Wednesday, October 16, 2019
Home » ASAS ISLAM » Syariat- Fiqh » Rukun Islam » Rukun Kedua: Solat

Rukun Kedua: Solat

Download PDF

 

Solat  [ الصلاة] 

Solat merupakan ibadat yang sangat besar kedudukannya dan paling jelas dalilnya. Islam sangat mengambil berat tentang solat, maka dijelaskan fadhilat dan kedudukannya di antara ibadat-ibadat yang lain. Solat menjadi penghubung antara hamba dengan Tuhannya, dengan menunaikannya jelas seorang hamba itu mengikut perintah Tuhannya.

  • Ta’rif Solat. 

Pengertian solat: Menurut bahasa Arab, solat ertinya doa, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ (103) (التوبة: 103)

 “Dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadikan jiwa mereka tenteram”. (At-Taubah : 103)

Menurut istilah pula, solat ialah suatu ibadat yang mengandungi perkataan dan perbuatan yang tertentu, dimulakan dengan ‘takbiratul ihram’ dan disudahi dengan mengucap salam. 

Yang dimaksudkan dengan „perkataan‟: Takbir, membaca al-Quran, tasbih, doa dan lainnya.

Yang dimaksudkan dengan ‘perbuatan’ : Berdiri (qiyam), rukuk, sujud, duduk (di antara dua sujud dan tahiyyat) dan lainnya.

  • Kedudukan Solat Di Sisi Para Nabi Dan Rasul ‘Alaihimussalam. 

Solat merupakan salah satu ibadat yang disyari’atkan dalam agama Samawi (yang diturunkan dari langit) yang terdahulu sebelum kebangkitan Nabi Muhammad (s.a.w). Nabi Ibrahim (a.s) telah berdoa kepada Tuhan untuk dirinya juga zuriatnya agar dapat mendirikan solat sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي (40) – (إبراهيم: 40)

 “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat”. (Ibrahim : 40)

Begitu juga Nabi Ismail (a.s) menyuruh keluarganya mendirikan solat sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ (55) – (مريم: 55)

Dan dia menyuruh keluarganya untuk bersolat dan menunaikan zakat”. (Maryam : 55)

Firman Allah Ta‘ala sewaktu berkata-kata dengan Nabi Musa (a.s) :

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي (14) – (طه: 14)

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Aku. Maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku”. (Thaha : 14)

Allah Ta’ala telah berpesan kepada Nabi ‘Isa a.s agar mendirikan solat sebagaimana firman-Nya:

وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31) – (مريم:31)

 “Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup”. (Maryam : 31)

Allah Ta‘ala telah memfardhukan solat ke atas Nabi kita Muhammad s.a.w di langit pada malam Isra’ dan Mi’raj. Pada awalnya difardhukan sebanyak 50 solat kemudian dikurangkan sehingga kepada 5 solat sahaja. Menunaikan 5 solat pahalanya sama dengan 50 kali solat.

Solat lima waktu ialah: Fajar (Subuh), Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. Kefardhuannya telah ditetapkan melalui persepakatan (ijma’) ulama’-ulama’ Islam.

(3) Dalil Fardhu Solat. 

Telah sabit (tetap) kefardhuan solat dengan dalil-dalil yang banyak. Antaranya:

  • Dalil dari al-Quran.

Firman Allah Ta‘ala:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآَتُوا الزَّكَاةَ (43) – (البقرة:43)

Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat”. (Al-Baqarah : 43)

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا (103) – (النساء: 103)

Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”. (An-Nisa’ : 103)

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ (5) – (البينة:5)

Pada hal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta‘atan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat”. (Al-Bayyinah : 5)

  • Dalil dari as-Sunnah. 
  • Dari Ibnu Umar a. Rasulullah s.a.w bersabda:

(( بني الإسلام على خمس, شهادة أن لا إله إلا الله, وأن محمدا رسؤل الله, وأقام الصلاة, وإيتاء الزكاة, وحج البيت, وصوم رمضان )). متفق عليه.

Islam itu dibina di atas lima rukun: Mengucap syahadah ‘Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah’, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan”.  (Muttafaq ‘alaih : al-Bukhari dan Muslim).

  • Hadis Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

(( الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله, وأن محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم , وتقيم الصلاة, وتؤتي الزكاة, وتصوم الرمضان, وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلا… )) رواه مسلم.

Islam itu ialah engkau bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah apabila engkau mampu untuk mengerjakannya…”. (H. R Muslim)

3- Hadis Ibnu `Abbas r.a, Nabi s.a.w telah mengutus Mu‘az ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepadanya:

(( ادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله, وأن محمدا رسول الله, فإن هم أطاعوك لذلك فأعلمهم أن الله افترض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة… )) متفق عليه.

 “Serulah mereka kepada pengakuan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Jika mereka menerima ajakan engkau maka ajarkan mereka bahawa Allah telah memfardhukan ke atas mereka lima kali solat sehari semalam”.  (H. R. Al-Bukhari dan Muslim)

  • Al-Ijma’. 

Ulama’ Islam telah bersepakat (berijma’) di atas pensyari‘atan solat lima waktu dan sesungguhnya solat merupakan salah satu daripada kewajipan-kewajipan (fardhu) Islam.

(4) Hikmah Disyari‘atkan Solat. 

Solat yang telah disyari’atkan mengandungi beberapa hikmah, mungkin boleh disebut sebahagian daripadanya:

a) Seorang hamba menzahirkan ‘ubudiyyah (perhambaan) kepada Allah Ta’la. Sesungguhnya dia adalah milik Allah s.w.t. Dengan menunaikan solat seseorang insan menunjukkan ‘ubudiyyah dan terasa dirinya sentiasa terikat dengan penciptanya Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.

b) Solat menjadikan seseorang itu kuat hubungannya dengan Allah dan menjadikan dirinya sentiasa mengingati Allah Ta‘ala.

c) Solat yang sebenar mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Solat juga merupakan salah satu sebab yang boleh membersihkan seseorang hamba daripada dosa dan kesalahan.

Semua yang tersebut telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah r.a. sabda Nabi  s.a.w:

(( مثل الصلوات كمثل نهر جار يمر على باب أحدكم, يغتسل منه كل يوم خمس مرات )) رواه مسلم.

Bandingan solat ialah seperti sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumah seseorang daripada kamu, setiap hari dia mandi sebanyak lima kali (di sungai itu)”. (H. R Muslim)

d) Solat membuatkan hati menjadi tenang, jiwa merasa lapang dan melepaskan seseorang itu daripada rasa susah yang mengeruhkan keceriaan hidup, kerana inilah solat menjadi penyejuk mata Rasulullah s.a.w. Baginda terus melakukan solat apabila ada perkara yang menyusahkannya. Nabi s.a.w bersabda kepada Bilal:

(( يا بلال! أرحنا بالصلاة )) أخرجه أحمد.

Wahai Bilal, rehatkan kami dengan bersolat”. (H.R. Ahmad) 

(5) Orang Yang Diwajibkan Solat. 

Solat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang baligh, berakal, lelaki atau perempuan. Solat tidak wajib ke atas orang kafir, dengan erti kata yang lain mereka tidak dituntut supaya melakukannya di dunia kerana tidak sah bagi orang kafir mengerjakan solat, tetapi mereka akan diazab dengan sebab meninggalkannya di Hari Akhirat kerana mereka boleh melakukannya dengan memeluk Islam tetapi mereka tidak berbuat demikian. Dalilnya, firman Allah Ta‘ala:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (42) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (43) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (44) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (45) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (46) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (47) – (المدثر:42-47)

Apakah yang memasukkan kamu ke dalam (neraka) Saqar?. Mereka menjawab: Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin dan adalah kami mengucapkan perkara yang batil bersama dengan orang-orang yang mengucapkannya dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, hingga datang kepada kami kematian”. (Al-Muddassir : 42–47)

Solat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak kerana mereka belum ditaklif (dipertanggungjawabkan) lagi, demikian juga ke atas orang gila. Ia juga tidak wajib ke atas orang perempuan yang sedang haid dan nifas; kerana syara’ telah menggugurkannya daripada kedua-duanya dengan sebab yang tersebut.

Wajib ke atas wali ( bapa/penjaga) kanak-kanak lelaki atau perempuan menyuruh kanak-kanak mereka melakukan solat apabila berumur 7 tahun, memukul mereka jika enggan menunaikan solat setelah berumur 10 tahun, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, supaya mereka biasa melakukannya dan sentiasa menjaganya.

(6) Syarat-Syarat Sah Solat.

  1. Islam.
  2. Berakal.
  3. Tamyiz: dapat membezakan di antara perkara bersih dan kotor.
  4. Masuk waktu.
  5. Niat.
  6. Menghadap kiblat.
  7. Menutup aurat. Aurat lelaki: daripada pusat ke lutut. Aurat perempuan dalam solat: seluruh anggota kecuali muka dan dua tapak tangan.
  8. Menghilangkan segala kotoran daripada pakaian, tubuh badan, tempat menunaikan solat.
  9. Suci daripada hadas kecil iaitu dengan berwudhu dan suci daripada hadas besar dengan mandi junub.

(7) Waktu Solat. 

Zuhur: Waktunya bermula dari gelincir matahari (iaitu matahari condong dari pertengahan langit ke arah barat) sehingga bayang seseorang itu menjadi sepertinya.

Asar: Waktunya selepas keluar waktu zuhur hingga bayang menjadi dua kali ganda, iaitu apabila cahaya matahari menjadi kuning.

Maghrib: Waktunya bermula dari terbenam matahari hingga kepada hilangnya cahaya merah di langit, iaitu cahaya merah di kaki langit selepas terbenam matahari.

Isya’: Waktunya bermula dengan keluarnya waktu maghrib hingga sampai setengah malam.

Fajar (subuh): Waktunya apabila terbit fajar kedua hingga terbit matahari.

Dalilnya: Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda:

(( وقت الظهر إذا زالت الشمس, وكان ظل الرجل كطوله, ما لم يحضر العصر, ووقت العصر ما لم تصفر الشس, ووقت صلاة المغرب ما لم يغب الشفق, ووقت صلاة العشاء إلى نصف الليل الأوسط, ووقت صلاة الصبح من طلوع الفجر ما لم تطلع الشمس, فإذا طلعت الشمس فأمسك عن الصلاة… )) الحديث, رواه مسلم.

 “Waktu zuhur ialah apabila matahari condong di tengah langit dan ketika bayang seseorang itu sama dengannya hingga tiba waktu asar. Waktu solat asar pula ialah sehingga cahaya matahari menjadi kuning, waktu solat maghrib hingga hilang cahaya merah di langit, waktu solat isya’ sehingga seperdua malam, waktu solat subuh ialah apabila terbit fajar hinggalah terbit matahari, apabila terbit matahari maka berhentilah daripada solat…” al-Hadis. (H.R. Muslim).

8) Bilangan Raka‘at Solat. 

Bilangan raka‘at solat fardhu semuanya 17 raka’at, seperti berikut:

  1. Zuhur: 4 raka‘at.
  2. Asar: 4 raka‘at.
  3. Maghrib: 3 raka‘at.
  4. Isya’: 4 raka‘at.
  5. Subuh: 2 raka‘at.

Sesiapa yang menambah bilangan raka‘at solat atau mengurangkannya maka solatnya batal jika dia sengaja melakukannya, tetapi jika dia terlupa bolehlah diperbetulkannya dengan melakukan sujud sahwi*.

(*Sujud sahwi, ialah sujud dua kali kerana terlupa, sama ada tertambah, tertinggal atau syak dan ragu-ragu).

Bilangan tersebut ialah ketika solat biasa, bukan musafir. Bagi orang yang bermusafir disunatkan qasar (pendekkan) solat empat raka‘at kepada dua raka‘at.

Setiap muslim wajib melakukan solat lima waktu pada waktu yang telah ditentukan melainkan ada keuzuran yang dibenarkan syara’ seperti tertidur, terlupa dan bermusafir. Sesiapa yang tertidur daripada solat atau terlupa hendaklah dia melakukan solat apabila teringat.

9) Rukun Solat. 

  1. Berdiri bagi orang yang mampu.
  2. Takbiratul Ihram (takbir ketika memulakan solat).
  3. Membaca al-Fatihah.
  4. Rukuk.
  5. Bangun daripada rukuk (I’tidal).
  6. Sujud di atas tujuh anggota.
  7. Duduk di antara dua sujud.
  8. Tasyahhud akhir.
  9. Duduk tasyahhud akhir.
  10. Toma’ninah (tetap) anggota sewaktu melaksanakan setiap satu daripada rukun ini.
  11. Tertib di antara rukun-rukun.
  12. Salam.

10) Solat Berjamaah. 

Setiap lelaki muslim hendaklah menunaikan solat lima waktu secara berjamaah di masjid untuk mendapat pahala dan keredhaan daripada Allah (s.w.t).

Solat berjamaah pahalanya 27 kali ganda dari solat secara bersendirian. Ianya disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda:

(( صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفذ بسبع و عشرين درجة )) متفق عليه.

Solat berjamaah lebih afdhal daripada solat secara sendirian dengan 27 darjat”. (H.R. Bukhari dan Muslim).

Bagi orang perempuan, solat di rumahnya lebih afdhal daripada solat berjamaah di masjid.

11) Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat.

Solat terbatal apabila melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang berikut:

  • Makan atau minum secara sengaja, kerana telah ijma’ para ulama’ iaitu sesiapa yang makan atau minum dengan sengaja, wajib ke atasnya mengulangi solat.
  • Bercakap dengan sengaja bukan kerana kemaslahatan solat. Menurut riwayat Zaid bin Arqam r.a. katanya: “Kami pernah bercakap sewaktu solat, seseorang itu akan bercakap dengan rakan di sebelahnya sehinggalah turun ayat:

وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (238) – (البقرة:238)

Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu’. (Al-Baqarah: 238).

          maka kami disuruh diam dan ditegah daripada bercakap”. (H.R. Bukhari dan Muslim).

Demikian juga menurut ijma’ ulama’ iaitu sesiapa yang bercakap dengan sengaja, bukan untuk membetulkan solat maka rosak (batal) lah solatnya.

  • Melakukan gerakan yang banyak dengan sengaja. Untuk mengetahui kadar gerakan yang banyak ialah perbuatan yang sekiranya dipandang kepada seseorang itu, si pemandang merasakan seolah-olah dia bukan sedang mengerjakan solat.
  • Meninggalkan rukun atau syarat solat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran seperti bersolat dengan tidak berwudhu’ atau tidak menghadap ke arah kiblat, kerana Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda kepada seorang Badwi (orang kampung) yang tidak betul solatnya:

(( ارجع فصل فإنك لم تصل ))

Ulangi semula solatmu, kerana engkau belum melakukan solat dengan betul”.

  • Ketawa di dalam solat, telah ijma’ ulama’ bahawa solat terbatal dengan ketawa.

12) Waktu-Waktu Yang Dilarang Solat Padanya. 

  1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
  2. Ketika matahari berada di tengah-tengah langit.
  3. Selepas solat Asar hingga terbenam matahari.

Dalil yang menunjukkan solat dilarang pada waktu-waktu yang tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir r.a. katanya:

(( ثلاث ساعات كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ينهانا أن نصلي فيهن, وأن نقبر فيهن موتانا, حين تطلع الشمس بازغة حتى ترتفع, وحين يقوم قائم الظهيرة حتى تميل الشمس, وحين تضيف الشمس للغروب حتى تغرب )) رواه مسلم.

Tiga waktu Rasululah s.a.w menegah kami melakukan solat dan mengebumikan jenazah orang-orang mati, iaitu ketika matahari terbit hingga ia naik, ketika orang yang tidur tengah hari bangun (waktu matahari tegak di tengah langit) sehingga matahari condong ke sebelah barat, ketika matahari hampir terbenam hingga ia terbenam”. (H.R. Muslim).

Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:

(( لا صلاة بعد صلاة العصر حتى تغرب الشمس, ولا صلاة بعد صلاة الفجر حتى تطلع الشمس )) متفق عليه.

Jangan melakukan solat selepas solat Asar sehingga terbenam matahari dan selepas solat fajar (subuh) sehingga naik matahari”. (Muttafaq ‘alaih).

13) Sifat (Cara-cara) Solat Secara Umum.

Setiap muslim wajib mengikuti Rasulullah s.a.w, termasuk mengikuti sifat solat Rasulullah s.a.w, kerana sabdanya:

(( صلوا كما رأيتموني أصلي )) رواه البخاري.

Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat”. ( H.R. Al-Bukhari ).

Apabila Nabi s.a.w berdiri untuk solat menghadap Allah s.w.t, Baginda berniat solat dengan hatinya, tidak ada riwayat yang menunjukkan baginda melafazkan niat dengan lidahnya. Baginda bertakbir “Allahu Akbar”, serta mengangkat kedua tangannya hingga menyamai dua bahunya, ada ketika baginda mengangkat tangan hingga menyamai cuping telinganya serta meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas dadanya.

Baginda memulakan bacaan dengan membaca doa iftitah (pembuka solat):

(( الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا, وجهت وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفا مسلما وما انا من المشركين. إن صلاتي ونسكي ومحياي وومماتي لله رب العالمين لا شريك له وبذلك أمرت وأنا من المسلمين. ))

Maksudnya: “Allah Maha Besar sebesar-besarnya dan Segala Puji Bagi Allah sebanyak banyaknya dan Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Allah yang menjadikan langit dan bumi, dengan keadaan suci lagi berserah diri; dan aku bukanlah dari golongan orang-orang musyrik. Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan Semesta alam. Tidak ada sekutu baginya, demikian aku diperintahkan, dan aku adalah termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berserah diri. 

atau

(( سبحانك اللهم وبحمدك, وتبارك اسمك, وتعالى جدك, ولا إله غيرك ))

Maksudnya: “Maha Suci Engkau Ya Allah dengan memuji-Mu, berkat nama-Mu, tinggi kemuliaan-Mu dan tiada Tuhan yang berhak disembah selain-Mu”.

Kemudian membaca surah al-Fatihah dan surah lain, kemudian bertakbir sambil mengangkat kedua belah tangan serta melakukan rukuk dengan meluruskan belakang sewaktu rukuk, sehinggakan jika diletak air di atasnya tidak akan tumpah. Baginda membaca:

سبحان ربي العظيم Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung”. 3 kali.

Kemudian Baginda mengangkat kepala sambil membaca:

(( سمع الله لمن حطده, ربنا ولك الحمد ))

Maksudnya: “Allah telah mendengar orang-orang yang memuji-Nya. Wahai Tuhan kami, bagi Engkau segala pujian”.

Baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya hingga betul-betul berdiri tegak, kemudian bertakbir dan sujud.

Sewaktu sujud baginda merenggangkan kedua belah tangannya daripada lambungnya sehingga nampak putih di bawah ketiaknya dan meletakkan dahi, hidung, dua tapak tangan, dua lutut dan hujung anak jari kaki di atas lantai sambil membaca: سبحان ربي الأعلى  Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi”,  3 kali.

Kemudian bertakbir dan duduk iftirash iaitu duduk di atas kaki kiri dan mengangkat kaki kanan, serta anak-anak jarinya menghadap ke arah kiblat sambil membaca:

(( رب اغفرلي, وارحمني, واجبرني, واهدني, وعافني, وارزقني, وارفعني.))

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, tambahkanlah untukku, pimpinlah aku, selamatkanlah aku, kurniakanlah rezeki kepadaku dan angkatlah darjatku”.

Kemudian bertakbir dan melakukan sujud, kemudian bangun untuk menyempurnakan raka‘at kedua.

Demikianlah Rasulullah s.a.w melakukannya pada setiap raka‘at.

Apabila duduk selepas dua raka‘at untuk tasyahhud awal, Baginda membaca:

(( التحيات المباركات الصلوات الطيبات لله السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله ))

Maksudnya: “Segala ucapan selamat, shalawat, dan kebaikan adalah bagi Allah. Selawat dan salam ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan berkatnya ke atasmu. Salam sejahtera ke atas kita dan hamba Allah yang soleh. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah”.

Hingga akhir tasyahhud.

Kemudian bangun sambil bertakbir serta mengangkat kedua-dua belah tangannya apabila telah tegak berdiri – inilah tempat keempat Baginda mengangkat tangannya dalam solat-.

Apabila duduk untuk tasyahhud akhir iaitu raka’at ketiga solat maghrib, raka’at keempat solat Zuhur, Asar dan Isya’, Baginda duduk bertawarruk iaitu duduk di atas papan punggung kiri, mengeluarkan kaki kiri di bawah betis kaki kanan serta mengangkat tapak kaki kanan menghadap ke arah kiblat, menggenggam anak-anak jari tangan kanan kecuali telunjuk untuk mengisyarat (sewaktu mengucap) atau menggerakkannya dengan menunjukkan pandangan mata kepadanya. Setelah selesai membaca tasyahhud, Baginda memberi salam ke sebelah kanannya dan kirinya dengan membaca:

(( السلام عليكم ورحمة الله , السلام عليكم ورحمة الله ))

Baginda berpaling hingga nampak putih kedua pipinya.

Sifat solat ini diambil daripada beberapa hadis Rasulullah s.a.w.

Inilah beberapa penjelasan hukum solat yang merupakan asas kepada penerimaan amalan. Apabila solatnya baik maka baiklah amalannya yang lain. Kalau solatnya rosak maka rosaklah semua amalannya. Solat ialah amalan yang mula-mula sekali dikira ke atas setiap hamba pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menunaikannya dengan sempurna maka dia mendapat keredhaan Allah. Manakala sesiapa yang tidak menyempurnakannya akan binasa. Solat yang sebenarnya akan menegah dari perbuatan keji dan mungkar. Solat juga adalah penawar kepada diri manusia daripada sebarang godaan kejahatan hingga membersihkannya daripada sebarang keburukan.

 

 

Ekstraks dari buku “Rukun Islam” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net

 

 

Bacaan Tambahan:
– Perbincangan Tentang Thaharah dari Hadis
– Perbincangan Tentang Solat dari Hadis
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Rukun Islam: Muqaddimah

Muqaddimah    الحمد لله، والصلاة والسلام على من لا نبيّ بعده، نبيّنا محمّد بن عبد …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *