Sunday, December 8, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Asas-Asas Aqidah Islam (Fiqh Akbar) » Keempat – Kewujudan Allah

Keempat – Kewujudan Allah

Download PDF

Dia adalah sesuatu[20] (yang ada) tidak seperti sesuatu-sesuatu yang lain. Makna sesuatu ialah mensabitkanNya tanpa jisim, bukan jawhar[21] dan buka `arad.[22] Tiada had atau sempadan bagi Nya.[23] Tiada yang sebanding dan setara dengannya. Tiada yang serupa dengan Nya.

Allah menyebutkan dalam al-Quran bahawa bagi Nya Tangan, Wajah dan Diri. Apa sahaja daripada perkara tersebut yang dinyatakan di dalam al-Quran, itu adalah sifat baginya tanpa kayfiyat (yang diketahui).

Tidak sepatutnya dikatakan bahawa Tangan Nya itu Qudrat Nya atau nikmat Nya kerana ia membatalkan sifat dan ini pendapat Qadariyyah dan Mu’tazillah.[24] Akan tetapi Tangan Nya adalah sifat Nya tanpa kayfiyyat.[25]

Kemurkaan dan keredhaan Nya adalah dari sifat-sifat Nya tanpa cara yang diketahui.[26]

Allah telah mencipta benda-benda daripada tiada dan Allah mengetahui sejak azali lagi tentang benda-benda sebelum kewujudannya lagi.[27] Dialah yang menentukan taqdir dan qada’ setiap sesuatu.[28] Tidak ada sesuatu pun di dunia dan di akhirat kecuali ada dengan kehendak-Nya, ilmu-Nya, keputusan-Nya, taqdir ketetapan-Nya dan tertulisnya di Lauh Mahfuz.[29] tetapi ditulisnya dengan sifat dan bukan sebagai hukum.[30]

Qada’ dan Taqdir dan Kehendak[31] adalah sifat-sifat Allah s.w.t. sejak Azali tanpa kayfiyyat.

 

NOTA KAKI:

[20] Imam Abu Hanifah mensifatkan Allah s.w.t dengan Shay’iyyah (sesuatu yang wujud). Ini juga disokong oleh Imam al-Bukhari dalam terjamah Bab :

[21] Jauhar bermaksud bahan asas kepada sesuatu benda dan unsur terkecill sehingga tidak boleh dibahagikan. ‘Arad pula sifat yang baru ada pada jisim. Mustahil Allah asal kepada mutarrakibat (jisim benda-bena tersusun) maka Allah bukan jauhar. Dan mustahil Allah itu ‘arad kerana ‘arad benda baru yang memerlukan kepada jauhar.

[22] Mustahil bagi Allah s.w.t jisim kerana jisim adalah sesuatu yang boleh dibahagikan. Sesuatu yang boleh dibahagikan itu murakkab, tersusun daripada juzu’ dan ia sesuatu yang baharu .

[23] Allah s.w.t. tidak bersifat dengan had atau sempadan sehingga dapat ditentukan hakikat dan mahiyyah bagi-Nya dan tidak dapat didefinisikan seperti mana yang lain. Semua ini adalah sifat makhluk.

[24] Ini merupakan sanggahan terhadap mereka yang mahu menetapkan makna Tangan sebagai kuasa kudrat dengan setetap-tetapnya. Imam Abu Hanifah mengisyaratkan bahawa ayat-ayat Al-Qur’an seperti al-Fath ayat 10, dan surah al-Rahman ayat 27.

[25] Allah menaqalkan kata-kata Nabi Isa a.s. dalam Surah al-Ma’idah ayat 116. Asal makna perkataan tersebut diketahui tetapi hakikatnya tidak diketahui seperti mana kita mengetahui adanya ruh, nyawa dan arus elektrik  namun hakikat sebenarnya tidak diketahui. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui hakikat sebenarnya. Jalan yang selamat ialah menyerahkan erti sebenarnya kepada Ilmu Allah dan dalam masa yang sama mensucikan Allah dari sebarang keserupaan dengan makhluk.

[26] Tasdiq yang sempurna terhadap al-Qur’an ialah dengan membenarkan apa yang disebutkan al-Qur’an tanpa berpaling dari makna yang zahir.

[27] Yakni tidak boleh dikemukakan pertanyaan bagaimana keadaan sifat-sifat-Nya. Kita mensabitkan bahawa bagi Allah s.w.t. sifat Redha dan murka secara hakiki yang layak dengan-Nya, tanpa kaifiyyat yang diketahui. Mensabitkan perkara ini kepada Allah tidak bererti menisbahkan kekurangan dan keserupaan dengan makhluk.

Ayat Quran, mafhumnya: “Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya” (al-Bayyinah: 8)

“Dan Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali” (al-Fath: 6)

Dalam bab ini, hendaklah kita mensifatkan Allah apa yang Dia sifatkan Diri-Nya, seperti mana dalam al-Qur’an.

[28] Allah s.w.t. mencipta setiap sesuatu daripada tiada dan dalam keadaan belum ada, Allah s.w.t. maha mengetahui tentangnya sebagaimana setelah adanya. Ini menunjukkan bahawa sesuatu sebelum adanya, sesudah ada dan setelah tiada termasuk dalam ta’aluq Ilmu Allah (ma’lumat) yakni perkara yang tidak tersembunyi kepada Allah.

[29] Allah berfirman, mafhumnya : “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). (surah al-Qamar: 49) “Dan Dia-lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna”. (surah al-Furqan: 2)

[30] Peringkat-Peringkat Beriman Dengan Qada’ dan Qadar

Pertama: beriman dengan ilmu Allah s.w.t yang azali tentang segala sesuatu sebelum kewujudannya termasuklah perbuatan hamba yang belum dikerjakannya.

Kedua: Allah s.w.t. mencatatkannya dalam Lawh Mahfuz.

Ketiga: beriman dengan kehendak Allah s.w.t. yang meliputi segala makhluk dan kudrat-Nya yang maha sempurna.

Keempat: Allah mengadakan semua makhluk, dan perbuatan-perbuatan mereka dan Dia-lah pencipta mutlak.

[31] Apa yang ditulis itu sebagai keterangan apa yang akan terjadi bukan sebagai perintah arahan supaya terjadi demikian . Sebagai contoh terjadinya maksiat pada hamba itu ditulis bukan sebagai apa yang dia diarah supaya buat tetapi apa yang dilakukannya nanti dengan pilihan dan usahanya.

[32] Sifat Iradah dan Mashi’ah (Kehendak) adalah sabit bagi Allah s.w.t. dan Kehendak Allah mengatasi kehendak makhluk-Nya.

Ayat Quran, mafhumnya: “Dan kamu tidaklah menghendaki sesuatu melainkan dengan kehendak Allah” (al-Insan: 30)

Tidak berlaku sesuatu melainkan dengan takdir Allah. Kehendak Allah pasti terjadi dan terlaksana. Sama ada yang baik atau buruk, semuanya mengikut kehendak Allah s.w.t.

Iradah Allah terbahagi kepada dua. Pertama, Iradah Qadriyyah Kauniyyah dan kedua, Iradah Syar’iyyah Diniyyah Amriyyah. Yang pertama berkait dengan Rububiyyah dan yang kedua, berkait dengan Uluhiyyah. Yang pertama ialah Iradah yang merangkumi semua makhluk dan berkait dengan kejadian alam dan ini luar dari ikhtiar manusia.

Yang kedua, berkait dengan kehendak dan perintah Allah yang menyebabkan keredhaan Allah jika dipatuhi dan kemurkaan jika diingkari. Berdasarkan kepada ini, setiap perkara itu terjadi dengan takdir dan kehendak Allah tetapi tidak semestinya itu sesuatu yang diredhai Allah. Ini kerana Dia mentakdirkan dan menghendaki sesuatu yang tidak diperintahkannya dan disyari’atkannya. Ada kalanya Dia mensyari’atkan tetapi tidak dikehendakinya dan tidak ditakdirkannya. (lihat Ibn Abi al-Izz, syarh al-Aqidah al-Tahawiyyah, hal. 114 dan Ibn al-Qayyim, Syifa’ al-‘Alil, hal. 549)

Kufurnya orang yang kufur itu adalah dengan kehendak Allah secara kauniyyah tetapi tidak dari segi syar’iyyah kerana Allah memerintahkan dengan keimanan dan Dia tidak redha dengan kekufuran. Terjadi kufur itu setelah manusia memilih untuk tidak beriman.

“Jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (surah Yunus: 99)

“Apabila mereka dan (yang tidak beriman itu) melakukan sesuatu perbuatan keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan keji. Patutkah engkau mengatakan kepada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?”

(28) Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya) (29). (al-A’raf: 28-29).

Selain itu, perbezaan kedua-dua jenis iradah ini boleh dilihat iaitu manusia mengetahui apakah iradah Syar’iyyah ke atas dirinya (melalui agama) tetapi dia tidak mengetahui apakah iradah Kauniyyah ke atas dirinya. Dalam pada itu, manusia wajib beriman bahawa Allah memberikan kepada manusia ikhtiar dan keupayaan untuk melakukan apa yang dipilihnya.

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Muqaddimah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang Asas tauhid[1] dan perkara yang sah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *