Sunday, April 21, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Rukun Iman » Rukun Ketiga: Beriman Dengan Kitab

Rukun Ketiga: Beriman Dengan Kitab

Download PDF
Video Syarah Rukun Iman – Beriman Dengan Kitab

 

Beriman dengan kitab-kitab Allah yang diturunkan ke atas rasul-rasul ‘alaihimussalam ialah Rukun Iman yang ketiga, kerana Allah Taala telah mengutuskan rasul-rasulNya dengan bukti-bukti yang jelas serta menurunkan kepada mereka kitab-kitab yang menjadi rahmat kepada alam semesta. Menjadi petunjuk kepada mereka untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, juga sebagai pedoman hidup yang akan mereka lalui dan penyelesai kepada semua perkara yang menjadi perselisihan dikalangan mereka.

Firman Allah Taala:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas (nyata) dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”. (Surah Al-Hadid, ayat 25).

Firman Allah Taala:

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai perkara yang mereka perselisihkan”. (Surah Al-Baqarah, ayat 213).

A – HAKIKAT BERIMAN DENGAN KITAB-KITAB

Beriman dengan kitab-kitab ialah mengakui dengan sepenuhnya bahawa bagi Allah Kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul a.s. Kitab-kitab itu adalah kalam Allah yang hakiki, ianya membawa cahaya dan petunjuk, semua isi kandungannya hak, benar dan adil. Kita wajib mengikutinya dan beramal dengannya, tidak diketahui bilangannya kecuali Allah.

Firman Allah Taala:

“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan). (Surah An-Nisa’, ayat 164).

Firman Allah Taala:

“Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu)”. (Surah At-Taubah, ayat 6).

B – HUKUM BERIMAN DENGAN KITAB

Wajib beriman dengan semua kitab yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasulNya ‘alaihimussalam. Allah Taala berkata-kata dengan secara hakiki, sesungguhnya kitab yang diturunkan itu bukanlah makhluk, sesiapa yang mengingkarinya atau sebahagian daripadanya akan menjadi kafir.

Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad s.a.w.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan terdahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”. (Surah An-Nisa’, ayat 136).

Firman Allah Taala:

“Dan ini sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu mengikutinya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-An’am, ayat 155).

C- KEPERLUAN MANUSIA KEPADA KITAB-KITAB (PETUNJUK) DAN HIKMAH DARIPADA PENURUNANNYA

1. Supaya kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul akan menjadi rujukan bagi umatnya, mereka merujuk kepadanya untuk mengetahui agama mereka.

2. Supaya kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul akan menjadi sumber hukum yang adil kepada umatnya dalam semua perkara yang menjadi perselisihan.

3. Supaya kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul akan menjaga agama selepas kewafatan rasul tersebut, walaupun panjang jarak masa dan tempat, sebagaimana keadaan dakwah Nabi kita Muhammad s.a.w.

4. Supaya kitab-kitab ini menjadi hujjah Allah Taala ke atas hambaNya, tidak mungkin mereka menyalahinya atau keluar dari mengikutinya.

Firman Allah Taala:

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan”. (Surah Al-Baqarah, ayat 213).

D – CARA BERIMAN DENGAN KITAB-KITAB

Beriman dengan kitab-kitab Allah secara umum dan secara terperinci:

Beriman secara umum ialah:

Beriman bahawa Allah Taala telah menurunkan kitab-kitab kepada rasul-rasulNya a.s.

Manakala beriman secara terperinci pula ialah:

Beriman dengan semua kitab yang Allah sebutkan namanya di dalam Al-Quran. Sesungguhnya kita telah mengetahui sebahagian daripadanya, iaitu: Al-Quran, Taurat, Zabur, Injil, Suhuf Ibrahim dan Suhuf Musa. Kita juga beriman bahawa sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan kitab-kitab lain selain daripada kitab-kitab yang tersebut kepada nabi-nabiNya, tidak mengetahui namanya serta bilangannya kecuali yang menurunkannya (Allah Taala).

Semua kitab ini diturunkan untuk meneguhkan tauhid terhadap Allah dengan mengesakannya dengan ibadat dan amal soleh serta menegah daripada melakukan perbuatan syirik dan kerosakan di atas muka bumi ini. Asal dakwah para nabi adalah satu, walaupun berbeza dari segi syariat dan hukum. Beriman dengan kitab-kitab bererti mengakui turunnya kitab-kitab kepada rasul-rasul yang terdahulu dan beriman dengan Al-Quran ialah mengakui kebenarannya serta mengikut semua isi kandungannya.

Firman Allah Taala:

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman semuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 285).

Firman Allah Taala:

“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah”. (Surah Al-A’raf, ayat 3).

Sesungguhnya Al-Quran istimewa daripada kitab-kitab terdahulu disebabkan beberapa perkara, yang terpentingnya ialah:

1. Al-Quran adalah mukjizat dengan lafaz dan maknanya serta semua isi kandungannya yang mengandungi hakikat alam semesta dan sains.

2. Al-Quran ialah kitab terakhir yang diturunkan dari langit, menjadi penutup kepada semua kitab-kitab terdahulu sebagaimana Nabi kita Muhammad s.a.w menjadi penutup sekalian rasul.

3. Allah Taala telah menjamin untuk menjaganya daripada sebarang penyelewengan atau pengubahan, berbeza dengan kitab-kitab yang lain, telah ditukar dan diubah isi kandungannya.

4. Al-Quran membenarkan semua kitab yang terdahulu daripadanya serta memelihara dan mengawasi kitab-kitab tersebut.

5. Al-Quran telah membatalkan (menasakh) semua kitab-kitab yang terdahulu.

Firman Allah Taala:

“(Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah merupakan suatu cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan merupakan keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”. (Surah Yusuf, ayat 111).

E – MENERIMA KHABAR (BERITA) KITAB-KITAB TERDAHULU

Kita mengetahui secara yakin bahawa semua cerita yang terkandung di dalam kitab-kitab terdahulu yang telah diwahyukan oleh Allah kepada rasul-rasulNya ‘alaihimussalam adalah benar dan tidak diragui akan kebenarannya.

Ini tidak bermakna kita menerima semua isi kandungan kitab-kitab yang masih ada di tangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), kerana ianya telah ditukar dan diselewengkan, tidak ada lagi naskhah sebenar sebagaimana yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasulNya ‘alaihimussalam.

Di antara yang kita yakini benar daripada isi kandungan kitab-kitab terdahulu ialah perkara yang telah diterangkan oleh Allah di dalam kitabNya: ‘Bahawa sesungguhnya seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain kecuali dosa yang dilakukannya sahaja’. Dan ‘bahawasanya seseorang itu tidak memperolehi sesuatu selain apa yang telah diusahakannya’. Dan ‘bahawa sesungguhnya usaha itu akan ditunjukkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usaha itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna’.

Firman Allah Taala:

“Atau belumkah dia diberitahu akan apa yang terkandung dalam kitab-kitab Nabi Musa dan juga (dalam kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya). (Dalam kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain kecuali dosa yang dilakukannya sahaja dan bahawasanya seseorang itu tidak memperolehi sesuatu selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usaha itu akan ditunjukkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usaha itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”. (Surah An-Najm, ayat 36-41).

Firman Allah Taala:

“Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam kitab-kitab yang terdahulu, iaitu kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa. (Surah Al-A’la, ayat 16-19).

Adapun hukum-hukumnya.

Semua hukum yang terkandung di dalam Al-Quran wajib ke atas kita untuk mengikutinya. Ini berbeza dengan isi kandungan kitab-kitab yang terdahulu, kita pertimbangkan dahulu, sekiranya ia bercanggah dengan syariat kita maka tidak boleh beramal dengannya, bukan ianya suatu hukum yang batil, sebaliknya ia adalah suatu yang hak pada zaman diturunkannya tetapi kita tidak wajib mengikutinya kerana ia telah termansuh (terbatal) dengan syariat kita dan sekiranya ia bertepatan dengan syariat kita maka ianya benar, syariat kita telah membuktikan kebenarannya.

F – KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN DARI LANGIT YANG DISEBUT DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH, ialah:

1. Al-Quran Al-Karim.

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, penamat sekalian rasul, ia adalah kitab terakhir yang diturunkan, Allah telah menjamin untuk menjaganya daripada sebarang penyelewengan dan pengubahan serta menjadikannya nasikh (pembatal) semua kitab-kitab yang lain.

Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr, ayat 9).

Firman Allah Taala:

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukuman di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu)”. (Surah Al-Maidah, ayat 48).

2. Taurat.

Taurat ialah kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. dan menjadikannya petunjuk dan cahaya yang berhukum dengannya Bani Israel dan ulama’ mereka.

Kitab Taurat yang kita wajib beriman dengannya ialah Taurat yang Allah turunkan kepada Nabi Musa a.s, bukan Taurat yang telah dipinda dan diubah yang berada di tangan Ahli Kitab sekarang.

Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama’ mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu”. (Surah Al-Maidah, ayat 44).

3. Injil.

Injil ialah Kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi ‘Isa a.s., menjadi pembenar kepada kitab-kitab dari langit yang terdahulu darinya.

Kitab Injil yang kita wajib beriman dengannya ialah Injil yang Allah turunkan kepada Nabi ‘Isa a.s dengan asas yang sahih, bukan Injil yang telah dipinda dan diubah yang berada di tangan Ahli Kitab sekarang. Firman Allah Taala:

“Dan Kami utuskan Nabi ‘Isa ibni Mariam mengikuti jejak langkah mereka (nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayat dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa”. (Surah Al-Maidah, ayat 46).

Di antara isi kandungan Taurat dan Injil ialah membawa khabar risalah Nabi kita Muhammad s.a.w.

Firman Allah Taala:

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w.) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala perkara yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala perkara yang buruk dan dia juga menghapuskan beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”. (Surah Al-A’raf, ayat 157).

4. Zabur.

Zabur ialah Kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Daud a.s.

Kitab Zabur yang kita wajib beriman dengannya ialah Zabur yang Allah turunkan kepada Nabi Daud a.s., bukan Zabur yang telah dipinda dan diubah oleh angkara jahat orang Yahudi. Firman Allah Taala:

“Dan juga Kami telah mengurniakan kepada Nabi Daud Kitab Zabur. (Surah An-Nisa’, ayat 163).

(5) Suhuf Nabi Ibrahim a.s. dan Musa a.s

Iaitu Suhuf yang telah diberi oleh Allah kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa a.s.. Suhuf-suhuf ini telah hilang tidak dapat diketahui sesuatu tentang isi kandungannya kecuali perkara yang telah disebut mengenainya dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah Taala:

“Atau belumkah dia diberitahu akan apa yang terkandung dalam kitab-kitab Nabi Musa dan juga (dalam kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)? (Dalam kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain kecuali dosa yang dilakukannya sahaja. Dan bahawasanya seseorang itu tidak memperolehi sesuatu selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usaha itu akan ditunjukkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usaha itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”. (Surah An-Najm, ayat 36-41).

Firman Allah Taala:

“Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam kitab-kitab yang terdahulu, Iaitu kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa”. (Surah Al-A’la, ayat 16-19).

***

“Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Rukun Iman: Pengenalan

بسم الله الرحمن الرحيم Rukun Iman ialah: Beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan Hari …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>