Tuesday, July 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Rukun Iman » Rukun Iman: Pengenalan

Rukun Iman: Pengenalan

Download PDF

بسم الله الرحمن الرحيم

Rukun Iman ialah: Beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan Hari Akhirat serta Qadar (untung) baik mahupun buruk.

Firman Allah Taala:

“Tetapi kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi”. (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Firman Allah Taala:

“Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. Mereka berkata: Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari rasul-rasulNya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 285).

“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)”. (Surah Al-Qamar, ayat 49).

Sabda Rasulullah s.a.w:

(( الإيمان أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر، وتؤمن بالقدر خير وشره )). [ رواه مسلم ].

“Iman itu ialah: Engkau beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan Hari Akhirat serta Qadar (untung) baik dan yang tidak baik”. (Hadis riwayat Muslim).

Iman itu: Pengucapan dengan lidah, iktikad (percaya) dengan hati dan beramal dengan anggota, iman bertambah dengan melakukan ketaatan serta berkurangan dengan sebab melakukan maksiat.

Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambah iman mereka dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada mereka, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (syurga)”. (Surah Al-Anfal, ayat 2-4).

Firman Allah Taala:

“Sesiapa yang kufur kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (Surah An-Nisa’, ayat 136).

Iman dengan lidah adalah seperti zikir, doa, amar makruf nahi mungkar, membaca Al-Quran dan seumpamanya.

Manakala iman dengan hati adalah seperti iktikad (percaya) kepada keesaan Allah dalam Rububiyyah (kekuasaan)Nya, Uluhiyyah (ketuhanan)Nya, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan wajib menyembahNya dengan tidak ada sekutu bagiNya serta semua perkara yang berkaitan dengannya daripada niat dan maqasid (tujuan).

Termasuk juga dalam takrifan iman ialah amalan-amalan hati, seperti cintakan Allah, takutkanNya, sentiasa kembali kepadaNya, bertawakkal kepadaNya dan sebagainya.

Juga termasuk dalam kategori Iman, amalan-amalan yang dilakukan oleh anggota, antaranya: solat, puasa, semua Rukun Islam yang lain, berjihad pada jalan Allah, menuntut ilmu dan lainnya.

Firman Allah Taala:

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambah iman mereka”. (Surah Al-Anfal, ayat 2).

Firman Allah Taala:

“(Dialah Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya keimanan dan keyakinan mereka bertambah di samping keimanan dan keyakinan mereka yang telah sedia ada.” (Surah Al-Fath, ayat 4).

Iman itu bertambah apabila bertambahnya ketaatan dan pendekatan diri seseorang kepada Allah dan iman akan berkurangan apabila kurang amalan dan pendekatan diri seseorang kepada Allah, demikian juga dengan maksiat, ia akan memberi kesan kepada kesempurnaan iman. Apabila perbuatan syirik yang besar atau perbuatan kufur yang besar dilakukan maka terungkailah asas iman menurut syarak dan terbatallah iman seseorang itu, manakala sekiranya perbuatan syirik kecil dilakukan maka ianya merosakkan kesempurnaan iman yang wajib atau mengeruhkan kemurniannya serta melemahkannya.

Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (mempersekutukan)Nya (dengan sesuatu yang lain) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya”. (Surah An-Nisa’, ayat 48).

Firman Allah Taala:

“Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah (melahirkan) Islam”. (Surah At-Taubah, ayat 74).

Sabda Nabi s.a.w:

(( لا يزني الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين شربها وهو مؤمن )). [ متفق عليه ].

“Tidak berzina seorang penzina ketika melakukan zina dalam keadaan dia beriman, tidak mencuri seorang pencuri ketika mencuri dalam keadaan dia beriman dan tidak minum arak seseorang ketika meminumnya dalam keadaan dia beriman”.

(Hadis Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari dan Muslim).

“Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Rukun Pertama: Beriman Kepada Allah

  Video Syarah Rukun Iman – Beriman Kepada Allah   A – TAHKIK (PERLAKSANAAN) NYA …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *