Sunday, April 21, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Mendustakan Takdir

Mendustakan Takdir

Download PDF

 

Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)” (QS. Al-Qamar: 49)

Dalam tafsirnya Ibnu Jauzi berkata, “Ada dua pendapat berkaitan dengan sebab-sebab turun ayat ini. Pertama, orang-orang musyrikin Mekah datang kepada Rasulullah s.a.w untuk berdebat dengan baginda dalam masalah takdir. Lalu turunlah ayat ini. Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.” 1 Abu Umamah meriwayatk bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Qadariyyah 2 Kedua, seseorang dari Najran datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Muhammad, anda menyangka bahawa semua kemaksiatan itu dengan takdir, padahal tidak demikian!’ Maka Rasulullah menyanggah, “Kamu orang-orang yang membantah (ayat) Allah. `Lalu turunlah ayat berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka.

Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka. Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). (Al-Qamar: 47-49) 3

Telah diriwayatkan dari Umar bin Khaththab r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila Allah telah mengumpulkan manusia, dari (generasi) pertama hingga yang terakhir, Allah memerintahkan kepada (malaikat) untuk berseru dengan seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk.`Mana orang-orang yang telah membantah Allah?’ Lalu bangkitlah orang-orang Qadariyyah, mereka diperintahkan untuk masuk neraka.4 Allah berfirman, “Rasakanlah bakaran api neraka! Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu dengan takdir”. (Hadis Riwayat Ibnu Mardawaih dari Ibnu `Abbas hampir serupa dengan hadis ini baik secara lafaz atau pun makna)

Orang-orang Qadariyyah disebut sebagai Khushama’ullah (orang-orang yang membantah Allah) kerana mereka membantah Allah di mana mereka meyakini, adalah tidak dapat diterima akal jika Allah mentakdirkan kemaksiatan atas seorang hamba lalu Allah mengazabnya atas kemaksiatan itu. 5

Hisyam bin Hissan meriwayatkan dari al-Hasan, katanya, “Demi Allah, jika seorang Qadariyyah terus-menerus berpuasa sampai kurus seperti seutas tali, lalu terus-menerus solat sampai bungkuk seperti tali busur, nescaya Allah tetap akan menelungkupkan wajahnya di neraka Saqar. Kemudian dikatakan kepadanya, “Rasakanlah bakaran api neraka! Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu dengan takdir”.

Dalam kitab sahihnya, Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Segala suatu itu dengan takdir, termasuk kelemahan dan kecerdasan”. 6

Ibnu Abbas berkata, “Maksud ayat ‘Kami menciptakan segala sesuatu dengan takdir’ adalah telah tertulis di Lauhul Mahfuzh sebelum terjadinya.” 7

Allah berfirman, “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!” (Ash-Shaffat: 96)

Ibnu Jarir berkata, “Ada dua kemungkinan maksud ayat di atas; pertama, bermakna sebagai `mashdar’, sehingga ertinya menjadi, `Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu’, kedua, bermakna sebagai `alladzi’ (yang) sehingga ertinya menjadi `Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan menciptakan berhala-berhala yang kamu perbuat dengan tangan-tangan kamu’. Ayat di atas juga menjadi dalil bahawa semua perbuatan hamba adalah makhluk. Wallahu a’alam”

Allah berfirman: “Maka Allah mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” (Asy-Syams [91]: 8).

Ilham adalah masuknya sesuatu dalam jiwa. Said bin Jabir berkata, “Memberikannya terikat terhadap kefajiran dan ketakwaan.” Ibnu Zaid berkata, “Dia memasukkan itu (ilham) di dalam jiwa berupa taufikNya agar bertakwa dan meninggalkannya hingga jiwa berada dalam kekejian. Wallahu a’lam.”

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah memberikan ilham kebaikan kepada suatu kaum, maka Dia memasukkan mereka dalam rahmatNya. Dia menguji suatu kaum lain, membiarkan mereka, dan mencela mereka atas perbuatan mereka. Sekiranya mereka tidak mampu berlepas diri dari ujian itu, maka Dia menyiksa mereka dan Dia Maha Adil.” Firman Allah, “Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” (Al-Anbiya’:23)8

Diriwayatkan dari Mu’az bin Jabal bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah tidak mengutus seorang Nabi pun, sedangkan di dalam umatnya ada (kelompok) Qadariyah dan Murjiah. Sesungguhnya Allah telah melaknat Qadariyah dan Murjiah melalui lisan 70 Nabi.” 9

Diriwayatkan dari Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Qadariyah adalah Majusinya umat ini. 10

Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Qadariyah adalah Majusi umat ini.” 11

Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada setiap umat ada Majusinya; dan Majusinya umat ini 12 adalah mereka yang berkeyakinan tidak adanya takdir dan setiap urusan ada dengan sendirinya.” Baginda bersabda seterusnya, “Apabila kamu menjumpai mereka, maka katakan kepada mereka, bahawa aku berlepas diri dari mereka dan mereka berlepas diri dariku.” Kemudian baginda bersabda lagi, “Demi Zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, seandainya seorang di antara mereka memiliki (harta) sama nilainya dengan emas satu gunung Uhud, kemudian dia menginfakkannya di jalan Allah, maka tidak akan diterima, hingga dia beriman kepada takdir yang baik ataupun yang buruk.” Kemudian baginda menyebutkan hadis Jibril, di mana Jibrilbertanya kepada Nabi, “Apakah Iman?” Baginda menjawab, “Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, semua kitab-Nya, para rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau pun yang buruk.”13

Sabda Baginda, “Engkau beriman kepada Allah.” Iman kepada Allah ialah mempercayai bahawa Dia wujud dan bersifat dengan sifat-sifat yang agung dan sempurna, dan menafikanNya dari sifat-sifat kekurangan. Dia Maha Esa, tempat bergantung, Pencipta semua makhluk. Dia menentukan aturan (hukum) sesuai dengan kehendak-Nya. Iman kepada malaikat ialah membenarkan ketaatan mereka kepada Allah, “Dan mereka (yang musyrik) berkata: “(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak”. Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya. Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya (Al-Anbiya’: 26 28)

Iman kepada para rasul ialah meyakini bahawa mereka jujur dalam menyampaikan apa-apa yang (datang) dari Allah Ta’ala. Allah memberikan kepada mereka mukjizat sebagai bukti kebenaran mereka. Mereka menyampaikan risalah dari Allah Ta’ala dan menjelaskan perintah Allah kepada sesiapa yang bertanggungjawab melaksanakannya. Allah mewajibkan untuk memuliakan mereka dan tidak membeza-bezakan salah seorang pun di antara mereka.

Iman kepada hari akhir ialah mempercayai hari kiamat dan semua yang berkaitan dengannya ; kebangkitan selepas mati, hari berkumpulnya manusia di padang Mahsyar, hari perhitungan, hari penimbangan (Al-Mizan), Ash-Shirath, syurga dan neraka, keduanya (syurga dan neraka) adalah tempat pemberian pahala bagi orang-orang yang baik (syurga) dan tempat pemberian siksa bagi orang-orang yang jahat (neraka) – serta hal-hal lain sebagaimana yang termaktub dalam dalil naqli yang sahih. Iman kepada takdir ialah membenarkan apa yang telah disebutkan tadi, dan kesimpulannya adalah apa yang ditunjukkan dalam firman-Nya, “Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu.” (Ash-Shaffat [37]: 96) Dan, firman Allah, “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Al-Qamar [54]: 49)

Dalam hal ini, Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Dan ketahuilah bahawa sekiranya suatu umat tolong menolong untuk memberikan manfaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan dapat memberikan manfaat, melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Sebaliknya, sekiranya mereka bersekutu untuk memberikan mudharat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan dapat memberikan mudharat, melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena-pena telah diangkat dan lembar-lembar pun telah kering.”14

Di antara mazhab salafussoleh dan para imam generasi setelahnya (khalaf) menyatakan bahawa barangsiapa meyakini urusan-urusan ini dengan keyakinan yang padu, dan tidak ragu-ragu sedikitpun di dalamnya, maka dia adalah mukmin yang sebenar. Sama saja, apakah itu tentang keterangan-keterangan yang dogmatik maupun keyakinan-keyakinan yang mutlak. Wallahu a’lam.

Perbincangan

Tujuh puluh orang dari kalangan tabi’in, imam kaum muslimin, ulama salaf, dan ahli fikih dari berbagai negeri telah berijma’ bahawa sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah adalah; redha terhadap qada’ dan qadar Allah, berserah diri kepada perintahNya, bersabar di bawah ketetapanNya, menunaikan semua perintahNya, meninggalkan semua laranganNya, ikhlas beramal semata-mata kerana Allah, beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk, meninggalkan perdebatan dan seumpamanya dalam urusan agama, mengusap khuf (kasut kaki dari kulit) dalam wuduk, berjihad bersama khalifah; baik ataupun jahat, menyembahyangkan mayat ahli kiblat, bahawa iman itu mencakup perkataan, perbuatan, dan niat serta dapat bertambah dengan berbuat taat dan berkurang dengan maksiat, bahawa al-Quran itu kalam Allah yang diturunkan melalui Jibril kepada nabiNya Muhammad s.a.w. dan bukan makhluk, sabar di bawah pemerintahan penguasa (muslim dan menjalankan hukum Allah); adil maupun fajir, tidak memberontak dengan mengangkat senjata terhadap penguasa (muslim dan menjalankan hukum Allah) walaupun mereka berlaku zalim, tidak mengkafirkan seorang pun dari ahli qiblat, sekali pun dia melakukan dosa besar, kecuali jika dia menyatakan kehalalannya, tidak pula bersaksi bahawa si fulan dan si fulan pasti masuk syurga kerana amal kebajikannya, selain dari mereka yang sudah dijanjikan Nabi s.a.w. akan masuk syurga, menahan diri dari membicarakan perselisihan yang terjadi di antara para sahabat Nabi s.a.w dan bahawa seutama-utama makhluk sesudah Rasulullah s.a.w. adalah Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali. Juga harus menghormati semua isteri Nabi s.a.w, anak cucu beliau, dan sahabat-sahabatnya. Semoga Allah meredhai mereka semuanya.

Catatan

Ada beberapa ucapan yang ditetapkan oleh para ulama sebagai ucapan kufur. Di antaranya; meremehkan salah satu asma’ Allah, perintahNya, janjiNya, atau ancamanNya, mengatakan “Seandainya Allah memerintahkanku begini, maka aku tidak akan melakukannya” atau “Seandainya kiblat itu ke arah ini maka aku tidak akan sembahyang mengadap padanya”. Atau jika dikatakan kepadanya, “Jangan engkau meninggalkan sembahyang, sebab nanti Allah akan menghukummu!”, lalu dijawab, “Jika Allah menghukumku sedangkan aku sakit dan dalam keadaan payah, bererti Dia telah menzalimiku”. Atau berkata, “Kalaulah para nabi dan malaikat bersaksi kepadaku bahawa sesuatu itu begini, aku tetap tidak akan mempercayainya.” Jika dikatakan “Potonglah kukumu, sesungguhnya itu termasuk sunnah!”, lalu dijawab, “Saya tidak akan melakukannya walau pun itu termasuk sunnah.”. Berkata, “Dalam pandanganku si fulan itu seperti Yahudi.” Berkata kepada seorang muslim, “Semoga Allah mematikanmu dalam keadaan yang buruk atau Semoga Allah mencabut imanmu”. Dan lagi, jika seseorang meminta orang lain bersumpah kemudian orang itu hendak bersumpah atas nama Allah tetapi orang tadi memintanya untuk bersumpah dengan ucapan talak.

Para ulama berselisih pendapat jika seseorang berkata, “Aku melihatmu seperti melihat maut”. Sebahagian ulama mengatakan bahawa itu termasuk ucapan kufur. Para ulama bersepakat pula; jika seseorang mengatakan, “Seandainya si fulan itu Nabi, saya tidak akan mempercayainya”, maka dia telah kafirl Begitu juga seseorang yang berkata, “Jika apa yang diucapkan itu benar pastlah kita akan selamat”. Termasuk di sini jika seseorang mengerjakan solat tanpa wudhu’ dengan maksud merendah-rendahkan atau mengatakan ianya halal, jika dua orang bersengketa lalu yang pertama mengucapkan `Laa haula wa laa quwwata illaa billaah.’ Lalu dijawab oleh yang kedua, “ `Laa haula wa laa quwwata illaa billaah’ tidak akan menyelesaikan masalah”, jika terdengar suara azan dikatakan muazzin itu dusta, ucapan “Aku tidak takut pada kiamat.’ Jika seseorang meletakkan barangnya kemudian berkata “Saya menitipkannya kepada yang tidak dapat menangkap pencuri?, apabila seseorang duduk di suatu tempat yang tinggi menyerupai khatib, kemudian orang-orang bertanya kepadanya beberapa masalah sambil tertawa-tawa, atau salah seorang dari mereka berkata `Semangkuk bubur lebih baik dari pada ilmu.’; apabila ditimpa musibah lalu berkata `Engkau (Allah) telah mengambil harta dan anakku, apa yang akan Engkau lakukan (lagi)!’. Apabila seseorang memukul anaknya atau hambanya kemudian ada orang yang bertanya `Apakah anda seorang muslim?’, lalu dijawab ‘Tidak’; seseorang mengatakan bahawa zina, membunuh dan tindakan aniaya itu tidak diharamkan oleh Allah; apabila seseorang mengikat seutas tali pada pinggangnya lalu dia ditanya tentang itu dan dia menjawab, ‘Ini adalah zinnar (ikat pinggang) orang-orang Nasrani.’ Menurut sebahagian besar ulama dia telah kafir. Termasuk kekufuran juga jika seorang guru berkata, ‘Orang Yahudi itu lebih baik dari orang Islam kerana mereka memberi upah untuk guru anak-anak mereka.’ Atau mengatakan ‘Orang Nasrani itu lebih baik dari orang Majusi.’ Atau jika ditanya ‘Apakah iman itu?’ dia menjawab, ‘Aku tidak tahu.’

Selain dari yang tersebut di atas, ada juga beberapa perkataan yang sering diucapkan sedangkan perkara itu tidak baik, seperti: “Dasar orang yang tak beragama!”, “Dasar kamu manusia tak beriman!”, “Dasar kamu orang yang tidak punya keyakinan!”, “Dasar kamu manusia durjana!” “Dasar munafik kamu!”, “Bedebah, zindiq!”, “Kurang ajar, fasik kamu!” dan yang seumpamanya. Semua ini haram dan ditakuti memusnahkan keimanan orang yang mengucapkannya dan menyebabkannya kekal di dalam neraka.

Marilah kita memohon kepada Allah yang Maha Memberi semoga mewafatkan kita semua sebagai orang-orang Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya Dia Maha Penyayang.

_________________________________________________

 

NOTA KAKI
1 Diriwayatkan oleh Muslim (19/2656), Ahmad (2/444), Al-Wahidi dalam Asbabun Nuzul (826), Al-Laika’i dalam As-Sunnah (947) dan At-Tirmdizi (2157) dari Abu Hurairah.
2 Diriwayatkan oleh Ibnu Adi (5/380) dan Al-Wahid dalam Asbabun Nuzul (827) dari jalur Ufair bin Ma’dan dan dia telah disepakati akan kedhaifannya.
3 Diriwayatkan oleh Al-Wahid (828) dari jalur Bahr As-Saqa’ dari Syaikh berasal dari Quraisy dari Athna’. Isnadnya dhaif dan di dalamnya terdapat tiga kecacatan iaitu terputusnya sanad, lemah dan tidak diketahui perawi (majhul).
4 Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ashim dalam As-Sunnah (336) dan Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (6510), Asy-Syaikh berpendapat bahawa sanadnya dhaif dalam Zhila Al-Jannah.
5 Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani Kabir (11163) dari Ibnu Abbas. Dan Al-Haitsami berkata (7/117) di dalamnya terdapat Abdul Wahab bin Mujahid dan ia dhaif.
6 Diriwayatkan oleh Malik (2/899), Ahmad (2/110), Al-Bukhari dalam Khalq Aflaalil ‘Ibad (hal. 25) Muslim (2655) dan Al-Baghawi (73).
7 Al-Bukhari menyebutkannya dalam Khalq Af’alil ’Ibad (hal 26) dan Ibnu Abbas juga dengan lafaz, “Segala sesuatu itu ada ketentuannya (takdir), sehinggakan dalam hal tanganmu yang engkau letakkan pada pipimu”.
8 Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni dalam Al-Ifrad (2/46), (76-1-2), Thabaqat Al-Ashbahaniyyin (76/2001), Akhbar Ashbahan (1/326) dari Abu Hurairah. Inilah penisbatan riwayat ini oleh syaikh dalam Adh-Dha’ifah (1640) dan didhaifkan oleh Asy-Syaikh dalam Dha’if Al-Jami’ (1663).
9 Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ashim (325), Al-Khathib dalam Al-Muwadhdhih (2/6), Ath-Thabrani (20/117/232) dan didhaifkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Zhilalil Jannah.
10 Hasan. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4691), Al-Hakim dan Ibnu Abi Ashim (338, 339, 340, 341) dari Ibnu Umar dan diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ashim (342), Ad-Daulabi (1/148), Al-Ajum (hal: 191) dari Abu Hurairah. Dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam Zhilalil Jannah dan juga dalam Shahih Al-Jami’ (4442).
11 Hasan
12 Diriwayatkan oleh Abu Daud (4691, 4695), At-Tirmizi (2738) dan Ahmad (1/27) dari Abdullah bin Umar dari Umar.
13 Diriwayatkan oleh Muslim (8) dari Umar.
14 Diriwayatkan oleh Ahmad (1/293, 303), At-Tirmizi (2516), Abd bin Humaid (636), Ibnu Abi Ashim (315, 316), Ath-Thabrani (11243, 11416), Al-Ajurri (hal. 189), Abu Ya’la (2549), Ibnu Sina (419) dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Shahih Al-Jami’ (7957).
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>