Sunday, April 21, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Rukun Iman » Rukun Pertama: Beriman Kepada Allah

Rukun Pertama: Beriman Kepada Allah

Download PDF

 

Video Syarah Rukun Iman – Beriman Kepada Allah

 

A – TAHKIK (PERLAKSANAAN) NYA

Beriman kepada Allah ‘Azza Wajalla akan terlaksana dengan melakukan perkara-perkara berikut:

1. Iktiqad (Percaya) Bahawa Alam Ini Mempunyai Pencipta Yang Satu

Iktiqad (percaya) bahawa alam ini mempunyai Pencipta yang satu, Esa dalam penciptaanNya, kerajaanNya, pentadbiranNya, mengatur keadaannya, memberi rezeki, kuasa, melakukan sesuatu, menghidupkan, mematikan, memberi manfaat dan mudharat yang tiada tuhan selain dariNya.

Melakukan segala perkara dengan keesaanNya dan menghukum dengan hukuman yang dikehendakiNya, memuliakan sesiapa yang dikehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki, di tanganNya kekuasaan langit dan bumi dan Dia berkuasa ke atas semua perkara, mengetahui semua perkara, terkaya dari semua makhluk, bagiNya segala urusan, di tanganNya segala kebaikan, tidak ada sekutu dalam perbuatanNya, tidak ada yang boleh mengatasi semua urusanNya bahkan semua makhluk termasuk malaikat, manusia dan jin adalah hambaNya, tidak ada yang mampu keluar dari kerajaan, kekuasaan dan kehendakNya Yang Maha Suci.

PerbuatanNya tidak terhad, tidak terbilang banyaknya, semua keistimewaan tersebut adalah kepunyaan Allah, tidak ada sekutu bagiNya, tidak berhak seorang pun selain daripadaNya dan tidak harus menisbahkan atau mengisbatkan sesuatu darinya kepada pencipta yang lain daripada Allah ‘Azza Wajalla.

Firman Allah Taala:

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) seperti bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 21-22).

Firman Allah Taala:

“Katakanlah (wahai Muhammad), wahai Tuhan Yang Mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 26).

Firman Allah Taala:

“Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di atas muka bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”. (surah Hud, ayat 6).

Firman Allah Taala:

“Ingatlah, bagi Allah jualah segala urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam”. (Surah Al-A’raf, ayat 54).

2. Iktiqad Dengan Nama-Nama Yang Indah Dan Sifat-Sifat Yang Sempurna

Beriktiqad (percaya) dengan keesaan Allah ‘Azza Wajalla dengan nama-nama yang seindah-indahnya dan sesempurna sifat-sifat yang diperkenalkan kepada hamba-hambaNya yang sebahagiannya terdapat dalam kitabNya (Al-Quran) atau Sunnah Nabi yang terakhir dan RasulNya Muhammad s.a.w.

Firman Allah Taala:

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) oleh itu serukanlah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan daripada perbuatan yang telah mereka kerjakan”. (Surah Al-A’raf, ayat 180).

Sabda Nabi s.a.w:

((إن لله تسعة وتسعين اسماً، من أحصاها دخل الجنة، وهو وتر يحب الوتر)). [متفق عليه].

“Sesungguhnya bagi Allah 99 nama. Sesiapa yang menghitungnya masuk syurga. Dan Allah adalah witir (tunggal) dan Dia suka kepada witir (bilangan ganjil)”. (Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari dan Muslim).

a) Iktiqad (kepercayaan) ini tertegak di atas dua asas yang utama:

i) Sesungguhnya Allah mempunyai nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang tinggi yang menunjukkan atas sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sesuatupun kekurangan padaNya dalam semua perkara, tidak menyerupaiNya oleh sesuatu dan tidak ada yang menyengutuiNya sesuatu daripada makhlukNya.

Sebahagian daripada namaNya “Al-Hayyu” (Yang Maha Hidup) dan Dia mempunyai sifat “Hayat” (hidup) yang wajib disabitkan kepada Allah dengan sesempurnanya menurut yang layak bagiNya. Hidup ini ialah hidup yang sempurna dan abadi, berhimpun padanya semua jenis kesempurnaan yang terdiri daripada ilmu, kudrat dan lainnya, tidak pernah didahului oleh tiada dan tidak akan diikuti oleh fana (kemusnahan).

