Thursday, November 14, 2019

Muqaddimah

Download PDF

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Asas tauhid[1] dan perkara yang sah untuk diasaskan i’tikad[2] di atasnya ialah seseorang itu wajib mengucapkan: saya beriman[3] dengan Allah,[4] para malaikat-Nya,[5] kitab-kitab-Nya,[6] Rasul-rasul-Nya,[7] kebangkitan selepas kematian,[8] ketentuan baik dan buruk[9] daripada Allah, Perhitungan, Timbangan, syurga dan neraka. Semuanya itu hak. Allah s.w.t itu satu,[10] bukan dari segi bilangan[11] tetapi dari segi tiada sekutu bagi-Nya, tiada melahirkan anak,[12] tiada dilahirkan dan Dia tidak menyerupai dengan mana-mana makhluk dan tiada satupun daripada makhluk yang menyerupaiNya.[13]

 

NOTA KAKI :
[1] Tauhid bermaksud mengesakan Allah s.w.t pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan- Nya. Yakni hendaklah seseorang itu membersihkan dirinya dari semua bentuk kesyirikan dan beri’tikad bahawa Allah s.w.t. Esa, dan tidak ada sekutu baginya, tidak pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, nama-nama-Nya dan hukum-hukum-Nya. Dia-lah yang menciptakan dan mentadbir alam ini, mengatur urusan makhluk-makhluk-Nya.
[2] Iktikad bermaksud mengikat simpulan dengan kukuh kemudian ia dipakaikan bagi menunjukkan pegangan hati yang kuat dan kukuh seperti simpulan yang kemas yang tidak akan terurai. Aqidah menjadi kata istilah kepada anutan dan kepercayaan seseorang kepada Tuhannya dan urusan agama yang diyakininya.
[3] Iman bermaksud membenarkan dengan hati dengan penuh kepatuhan tanpa sebarang pengingkaran dan bantahan, tiada syak dan syubhat. Ini dengan cara membenarkan dengan hati dan lafazkan dengan lidah dengan penuh kerelaan dan pilihan bukan terpaksa dan terdesak seperti yang berlaku kepada Fir’aun. (surah Yunus: 90-91)
[4] Beriman dengan Allah s.w.t. merangkumi:
  1. Beri’tiqad bahawa tidak ada yang menciptakan alam ini, mentadbir, mengaturkannya, memberikan rezeki kepada semua penghuninya, mendatangkan manfaat dan menyebabkan kemudaratan melainkan Allah s.w.t.
  2. Beri’tiqad bahawa tidak ada yang layak dan berhak disembah melainkan Allah s.w.t.
  3. Beri’tiqad bahawa Allah s.w.t memiliki sifat-sifat keagungan dan kesempurnaan yang layak dengan-Nya, tidak menyerupai makhluk dalam mana-mana sifat-Nya. Firman Allah taala, mafhumnya: “Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya; Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?: (Maryam: 65)
[5] Mereka tidak bersifat dengan sifat-sifat manusia seperti makan, minum dan berkeluarga. Mereka diciptakan dengan fitrah ketaatan dan tidak melakukan ma’siat. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah. Beriman dengan mana-mana malaikat yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis dengan nama-nama atau dengan tugas-tugas mereka.
[6] Bahawa Allah s.w.t. menurunkan kitab-kitab kepada para rasul sebagai kalam dan wahyu-Nya bukan kalam manusia. Wajib kepada kita beriman dengan kitab-kitab yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah . Ia menuntut kita supaya beriman dengan kandungan kitab-kitab yang diturunkan Allah dan bertindak mengikut tuntutan kitab.
[7] Beriman dengan para rasul bererti membenarkan mereka dalam perkara yang disampaikan oleh mereka dari pihak Allah s.w.t dan mereka sesungguhnya telah menerangkan apa yang diwajibkan kepada mereka untuk menyampaikannya. Mereka merupakan rasul pilihan Allah s.w.t. Firmannya, mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat ada Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut’. Maka antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu)” (Surah al-Nahl: 36)
Firmannya lagi, mafhumnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum mu; di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah”. (Surah Ghafir: 78)
[8] Maksudnya ialah beriman bahawa ada kehidupan lain yang abadi selepas daripada kehidupan dunia ini. Segala khabar yang diberitakan oleh Allah s.w.t. selepas kematian sehingga ahli syurga memasuki syurga dan ahli neraka memasuki neraka hendaklah diimani dan diyakini. Hari Qiamat merupakan akhir kepada dunia dan permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi yang dijadikan untuk perhitungan dan pembalasan terhadap segala amalan di dunia.
[9] Maksud beriman dengan qadha dan qadar ialah beri’tiqad bahawa setiap apa yang ada di alam ini yang terdiri daripada kebaikan, kejahatan, mudarat, manfaat sehinggalah perbuatan manusia samada iman, kekufuran, taat, maksiat, hidayah atau sesat semuanya dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t., iradah-Nya, ciptaan-Nya dan kekuasaan-Nya. Walaupun begitu Allah s.w.t. hanya mengasihi dan redha kepada iman, taat dan kebaikan akan tetapi Dia tidak redha kpada, kekufuran, maksiat dan kejahatan. Makna qadar ialah ta’alluq ilmu dan kehendak Allah s.w.t. dengan sekalian makhluk sejak azali sebelum kewujudan mereka lagi. (lihat ‘Ubaydullah al- Mubarakpuri, Mir’ah al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih, jil. 1, hal. 158)
[10] Dalilnya ialah, ayat Quran, mafhumnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah; 163) Wajib mentauhidkan Allah s.w.t, mengesakan Allah, beriman bahawa Allah itu tuhan yang satu tiada yang lain.
[11] Jika satu dari segi bilangan maka satu sebagai permulaan kepada yang lain selepasnya dan ini mustahil bagi Allah s.w.t. Dikatakan juga satu itu terdiri daripada dua separuh. Jika demikian bererti Dia mempunyai juzu’ yang membentuk-Nya dan ini juga mustahil bagi Allah s.w.t. Maksud Imam Abu Hanifah ialah mensabitkan bahawa ketuhanan itu bagi Allah sahaja dan menafikannya bagi yang lain. Tiada sesuatupun layak dipanggil sebagai tuhan kecuali Allah s.w.t.
[12] Menafikan dan membatalkan berbilang tuhan dengan cara tawallud (beranak dan diperanakkan). Sesuatu yang dilahirkan itu menyamai dengan yang melahirkan. Dan Allah s.w.t. maha suci dari mempunyai sesuatu yang sama dengan-Nya.
[13] Dalil, ayat Quran yang mafhumnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mndengar, lagi Maha Melihat”. (al-Shura; 11). Tidak ada yang menyerupai dan menyamai Allah, baik dari segi zat, sifat mahupun perbuatan. Dia maha sempurna dengan sifat-sifat-Nya.
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Pertama – Sempurnanya Sifat-Sifat Allah s.w.t Azali Dan Abadi

Dia sedia kala dan berkekalan dengan nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang zati dan fi’li. Sifat-sifat zati[14] itu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *