Sunday, April 21, 2019

Riya':

Download PDF

 

1.1 Definisi:

Riya’ bermaksud tidak ikhlas dalam beramal dengan menjadikan amalan untuk tujuan lain selain Allah, seperti mahu orang lain melihat amal ibadatnya atau beramal kerana mahukan kekayaan dan kedudukan.

Al-Imam al-Tahanawi berkata: “Definisi riya’ adalah melakukan kebaikan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain”.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata: “Riya’ adalah menzahirkan ibadah dengan tujuan supaya dilihat oleh orang ramai, lalu mereka memuji-muji si pelakunya”.

Riya’ merupakan satu penyakit yang tertanam dalam hati manusia dan menjadi sarang paling besar bagi syaitan dalam usaha merosakkan amalan orang-orang beriman.

 1.2 Bahaya Riya':

Al-Qur’an dan hadith Nabi shallallahu’alaihiwasallam telah menjelaskan bahayanya sifat riya’.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah lah yang memperdayakan mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali”. [Surah al-Nisa’, ayat 142]

Juga firman Allah yang bermaksud:

“Dan (juga) orang-orang yang menginfakkan hartanya kerana riya’ kepada orang lain (ingin dilihat dan dipuji) dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada Hari Kemudian. Barang siapa yang menjadikan syaitan sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang sangat jahat”. [Surah al-Nisa’ ayat 38]

Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda dalam satu hadith:

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti terhadap kamu adalah syirik kecil”. Para sahabat bertanya: “Apakah itu syirik kecil wahai Rasulullah?”. Baginda bersabda: “Riya’, Allah ‘azzawajalla akan berfirman kepada mereka di hari Kiamat kelak setelah amalan-amalan manusia dibalas: “Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu riya’kan di dunia, lihatlah adakah mereka mempunyai ganjaran untuk kamu?”. [Hadith telah dikeluarkan oleh Ahmad melalui hadith Mahmud bin Labid radhiallahu’anhu. Isnadnya dinilai shahih oleh al-Syeikh Mustafa al-‘Adawi]

 1.3  Hukum Riya':

Al-Imam al-Zahabi menyenaraikan riya’ sebagai salah satu dosa-dosa besar dalam kitab beliau al-Kabair. Ini berdasarkan dalil-dalil yang jelas dalam al-Qur’an, al-Sunnah, dan Atsar Salaf Soleh. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami pula menyenaraikan riya’ sebagai dosa besar kedua setelah dosa syirik kepada Allah Ta’ala.

 1.4  Peringkat-peringkat riya':

Terdapat 4 peringkat riya':

Pertama: Sesuatu ibadah yang dilakukan tidak langsung kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah Ta’ala, sebaliknya ibadah yang dilakukan adalah semata-mata kerana ingin dilihat oleh orang lain. Contoh, seseorang yang solat apabila berada bersama orang ramai, sedangkan jika bersendirian pula dia tidak pun melakukan solat. Ini merupakan peringkat riya’ yang paling besar dan paling bahaya.

Kedua: Sesuatu ibadah yang dilakukan untuk tujuan mendapatkan perhatian orang ramai lebih besar berbanding niat untuk mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala. Riya’ peringkat ini hampir dengan jenis pertama dari sudut ianya sebagai satu dosa besar.

Ketiga: Niat dan tujuan antara riya’ dan inginkan pahala setara dan sama. Bagi situasi ini, kadar pahala dan dosanya bergantung kepada kadar riya’ dan keikhlasannya.

Keempat: Sifat riya’ menjadi perangsang untuk lebih tekun beramal. Contoh, seseorang jika solat bersendirian, dia solat sekadarnya sahaja. Namun, jika bersama orang lain, solatnya lebih teratur dan lebih tekun. Bagi kategori ini, pahala asalnya tidak terhapus, namun ianya berkurangan bergantung kepada kadar riya’nya.

 1.5 Cara Merawat Sifat Riya':

Pertama: Memperbanyakkan doa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk mengatasi sifat riya’. Allah sendiri mengisyaratkan dalam al-Qur’an bahawa sesuatu ‘ibadah yang dilakukan diiringi dengan memohon pertolongan kepada Allah, lebih-lebih lagi daripada perkara yang merosakkan ibadah. Allah berfirman bermaksud:

“Hanya kepadaMu kami beribadah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan”. [Surah al-Fatihah ayat 5]

Oleh itu, sesuatu ibadah sayugianya disusuli dengan memohonkan permohonan kepada Allah daripada sifat riya’ agar ibadah tersebut menjadi ibadah yang terbaik disisi Allah, sebagaimana suatu hadith riwayat Mu’az bahawa Baginda pernah berpesan kepadanya supaya membaca diakhir setiap solat dengan doa:

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

“Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu, dan memperelokkan ibadah kepadaMu”. [Hadith telah diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan al-Nasaie. Sanadnya dinilai kuat oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani]

Ibadah yang elok dan ibadah yang baik adalah ibadah yang dilakukan tanpa riya’ dan dilakukan semata-mata kerana Allah.

Kedua: Berusaha menyembunyikan ibadah sunat daripada pengetahuan orang lain. Ini dengan cara samada memilih waktu yang sesuai atau memilih tempat yang sesuai.

Waktu yang sesuai, sebagaimana galakan Nabi shallallahu’alaihiwasallam supaya beribadah di pertengahan malam di waktu manusia lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Sabda Baginda shallallahu’alaihiwasallam:

“Sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat di pertengahan malam”. [Hadith telah diriwayatkan oleh Muslim]

Bagi tempat pula, Baginda menyarankan supaya memilih tempat yang jauh daripada pandangan mata, sebagaimana sabda Baginda:

“Wahai kamu sekalian. Solatlah di rumah-rumah kamu, kerana sesungguhnya sebaik-baik solat adalah solat seseorang di rumahnya, kecuali solat fardhu”. [Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

 

Bacaan lanjut : http://darulkautsar.net/asas-islam/?p=1762

 

 

Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Sombong

  1.1  Definisi: Sombong dari sudut bahasa ‘Arab bermaksud التعظم iaitu merasa besar diri. Menerusi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>