Firman Allah Taala:

“Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang tetap hidup, kekal mentadbir (sekalian makhluk) selama-lamanya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur”. (Surah Al-Baqarah, ayat 255).

ii) Sesungguhnya Allah Taala suci daripada semua sifat kekurangan dan semua cacat cela, seperti tidur, lemah, jahil, zalim dan lainnya, demikian juga Allah Taala suci daripada sebarang bentuk persamaan dengan semua makhluk, maka wajib dinafikan semua perkara yang Allah nafikan daripada diriNya dan dinafikan oleh Rasulullah s.a.w daripada Tuhannya serta beriktikad bahawa Allah bersifat dengan sempurna, bercanggah dengan segala sifat yang dinafikan daripadaNya.

Apabila kita menafikan daripada Allah sifat mengantuk dan tidur bererti kita telah mengisbatkan kepadaNya sempurna kekuasaanNya dan dengan menafikan sifat tidur bererti kita mengisbatkan kepadaNya sempurna hidup, demikianlah semua sifat yang dinafikan daripada Allah U ianya mengandungi isbat sifat kesempurnaan di sebaliknya, Dialah Yang Maha Sempurna dan selain daripadaNya adalah bersifat kurang.

Firman Allah Taala:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, ayat 11).

Firman Allah Taala:

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hambaNya”. (Surah Fussilat, ayat 46).

Firman Allah Taala:

“Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi, sesungguhnya Dia Amatlah Mengetahui lagi Amat Berkuasa”. (Surah Fathir, ayat 44).

Firman Allah Taala:

“Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa”. (Surah Maryam, ayat 64).

Beriman dengan nama-nama Allah, sifat-sifatNya dan perbuatanNya merupakan satu-satunya jalan untuk mengenali Allah dan beribadat kepadaNya, kerana Allah tidak dapat dilihat oleh makhluk semasa hidup di dunia dengan penglihatan mata maka dibuka bagi mereka pintu ilmu yang membolehkan mereka mengenali Tuhan, ‘Ilah’ yang mereka sembah, mereka menyembahNya berdasarkan pengetahuan yang sahih lagi sempurna, seorang hamba menyembah Tuhan yang telah disifatkan, sebaliknya (al-mu’attil) orang yang tidak percaya kepada sifat-sifat Allah menyembah sesuatu yang tiada dan (al-mumassil) orang yang menyamakan Allah dengan makhluk menyembah berhala. Seorang muslim menyembah Allah Yang Esa, Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya.

b) Perkara yang perlu diambilkira dalam mengisbatkan nama-nama Allah yang indah

Dalam mengisbatkan nama-nama Allah yang indah perkara-perkara berikut perlu diambil kira:

i) Beriman dengan sabitnya semua nama-nama Allah yang indah yang tersebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah dengan tidak menambah atau mengurangkannya.

Firman Allah Taala:

“Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan), Yang Maha Melimpahkan Keamanan, Yang Maha Pengawal serta Pengawas, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya), Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan denganNya”. (Surah Al-Hasyr, ayat 23).

Telah sabit dalam As-Sunnah bahawa Nabi s.a.w telah mendengar seorang lelaki berkata:

“اللهم إني أسألك بأن لك الحمد، لا إله إلا أنت، المنان، بديع السموات والأرض، يا ذا الجلال والإكرام، يا الحي يا القيوم” .

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau bahawasanya bagiMu segala puji-pujian dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Mengasihani, Yang Mencipta langit dan bumi, Yang Memiliki Kebesaran dan Kemurahan, Yang Maha Hidup lagi Maha Mengawasi”.

(فقال النبي ﷺ: (( تدرون بما دعا الله ؟ قالوا: الله ورسوله أعلم. قال: والذي نفسي بيده لقد دعا الله باسمه الأعظم الذي إذا دُعي به أجاب، وإذا سُئل به أعطى )). ( رواه أبو داود وأحمد

Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu tahukah apa yang beliau doakan kepada Allah?” Jawab sahabat: ‘Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui’. Sabdanya: “Demi Allah Yang diriku dikuasai tanganNya, sesungguhnya dia telah berdoa kepada Allah dengan namaNya yang agung sekiranya didoakan dengannya maka dikabulkanNya dan jika dipinta dengannya maka diberikanNya”. (H.R. Abu Daud dan Ahmad).

ii) Beriman bahawa Allah Taala yang menamakan diriNya dan bukan dinamakan oleh seorang pun daripada makhluknya, Dialah ‘Azza Wajalla yang telah memuji diriNya dengan nama-nama ini, bukan nama yang baru dijadikan.

iii) Beriman bahawa nama-nama Allah yang indah itu menunjukkan pengertian yang cukup sempurna, yang tidak ada sebarang kekurangan padanya, maka wajib beriman dengan semua pengertian yang tersebut sepertimana wajib beriman dengan semua nama-namaNya.

iv) Wajib menghormati pengertian yang terkandung dalam nama-namaNya dan jangan sekali-kali melakukan sebarang perubahan dan menafikannya.

v) Beriman dengan semua tuntutan yang terkandung dalam nama-namaNya yang terdiri daripada hukum-hukum dan perkara yang bersangkutan dengannya daripada perbuatan dan kesan-kesannya.

Untuk penjelasan kepada lima perkara di atas kami bawakan contoh satu nama Allah iaitu As-Sami’ (السميع) “Yang Maha Mendengar”, maka wajib diambil kira perkara-perkara berikut:

i. Beriman dengan sabitnya nama As-Sami’ السميع sebagai salah satu daripada nama-nama Allah Al-Husna, kerana ianya disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

ii. Beriman bahawa Allah yang telah menamakan diriNya dengan nama tersebut dan berkata dengannya serta menurunkannya dalam kitabNya yang mulia (Al-Quran).

iii. Beriman bahawa “As-Sami’” mengandungi erti ‘mendengar’ yang merupakan salah satu daripada sifat-sifatNya.

iv. Wajib menghormati sifat ‘mendengar’ yang telah menunjukkan ke atasnya nama “As-Sami’” dan tidak mengubah ertinya atau menafikannya.

v. Beriman bahawa Allah mendengar segala sesuatu dan pendengaranNya meliputi semua suara serta beriman dengan kesan beriman bahawa Allah Taala itu Maha Mendengar. Antara kesan-kesan tersebut ialah wajib mengetahui pemerhatian Allah ke atas dirinya, takutkanNya serta gerun kepadaNya dengan penuh keyakinan bahawa tidak ada sesuatupun yang tersembunyi daripada pendengaran Allah s.w.t.

c) Perkara yang perlu diambilkira dalam mengisbat sifat-sifat Allah

Dalam mengisbat sifat-sifat Allah, perkara-perkara berikut perlu diambil kira:

i) Isbat semua sifat-sifat yang tersebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah bagi Allah Taala secara hakiki dengan tidak melakukan sebarang perubahan atau menafikannya.

ii) Iktikad yang tetap bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna dan suci daripada semua sifat-sifat kekurangan atau cacat cela.

iii) Tidak membuat persamaan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat semua makhluk, kerana Allah s.w.t. tiada sesuatupun yang sebanding dengan sifat-sifatNya atau perbuatanNya.

Firman Allah Taala:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, ayat 11).

iv) Putus asa sepenuhnya daripada cuba mengetahui kaifiat (bagaimana) sifat-sifat Allah, kerana tidak mengetahui bagaimana sifat-sifat Allah selain daripadaNya, kerana tidak ada jalan bagi makhluk untuk mengetahuinya.

v) Beriman dengan semua perkara yang terkandung dalam semua sifat-sifat Allah dari segi hukum dan semua tuntutan daripada kesan-kesan beriman dengan sifat-sifat Allah Taala tersebut, maka semua sifat mengandungi ‘Ubudiyyah (perhambaan kepada Allah).

Untuk penjelasan kepada lima perkara di atas kami bawa satu contoh dengan sifat “Al-Istiwa’” الاستواء) ) mesti mengambil kira perkara-perkara berikut:

i) Isbat sifat Al-Istiwa’ (bersemayam) dan beriman dengannya, kerana sifat ini telah disebut dalam nas-nas syara’. Firman Allah Taala:

“Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy”. (Surah Toha, ayat 5).

ii) Isbat sifat Istiwa’ (bersemayam) bagi Allah Taala dengan keadaan yang sempurna yang layak bagi Allah Taala, maknanya: Ketinggian Allah yang berada di atas ArasyNya secara hakiki, mengikut kedudukan yang layak dengan kemulian dan kebesaranNya.

iii) Tidak menyamakan istiwa’ (bersemayam) Allah di atas Arasy dengan kedudukan makhluk di atas singgahsana, kerana Allah tidak berkehendak kepada Arasy, adapun istiwa’ (bersemayam) makhluk maka mereka sentiasa memerlukan dan berhajat kepada sesuatu berdasarkan firman Allah:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, ayat 11).

iv) Tidak membincangkan bagaimana cara istiwa’ Allah di atas Arasy, kerana ianya merupakan perkara ghaib yang tidak sesiapapun mengetahui hakikatnya kecuali Allah s.w.t.

v) Beriman dengan semua hukum dan kesan yang berkaitan dengannya, iaitu dengan mengisbatkan keagungan Allah Taala dan kemegahanNya yang layak bagiNya yang menunjukkan ketinggian kedudukanNya yang mutlak ke atas makhlukNya serta menghadap sepenuh hati ke arah ketinggianNya sepertimana yang diucapkan oleh seorang yang sedang sujud: (سبحان ربي الأعل) ertinya: ‘Maha Suci Tuhan Yang Maha Tinggi’.

3. Iktiqad Bahawa Allah Ialah Ilah (Tuhan) Yang Sebenar

Iktikad bahawa Allah ialah Ilah (Tuhan) yang sebenar yang benar-benar berhak disembah secara zahir dan batin, Yang Esa, tiada sekutu bagiNya.

Firman Allah Taala:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya supaya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahli, ayat 36).

Tidak ada seorang rasul kecuali semuanya telah menyeru kaumnya:

“Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya”. (Surah Al-A’raf, ayat 59).

Firman Allah Taala:

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, dalam keadaan teguh di atas tauhid”. (Surah Al-Bayyinah, ayat 5).

Tersebut di dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim Nabi s.a.w. bersabda kepada Mu’az r.a.:

(( أتدري ما حق الله على العباد، وما حق العباد على الله؟)). قلت: الله ورسوله أعلم. قال: ((حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئاً، وحق العباد على الله ألا يعذب من لا يشرك به شيئاً )).

“Adakah kamu tahu apakah hak Allah ke atas hambaNya dan hak seorang hamba ke atas Allah?”. Jawab Mu’az: ‘Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui’. Sabdanya: “Hak Allah ke atas hambaNya ialah mereka mesti menyembahNya dan jangan sekali-kali melakukan syirik terhadapNya dengan sesuatupun dan hak seorang hamba ke atas Allah ialah tidak mengazab mereka yang tidak melakukan syirik terhadapNya dengan sesuatu”.

Ilah (Tuhan) yang sebenar: ialah Tuhan tempat bergantung hati kepadaNya dengan penuh kasih sayang (mahabbah) lebih daripada semua yang lain, memadai dengan meletakkan pengharapan kepadaNya daripada semua pengharapan kepada selainNya dan cukuplah meminta kepadaNya, memohon bantuan daripadaNya, takut dan gerun kepadaNya daripada semua yang lain daripadaNya.

Firman Allah Taala:

“Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dialah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)”. (Surah Al-Haj, ayat 62).

Inilah tauhid (mengesakan) Allah yang berhubungkait dengan perbuatan hamba-hambaNya.

4. Kepentingan Tauhid.

Kepentingan tauhid dapat diperjelaskan melalui perkara-perkara berikut:

a- Tauhid adalah merupakan asas pertama agama ini, matlamatnya, akhirnya, zahirnya dan batinnya dan ianya merupakan dakwah (seruan) semua rasul (ke atas mereka semua kesejahteraan).

b- Kerana tauhid ini Allah menciptakan makhluk, mengutuskan rasul-rasul dan menurunkan kitab-kitab serta kerananya berselisih pendapat di kalangan makhluk dan berpecah kepada golongan mukmin dan kafir dan golongan yang bertuah dan celaka.

c- Tauhid ialah perkara pertama yang wajib ke atas seorang mukallaf (akil baligh), juga yang pertama membawa seorang hamba memasuki pintu Islam dan yang terakhir bersamanya ketika keluar dari alam kehidupan dunia.

5. Tahkik (perlaksanaan) Tauhid.

Melaksanakan tauhid: ialah membersih dan memurnikannya daripada sebarang bentuk syirik, bidaah (rekaan, tambahan terhadap ajaran agama) dan maksiat. Ianya terbahagi kepada dua bahagian: wajib dan sunat.

a – Wajib terdiri daripada tiga perkara:

i. Membersihkannya daripada perbuatan syirik yang menafikan asas tauhid.

ii. Membersihkannya daripada perbuatan bidaah yang menafikan kesempurnaan perkara yang wajib atau menafikan asas tauhid jika ianya terdiri daripada bidaah yang membawa kepada kekufuran.

iii. Membersihkannya daripada semua bentuk maksiat yang mengurangkan pahala atau memberi kesan kepadanya.

b – Sunat: ialah perkara-perkara yang disuruh melakukannya secara istihbab (tidak wajib), antara contohnya ialah seperti berikut:

i) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan martabat ihsan (menyembah Allah seolah-olah melihatNya).

ii) Tahkik kesempurnaan martabat yakin.

iii) Tahkik kesempurnaan sifat sabar, iaitu dengan tidak membuat sebarang pengaduan kepada makhluk selain daripada Allah.

iv) Tahkik kesempurnaan rasa terkaya, memadai dengan hanya memohon kepada Allah Taala, tidak meminta sebarang permohonan daripada makhluk.

v) Tahkik kesempurnaan martabat tawakkal, iaitu dengan meninggalkan beberapa perkara yang harus seperti meminta supaya dijampi, hanya bertawakkal kepada Allah Taala.

vi) Tahkik kesempurnaan martabat mahabbah (kasih dan cinta) kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat.

Sesiapa yang telah melaksanakan tuntutan tauhid seperti yang tersebut di atas serta selamat daripada melakukan syirik yang besar (perbuatan kufur) juga yang kecil serta menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar dan maksiat maka dia akan mendapat keamanan yang sempurna di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya)”. (Surah An-Nisa’, ayat 48).

Firman Allah Taala:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk”. (Surah Al-An’am, ayat 82).

6. Perkara Yang Bertentangan Dengan Tauhid Ialah Syirik (Menyengutukan Allah Dengan Makhluk), Ianya Terbahagi Kepada Tiga Bahagian:

a) Syirik yang besar, yang menafikan asas tauhid, tidak diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat meninggalkannya (kembali kepada Islam), sesiapa yang mati dalam keadaan syirik akan kekal di dalam neraka selama-lamanya, iaitu mereka yang mengadakan sekutu bagi Allah dalam beribadat, berdoa (meminta) kepadanya seperti mereka berdoa kepada Allah, berserah diri kepadanya, mengharapkan pertolongannya, kasih dan cinta kepadanya serta takut kepadanya seperti mereka lakukan terhadap Allah.

Firman Allah Taala:

“Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. (Surah Al-Maidah, ayat 72).

b) Syirik kecil yang menafikan kesempurnaan tauhid, iaitu setiap perkara yang boleh membawa kepada syirik besar, seperti bersumpah dengan lain daripada nama Allah dan perbuatan riya’ yang sedikit.

c) Syirik tersembunyi (khafi), iaitu perbuatan yang bersangkut dengan niat dan amalan hati, kadang-kadang ianya menjadi syirik besar dan adakalanya syirik kecil seperti yang telah dijelaskan dalam jenis pertama dan kedua di atas.

Dari Mahmud bin Labid r.a. Rasulullah s.a.w bersabda:

(( إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر، قالوا وما الشرك الأصغر يا رسول الله ؟ قال: الرياء )). [ رواه الإمام أحمد ].

“Sesungguhnya perkara yang aku sangat takuti menimpa kamu ialah syirik kecil”. Sahabat bertanya: ‘Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?’. Sabdanya: “Riya’”. (H.R. Imam Ahmad).

B – PENGERTIAN IBADAT

Ibadat ialah satu nama yang meliputi semua perkara yang disukai oleh Allah serta diredhaiNya iaitu dari segi ‘aqidah (pegangan atau iktikad), amalan hati, amalan anggota dan semua amalan yang mendekatkan diri kepada Allah daripada perbuatan-perbuatan yang wajib dilakukan dan perbuatan-perbuatan yang wajib ditinggalkan.

Termasuk di bawah nama ibadat semua perkara yang telah disyariatkan oleh Allah dalam kitabNya atau melalui Sunnah RasulNya Muhammad s.a.w dan ianya merupakan beberapa jenis ibadat, sebahagian daripadanya ialah ibadat yang bergantung dengan hati seperti Rukun Iman yang enam, khauf (takut), raja’ (harap), tawakkal, raghbah (sangat kasih/gemar), rahbah (gerun) dan lainnya dari jenis ibadat. Sebahagiannya ibadat zahir seperti solat, zakat, puasa dan haji.

1. Tidak Sah Sesuatu Ibadat Kecuali Dibina Di Atas Dua Landasan:

a – Mengikhlaskan ibadat kepada Allah dan tidak melakukan syirik terhadapnya, inilah makna syahadah (pengakuan) La ilaha illallah (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Firman Allah Taala:

“Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah Az-Zumar, ayat 3).

Firman Allah Taala:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, dalam keadaan teguh di atas tauhid”. (Surah Al-Bayyinah, ayat 5).

b – Mengikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, dengan melakukannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w tanpa membuat sebarang penambahan atau pengurangan, inilah makna syahadah (pengakuan) Muhammad Rasulullah.

Firman Allah Taala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 31).

Firman Allah Taala:

“Dan segala perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan segala yang dilarangNya maka patuhilah laranganNya”. (Surah Al-Hasyr, ayat 7).

Firman Allah Taala:

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan itu dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. (Surah An-Nisaa’, ayat 65).

2. ‘Ubudiyyah (Perhambaan) Yang Sempurna Tidak Akan Terlaksana Kecuali Dengan Dua Perkara:

a) – Mahabbah atau cintakan Allah dengan sepenuhnya, iaitu dengan mendahulukan mahabbah atau cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada semua yang lain.

b) – Tunduk, patuh dan menghina diri kepada Allah, iaitu dengan melaksanakan semua tuntutan dan menjauhkan diri daripada semua larangan Allah.

Al-‘Ubudiyyah ialah suatu ibarat yang menghimpunkan rasa mahabbah serta penuh kehinaan dan kepatuhan, rajaa’ dan khauf, maka dengan itu terlaksanalah ‘ubudiyyah seorang hamba terhadap Tuhannya dan Penciptanya. Dengan melaksanakan ‘ubudiyyah kepada Allah dengan sepenuhnya akan membawa seorang hamba mencapai tahap mahabbah (cinta/kasih)kan Allah dan keredhaanNya, sesungguhnya Allah kasih kepada hambaNya yang menghampirkan diri kepadaNya dengan melakukan semua suruhan yang difardhukan ke atasnya. Apabila seorang hamba memperbanyakkan amalan sunat bertambah hampirlah ia kepada Allah Taala dan terangkatlah darjatnya di sisi Allah dan semua itu adalah sebahagian daripada sebab yang akan memasukkannya ke dalam syurga dengan limpah kurnia serta rahmat daripada Allah Taala.

Firman Allah Taala:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah Al-A’raf, ayat 55).

C – DALIL-DALIL SERTA TANDA KEESAAN ALLAH

Sesungguhnya dalil atau tanda keesaan Allah Taala sangat banyak, sesiapa yang memerhatikannya serta merenunginya maka akan teguh ilmunya serta bertambah keyakinannya terhadap keesaan Allah Taala dalam mentadbir serta wahdaniyyah (keesaan) Allah pada perbuatanNya, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan Uluhiyyah (ketuhanan)Nya.

Antara dalil-dalil dan tanda-tanda kewujudan Allah ialah seperti berikut:

1) Agungnya kejadian alam semesta ini, halus seni ciptaannya, pelbagai jenis makhluk terdapat di dalamnya, sistem perjalanannya yang teratur, sesiapa yang memerhatikannya serta berfikir tentang kejadiannya akan berasa yakin dengan wahdaniyyah (keesaan) Allah. Maka mereka yang memerhatikan kejadian langit dan bumi, matahari dan bulan, manusia dan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan akan mengetahui dengan penuh yakin bahawa semua makhluk itu ada pencipta yang sempurna pada nama-namaNya, sifat-sifatNya dan uluhiyyah (ketuhanan)Nya, semua yang tersebut menunjukkan bahawa Allah Yang Esa sahaja berhak disembah.

Firman Allah Taala:

“Dan Kami telah jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya. Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang serta matahari dan bulan, tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 31-33).

Firman Allah Taala:

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Rum, ayat 22).

2) Ajaran syariat yang telah Allah utuskan melalui rasul-rasul dan dikuatkan pula ajaran tersebut dengan tanda-tanda keterangan yang menunjukkan kepada wahdaniyyah serta keesaan Allah Taala untuk disembah, semua ajaran yang telah disyariat oleh Allah ke atas makhlukNya daripada hukum hakam menjadi dalil yang nyata bahawa ianya tidak datang kecuali daripada Rabb (Pencipta) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui perkara yang baik untuk makhluk ciptaanNya.

Firman Allah Taala:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas (nyata) dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”. (Surah Al-Hadid, ayat 25).

Firman Allah Taala:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya sekiranya sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”. (Surah Al-Isra’, ayat 88).

3) Fitrah kejadian manusia yang telah Allah jadikan dalam hati hamba-hambaNya mengakui keesaan Tuhan, ianya merupakan suatu perkara yang telah tetap dalam diri manusia. Apabila manusia ditimpa bala bencana mereka akan mendapatinya (fitrah) serta kembali kepada Allah. Jika seorang manusia selamat daripada keraguan (yang melemahkan imannya) dan syahwat yang merubah perjalanan fitrahnya nescaya mereka akan dapati dalam dirinya pengakuan serta kepatuhan kepada keesaan Allah dalam uluhiyyahNya, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya juga akan patuh kepada ajaran syariat yang dibawa oleh rasul-rasulNya (ke atas mereka semua selawat dan salam).

Firman Allah Taala:

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa merujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertakwalah kamu kepadaNya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul dan sempurna dan janganlah kamu tergolong dari mana-mana golongan orang musyrik”. (Surah Ar-Rum, ayat 30-31).

Sabda Nabi s.a.w:

((كل مولد يولد على الفطرة، فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه، كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء، هل تحسون فيها من جدعاء. ثم قرأ _______ )) [ رواه البخاري ].

“Setiap anak yang dilahirkan adalah di atas landasan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi, sebagaimana binatang telah melahirkan anaknya dengan sempurna, apakah kamu tidak sedar ada di antaranya yang cacat (putus hidung dengan sebab perbuatan tuannya), kemudian Abu Hurairah r.a. membaca ayat (maksudnya): “(turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya”. (H.R. Al-Bukhari No. 1358).

* * *

“Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net
Bacaan lanjut – Perbincangan Aqidah Dari Kitab Sahih Bukhari
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Rukun Iman: Pengenalan

بسم الله الرحمن الرحيم Rukun Iman ialah: Beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan Hari …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>