Sunday, September 22, 2019

Sabar

Download PDF

 

1.1 Definisi sabar

Asal perkataan sabar daripada bahasa Arab iaitu الصبر bermaksud “menahan”. Firman Allah Ta’ala (bermaksud):

“Dan tahanlah diri kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaanNya semata-mata”. Perkataan الصبر di dalam ayat tersebut membawa maksud “menahan”. (Surah al-Kahfi ayat 28)

Dari sudut istilah pula, sabar bermaksud menahan diri daripada perkara-perkara yang disukai dan menegah diri daripada menuruti kemahuannya.

Oleh kerana itu, bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan kesabaran, kerana umat Islam perlu menahan diri mereka daripada mengambil makanan dan minuman serta perkara-perkara syahwat sewaktu di bulan tersebut.

1.2 Peringkat-peringkat kesabaran

Kesabaran tidak berada pada satu peringkat atau satu tahap sahaja, bahkan ada beberapa peringkat dan tahap kesabaran. Sebahagian tingkatan atau tahap tersebut ada yang lebih afdol berbanding peringkat yang lain.

Sikap sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah lebih tinggi berbanding sikap sabar terhadap perkara maksiat, kerana melakukan kewajiban lebih tinggi darjatnya disisi Allah berbanding meninggalkan perkara-perkara yang haram.

Demikian pula sikap sabar terhadap perkara maksiat lebih tinggi tahapnya berbanding sabar terhadap perkara yang menyakitinya. Ini kerana, sabar dalam melakukan kewajiban dan sabar dalam meninggalkan perkara haram adalah atas pilihan seseorang samada melakukan atau meninggalkannya. Namun, ianya berbeza dengan “musibah” yang merupakan sesuatu yang terpaksa dihadapi oleh seseorang apabila menimpanya.

Ibn al-Qayyim berkata: “Aku telah mendengar Ibn Taimiyyah berkata: Sabarnya Yusuf a.s. daripada menuruti kehendak isteri ‘Aziz lebih sempurna berbanding kesabarannya terhadap perbuatan abang-abangnya yang melemparkannya ke dalam telaga, menjualnya, dan memisahkan beliau dengan ayahnya. Kerana perkara-perkara ini berlaku tanpa pilihannya, tanpa usahanya, bahkan tidak ada cara lain bagi seseorang hamba melainkan bersabar”.

1.3 Hukum bersabar

Allah Ta’ala telah memerintahkan supaya bersabar melalui firmanNya (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, serta bersiap siagalah (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung”. (Surah Al ‘Imran ayat 200)

Juga firman Allah Ta’ala (yang bermaksud):

“Dan mintalah perlindungan (kepada Allah) dengan bersabar dan solat”. (Surah al-Baqarah ayat 45)

Sebagaimana hukum-hukum lain, hukum sabar juga terbahagi kepada lima bahagian. Ada sabar yang hukumnya wajib, ada yang mustahab (digalakkan), ada yang harus, ada yang makruh dan ada yang haram hukumnya.

Terdapat dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa bersikap sabar itu bukanlah sesuatu yang hukumnya wajib sentiasa. Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (Surah al-Nahl ayat 126)

Dalam ayat tersebut, Allah memberikan pilihan kepada orang yang dizalimi untuk membalas terhadap orang yang melakukan kezaliman terhadapnya atau bersabar. Ini menunjukkan bahawa bersabar itu bukanlah selalunya wajib.

Bersabar dalam melakukan kewajiban adalah wajib, menahan diri (bersabar) hingga meninggalkan yang wajib adalah haram, bersabar dalam melakukan perkara yang mustahab (digalakkan) adalah mustahab dan seterusnya. Demikianlah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah.

1.4 Waktu perlunya bersabar

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’anhu, kata beliau: Nabi s.a.w telah melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di sisi kubur, lalu Baginda bersabda: “Bertaqwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah!”. Perempuan itu lalu berkata: “Pergilah kamu daripadaku! Kerana sesungguhnya engkau tidak pernah ditimpa sebagaimana yang aku hadapi”. Waktu itu perempuan tersebut tidak mengenali Baginda. Kemudian dikatakan kepada perempuan tersebut: “Sesungguhnya beliau adalah Nabi s.a.w”. Lalu beliau pun datang bertemu Nabi s.a.w dan beliau mendapati tidak ada pengawal yang menjaga pintu (rumah Nabi). Perempuan itu pun berkata: “Aku tidak mengenalimu (sebelum ini)”. Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya sabar itu adalah ketika pukulan yang mula-mula”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

Al-Qurthubi berkata: “Sesungguhnya sabar yang berat atas diri seseorang adalah yang besar ganjarannya, iaitu ketika (mula-mula) ditimpa musibah dan ketika masih hangat musibah tersebut. Sabar ketika itu menunjukkan kecekalan hati dan teguh dalam kesabaran. Adapun sekiranya sudah sejuk (berlalu) kehangatan musibah tersebut, maka sesiapa pun boleh bersabar ketika itu”. (Tafsir al-Qurthubi, 2/174)

1.4 Hasil daripada sikap sabar

Sikap sabar adalah sikap yang disukai oleh Allah Ta’ala. Dari itu, sikap sabar membuahkan berbagai hasil yang sangat bermanfaat kepada seseorang.

Antara hasil daripada sabar yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi s.a.w. adalah:

– Kejayaan adalah hasil daripada kesabaran;

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, serta bersiap siagalah (diperbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kejayaan”. (Surah Al ‘Imran ayat 200)

Allah mengaitkan antara sabar dan berjaya dan menjadikan kejayaan sebagai hasil daripada kesabaran.

– Memperolehi keampunan dan ganjaran yang besar;

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana) dan mengerjakan amal-amal soleh; mereka itu beroleh keampunan dan pahala yang besar”. (Surah Hud ayat 11)

– Sabar adalah jalan menuju ke syurga;

Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila aku uji hambaKu dengan (kehilangan) dua matanya lalu dia bersabar, maka aku gantikan untuknya daripada kedua matanya itu dengan syurga”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

– Malaikat akan memberikan salam kepada orang-orang yang sabar sewaktu di dalam syurga; al-Qur’an menyebutkan (yang maksudnya):

“Salam ke atasmu berkat kesabaranmu”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu”. (Surah al-Ra’d ayat 24)

– Orang yang sabar akan digandakan pahala; Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Mereka itu diberikan pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka”. (Surah al-Qashash ayat 54)

Demikianlah sebahagian kecil daripada hasil bersikap sabar. Disebalik yang tersenarai tersebut, terdapat banyak lagi hasil yang bakal diperolehi oleh seseorang jika dia bersabar.

Nota: Saringan daripada tulisan berjudul A’mal al-Qulub (Amalan-amalan Hati) oleh al-Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid.

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Amalan Membatalkan Pahala

Post Views: 184 Share...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *