Friday, August 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Mengadu Domba (Namimah)

Mengadu Domba (Namimah)

Download PDF

 

Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang lain dengan tujuan menyebabkan permusuhan di antara mereka.

Hukum mengadu domba adalah haram, menurut ijma’ kaum muslimin. Keharamannya telah ditunjukkan oleh dalil-dalil syar’ie baik dari al-Quran dan juga as-Sunnah.

Allah berfirman, “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela, yang ke sana ke mari mengadu domba.” (Al-Qalam: 10 – 11)

Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Orang yang mengadu domba itu tidak akan masuk syurga.” 1

Dalam hadis lain disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah berjalan melewati dua buah kuburan, kemudian baginda bersabda, “Kedua penghuni kubur ini sedang diseksa. Mereka diseksa (menurut pandangan mereka) bukan kerana suatu dosa yang besar, adapun itu adalah Dosa besar. Yang pertama, dia kurang cermat ketika bersuci dari air kencing, sedangkan yang kedua, dia suka berjalan untuk mengadu domba”.

Lalu baginda mengambil sehelai pelepah kurma, membelahnya menjadi dua, dan meletakkannya di atas kedua-dua kubur itu, seraya berkata, “Semoga seksaan keduanya diringankan selama pelepah kurma ini belum kering.

Maksud `mereka diseksa bukan kerana suatu dosa yang besar’ adalah: pertama, mereka diseksa bukan kerana suatu dosa yang berat bagi mereka untuk meninggalkannya, dan kedua, mereka diseksa bukan kerana suatu dosa yang besar dalam anggapan mereka. Kerana itulah dalam riwayat lain disebutkan, “Padahal, itu adalah dosa yang besar.”

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Kamu akan mendapati sejahat-jahat manusia adalah orang yang memiliki dua wajah; yang datang kepada sebahagian orang dengan satu wajah dan datang kepada yang lain dengan wajah yang lain.” 2

“Barangsiapa memiliki dua lidah di dunia, nescaya Allah akan menjadikan untuknya dua lidah dari api neraka pada hari kiamat kelak.” 3

Makna `mempunyai dua lidah’ dalam hadis di atas adalah orang yang berbicara pada si A begini dan dengan si B begitu. Jadi `mempunyai dua lidah’ ertinya sama dengan `memiliki dua wajah’.

Abu Hamid al-Ghazali berkata, “Gelaran `berwajah dua’ itu biasanya diberi kepadai orang yang suka menyampaikan cerita orang lain kepada orang yang menjadi objek pembicaraan. Misalnya dengan mengatakan, `Si fulan berkata begini-begini tentangmu!’.

Sebenarnya adu domba itu tidak terbatas pada hal itu sahaja, tetapi juga termasuk membuka rahsia seseorang yang orang itu sendiri atau orang yang diajak bicara tidak suka kepada terbongkarnya rahsia itu. Baik caranya dengan ucapan, tulisan, isyarat atau pun yang lain. Baik berupa aib atau tidak. Hakikat mengadu domba itu adalah menyingkap rahsia dan aib orang lain.

Jadi, sebaiknya seseorang itu lebih banyak diam terhadap apa yang dilihatnya tentang keadaan orang lain, kecuali apabila membicarakannya akan mendatangkan manfaat bagi kaum muslimin atau dapat mencegah perbuatan maksiat”.

Al-Ghazzali berkata selanjutnya, “Setiap orang yang menerima pengaduan dari seseorang berupa ucapan, `Si fulan berbicara begini-begini tentang dirimu! Maka dia hendaklah;

1. Tidak mempercayai perkataan orang itu, kerana dia (seorang yang suka mengadu domba) itu fasik, sehingga cerita darinya tidak dapat diterima.

2. Melarang orang itu dari perbuatan demikian, menasihatinya, dan menjelaskan bahawa itu adalah perbuatan yang buruk.

3. Membenci orang itu kerana Allah. Sebab dia termasuk orang yang dibenci oleh Allah, dan membenci kerana Allah itu wajib.

4. Tidak berprasangka buruk terhadap orang yang ceritanya disampaikan, kerana Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (QS, al-Hujurat: 12)

Jangan sampai cerita pengadu domba tadi menyebabkan kamu menyelidiki tentang kebenaran berita itu, sebab Allah telah berfirman:

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” (Al-Hujurat: 12)

5. Hendaklah dia tidak membiarkan si pengadu domba menyebarkan ceritanya.

Dikisahkan bahawa ada seorang lelaki menceritakan keburukan llelaki lain kepada ‘Umar bin Abdul Aziz, lalu `Umar berkata, “Wahai kamu, kalau kamu mahu kami akan meneliti ceritamu, Jika kamu benar, kamu termasuk orang yang disebut dalam ayat ini:“Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,” (Al-Hujurat: 6). Dan jika kamu mahu, kami akan memaafkanmu!” Orang itu menjawab, “Wahai Amirul mukminin saya memilih maaf dan saya tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu selama-lamanya.”

Seseorang menulis surat kepada Shahib bin `Ubbad yang isinya menyarankan kepada beliau supaya mengambil harta anak yatim, kerana anak itu memiliki harta yang banyak. Kemudian Shahib membalas surat itu, “Namimah (mengadu domba) itu buruk sekalipun benar, oang yang mati itu semoga Allah merahmatinya, anak yatim itu semoga Allah mencukupinya, harta itu semoga Allah mengembangkannya, dan orang yang ingin menguasai harta itu semoga Allah melaknatnya.”

Hasan al-Bashri berkata, “Barangsiapa menyampaikan suatu cerita kepada anda, maka ketahuilah bahawa dia pun akan menyampaikan cerita anda kepada orang lain. Ini adalah seperti kata pepatah: ‘Orang yang bercerita kepada anda, akan bercerita tentang anda’ kerana itu, hati-hatilah terhadapnya!”

Ibnu Mubarak berkata, “Anak haram tidak dapat menyimpan cerita

Kenyataan ini menunjukkan bahawa setiap orang yang tidak dapat menyimpan cerita dan berjalan sambil mengadu domba adalah anak haram. Ini berdasarkan pada firman Allah, “Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.” (Al-Qalam: 13)

“Zanim” dalam ayat di atas adalah anak haram (anak zina).

Diriwayatkan bahwa ada seseorang mengunjungi saudaranya. Dia menceritakan tentang saudaranya yang lain sesuatu yang tidak disukainya. Saudara yang dikunjunginya itu berkata, “Wahai saudaraku, kamu sudah banyak berghibah (mngumpat) , dan kamu datang kepadaku dengan tiga kesalahan; kamu sudah membuatku benci kepada saudaraku, kamu sibukkan hatiku kerananya, dan kamu jadikan dirimu yang jujur sebagai orang yang dituduh.”

Ada ulama berkata, “Barangsiapa memberitahu mu tentang aib saudaramu, maka sesungguhnya dia juga mencelamu.

Seseorang datang menemui `Ali bin Husein, lalu berkata, “Si fulan telah mencacimu dan mengatakan tentang dirimu begini begitu”. Beliau menjawab, “Mari kita pergi menemuinya!” Maka pergilah `Ali bersama orang itu. Orang itu menyangka `Ali akan membela dirinya. Setelah sampai di tempat orang yang dituju, `Ali berkata, “Wahai saudaraku, seandainya apa yang engkau katakan tentang diriku itu benar, semoga Allah mengampuniku; dan seandainya tidak benar semoga Allah mengampunimu!”

Sehubungan dengan firman Allah, “(Dan begitu pula dengan) pembawa kayu bakar”. (Al-Lahab: 4), dikatakan bahawa yang dimaksudkan di sini adalah isteri Abu Lahab. Dia suka mengadu domba. Tindakan adu domba itu disamakan dengan kayu bakar kerana ianya menjadi sebab timbulnya permusuhan, sebagaimana kayu bakar menjadi sebab menyalanya api.

Dikatakan pula bahawa kelakuan orang yang mengadu domba itu lebih berbahaya dari pada perbuatan syaitan. Syaitan hanya membisikkan rasa was-was, sedangkan pengadu domba itu berhadapan langsung.

 

____________________________________________

NOTA KAKI
1 Diriwayatkan oleh Ahmad (5/391, 396), Muslim (105) dan Ibnu Abi Dunya dalam Al-Ghaibah (116) dan Huzaifah. Diriwayatkan juga oleh Al-Bukhari (6056), Muslim (105), Abu Daud (4871), At-Tirmidzi (2026), An-Nasa’i (8/318) dan Ahmad (5/382, 389) dengan lafal `qattaf – semakna dengan ‘nammam’
2 Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3493, 3494, 3495), Muslim (2526), At-Tirmidzi (2025), Ibnu Hibban (5754) dan Ahmad (2/307)
3 Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1310), Ath-Thayalisi (644), Ibnu Hibban (5756) dan Abu Ya’la (1637)
Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini-
https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mencari-Cari Rahsia Orang Lain

  Allah berfirman: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain” (Al-Hujurat: 12) …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *