Friday, August 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Memakan Harta Anak Yatim Dan Menzaliminya

Memakan Harta Anak Yatim Dan Menzaliminya

Download PDF

Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala”. (An-Nisa’:10)

“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri)”. (Al-An’am: 152 dan Al-Isra’:34)

As-Suddi berkata, “Orang yang memakan harta anak yatim secara zalim akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan keluar api yang bernyala dari mulut, telinga, hidung, dan matanya. Sesiapa yang melihatnya pasti mengetahui bahawa dia adalah seorang yang memakan harta anak yatim.” 1

Para Ulama berkata, “Adalah tidak mengapa wali anak yatim memakan harta anak yatim jika dia seorang yang miskin dan memakan dengan cara yang baik setimpal dengan tangunggjawabnya menguruskan dan mengembangkan hartanya. Namun jika melebihi dari yang sepatutnya, maka itu adalah harta haram”. Ini berdasarkan firman Allah:

“Barangsiapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa miskin, maka bolehlah dia makan harta itu dengan cara yang baik”. (An-Nisa’:6)

Yang dimaksudkan dengan “memakan dengan cara yang baik” adalah:

Pertama, mengambilnya sebagai hutang,

Kedua, memakannya sekadar keperluan, tidak berlebih-lebihan,

Ketiga, mengambilnya sama nilai dengan upah (yang umum berlaku) seumpama ia bekerja untuk anak yatim itu.

Keempat, mengambilnya dalam keadaan darurat. Maksudnya, jika pada suatu masa nanti dia mempunyai harta yang cukup, dia akan membayarnya semula, tetapi jika dia tidak mampu, harta yang telah diambilnya itu dikira halal baginya.

Keempat-empat pendapat ini disebutkan oleh Ibnul Jauziy dalam tafsirnya.2

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda. “Aku dan penjaga anak yatim kelak di syurga seperti ini.” Lalu Rasulullah memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian baginda merenggangkan keduanya.3

Imam Muslim meriwayatkan bahawa baginda juga bersabda :

“Penjaga anak yatim, samada saudara-maranya atau bukan, akan bersamaku kelak di syurga seperti ini”. Lalu baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. 4

Menjaga anak yatim maksudnya mengurus segala keperluan dan kemaslahatannya; bermula dari urusan makan-minum, pakaian, dan mengembangkan hartanya jika anak yatim itu memiliki harta. Sekiranya jika anak yatim itu tidak memiliki harta maka penjaga anak yatim memberi nafkah dan pakaian untuknya demi mengharapkan wajah Allah. Adapun maksud lafaz “samada saudara-maranya atau bukan” dalam hadits di atas adalah bahawa si penjaga itu boleh jadi datuknya, saudaranya, ibunya, bapa saudara, ayah tirinya, mak ciknya, atau pun saudara-mafranya yang lain. Boleh jadi juga penjaga itu adalah orang yang tidak ada hubungan kekeluargaan sama sekali.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barang siapa menyertakan anak yatim dari keluarga muslim dalam makan dan minumnya hingga anak itu dicukupkan oleh Allah ta’ala nescaya Allah mewajibkan baginya syurga, sama sekali!” 5

Baginda s.a.w juga bersabda:

“Barangsiapa mengusap kepala seorang anak yatim semata-mata kerana Allah, maka dia akan mendapat pahala dari setiap helai rambut yang terkena usapan tangannya itu adalah satu kebaikan. Dan barangsiapa berbuat baik kepada anak yatim yang ada disampingnya, baik laki-laki atau pun perempuan, maka aku dan dia kelak di syurga seperti ini.” Lalu baginda merenggangkan jari telunjuk dengan jari tengah.6

Seseorang berkata kepada Abu Darda’, “Berilah saya wasiat!”. Abu Darda’ berkata, “Kasihilah anak yatim, dekatkanlah dia kepadamu dan berilah dia makan dengan makananmu. Sesungguhnya saya mendengar ketika seseorang mengadap Rasulullah s.a.w mengadukan kekerasan hatinya, baginda bersabda, “Jika kamu ingin supaya hatimu menjadi lembut, maka dekatkanlah anak yatim kepadamu, usaplah kepalanya dan berilah makan dari makananmu, maka itu akan melembutkan hatimu dan akan memudahkanmu dalam memenuhi keperluanmu!” 7

Diceritakan bahawa seorang salaf berkata, “Dahulu aku adalah seorang yang tenggelam dalam berbagai maksiat dan sering mabuk-mabuk. Pada suatu hari aku terjumpa seorang anak yatim yang miskin. Lalu aku ambil anak yatim itu dan aku berbuat baik kepadanya. Aku beri dia makan, pakaian, dan aku mandikan dia sampai bersih semua kotoran yang melekat di tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aku menyayanginya seperti seorang ayah menyayangi anaknya, bahkan lebih dari itu. Malamnya aku tidur dan bermimpi bahawa kiamat sudah tiba. Aku dipanggil menuju hisab. Kemudian aku diperintahkan untuk masuk neraka kerana banyaknya dosa dan maksiat yang aku lakukan. Malaikat Zabaniyyah menyeretku untuk memasukkanku ke dalam neraka. Di masa itu aku merasa kecil dan hina di hadapan mereka. Tiba-tiba anak yatim itu menghadang di tengah jalan sambil berkata, “Tinggalkan dia, wahai malaikat Rabb-ku! Biarlah aku memintakan syafaat untuknya kepada Rabbku. Dialah yang dulu telah berbuat baik kepadaku, telah memuliakanku!’ Malaikat berkata. “Tetapi aku tidak diperintahkan untuk itu.” Sekonyong-konyong terdengar seruan Allah, firmannya, “Biarkan dia, sungguh aku telah mengampuninya dengan syafaat anak yatim itu dan kebaikan mu kepadanya!” Lalu aku terbangun dan aku pun bertaubat kepada Allah Azz wa jalla, dan saya terus berusaha sebanyak mungkin untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim”.

Anas bin Malik r.a pembantu Rasulullah s.a.w berkata, “Sebaik-baik rumah adalah rumah yang ada anak yatim di dalamnya yang diperlakukan dengan baik. Seburuk-buruk rumah adalah rumah yang ada anak yatim di dalamnya yang diperlakukan dengan buruk. Hamba Allah yang paling dicintainya adalah orang yang berusaha berbuat baik kepada anak yatim atau kepada seorang janda.”8

Diriwayatkan bahawa Allah s.w.t mewahyukan kepada Daud, “Wahai Daud. Jadilah untuk anak yatim sebagai ayah yang penyayang dan jadilah untuk janda sebagai suami yang pengasih! Ketahuilah, engkau akan menuai apa yang engkau tanam.” Maksud dari kalimat terakhir adalah apa yang engkau buat, maka orang lain pun akan buat perkara yang sama kepadamu. Ingatlah, engkau akan mati dan meninggalkan anak serta isteri.9

Dalam salah satu munajatnya, Daud a.s bertanya, “Wahai tuhanku, apakah pahala untuk orang yang menyayangi anak yatim dan janda kerana semata-mata mengharap wajahmu?” Allah menjawab, “Pahalanya, Aku naungi dia di bawah naunganKu pada hari tidak ada naungan selain naunganKu,” Maksudnya adalah naungan ‘arsyKu pada hari kiamat.

Betapa besar barakah berbuat baik kepada janda dan anak yatim. Ia dapat memberi kemuliaan di dunia bagi orang yang melakukannya.

Kerana itulah dalam hadits Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Orang yang berusaha untuk janda dan orang-orang miskin itu bagaikan pejuang di jalan Allah”.

Perawi hadits ini mengatakan, “Saya kira beliau juga bersabda :

“Dan seperti orang yang bangun malam tiada henti(untuk beribadah), dan seumpama orang yang berpuasa tanpa berbuka.10

Berusaha untuk janda dan orang–orang miskin itu maksudnya menguruskan berbagai keperluan dan kemaslahatan bagi mereka kerana mengharapkan wajah Allah semata-mata.

