Sunday, December 8, 2019

3. PENJELASAN DASAR UMUM AQIDAH

Download PDF

 

 3.1 Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Malaysia sebagai sebuah negara Islam, telah menentukan hanya aqidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja dijadikan pegangan dan amalan rasmi kerajaan dan rakyatnya serta tidak menerima lain-lain fahaman untuk diterima pakai.

Huraian:

 Aqidah dari segi bahasa bererti simpulan atau ikatan pada suatu benda, iaitu seperti tali yang disimpulkan supaya menjadi kemas dan kuat. Aqidah ialah Iman, Iman ialah tasdiq ( membenarkan dengan hati) yang pasti dan menepati kenyataan yang lahir daripada dalil. Ahli yang dimaksudkan ialah para penganut atau pengikut.

Sunnah dari segi bahasa ialah jalan atau cara nabi. Dari segi istilah ialah segala apa yang datang dari nabi Muhammad s.a.w. sama ada perkataan, perbuatan, sifat, dan taqrirnya (pengakuannya).

Ahli Sunnah ialah mereka yang mengikut dan mempertahankan sunnah Rasulullah s.a.w.

Al-Jamaah dari segi bahasa ialah perkumpulan orang ramai yang berhimpun. Dari segi istilah ialah jalan sahabat dan orang yang hidup selepas mereka, maka lahirlah istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah orang yang terdahulu dari kalangan umat Islam iaitu para sahabat dan tabi ‘in yang sepakat di atas al-Haq yang amat jelas iaitu menerima Al-Quran dan Al-Sunnah .

3.2. Asas Umum Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah

– Mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah.

– Mentafsirkan al-Quran dengan al-Quran.

– Mentafsirkan al-Quran dengan al-Sunnah.

– Mengutamakan pendapat Sahabat dan Tabi ‘in.

– Meraikan kaedah-kaedah Bahasa Arab dalam memahami nas.

– Berpegang kepada zahir nas kecuali ada bukti ia tidak dikehendaki.

– Mengutamakan tanzih (mensucikan Allah dari menyerupai makhluk dan dari manamana sifat kekurangan, bahawa hakikat ketuhanan itu tidak terjangkau akal atau transcendence, hampir sama maksud dengan mukhalafatuhu lil hawadith ) dan taqdis (penyucian Allah) dalam persoalan mutasyabihat(ayat-ayat yang mengandungi perkataan yang sama dengan makhluk ).

3.3. Dasar Ahli Sunnah Yang Disepakati Kebenarannya

– Meyakini bahawa Islam agama Allah.

– Meyakini bahawa hakikat Islam terdiri dari Iman, Islam dan Ihsan.

– Meyakini ke Esaan Allah.

– Meyakini bahawa Allah Maha Pencipta dan mempunyai asma’ dan sifat Maha Sempurna.

– Meyakini bahawa seluruh makhluk adalah ciptaan Allah.

– Meyakini bahawa segala apa yang berlaku menurut qada’ dan qadar Allah.

– Meyakini bahawa ahli qiblat (orang Islam ) tidak dikufurkan atas sebab kemaksiatan.

– Meyakini Allah dapat dilihat di akhirat kelak.

– Meyakini hakikat soalan malaikat dan azab kubur.

– Meyakini hakikat Nabi Muhammad akan memberi syafaat pada hari kiamat.

– Meyakini hari Kiamat

– Meyakini bahawa asas agama adalah ittiba’ (mengikuti jejak Nabi berdasarkan hujah ) bukan ibtida’ (rekaan manusia ).

– Meyakini bahawa menyatupadukan umat Islam matlamat terbesar dalam Islam.

3.4. Faktor Kesesatan Yang Diijma’kan Ahli Sunnah

Kesesatan aqidah tidak terkeluar daripada tiga faktor berikut:

Pertama: Menolak, menafi atau mengingkari hakikat Islam itu sendiri, sama ada kerana kejahilan, sangkaan, ikut-ikutan atau kerana sememangnya disengajakan, walaupun mengetahui kebenarannya;

Kedua: . Keterlauluan yang dipacu oleh rasa fanatik dan hawa nafsu, sehingga ke tahap sanggup menolak, menafi atau mengingkari hakikat- hakikat Islam;

Ketiga: . Takwilan yang batil, yang tidak berdasarkan kepada kaedah-kaedah bahasa Arab dan syara’, yang didorong oleh rasa fanatik dan hawa nafsu selain dari kelemahan iman.

Huraian :

 3.4.1. Penjelasan kesesatan dari faktor pertama,

Mengingkari hakikat Islam samada sengaja, jahil atau ikut-ikutan. Ia meliputi ciri-ciri dan perkara berikut:

  • Semua jenis agama atau kepercayaan yang bukan Islam, sama ada agama samawi atau agama budaya,
  • Segala apa jua bentuk kemulhidan dan kemungkaran ke atas hakikat-hakikat Islam yang disepakati kebenaran dan kesahihannya sama ada yang berbentuk individu atau berkumpulan,
  • Keingkaran atau penolakan hadis dalam memahami dan mengamalkan Islam, iaitu mereka yang hanya berpegang al-Quran sahaja,
  • Segala apa pun bentuk kesyirikan, , sama ada pada Zat Allah, Asma’, Sifat Ketuhanan Rububiyyah atau Uluhiyyah, sama ada dalam bentuk pemikiran, pertuturan atau perbuatanNya. Kesemua kesesatan dan kebatilan ini bercanggah dengan hakikat-hakikat yang terpancar dari manhaj Islam.

3.4.2 Penjelasan Kesesatan dari faktor kedua.

Segala bentuk keterlaluan (ghuluw) dari batas-batas Islam yang disepakati secara ijma’ dalam kepercayaan atau perlakuan yang berpunca dari kepercayaan. Antara contohnya;

  • Menolak keimanan dan kepimpinan Abu Bakar Assiddiq dan Umar yang dilantik secara sah mengikut manhaj Islam, tanpa mengira kata sepakat dan ijma’ keatas kesahihan tersebut.
  • Memberikan sifat-sifat kenabian kepada seseorang selain Nabi , walaupun betapa tinggi darjatnya, secara khususnya kepada Saidina Ali k.w. seperti sifat penerimaan wahyu, sifat kemaksuman dan lain-lain.
  • Merendah-rendahkan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah terbukti kesahabatan mereka, yang telah diperakui istiqamah, ketakwaan dan kasalehan mereka oleh ahli al-Salaf al-Saleh.
  • Memberikan sifat kemaksuman kepada setengan masyayekh (Syekh tarekat), sehingga sikap dan perlakuannya diamggap menjadi hujjah yamg mengatasi Nas, sedangkan kedudukan sebenarnya Nas itulah yang menjadi hujjah keatas segala-galanya.
  • Mempercayai adanya sesetengah imam Syiah Ithna Asyariyyah yang telah mencapai taraf dan martabat yang tidak dicapai oleh Malaikat muqarrabun dan Nabi yang diutuskan.
  • Kepercayaan yang mengatakan bahawa pelaku dosa besar menjadi kafir atau murtad, seperti yang menjadi pegangan golongan Khawarij . Bahkan pelaku dosa dan maksiat, walaupun apa pun jenisnya, menjadikan kafir dan terkeluar dari millah atau agama Islam, walaupun perbuatan itu suatu kesilapan atau usaha ijtihad.
  • Demikian juga kepercayaan sebaliknya yang megatakan bahawa perbuatan dosa, walau apapun jenisnya, tidak menjejaskan (memudharatkan) iman, sepertimana suatu ketaatan yang dilakukan dalam kekafiran tidak memanfaatkan, seperti yang menjadi pegangan Golongan Murji’ah tulin.
  • Termasuklah menafikan kebangkitan semula pada Hari Kiamat dengan jasad dan rohnya sekali.
  • Menafikan nikmat syurga dan azab neraka yang bersifat jasmani pada Hari Akhirat.
  • Menafikan mukjizat kawniyyah pada Nabi Muhammad s.a.w. dengan alasan mukjizat Nabi hanya mukjizat al-Quran sahaja. Sikap ghuluw atau keterlaluan adalah satu sikap kejiwaan, antara sifat khususnya ialah;
  1. Keras kepala dengan pendapatnya sendiri,
  2. Menutup mata dan telinga terhadap pandangan orang lain,
  3. Tidak punya hujah dan dalil, kalau ada pun hanya sebagai rekaan atau pun bukti yang salah dan mengelirukan demi untuk mempertahankan keterlaluannya, lebih-lebih lagi jika ditegakkan diatas dasar puak atau politik kepartian yang sempit.

3.4.3 Penjelasan Kesesatan Dari Faktor Ketiga.

Takwilan yang batil yang tidak berdasarkan kaedah bahasa Arab dan syarak.

Kesesatan dalam faktor ini termasuklah; segala apa juga kepercayaan, tasawwur atau pendapat yang diasaskan kepada satu nas dari al-Quran atau al-Sunnah atau lebih, dengan takwil nas-nas itu dengan takwilan yang tidak diperakui oleh kaedah-kaedah yang tetap dalam bahasa Arab yang menjadi Bahasa al-Quran, iaitu kaedah-kaedah yang telah disepakati secara ijma’ oleh tokoh-tokoh ulama’ bahasa sejak dari zaman berzaman. Kesesatan dan penyelewengan dari faktor ini sangat banyak dan kebanyakan adalah dalam bidang aqidah dan asas-asas dalam pemikiran Islam. Antaranya ialah;

a) Mentakwilkan ayat-ayat sifat dengan cara yang membawa kepada menta’tilkan (merosakkan atau menafikan) sifat-sifat tersebut pada zat Allah, seperti menafikan al-Yadd (tangan), al-Wajh (muka) dan seumpamanya yang telah pun disebutkan Allah pada zatNya, seperti takwilan oleh golongan Mu’attilah, Mu’tazilah dan golongan ahli falsafah Ilahiyyah.

b) Demikian sebaliknya, mentasybih atu mentajsimkan sifat-sifat tersebut, iaitu memahami ayat-ayat sifat tadi dengan maknanya yang zahir, yang menyamai sifat-sifat makhluk seperti yang dilakukan oleh golongan Musybbihah dan Mujassimah.

c) Menafikan bahawa setiap muslim boleh melihat Allah di akhirat kelak. Sesuai dengan pendapatnya ini, maka perkataan “Nazirah” (surah Mutaffifin ayat:15) ditakwilkan dengan “muntazirah”( al-Qiyamah ayat:23), sedangkan menurut kaedah bahasa dan ilmu kefaqihan bahasa bahawa diantara dua perkataan tersebut sememangnya berlainan dan berbeza dari semua sudutnya. Takwilan seperti ini adalah takwilan yang salah dan batil, yang sama sekali tidak mempunyai sandaran bukti atau hubungan yang membolehkan perkataan itu ditakwilkan.

d) Mentakwilkan perkataan “al-Rasul” (al-Isra’ ayat:15) dengan makna akal, semata-mata untuk sesuaikan dengan aliran ‘aqlamiyyahnya. Takwilan ini adalah takwilan batil,yang tidak bertangguh oleh lafaz perkataan itu sendiri, yang sememangnya tidak punya ruang untuk mentakwilkan perkataan tersebut. Selain itu terdapat beberapa ayat lain yang menunjukkan sera putus dan yakin (Dilalah Qat’iyyah) bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan rasul atau rasul-rasul itu tidak lain dari seorang atau beberapa orang lelaki yang dibangkitkan untuk menjadi utusan Allah.

e) Mentakwilan perkataan “Majma’ al-Bahraain” (s. al-Khaf ayat:60) dengan majma’ wilayah al-Syekh dan wilayah al-Murud. Perkataan “al-Sakhrah” (al-Khaf ayat:63) dengan makna nafsu dan lain-lain (seperti mana dicatatkan oleh Goldzihar dalam buku Aqidah dan Syariah, 1940, hal157) Takwilan seperti contoh yang teraakhir biasanyan dilakukan oleh golongan yang mengaku sebagai ahli tasawuf atau lebih tepat oleh penyesat-penyesat yang bertopengkan tasawuf (lihat Mohd Sulaiman HJ. Yasin, Ahlis- Sunnah Wal-Jamaah, Yayasan Salman, Bangi, Selangor, 1997, 97-105)

3.5. Syirik

 3.5.1. Takrif Syirik.

Syirik ertinya mengongsi atau menyengutukan Allah dengan benda-benda lain.

Syirik mengandungi perkara-perkara berikut:

a) Menyengutukan Allah pada sifat Rububiyyah atau Asma’ dan sifat atau pada sifat Uluhiyyah.

b)Mengambil sesuatu makhluk sama ada nabi-nabi, wali-wali, malaikat, kubur, jin, pokok kayu, batu, binatang, matahari, bulan, bintang dan seumpamanya.

c)Menyengutukan atau menyamakan Allah dengan sesuatu makhluk seperti seorang menyembah Allah di samping menyembah makhluk, dia kasih kepada makhluk sama seperti kasihkan Allah, takut kepada makhluk sama seperti takut kepada Allah, mentaati makhluk sama seperti mentaati Allah.

3.5.2. Jenis-Jenis Syirik

 Para ulama telah membahagikan syirik kepada dua jenis,

Pertama : Syirik Besar atau Nyata.

Kedua : Syirik Kecil

Syirik Besar

Iaitu mempercayai atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau setanding dengan Allah yang ditujukan kepadaNya, doa permohonan sama seperti yang ditujukan kepada Allah, atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau setanding dengan Allah yang diuntukkan kepadaNya suatu cara ibadat yang hanya khusus untuk Allah sahaja, seperti seorang mengambil jin, syaitan, pokok, binatang, bulan, bintang sebagai tempat tumpuan ia beribadat, berlindung, atau tempat ia memberi ketaatan, berdoa memohon sesuatu atau seumpamanya.

Jenis Syirik Besar

Syirik besar terbahagi kepada dua bahagian:

a) Syirik yang nyata atau jelas: iaitu menyengutu dalam bentuk penyembahan, seperti menyembah matahari, bulan, atau manusia, berhala atau lain lain.

b) Syirik yang tidak nyata, iaitu yang tersembunyi, antaranya:

  1. Meminta doa dan pertolongan dari kubur atau orang mati seperti minta tolong melepaskan dari bala kesusahan dan lain-lain.
  2. Mengambil selain Allah sebagai pembuat syariat seperti menghalal yang haram atau mengharam sesuatu yang halal.

Syirik Kecil

Syirik kecil ialah segala kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau peraturan Allah, seperti riak dalam melakukan ibadat.

Jenis-Jenis Syirik Kecil

Banyak syirik kecil yang berlaku dalam masyarakat, antaranya ialah:

  1. Ria’ dalam melakukan ibadat dan amal soleh, seperti melakukan sembahyang sunat untuk menunjuk- nunjuk kepada orang tertentu, atau bersedekah dengan niat untuk mendapatkan nama.
  2. Bersumpah dengan sesuatu selain Allah, seperti berkata demi tanah air atau demi nama disebut nama kekasih atau lain-lain aku akan laksanakan perkara tertentu.
  3. Memakai benang atau azimat untuk mengubati penyakit, dengan meletakkan di leher atau di lengan atau di pinggang.
  4. Jampi dan mentera dengan memohon pertolongan dari jin dan syaitan.
  5. Bernazar kepada sesuatu selain Allah. Seperti nazar pada kubur, telaga atau pokok dan lain-lain.

3.6. Sumber Ilmu Dalam Aqidah (Asbab Al-‘Ilmi):

Sumber ilmu adalah saluran manusia boleh mengetahui sesuatu ilmu. Dalam bidang aqidah Islam ada tiga perkara:-

  • Pancaindera yang sejahtera.
  • Akal yang waras
  • Khabar yang benar iaitu Al-Quran, al-Sunnah dan maklumat yang diketahui ramai.

Huraian 

3.6.1. Huraian sumber pertama (pancaindera yang sejehtera). Pancaindera yang lima ialah pendengaran (telinga), penglihatan (mata), bau (hidung), perasa (lidah), dan sentuhan (tubuh).

3.6.2. Huraian sumber kedua. (khabar yang benar)

Khabar yang benar ada dua;

  • Khabar yang mutawatir, khabar yang berlaku melalui percakapan ramai yang tak mungkin berlaku dusta seperti wujud negara tertentu.
  • Khabar rasul yang dikuatkan dengan mukjizat iaitu khabar Rasulullah s.a.w. yang mewajibkan dapat dan mendapat dalil serta ilmu yang thabit yakin.

3.6.3  Huraian sumber ketiga ( akal sejahtera).

Akal sejahtera iaitu sebab bagi pengetahuan dan barang yang thabit dengan akal yang nyata, yang dikatakan suatu yang pasti seperti satu adalah setengah dari dua atau dihukum alam ini baru sebab kita lihat ia berubah-ubah, maka tiap yang berubah itu baru.

Sementara Ilham dan kasyaf tidak boleh dijadikan saluran ilmu dalam aqidah kerana kedua-dua itu tidak dapat dipastikan kebenarannya (Penjelasan mengenai konsep Sumber Ilmu sila lihat “Asbab al-‘Ilmi” dalam Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM, bil. 14/2001).

 

 

 

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Hadith Palsu Atau Maudhu’

4.24 Hadith Palsu Atau Maudhu’; Kebayakan hadith palsu, maudhu’ arau rekaan digunakan oleh pihak atau …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *