Monday, June 17, 2019
Home » ASAS ISLAM » Syariat- Fiqh » Meningkatkan Kualiti Ibadat » Beberapa Kesalahan Yang Biasa Dilakukan Di Dalam Bulan Ramadhan

Beberapa Kesalahan Yang Biasa Dilakukan Di Dalam Bulan Ramadhan

Download PDF
Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Asma Bint Shameem (www.onislam.net)

 

Ramadhan pastinya bulan kesukaan/pilihan kita, tetapi sayangnya kita menyambutnya sebagai bulan hanya untuk bergembira dan bersantai dengan melupakan bahawa bulan puasa adalah merupakan bulan berkorban untuk Allah. Di bawah ialah beberapa panduan untuk memastikan kita berada di atas landasan yang betul di Ramadhan ini.

Menganggap Ramadhan Sebagai Adat

Bagi kebanyakan orang, Ramadhan telah hilang nilai kerohaniannya dan lebih merupakan adat berbanding ibadat. Kita berpuasa dari pagi hingga malam kerana orang di sekeliling kita berpuasa. Kita lupa inilah peluang untuk kita membersihkan hati dan jiwa dari kejahatan dan kemungkaran…kita lupa untuk menadah doa, lupa untuk bertafakur meminta keampunan Allah dan menyelamatkan kita dari api neraka. Memang kita tidak makan dan minum tapi itu bukanlah segalanya.

Walaupun nabi s.a.w. telah bersabda:

“Jibril telah berkata kepada ku, “Celakakalah sesiapa yang Ramadhan datang kepadanya tetapi dosanya tidak diampunkan”, dan daku berkata “Amiin’. Kemudian dia berkata.” Celakalah orang yang hidup sehingga ibubapa tua, salah seorang atau kedua-duanya, tetapi dia tidak memperolehi syurga (kerana tidak menjaga mereka), dan saya berkata “Amiin”. Dan dia berkata : Celakalah, sesiapa yang bila namamu disebut tetapi tidak berselawat kepada mu” dan aku berkata, “Amiin’ (Tirmizi, Ahmad dan lain-lain. dihukumkan sahih oleh al-Albani)

Terlalu Menumpukan Perhatian Kepada Makanan dan Minuman

Kepada sebahagian orang, sebulan bulan Ramadhan hanya berkisar sekitar makanan. Mereka menghabiskan masa SEPANJANG hari merancang, membeli-belah, memasak dan memikirkan tentang makanan daripada memberi tumpuan kepada solat, membaca Quran dan lain-lain ibadat. Mereka hanya berfikir tentang MAKANAN. Sehingga bulan “berpuasa” menjadi bulan ‘berpesta’. Semasa berbuka puasa, meja dipenuhi berbagai jenis makanan, minuman dan pemanis mulut. Mereka lupa tujuan sebenar berpuasa, dengan itu menambahkan sifat tamak dan memenuhi hawa nafsu yang sepatutnnya dikawal dengan perbuatan puasa. Kita dapati pembaziran berleluasa dan bermewah-mewahan yang melampau.

“…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. [al-Araaf :31]

Menghabiskan Sepanjang Hari Memasak

Sebahagian kaum ibu (samada dengan kerelaan sendiri atau atas dorongan atau desakan suami) memasak SEPANJANG hari dan malam sehinggakan di akhir hari terlalu penat untuk sembahyang Isya’ apatah lagi sembahyang tarawih atau tahajjud atau membaca al-Quran. Bulan ini bulan keampunan dan rahmat. Jadi, padamkan api dapur dan nyalakan iman!

Makan Terlalu Banyak

Sebahagian manusia mengisi perut sepenuh-sepenuhnya semasa bersahur, seolah-olah akan meletup kerana mereka fikir inilah cara untuk mengelak dari berasa lapar di siang hari dan sebahagian manusia berbuka puasa seolah tiada lagi hari esok; cuba menggantikan semula makanan yang ditinggalkan semasa berpuasa. Ini sebenarnya menyalahi sunnah. Bersederhana adalah kunci kepada semua perkara.

Memakan terlalu kenyang menghalang seseorang dari melakukan amal kebaikan dan ibadat, menyebabkan rasa malas dan hati menjadi tumpul. Seseorang bertanya kepada Imam Ahmad: Adakah seseorang itu dapat berhati lembut dan tawaddu’ bila perutnya sentiasa penuh? Imam Ahmad menjawab: Saya fikir tidak.

Tidur Sepanjang Hari

Sebahagian manusia, menghabiskan sepanjang (atau sebahagian besar) hari untuk tidur. Adakah ini yang dituntut dari kita di dalam bulan yang mulia ini? Mereka tidak mendapat manafaat dari tujuan puasa dan menjadi hamba kepada hawa nafsu; bersenang-senang dan bermewah-mewah. Mereka tidak sanggup berjaga (dari tidur) untuk merasakan bagaimana lapar atau untuk menahan diri dari keperitan lapar. Seseorang yang berpuasa dan tidur sebahagian besar di siang hari adalah seorang yang cuai dan mengelat!

Membazirkan Masa

Setiap saat di Bulan Ramadhan adalah amat bernilai, sehingga Allah menamakannya “Ayyamum Ma’duudaat” (Beberapa hari yang tertentu). Tanpa kita sedar, bulan rahmat dan keampunan telah pergi meninggalkan kita. Kita sepatutnya cuba sedaya upaya untuk memanafaatkan setiap saat untuk beribadat supaya kita mendapat sebanyak mungkin rahmat. Sayangnya, ramai dari kira menghabiskan masa bermain ‘video game’, atau lebih teruk menonton tv, menonton wayang atau mendengar muzik. Subhanallah, kita cuba untuk taat kepada Allah dengan cara menderhakaiNya!

Berpuasa Tapi Tidak Meninggalkan Maksiat

Sebahagian dari kita berpuasa tetapi tidak meninggalkan bercakap bohong, meyumpah seranah, bergaduh, mengumpat dll. Dan sebahagian kita berpuasa tetapi tidak meninggalkan dari perbuatan menipu, mencuri, berniaga perkara haram, membeli loteri, menjual arak, berzina, dsb, dan seribu satu macam maksiat tanpa menyedari bahawa tujuan berpuasa adalah bukannya tidak makan dan minum tetapi tujuan sebenarnya ialah untuk menambahkan taqwa kepada Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]

Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang sia-sia dan bertindak ke atasnya, Allah tidak berhajat kepadanya untuk meninggalkan makan dan minum” (Bukhaari)

Menghisap Rokok

Menghisap rokok diharamkan dalam Islam samada dalam bulan Ramadhan atau bulan-bulan lain, kerana ianya salah satu dari “al-Khabaa’ith”(perkara haram dan keji). Ini termasuk juga semua perkara yang seumpamanya seperti menghisap cerut, paip, sisha dsb.

Ianya membahayakan, bukan hanya kepada perokok itu sahaja, tetapi juga orang-orang di sekeliling mereka. Ianya juga membazirkan harta. Dan yang lebih penting ianya membatalkan puasa.

Tidak Bersahur

Nabi s.a.w. bersabda: “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan” (Bukhari, Muslim). Dan Nabi s.a.w bersabda: “Perkara yang membezakan di antara puasa kita dan puasa ahli kiab ialah sahur” (Muslim)

Berhenti Makan Sahur Bila Masuk Waktu ‘Imsak”

Sebahagian manusia berhenti makan sahur 10-15 minit sebelum masuk waktu subuh, atau apa yang dinamakan ‘Imsak”. Sheikh Ibn ‘Uthaimin berkata: “Ini adalah satu bentuk bid’ah. Yang tidak ada asasnya dalam sunnah. Malah yang sunnahnya adalah sebaliknya. Allah membenarkan kita makan sehingga masuk waktu subuh“.…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar..” [al-Baqarah 2:187]

Dan nabi s.a.w. bersabda: “Makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan oleh Ibnu Umm Maktoom kerana dia tidak melaungkan azan sehingga masuk waktu subuh”,

Waktu “Imsak” yang diamalkan oleh sebahagian dari kita adalah perkara tambahan yang tidak diperintahkan oleh Allah, ianya batil. Ianya adalah bid’ah dan nabi s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang melampaui batas akan binasa, Sesiapa yang melampaui batas akan binasa, Sesiapa yang melampaui batas akan binasa” (Muslim)

Rasulullah saw. bersabda: Janganlah sekali-kali azan Bilal itu mencegah salah seorang di antara kalian untuk makan sahur, karena Bilal mengumandangkan azan atau memanggil pada malam hari adalah untuk mengingatkan orang yang sedang salat qiyam (akan dekatnya waktu fajar) dan untuk membangunkan orang yang masih tidur.

Tidak Berpuasa Bila Terlepas Sahur

Sesetengah orang amat takut untuk berpuasa sekiranya terlepas bersahur. Ini adalah sikap pengecut dan terlalu sukakan kesenangan. Apa masalahnya jika anda terlepas beberapa suap makanan? Bukannya akan mati pun! Ingatlah, ketaatan kepada Allah akan menyelesaikan segalanya.

Berniat Puasa Dengan Menyebut Secara Kuat Atau Membaca Doa Tertentu Bila Memulakan Puasa

Niat letaknya dalam hati. Kita hendaklah menetapkan dalam hati bahawa kita akan berpuasa esok hari. Hanya itu yang perlu dilakukan. Syariat tidak mengajarkan supaya menyebut dengan kuat. “Saya berniat untuk puasa”, “Saya akan berpuasa esok” atau apa-apa ucapan lain yang direka-reka. Juga, tidak ada doa khas yang perlu dibaca semasa memulakan puasa. Apa-apa doa yang mungkin ditulis di akhbar atau taqwim Ramadhan adalah bid’ah.

Melambat-lambatkan Berbuka Puasa

Sesetengah orang menunggu sehingga azan habis dilaungkan atau beberapa minit selepas itu, kononnya kerana berhati-hati. Sunnah menyatakan hendaklah segera berbuka puasa, bermakna berbuka puasa bila azan bermula, sebaik sahaja matahari jatuh. A’ishah berkata: Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. (Muslim)

Nabi s.a.w bersabda: Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mereka bersegera berbuka puasa ( Bukhari & Muslim)

Berusaha sebaik mungkin, pastikan jam dan taqwim anda tepat, dan bertawakkallah kepada Allah dan berbuka puasalah tepat pada waktunya.

Makan berterusan Sehingga Habis Waktu Maghrib

Sesetengah orang mengisi penuh makanan di dalam pinggan bila berbuka puasa dan terus makan, mencuci mulut, minum teh dsb sehingga terlepas waktu maghrib. Ini sudah pasti tidak betul. Sunnah nabi s.a.w. ialah setelah berbuka puasa dengan beberapa biji tamar, baginda s.a.w. bersegera mengerjakan sembahyang. Setelah selesai bersembahyang, anda boleh makan semula setakat yang anda mahu.

Melepaskan Peluang Keemasan Supaya Doa Dikabulkan

Doa seorang yang berpuasa ketika berbuka puasa dijamin akan dimakbulkan. Nabi s.a.w. bersabda : “ Tiga jenis doa tidak akan ditolak: Doa seorang ayah, doa orang berpuasa dan doa seorang musafir”. (Al-baihaqi dan disahihkan oleh Albani)

Saat di mana sepatutnya seseorang duduk dan berdoa di masa yang amat berharga ini, setengah orang mensia-siakan peluang keemasan ini dengan sibuk menggoreng jemput-jemput, bersembang, menyusun makanan, mengisi pinggan dan gelas dsb. Fikirkan, adakah makanan yang lebih penting atau peluang dosa anda diampunkan atau doa anda dimakbulkan.

Berpuasa Tetapi Tidak Sembahyang

Puasa orang yang tidak bersembahyang TIDAK AKAN DITERIMA. Ini adalah kerana perbuatan meninggalkan sembahyang adalah perbuatan kufur sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda: Perbezaan di antara kufur dan syirik seseorang lelaki adalah sembahyang” (Muslim)

Malah, TIADA amal kebaikannya akan diterima, malah semuanya akan dihapuskan, “Sesiapa yang tidak sembahyang Asar, amal kebaikannya akan dihapuskan” (Bukhari)

Berpuasa Tetapi Tidak Memakai Tudung

Tidak memakai tudung adalah dosa besar dan ianya adalah wajib untuk wanita-wanita muslim (Lihat Surah Nur & Surah Ahzaab). Oleh itu berpuasa tetapi tidak memakai tudung mengurangkan banyak pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.

Tidak Berpuasa Kerana Menduduki Peperiksaan Atau Bekerja

Menduduki peperiksaan atau melakukan kerja adalah BUKAN salah satu alasan yang dibenarkan syariat untuk meninggalkan puasa. Anda boleh belajar atau membuat ulangkaji di waktu malam sekiranya terlalu membebankan di waktu siang hari. Perlu diingat bahawa taat dan patuh kepada Allah adalah lebih penting daripada markah yang tinggi. Di samping itu, sekiranya anda menunaikan tanggungjawab anda dengan berpuasa, walaupun anda sedang belajar, Allah akan mempermudahkan dan membantu urusan anda.

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…” (Surah at-Talaaq 2-3)

Berpuasa Dengan Tujuan Untuk Diet

jANGAN berpuasa dengan tujuan untuk diet. Ini adalah di antara kesilapan terbesar yang dilakukan oleh sebahagian dari kita (terutamanya kaum wanita). Puasa ialah suatu ibadat dan hendaklah hanya kerana Allah sahaja. Oleh itu, menunaikannya dengan tujuan sebagai diet adalah salah satu syirik kecil.

Bergaduh Tentang Bilangan Rakaat Sembahyang Tarawih

Tidak jelas berapakah bilangan rakaat sembahyang tarawih yang tetap. Kita boleh lakukan lapan atau dua puluh rakaat. Sheikh Ibn Uthaimin berkata: “Seseorang tidak patut disalahkan kerana bersembahyang tarawih sebelas atau dua puluh tiga rakaat, kerana persoalannya lebih besar dari itu, alhamdulillah”

Sembahyang Sunat Ramadhan HANYA Pada Malam Ke-27

Sesetengah orang bersembahyang sunat Ramadhan HANYA pada malam ke 27, untuk mencari Lailatul-Qadar, mengabaikan malam-malam lain yang ganjil, walaupun nabi s.a.w. telah bersabda: “Carilah Lailatul Qadar di antara malam-malam yang ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadhan”

Mensia-siakan Saat-saat Akhir Ramadhan Untuk Membuat Persediaan Sambutan Hari Raya

Sesetengah orang mensia-siakan keseluruhan sepuluh hari terakhir Ramadhan untuk membuat persiapan menyambut hari raya, membeli belah, mengunjungi pusat beli-belah mengabaikan ibadat dan malam lailatul qadar. Ketahuilah, Nabi s.a.w. beribadat begitu bersungguh-sungguh di sepuluh hari terakhir Ramadhan (Ahmad & Muslim). Belilah dan sediakan apa-apa keperluan hari raya sebelum Ramadhan tiba untuk membolehkan anda menggunakan sebanyak mungkin masa untuk beribadat .

‘Aishah r.ha. berkata: “Bila sepuluh malam terakhir tiba, Rasullullah s.a.w. mengetatkan tali pinggangnya (iaitu bersungguh-sungguh beribadat atau menahan diri dari berseronok-seronok dengan isteri-isterinya), berjaga malam dan mengejutkan keluarganya (dari tidur)” (Bukhari dan Muslim)

Pesta Berbuka Puasa

Walaupun menjemput satu sama lain untuk berbuka puasa adalah sesuatu yang baik dan digalakkan, sesetengah orang agak keterlaluan dengan ‘pesta-pesta buka puasa mewah’ yang penuh dengan kemaksiatan dan pergaulan bebas lelaki perempuan, wanita-wanita yang tidak menutup aurat, menunjuk-nunjuk dan berlebih-lebihan, tidak menghiraukan sembahyang fardhu dan sembahyang tarawih sambil berpesta muzik dengan tarian dan joget.

Kita Semua CINTA kepada Islam Tetapi Kita Cipta Cara-Cara Sendiri Untuk Mengikut Islam. Adakah Kita HIDUP cara Islam sebenarnya?

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Menangani Sifat Was-Was

Oleh: Ahmad Nasim Abd Raof   “Waswasah” atau was-was dari segi bahasa bermakna lintasan hati …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>