Semoga Allah menunjukkan jalan itu dengan anugerah dan kemurahanNya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

 

___________________________________________________

1. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (8722) tahqiq Syakir dari anak cucunya.
2. Lihat “Zaadul Masir” (2/16). Al-Bukhari telah meriwayatkan dalam “Sahih”nya (4575) dari ‘Aisyah dalam ayat al-Quran “Dan barang siapa yang termasuk golongan yang mampu, hendaklah dia menjaga harga diri”. Ayat tersebut turun berkenaan tentang harta anak yatim, bila orang yang menguruskannya fakir, dia boleh memakan dari harta tersebut sekadar apa yang telah dia lakukan dalam rangka untuk mengurusnya dengan cara yang makruf. Dan diriwayatkan oleh Ahmad (2/186,215) Abu Daud (), (An-Nasa’i (2/131) dan Ibnu Majah (2718) dari Amr bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata, “Saya tidak memiliki harta, tetapi saya mempunyai seorang anak yatim”. Baginda menjawab, “Makanlah dari harta anak yatim mu tanpa berlebih-lebihan, tanpa membazir, tidak menjadikannya sebagai harta pokokmu dan tidak pula kerana untuk menjaga hartamu”. Atau berkata, “Engkau menebus hartamu dengan hartanya”. Hadits ini hasan.
3. Dan diriwayatkan oleh Ahmad (5/333), Al-Bukhari (5304,6005) dan dalam “Al-Adab Al-Mufrad” (135), Abu Daud (5150), At-Tirmizi (1918), Ath-Thabrani Al-Kabir (2905) dan Ibnu Hibban (460) dari Sahl bin Sa’ad
4. Diriwayatkan oleh Muslim (2983), Ibnu Majah (3679), dan Al-Bukhari dalam “Al-Adab Al-Mufrad” (137) dari Abu Hurairah.
5. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (22031) dari Malik Bin Amr Al-Qusyairi dan At-Tirmizi (1917) dari Ibnu Abbas. Dan Ath-Thabrani dalam At-Ausath (5345) dari Adi. Semuanya lemah, lihat kembali Dha’if Al-jami (5757),(5693)
6. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/250,265), Ath-Thabrani Al-Kabir (7821,7929), Al-Ausath (3186) dan Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (11036) dari jalur Ubaid Bin Zahr dari Ali Bin Yazid dari Al-Qasim bin Abi Umamah. Dan Isandnya lemah, sebab Ubaid bin Zahr dan Ali Bin Yazid keduanya lemah.
7. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/263), Al-Baihaqi “Asy-Syu’ab” (11,034) dari Abu Hurairah dan Al-Baihaqi “Asy-Syu’ab” (11,035) dan Abu Nu’aim) (1/314) dari Abu Darda’. Serta disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam “Ash Shahiha” (854) dan “Ash-Shahih” (1,410).
8. Diriwaytakan oleh Al-baihaqi dalam Asy-Syu’ab (11038) dari Anas. Dan Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (11073), Al-Uqaili (1/97), Ath-Thabrani Al-Kabir (3/2012) Ibnu Adi (1/17), Abu Nu’aim) (6/337) dan Al-Qudha’I (1249) dari Umar, dan di dhaifkan oleh Asy_syaikh dalam Adh-Dha’ifah (1636), Dan diriwayatkan pula oleh Ibnu Mubarak dalam Az-Zund (654), Ibnu Majah (3679), dan Al-bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (137) dan di Dhaifkan oleh Asy-Syaikh dalam Adh-Dha’ifah (1637).
9.. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (11039) dari Abdurrahman bin Abzi
10. Sahih diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6007), Muslim (2982), An Nasa’I (5/86-87), Ibnu Majah (2140) dan Ibnu Hibban (4245) dari Abu Hurairah.
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *