil a.s., tiupan yang pertama akan mematikan semua makhluk kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditiup tiupan kedua maka dibangkitkan semua makhluk yang wujud semenjak Allah jadikan dunia ini sehingga berlakunya kiamat.

Firman Allah Taala:

“Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya), kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing)”. (Surah Az-Zumar, ayat 68).

Sabda Nabi s.a.w:

(( ثم ينفخ في الصور فلا يسمعه أحد إلا أصغى لِيتاً ورفع لِيتاً، ثم لا يبقى أحد إلا صعق، ثم ينزل الله مطراً كأنه الطَّلّ، فتنبت منه أجساد الناس، ثم ينفخ فيه أخرى فإذا هم قيام ينظرون )). [ رواه مسلم ].

“Kemudian ditiupkan sangkakala, tidak ada seorang pun yang mendengarnya kecuali mengangkat leher (untuk mendengarnya), kemudian tidak tinggal seorang pun kecuali semuanya mati, selepas itu Allah menurunkan hujan renyai-renyai yang menumbuhkan jasad manusia, kemudian ditiupkan sangkakala kali kedua. Apabila ditiup sangkakala kali kedua semua mereka bangkit menunggu kesudahan masing-masing”. (H.R. Muslim).

4. Kebangkitan.

Iaitu Allah Taala menghidupkan orang-orang yang telah mati ketika ditiupkan sangkakala kali kedua, maka bangkitlah semua manusia menemui Tuhan sekalian alam.

Apabila Allah Taala mengizinkan Israfil a.s. meniup sangkakala dan semua roh kembali kepada jasad masing-masing ketika itu bangkitlah manusia dari kubur mereka, dengan cepat berjalan menuju ke mauqif (tempat berhimpun untuk perhitungan) dalam keadaan berkaki ayam (tidak berkasut), telanjang bulat (tidak berpakaian), tidak berkhatan (bersunat), tiada apa pun bersama mereka. Begitu panjang masa mereka berada di mauqif (tempat berhimpun), pada waktu itu matahari sangat hampir dengan mereka yang menyebabkan kepanasan yang amat sangat, mereka pula dibasahi dengan peluh kerana terlalu susah keadaannya, ada yang peluhnya sampai ke buku lali, ada yang sampai ke lutut, pinggang, dada, bahu dan ada yang tenggelam di dalam peluh, semuanya mengikut kadar amalan masing-masing.

Kebangkitan semula selepas mati adalah suatu perkara yang sabit sebagaimana yang telah dijelaskan oleh syara’, realiti keadaan dan akal pemikiran.

i- Penjelasan daripada syara’.

Banyak sekali ayat-ayat Al-Quran dan nas-nas yang sahih daripada Hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskannya. Firman Allah Taala:

“Katakanlah: Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan”. (Surah At-Taghabun, ayat 7).

Firman Allah Taala:

“Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi kewujudannya lagi”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 104).

Sabda Nabi s.a.w.:

(( ثم ينفخ في الصور فلا يسمعه أحد إلا أصغى ليتاً ورفع ليتاً، ثم لا يبقى أحد إلا صعق، ثم ينزل الله مطراً كأنه الطل، أو الظل ـ شك الراوي ـ فتنبت أجساد الناس، ثم ينفخ فيه أخرى فإذا هم قيام ينظرون )).

[ رواه مسلم ].

“Kemudian ditiupkan sangkakala, tidak ada seorang pun yang mendengarnya kecuali mengangkat leher (untuk mendengarnya), kemudian tidak tinggal seorang pun kecuali semuanya mati, selepas itu Allah menurunkan hujan renyai-renyai yang menumbuhkan jasad manusia, kemudian ditiupkan sangkakala kali kedua. Apabila ditiup sangkakala kali kedua semua mereka bangkit menunggu kesudahan masing-masing”. (H.R. Muslim).

Firman Allah Taala:

“(Kami menciptakannya) sambil dia bertanya: ‘Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?’. Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)”. (Surah Yasin, ayat 78-79).

ii- Realiti keadaan yang telah berlaku.

Allah Taala telah memperlihatkan kepada hambanya peristiwa menghidupkan semula orang yang mati semasa di dunia. Di dalam Surah Al-Baqarah terdapat lima contoh tersebut, iaitu: Kaum Nabi Musa a.s., Allah menghidupkan mereka selepas mematikannya [ayat: 56] dan orang yang dibunuh oleh Bani Israel (dihidupkan semula untuk memberitahu siapa pembunuhnya) [ayat: 73] juga kaum yang keluar dari kampung mereka kerana takutkan mati (Allah matikan mereka semua kemudian menghidupkannya semula) [ayat: 243] dan orang yang melalui sebuah kampung yang telah binasa (beliau berkata: ‘Bagaimana Allah akan membina semula negeri ini?’ lalu Allah mematikannya selama 100 tahun, kemudian Allah menghidupkannya semula, sebagai bukti kepada dirinya bahawa Allah berkuasa menghidup dan mematikan) [ayat: 259] dan kisah empat ekor burung yang dicincang oleh Nabi Ibrahim a.s. kemudian dihidupkan semula [ayat: 260].

iii- Dalil akal

Dalil akal boleh diambil dari dua aspek berikut:

– Bahawa Allah Taala telah menciptakan langit, bumi dan semua isi kandungan keduanya dengan tidak ada contoh. Allah yang berkuasa menciptanya buat pertama kali tentu tidak lemah untuk mengulanginya sekali lagi.

– Bumi yang telah mati (kering) tidak ada tumbuh-tumbuhan, Allah Taala menurunkan ke atasnya hujan, maka ia bergerak menumbuhkan tumbuhan yang indah. Maka Allah yang berkuasa menghidupkannya selepas mati, berkuasa pula menghidupkan manusia yang telah mati.

5. Perhimpunan, Perhitungan Dan Pembalasan

Kita beriman bahawa semua jasad akan dihimpunkan, disoal dan akan diadili di antara mereka lalu semuanya akan dibalas dengan amalan yang telah mereka lakukan.

Firman Allah Taala:

“Dan Kami himpunkan mereka (di Padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorang pun daripada mereka”. (Surah Al-Kahf, ayat 47).

Firman Allah Taala:

“Maka sesiapa yang diberikan kitab amalnya dan menerima dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! bacalah kamu kitab amalanku ini! Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalanku (pada hari yang ditentukan)! Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang-lenang lagi memuaskan”. (Surah Al-Haqqah, ayat 19-21).

Firman Allah Taala:

“Adapun orang yang diberikan Kitab amalnya dan menerima dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku dan aku tidak mengetahui hitungan amalku”. (Surah Al-Haqqah, ayat 25-26).

Hasyru: Perhimpunan, dihalau manusia dan dihimpunkannya di suatu tempat perhentian untuk dijalankan hisab amalan mereka. Perbezaan antara kebangkitan dan perhimpunan ialah (Al-Ba’thu) kebangkitan iaitu dikembalikan roh ke dalam jasad manakala Al-Hasyru dihimpunkan manusia yang telah dibangkitkan di suatu tempat.

Hisab dan pembalasan: Iaitu Allah Taala menghimpunkan hamba-hambaNya di hadapanNya dan memperlihatkan kepada mereka semua amalan yang telah mereka kerjakan.

Orang-orang mukmin yang bertakwa, kiraan amalan mereka dilakukan dengan cara dibentangkan ke atas mereka amalan yang mereka kerjakan sehingga mereka mengetahui nikmat kurniaan Allah ke atas mereka yang telah menutupi kesalahan mereka di dunia dan mengurniakan keampunanNya di akhirat. Mereka akan dihimpunkan mengikut peringkat keimanan mereka. Para malaikat menyambut mereka dengan menyampaikan khabar gembira tentang balasan syurga dan memberitahu bahawa mereka berada dalam keadaan aman daripada segala ketakutan dan kesusahan hari yang penuh dengan huru-hara. Maka ketika itu bercahayalah wajah-wajah mereka. Muka orang-orang yang beriman pada hari itu berseri-seri. Mereka bergelak ketawa lagi bersukaria.

Sebaliknya orang-orang yang mendustakan Hari Akhirat akan dihisab dengan perhitungan yang sangat susah lagi penuh teliti tentang setiap kerja yang mereka lakukan sama ada kecil ataupun besar, mereka ditarik dengan keadaan muka mereka tersembam ke bumi dan dengan penuh penghinaan sebagai balasan kepada dosa yang telah mereka lakukan dan pendustaan yang mereka timbulkan.

Golongan yang paling awal dihisab pada Hari Kiamat ialah umat Nabi Muhammad s.a.w, dari kalangan mereka 70 ribu orang yang dapat masuk syurga tanpa dihisab dan tidak merasai azab kerana kesempurnaan tauhid mereka, mereka ialah golongan yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

((لا يسترقون، ولا يكتوون، ولا يتطيرون، وعلى ربـهم يتوكلون )).

“Mereka tidak minta dijampi, tidak minta diubati dengan api, tidak menjadikan sesuatu sebagai sialan dan kepada Tuhan mereka bertawakkal”.

Antara mereka itu ialah sahabat nabi yang mulia ‘Ukasyah @ ‘Ukkasyah bin Mihsan r.a.

Perkara pertama yang dihisab ke atas seorang hamba terhadap hak-hak Allah Taala ialah solat dan terhadap hak sesama manusia ialah darah (pembunuhan).

6. Beriman Dengan Kolam Nabi S.A.W

Iaitu sebuah kolam yang besar dan tempat minum yang mulia, mengalir daripada minuman syurga dan dari sungai Kauthar pada Hari Kiamat, ianya didatangi oleh orang-orang mukmin daripada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Antara sifatnya: lebih putih daripada susu, lebih sejuk daripada salji, lebih manis daripada madu, lebih harum daripada kasturi, sangat luas ukurannya, lebar dan panjangnya sama, jarak di antara dua penjurunya sebulan perjalanan, mempunyai dua saluran air yang mengalir dari syurga, bekas minumnya (gelas) lebih banyak daripada bintang di langit, sesiapa yang meminumnya sekali tidak akan terasa dahaga selamanya.

Sabda Nabi s.a.w:

(( حوضي مسيرة شهر، ماؤه أبيض من اللبن، وريحه أطيب من المسك، وكيزانه كنجوم السماء، من شرب منه فلا يظمأ أبداً )). [ رواه البخاري ].

“Kolamku luasnya sebulan perjalanan, airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, bekas minumnya seperti bintang di langit, sesiapa yang meminumnya tidak akan terasa dahaga selama-lamanya”. (H.R. Al-Bukhari).

7. Syafaat.

Ketika manusia berada dalam keadaan bala dan ujian yang semakin perit di perhentian yang besar pada Hari Kiamat serta begitu panjang pula masanya, mereka mula berusaha mencari orang yang dapat memberikan syafaat dan pertolongan supaya memohon agar Allah melepaskan mereka daripada kesusahan padang mahsyar.

“Ulul ‘Azmi” dari kalangan rasul menguzurkan diri tidak dapat membantu menyelesaikan masalah mereka sehinggalah sampai kepada penutup sekalian rasul, Nabi kita Muhammad s.a.w. yang telah diampunkan oleh Allah segala kesalahan yang terdahulu dan yang terkemudian, maka Nabi s.a.w pun bangun mengambil tempat yang dipuji oleh semua umat yang terdahulu dan yang terkemudian, maka zahirlah kedudukannya yang mulia dan darjatnya yang tinggi dengan peranannya itu, Rasulullah s.a.w pun sujud di bawah Arasy, Allah Taala telah mengilhamkan kepadanya dengan pujian, Rasulullah s.a.w pun memuji dan memujaNya dan memohon keizinan daripada Tuhannya agar membenarkannya memberi syafaat (pertolongan) kepada semua makhluk untuk menyelesaikan masalah mereka setelah mereka ditimpa kesusahan dan bencana yang besar yang mereka tidak mampu menanggungnya.

Sabda Nabi s.a.w:

(( إن الشمس تدنو يوم القيامة حتى يبلغ العرق نصف الأذن، فبينما هم كذلك، استغاثوا بآدم ثم بإبراهيم ثم بموسى ثم بعسيى ثم بمحمد r، فيشفع ليقضى بين الخلق، فيمشي حتى يأخذ بحلقة الباب، فيومئذ يبعثه الله مقاماً محموداً يحمده أهل الجمع كلهم )). [ رواه البخاري ].

“Sesungguhnya matahari begitu hampir dengan manusia pada Hari Kiamat sehinggakan peluh mereka sampai ke pertengahan telinga, sedang mereka berada dalam keadaan tersebut lantas mereka memohon bantuan dengan Adam a.s kemudian Ibrahim a.s kemudian Musa a.s kemudian ‘Isa a.s kemudian Muhammad s.a.w Apabila sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w baginda meminta kuasa syafaat untuk menyelesaikan masalah umat manusia, baginda berjalan sehingga kepada pemegang pintu syurga, pada hari itu Allah Taala telah memberikannya kuasa syafaat yang agung yang dipuji oleh semua orang yang berada di Padang Mahsyar. (H.R. Al-Bukhari).

Kuasa syafaat yang agung ini Allah Taala khususkan kepada Rasulullah s.a.w dan telah sabit juga Rasulullah s.a.w mempunyai syafaat yang lain, iaitu:-

i- Syafaat Rasulullah s.a.w untuk ahli syurga agar dapat memasuki syurga. Dalilnya, sabda Nabi s.a.w:

(( آتي باب الجنة يوم القيامة فاستفتح، فيقول الخازن من أنت؟ قال فأقول محمد، فيقول بك أمرت لا أفتح لأحد قبلك )). [ رواه مسلم ].

“Pada Hari Kiamat aku pergi ke pintu syurga dan aku meminta supaya ianya dibuka. Kata Khazin (penjaga syurga): Siapakah kamu?. Sabda Nabi s.a.w: “Aku menjawab: Muhammad”. Kata penjaga syurga: Aku diarahkan agar membuka pintu syurga dengan permintaan engkau dan tidak membukanya kepada orang lain sebelum engkau”. (H.R. Muslim).

ii- Syafaatnya untuk kaum yang sama timbangan amalan baik dan jahat, maka diberi syafaat agar mereka dapat masuk syurga. Pendapat ini dibawa oleh setengah ulama’ namun tidak ada hadis yang sahih atau selain daripadanya yang boleh dibuat dalil.

iii- Syafaatnya untuk kaum yang telah ditentukan neraka agar selamat daripadanya. Berdasarkan dalilnya yang umum, sabda Nabi s.a.w:

(( شفاعتي لأهل الكبائر من أمتي )). [ رواه أبو داود ].

“Syafaatku untuk orang-orang yang melakukan dosa besar daripada umatku”. (H.R. Abu Daud).

iv- Syafaatnya untuk mengangkat darjat ahli syurga di dalam syurga. Dalilnya, sabda Nabi s.a.w:

(( اللهم اغفر لأبي سلمة وأرفع درجته في المهديين )). [ رواه مسلم ].

“Ya Allah, ampunilah Abi Salamah (Abdullah bin Abdul Asad) dan angkatlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi hidayat”. (H.R. Muslim).

v- Syafaatnya kepada beberapa kaum yang dapat memasuki syurga tanpa dihisab dan tidak merasai azab. Dalilnya, hadis ‘Ukasyah atau ‘Ukkasyah bin Mihsan yang menyebut 70 ribu orang memasuki syurga dengan tidak melalui hisab dan tidak diazab, maka Rasulullah s.a.w berdoa untuknya dengan sabdanya:

(( اللهم اجعله منهم )).[ متفق عليه ].

“Ya Allah, jadikanlah dia (‘Ukasyah) daripada golongan mereka itu”. (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

vi- Syafaatnya kepada orang yang melakukan dosa besar daripada umatnya yang telah berada di dalam neraka agar keluar daripadanya. Dalilnya, sabda Nabi s.a.w:

(( شفاعتي لأهل الكبائر من أمتي )). [ رواه أبو دواد ].

“Syafaatku untuk orang-orang yang melakukan dosa besar daripada umatku”. (H.R. Abu Daud).

Dan sabdanya:

((يخرج قوم من النار بشفاعة محمد r فيدخلون الجنة يسمون الجهنميين)). [ رواه البخاري ].

“Akan keluar satu kaum daripada api neraka dengan syafaat Muhammad s.a.w kemudian memasuki syurga, mereka dinamakan Jahannamiyyin (bekas ahli neraka)”. (H.R. Al-Bukhari).

vii- Syafaatnya untuk meringankan azab daripada mereka yang dikenakan azab, seperti syafaatnya kepada bapa saudaranya Abu Talib. Dalilnya, sabda Nabi s.a.w:

(( لعله تنفعه شفاعتي يوم القيامة فيجعل في ضحضاح من النار يبلغ كعبيه يغلي منه دماغه )). [ متفق عليه ].

“Mudah-mudahan syafaatku akan memberi manfaat kepadanya pada Hari Kiamat, dia berada di dalam air neraka yang cetek, mencecah dua buku lalinya yang menggelegakkan otaknya”. (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

Tidak sah syafaat di sisi Allah Taala kecuali dengan memenuhi dua syarat:

– Allah meredhai orang yang memberi syafaat dan orang yang menerimanya.

– Allah Taala memberi keizinan kepada pemberi syafaat agar melakukannya.

Firman Allah Taala:

“Dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 28).

Firman Allah Taala:

“Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 255).

8. Neraca Timbangan Amalan

Neraca timbangan adalah suatu yang hak, wajib beriman dengannya. Iaitu suatu neraca yang Allah Taala dirikan pada Hari Kiamat untuk menimbang amalan hamba-hambaNya dan membalasnya menurut amalan mereka. Neraca yang didirikan itu mempunyai dua daun neraca dan jarum, bagi menimbang amalan atau surat catatan amalan atau orang yang melakukan amalan itu sendiri, maka semuanya akan ditimbang tetapi yang diambil kira ialah berat atau ringan amalan bukan tuannya atau surat catatan amalan.

Firman Allah Taala:

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) Hari Kiamat, maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 47).

Firman Allah Taala:

“Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar, maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya)”. (Surah Al-A’raf, ayat 8-9). Sabda Nabi s.a.w:

(( الطهور شطر الإيمان، والحمد لله تملأ الميزان )). [ رواه مسلم ].

“Suci daripada hadas itu sebahagian daripada iman dan “Alhamdulillah” itu memenuhi neraca timbangan”. (H.R. Muslim). Dan sabdanya:

(( يوضع الميزان يوم القيامة فلو وزن فيه السماوات والأرض لوسعت )). [ رواه الحاكم ].

“Didirikan neraca timbangan pada Hari Kiamat, kalau ditimbang langit dan bumi di dalamnya, lebih daripada mencukupi”. (H.R. Al-Hakim).

9. Titian Sirat Al-Mustaqim

Kita beriman dengan Sirat Al-Mustaqim iaitu titian yang dibentangkan di atas Neraka Jahannam, suatu laluan yang sungguh menggerunkan dan menakutkan, manusia melaluinya untuk sampai ke syurga, ada di antara mereka yang melintasinya dengan sekelip mata, ada yang melaluinya seperti kilat, ada yang melaluinya seperti angin, ada yang melaluinya seperti burung terbang, ada yang melaluinya seperti kuda yang berlari pantas, ada yang melaluinya seperti orang berlari anak, ada yang melaluinya dengan berjalan, ada yang melaluinya dengan merangkak, semuanya mengikut kadar amalan yang dilakukan, sehinggakan dapat melaluinya orang yang mempunyai cahaya di atas ibu jari kakinya, ada yang jatuh ditarik ke dalam neraka dan orang yang melepasinya akan masuk ke syurga.

Orang pertama yang akan melintasinya ialah Nabi kita Muhammad s.a.w kemudian diikuti pula oleh umatnya, tidak ada orang yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul a.s., doa para rasul pada hari itu ialah: اللهم سلِّم سلِّم)) “Ya Allah, selamatkan kami! Selamatkan kami!”. Dalam Neraka Jahannam ada pencakuk yang terletak di tepi neraka yang tidak diketahui bilangannya kecuali Allah Taala, ia akan mencakuk sesiapa sahaja yang Allah kehendaki daripada makhlukNya.

Antara sifat Titian Sirat Al-Mustaqim:

Lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut, sangat licin, tidak ada kaki yang boleh tetap di atasnya kecuali orang yang ditetapkan kakinya oleh Allah, dibentangkannya di atas neraka di dalam suasana kegelapan, dihantar “amanah” dan “rahim” lalu berdiri keduanya di tepi Titian Sirat untuk menjadi saksi kepada mereka yang menjaga amanah dan hubungan silaturrahim atau kepada mereka yang mensia-siakan kedua-duanya.

Firman Allah Taala:

“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya, (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu”. (Surah Maryam, ayat 71-72).

Sabda Nabi s.a.w:

(( ويضرب الصراط بين ظهراني جهنم فأكون أنا وأمتي أول من يجيزه )). [ رواه مسلم ].

“Diletakkan Sirat di atas dua tebing Neraka Jahannam, aku dan umatku ialah golongan yang pertama melintasinya”. (H.R. Muslim).

Sabda Nabi s.a.w:

(( ويضرب جسر جهنم .. فأكون أول من يجيز، ودعاء الرسل يومئذ: اللهم سلّم سلّم )). [ متفق عليه ].

“Diletakkan titian atas Neraka Jahannam, aku adalah orang pertama yang melintasinya. Doa para rasul pada hari itu ialah: Ya Allah, selamatkan kami! Selamatkan kami!”. (H.R Al-Bukhari dan Muslim).

Kata Abu Sa’id Al-Khudri r.a.:

(( بلغني أن الجسر أدق من الشعر وأحد من السيف )). [ رواه مسلم ].

“Telah disampaikan kepadaku bahawa Titian Sirat itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”. (H.R. Muslim).

Sabda Nabi s.a.w:

(( وترسل الأمانة والرحم، فتقومان على جنبي الصراط يميناً وشمالاً، فيمر أولكم كالبرق… ثم كمرّ الريح، ثم كمرّ الطير وشد الرجال، تجري بهم أعمالهم، ونبيكم قائم على الصراط يقول: رب سلم سلم، حتى تعجز أعمال العباد، حتى يجئ الرجل فلا يستطيع السير إلا زحفاً. قال: وعلى حافتي الصراط كلاليب معلقة مأمورة بأخذ من أمرت به، فمخدوش ناجٍ، ومكدوس في النار )). [ رواه مسلم ].

“Dihantar “amanah” dan “rahim”, kedua-duanya berdiri di tepi titian kiri dan kanan. Orang yang pertama melaluinya seperti kilat…kemudian seperti angin, kemudian seperti burung dan seperti orang yang berjalan dengan cepat. Setiap orang akan melaluinya mengikut amalannya, sedangkan pada waktu itu Nabi kamu s.a.w berdiri di atas titian dan berdoa: Ya Allah, selamatkan! Selamatkan!. Apabila lemah amalan seseorang hamba itu sehingga tidak mampu untuk berjalan mereka akan merangkak. Di kedua-dua tepi titian digantung pengait dan pencakuk yang telah diarahkan agar menarik sesiapa yang dikehendakiNya. Ada orang yang luka terkena pencakuk tetapi terselamat dari terjatuh ke dalamnya. Dan ada pula orang yang dikait dan dicangkuk serta dihumban terus ke dalam neraka”. (H.R. Muslim).

10. “Qantarah” Perhentian Di Antara Syurga Dan Neraka.

Kita beriman bahawa orang-orang mukmin apabila telah selamat melintasi Sirat dan terlepas dari neraka akan berhenti di Qantarah, iaitu suatu tempat di antara syurga dan neraka, mereka berhenti untuk menyelesaikan pembalasan bagi setiap perkara yang berlaku sesama mereka sebelum memasuki syurga, apabila telah selesai membalas dan membersihkannya mereka diizinkan memasuki syurga. Sabda Nabi s.a.w:

(( يخلص المؤمنون من النار، فيحبسون على قنطرة بين الجنة والنار، فيقتص لبعضهم من بعض مظالم كانت بينهم في الدنيا، حتى إذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة، فوالذي نفس محمد بيده لأحدهم أهدى بمنـزله في الجنة منه بمنـزله كان في الدنيا )). [ رواه البخاري ].

“Orang mukmin yang telah terselamat daripada api neraka akan ditahan di Qantarah, (satu tempat) di antara syurga dan neraka, setiap daripada mereka akan dibalas bagi setiap kezaliman yang berlaku sesama mereka di dunia, apabila telah selesai membersihkan semua kesalahan, mereka diberi keizinan untuk memasuki syurga. Demi Allah yang diri Muhammad di tanganNya sesungguhnya setiap mereka lebih kenal tempat duduknya di dalam syurga daripada tempat duduknya di dunia”. (H.R. Al-Bukhari).

11. “Al-Jannah” Syurga Dan “An-Nar” Neraka.

Kita beriman bahawa syurga adalah benar dan neraka juga benar. Kedua-duanya telah wujud, tidak akan rosak binasa selama-lamanya. Nikmat syurga untuk ahli syurga tidak akan musnah dan hilang, demikian juga azab neraka kepada orang yang telah dihukum kekal di dalamnya tidak akan musnah dan berakhir. Adapun orang-orang yang mempunyai iman dalam dirinya akan keluar daripada neraka dengan syafaat daripada Pemberi Syafaat dan dengan rahmat Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Syurga: ialah suatu tempat yang sangat mulia yang disediakan oleh Allah Taala bagi orang-orang yang bertakwa pada Hari Kiamat. Di dalamnya ada sungai-sungai yang mengalir, bilik-bilik yang indah dan isteri-isteri yang cantik jelita. Terdapat di dalamnya semua yang diingini oleh nafsu, indah mata memandang pada perkara-perkara yang tidak pernah dipandang oleh mata, yang tidak pernah didengar oleh telinga juga yang tidak pernah terlintas di hati manusia. Nikmatnya tidak akan musnah dan berakhir bahkan tetap berterusan tidak terputus selama-lamanya. Tempat letak tongkat di dalamnya lebih baik daripada dunia dan isinya. Keharumannya dapat dicium dari jarak perjalanan 40 tahun dan nikmat yang paling besar ialah apabila orang-orang mukmin dapat memandang Tuhan mereka dengan pandangan mata kepala mereka sendiri.

Adapun orang kafir pada Hari Kiamat tidak dapat memandang Allah Taala kerana pandangan mereka telah disekat (hijab). Sesiapa yang menafikan orang mukmin dapat memandang Tuhan mereka, maka mereka telah menyamakan bahawa orang mukmin dengan orang kafir yang telah disekat (hijab) daripada memandang Allah Taala.

Di dalam syurga itu terdapat seratus tingkat (darjat). Jarak di antara setiap tingkat (darjat) adalah di antara langit dan bumi dan yang tertingginya ialah Syurga Firdaus. Manakala atapnya ialah Arasy Tuhan Ar-Rahman, terdapat padanya lapan pintu. Lebar setiap pintu seluas jarak antara Makkah dan Hajar (Hajar, sekarang dikenali dengan nama Al-Ahsa’, di Arab Saudi. Jarak di antara keduanya lebih kurang 1500 km.-Pent.) dan sesungguhnya akan tiba suatu hari pintu tersebut akan penuh sesak. Serendah-rendah kedudukan penghuni syurga dianugerahkan kepadanya nikmat seumpama dunia dan sepuluh kali ganda sepertinya.

Firman Allah Taala tentang syurga:

“(Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi), yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).

Firman Allah Taala tentang orang mukmin akan kekal di dalam syurga, tidak akan fana selama-lamanya:

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga ‘Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu adalah untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. (Surah Al-Bayyinah, ayat 8).

Neraka:ialah suatu tempat yang Allah sediakan untuk orang-orang kafir dan orang-orang yang melakukan maksiat. Di dalamnya terdapat azab seksaan yang amat dahsyat dan pelbagai jenis siksaan. Penjaganya ialah malaikat yang sangat keras sifatnya dan bengis. Orang-orang kafir akan kekal di dalamnya. Makanan mereka pula ialah Zaqqum (suatu pokok yang tumbuh di dalam neraka, buahnya sangat pahit lagi busuk baunya) dan minuman mereka air yang sangat panas.

Firman Allah Taala tentang neraka:

“Api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 131).

Firman Allah Taala tentang ahli neraka akan kekal di dalamnya selama-lamanya dan tidak akan fana (musnah):

“Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya”. (Surah Al-Ahzab, ayat 64-65).

C – NATIJAH BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT

Beriman dengan Hari Akhirat mengandungi natijah yang sangat besar, antaranya:

1- Memberi galakan dan dorongan kepada seseorang hamba untuk melakukan ketaatan dan amalan yang baik serta melaksanakannya kerana mengharapkan pahala daripada Allah Taala.

2- Takut dan gerun untuk melakukan maksiat atau meredhai perbuatan maksiat kerana takutkan siksaan pada hari tersebut.

3- Menjadikan orang-orang mukmin sabar dan redha walaupun terlepas banyak nikmat dunia kerana mengharapkan nikmat dan balasan akhirat.

4- Beriman dengan kebangkitan semula merupakan asas kebahagiaan individu dan masyarakat, serta membawa kelebihan, kebaikan dan kedamaian kepada masyarakat kerana ia dapat menyekat manusia daripada melakukan perbuatan jahat.

***

“Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net

 

Bacaan Lanjut:
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Amalan Membatalkan Pahala

Post Views: 184 Share...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *