Monday, June 17, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Membunuh Manusia Tanpa Hak

Membunuh Manusia Tanpa Hak

Download PDF

Allah swt berfirman, bermaksud,

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, ia kekal di dalamnya, Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya”. (An-Nisa’: 93)

“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina. Maka barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh”. (Al-Furqan: 68-70)

“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi bani Israel, bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”. (Al-Maidah: 32)

“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh”. (At-Takwir: 8-9)

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

“Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan!” 1

Lalu baginda menyebut salah satunya ialah membunuh seorang manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkanNya.

Seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w, “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah ta’ala?” Baginda menjawab, “Apabila kamu mengadakan sekutu bagi Allah, padahal Dia yang menciptakanmu.” Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?” Baginda menjawab, “Kamu bunuh anakmu kerana takut akan makan bersamamu.” Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?” Baginda menjawab, “Kamu berzina dengan isteri jiranmu”. Lalu Allahmenurunkan wahyu membenarkan sabda Nabi tersebut:

“Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak berzina”. (A-Furqn: 68)

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Apabila dua orang muslim bertemu dengan pedang terhunus, orang yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, tentang yang membunuh boleh difahami, bagaimana pula dengan yang terbunuh?” Baginda menjawab, “Kerana dia sebenarnya sangat ingin untuk membunuh temannya” 2

Abu Sulaiman memberi penjelasan, “Hadis ini berlaku jika dua orang itu saling berbunuhan kerana selain “ta’wil”. Ertinya jika keduanya berbunuhan kerana kebencian yang ada di antara keduanya, `ashabiyyah, mencari dunia, kekuasaan atau darjat duniawi. Sedangkan orang yang memerangi “ahlul-baghy” (kaum pemberontak terhadap amirul mukminin) sesuai dengan adab yang berlaku dalam kes itu, atau membela diri atau keluarganya, maka tidak termasuk ke dalam pengertian hadis ini. Sebab berperang kerana membela diri tanpa maksud membunuh itu adalah diperintahkan, kecuali jika orang itu sangat ingin membunuh orang yang membela diri, maka dia mesti melawannya dan membunuhnya. Barangsiapa membunuh pemberontak atau perompak sebenarnya ia tidak menginginkan untuk membunuhnya. Sebenarnya dia hanya membela diri. Oleh kerana itu jika pemberontak menghentikan tindakannya, tidak boleh diteruskan dan tidak boleh pula dikejar. Hadis ini tidak bermaksud membicarakan tentang orang-orang sebagiamana tersebut di atas. Adapun selain dari orang yang tersebut di atas adalah termasuk ke dalam konteks hadis di atas, wallahu a’lam”.

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

“Janganlah kamu kembali kepada kekafiran sepeninggalanku nanti, iaitu kamu saling berbunuhan! 3

Baginda s.a.w juga bersabda, maksudnya:

“Seseorang hamba akan tetap selamat agamanya selagi belum menumpahkan darah haram (membunuh sesama muslim). 4

Nabi juga bersabda, maksudnya,

“Perkara yang pertama kali dihisab di antara manusia pada hari kiamat nanti adalah perkara berkaitan darah.5

Dalam hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya, pembunuhan atas seorang mukmin itu lebih besar daripada hancur luluhnya dunia di sisi Allah”. 6

Rasulullah s.a.w bersabda, “Yang termasuk dosa besar itu adalah menyekutukan Allah, membunuh orang, dan sumpah yang membenamkan (sumpah palsu).7

Disebut “sumpah yang membenamkan” kerana sumpah ini membenamkan pelakunya ke neraka. Baginda s.a.w bersabda:

“Tidak ada jiwa yang terbunuh secara zalim kecuali anak Adam yang pertama ikut menanggungnya. Sebab dialah yang pertama kali mengajarkan pembunuhan”8

Baginda bersabda:

“Barangsiapa membunuh orang kafir yang mengikat perjanjian dengan Negara Islam ia tidak akan mencium bau harum syurga. Dan sesungguhnya wanginya sudah dapat dihidu dari jarak empat puluh tahun perjalanan” 9

Jika membunuh orang kafir yang ada perjanjiannya pun sudah sedemikian halnya, bagaimana pula dengan membunuh seorang muslim?

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah bahawa barangsiapa membunuh seseorang yang terikat dengan “zimmah” (perlindungan) dari Allah dan RasulNya bermakna dia telah membatalkan “zimmah” Allah, dan tidak akan mencium wangi syurga. Dan sesungguhnya harum wangi syurga itu dapat dicium dari jarak lima puluh tahun perjalanan.” 10

Baginda s.a.w bersabda:

“Barangsiapa membantu pembunuhan atas seorang muslim walau dengan sepatah perkataan nescaya akan bertemu dengan Allah dalam keadaan di antara kedua matanya tertulis `orang yang putus asa dari rahmat Allah Ta’ala’ ” 11

“Setiap dosa itu mudah saja Allah mengampuninya kecuali seseorang yang mati dalam keadaan kafir atau seseorang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja” 12

Kepada Allah kita memohon `afiyah (kesejahteraan batin)

____________________________________________________

Nota Kaki:
1 Telah disebut takhrijnya.
2 Saahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/43,51), Al-Bukhari (31,6875), Muslim (2888), Abu Daud (4269), An-Nasa’i (7/25) dan Ibnu Majah (3965) dari Abu Hurairah.
3 Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/85.87), Al-Bukhari (6862, 6868, 7077), Muslim (66), Abu Daud (4686, Al-Nasa’i (7/126), dan Ibnu Majah (3943), dari Ibnu Umar. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (121) dan Muslim (65), dari Jarir.
4 Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Bukhari (6862, 6863); dari Ibnu Umar.
5 Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad (1/442), Al-Bukhari 6864, 6533), Muslim 1678) Al-Tirmidzi 1397), dan Ibnu Majah (2615) dari Ibnu Umar.
6 Sahih: Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1395) dan An-Nasai (7/82); dari Ibnu Amru. Juga diriwayatkan oleh An-Nasa’i (7/83) dari Buraidah dan Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ghaayah Al-Maraam” (439).
7 Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6870), At-Tirmidzi (3024), dan An-Nasa’i (7/89), dari Ibnu Amr.
8. Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3335) dan Muslim (1677) dari Ibnu Mas’ud)
9 Diriwayatkan oleh Ahmad (2/186), Al-Bukhari (3166), An-Nisa’i (2/242) dan Ibnu Majah (2686) dari Ibnu Amru.
10. Sahih. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (1403), Ibnu Majah 2687), dan Al-Hakim (2/127), dari Abu Hurairah dan ada kelemahan di dalamnya. Namun ada penguat dari riwayat An-Nasa’i (2/242) dan Ahmad (4/237) dari sahabat yang tidak disebutkan namanya dan isnadnya sahih, sebagaimana perkataan Syaikh Al-Abani dalam Ghaayah Al-Maraam (450) bahawa dengan dasar itulah dia mensahihkannya.
11 Dhaif, Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2620), Al-Uqaili (457), dan Al-Baihaqi(8/22). Syaikh Al-Albani mendhaifkannya dalam “Adh-Dhaifah” (503)
12 Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4270), Ibnu Hibban (5980), dan Al-Hakim (4/351) dan Abu Darda’. Ada penguat dari hadis (yang diriwayatkan) oleh Mu’awiyah yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan dengannya Syaikh A-Albani mensahihkan hadis tersebut dalam “Ghaayah Al-Maraam” (441).
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “AL-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>