Thursday, December 5, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Menuduh Wanita Mukminah Berzina

Menuduh Wanita Mukminah Berzina

Download PDF

 

Allah s.w.t berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan”.

(An-Nur:23-24)

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nur:4)

Pada ayat di atas, Allah s.w.t menjelaskan bahawa sesiapa yang menuduh wanita baik-baik, merdeka (bukan hamba) dan menjaga diri mereka dari perbuatan zina serta lain-lain perbuatan keji, maka dia akan mendapat laknat di dunia dan akhirat serta azab yang berat. Selain itu mereka dihukum 80 kali sebutan di dunia dan kesaksiannya tidak akan diterima walaupun dia berlaku adil.

Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan!” Lalu baginda menyebutkannya. Di antaranya iaitu menuduh wanita baik-baik yang beriman zina.

Tuduhan ini boleh jadi berupa perkataan yang ditujukan kepada seorang wanita ‘ajnabi’ (bukan mahram) yang merdeka, menjaga diri dan seorang muslimah. Misalnya; “Wahai penzina!’. ‘Wahai pelacur!’. “Wahai wanita murahan!’. Boleh juga ditujukan kepada suaminya, misalnya; ‘Wahai suami wanita murahan!’. Dan boleh juga kepada anaknya, contohnya, ‘Wahai anak wanita penzina!’ atau ‘Wahai anak wanita murahan! ‘. Ungkapan “wanita murahan” adalah kiasan dari kata ‘wanita penzina’. Jika seseorang, baik lelaki atau perempuan, mengatakan kepada orang lain, baik lelaki atau pun perempuan, seperti ucapan yang ditujukan kepada seorang lelaki, ‘Wahai penzina!’ atau kepada anak kecil yang merdeka, ‘Wahai anak haram!’ maka wajib atas orang yang mengucapkan itu dihukum sebatan 80 kali. Kecuali jika dia dapat menunjukkan buktinya. Allah menetapkan buktinya adalah saksi empat orang lelaki bahawa apa yang dia ucapkan itu adalah benar, bahawa orang yang dituduhnya berzina telah benar-benar berzina. Namun jika tidak ada bukti maka dia dihukum sebat, apabila orang yang telah dia tuduh itu menuntutnya. Begitu juga dengan seseorang yang menuduh hambanya telah berzina baik yang lelaki atau pun perempuan dengan mengatakan, ‘Wahai penzina!’, ‘Wahai pelacur!’, atau ‘Wahai wanita murahan!’.

Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Barangsiapa menuduh hambanya dengan tuduhan zina nescaya akan ditegakkan hukum had pada hari kiamat nanti, kecuali jika benar apa yang diucapkannya.” 1

Banyak orang yang tidak berilmu terjerumus dalam perkataan yang keji ini. Perkataan yang akan menyebabkan mereka mendapat hukuman di dunia dan juga di akhirat. Berkaitan dengan ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Sesungguhnya seseorang itu mengucapkan sesuatu tanpa memastikan kebenarannya, akan menyebabkannya tergelincir di neraka melebihi jauhnya Timur Dan Barat.” 2

Mu’az bin Jabal bertanya, “Wahai Rasulullah, kita akan diazab kerana ucapan kita?” Baginda menjawab, “Ibumu kehilanganmu hai Mu’az, tidakkah orang-orang itu jatuh tersembam di atas wajah mereka di dalam neraka hanya disebabkan hasil kerja lidah-lidah mereka?” 3

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” 4

Di dalam al-Qur’an yang mulia Allah s.a.w berfirman:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaf:18)

‘Uqbah bin Amir bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu?” Baginda menjawab, “Tahanlah lidahmu, hendaklah kamu merasa lapang dengan rumahmu, dan menangislah oleh kerana kesalahanmu. Sesungguhnya manusia yang paling jauh dari Allah adalah yang keras hatinya.” 5

Ada sebuah hadis yang berbunyi, “Sesungguhnya manusia yang paling dimurkai oleh Allah adalah ‘al-fahisy’ (manusia yang banyak mengucapkan kata-kata yang keji) dan ‘al-bazi’, (manusia yang banyak mencela) yang selalu mengucapkan kata-kata yang buruk.” 6

Semoga Allah dengan anugerah dan kemuliaanNya menjaga kita semua dari kejahatan lisan kita. Sesungguhnya Dia Maha Memberi lagi Maha Mulia.

 

 

_____________________________________________

NOTA KAKI:
1. Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6858), Muslim (1660). Abu Daud dan Ahmad (2/431) dari Abu Hurairah.
2. Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6477), Muslim (2988) dan Ahmad (2/378) dari Abu Hurairah.
3. Diriwayatkan oleh Abd Bin Humaid (112) dan Hannad dalam Az-Zuhd (1090), At-Tirmizi (2616). Ibnu Majah (3973), Ibnu Abi Dunya dalam Ash-Shamtu (6). Al-Hakim (2/412). Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (4607) As-Sunan (9/20) dan disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani.
4. Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6018). Muslim (47), Ahmad (2/463). Ibnu Mandah (300) dan Ibnu Hibban (506) dari Abu Hurairah.
5. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi (2406) Ahmad (5/148, 149, 259). Ibnu Abi Dunya dalam Ash-Shamtu (2), Ath-Thabrani (17/270,743), Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (4582) juga dalam Az-Zuhd (236) Al-Adab (403) Abu Nu’aim (2/9) dan di sahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahihah (890) dan Ash-Shahih (1388)
6. Hadis dengan lafaz ini belum aku temui tetapi terdapat banyak hadis yang senada seperti, ‘Laisal Mu’min bith tha’an wal la’an wa la al-fahisy al-badzi’ diriwayatkan Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (312), At-Tirmizi (2043), Ahmad (1/405), dan Al-Hakim (1/12) dari Ibnu Mas’ud)
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *