
4.18 Tarekat
Tarekat bererti jalan, dalam ajaran tasawuf. Tarekat ialah satu istilah yang lahir selepas zaman permulaan Islam, bermaksud jalan yang dilalui untuk beribadat bagi mencapai ke suatu maqam yang tinggi dalam usaha mengenal Allah. Menurut keyakinan sufi orang tidak boleh sampai kepada hakikat tujuan ibadat sebelum menempuh jalan itu. Jalan itu dinamakan tarekat. Pelbagai nama tarekat terdapat di Malaysia, di antara yang popular hingga kini ialah, Tarekat Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Ahmadiyyah, Samaniyyah, Syazaliyyah, Refaiyyah dan lain-lain. Pihak kerajaan telah membuat kajian tentang tarekat di Malaysia dan mendapati ada beberapa tarekat telah menyeleweng dari ajaran Islam. Oleh itu satu keputusan telah dibuat bahawa kerajaan tidak boleh mengiktiraf mana-mana tarekat tertentu kerana dibimbangi ada berlaku penyelewengan dalam aspek tertentu.
