Wednesday, October 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Memakan Benda Haram

Memakan Benda Haram

Download PDF

 

Allah berfirman, maksudnya:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil” (Al-Baqarah: 188)

Ibnu Abbas berkata, “Maksudnya adalah dengan sumpah palsu, yang dengan sumpah palsu itu seseorang boleh mendapatkan harta saudaranya secara batil”.

Memakan dengan cara yang batil itu ada dua jenis;

Pertama, diperolehi dengan jalan kezaliman seperti merampas, berkhianat, atau mencuri.

Kedua, diperolehi dengan cara bermain seperti berjudi, tempat-tempat hiburan dan lain-lain.

Dalam Sahih al-Bukhari disebutkan, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang menjerumuskan diri ke dalam harta Allah tanpa hak, maka bagi mereka disediakan neraka pada hari kiamat.

Di dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Ada seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh hingga rambutnya penuh debu. Ia mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa, `Ya Rabb, ya Rabb! Sedangkan tempat makanannya haram, tempat minumannya haram, pakaiannya haram, dan juga makanannya haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan!” 1

Dari Anas, “Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, mohonkanlah kepada Allah supaya Dia menjadikanku seorang yang doanya selalu terkabul” Baginda menjawab, `Wahai Anas, perbaikilah usahamu niscaya doamu akan terkabul. Sesungguhnya orang memasukkan sesuap barang haram ke mulutnya, doanya tidak akan dikabulkan selama empat puluh hari. 2

Al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang sampai kepada Nabi; baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah membahagi-bahagikan akhlak kamu itu sebagaimana membahagi-bahagikan rezeki. Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintai. Tetapi Dia hanya memberikan “dien” (agama) kepada orang yang dicintaiNya. Tidaklah seseorang mengusahakan harta haram, kemudian menafkahkannya lalu diberkati, dan menyedekahkannya lalu diterima. Dan tidaklah dia meninggalkannya di belakangnya kecuali harta itu akan menjadi bekalnya ke neraka. Sesungguhnya Allah tidak akan menghapus keburukan dengan keburukan, melainkan menghapus keburukan dengan kebaikan. 3

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Dunia itu manis dan hijau. Barangsiapa berusaha di dalamnya secara halal lalu menafkahkannya pada jalan yang benar, niscaya Allah akan mengganjarinya dan mewariskan syurga baginya. Dan barangsiapa berusaha di dalamnya melalui cara yang haram dan membelanjakannya pada jalan yang tidak benar, niscaya Allah ta’ala akan memasukkannya ke tempat yang hina (neraka). Berapa ramai orang yang menjerumuskan diri pada apa-apa yang haram yang disenangi hawa nafsunya, mengakibatkan dia masuk neraka pada hari kiamat nanti”. 4

Dalam sebuah hadis dilaporkankan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa tidak mempedulikan dari mana dia mengusahakan harta niscaya Allah tidak akan mempedulikannya dari pintu mana ia dimasukkan ke dalam neraka.” 5

Abu Hurairah berkata, “Adalah lebih baik bagi salah seorang dari kamu memasukkan tanah ke dalam mulutnya daripada memasukkan barang haram.6

Yusuf bin Asbath meriwayatkan, katanya, “Jika ada seorang pemuda melakukan ibadat dengan tekun, syaitan berkata kepada kakitangannya, ‘Cuba kamu lihat dari mana makanannya!’ Jika makanannya haram, maka syaitan akan berkata, “Biarkanlah dia bersusah payah dan tekun beribadah. Kamu tidak perlu sibuk lagi. Ketekunannya yang disertai dengan barang haram itu tidak berguna sama sekali!

Ungkapan di atas disokong oleh hadis Abu Hurairah yang disebutkan dalam Sahih Muslim, di mana Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang laki-laki yang berdoa namun tempat makanannya haram, tempat minumannya haram, pakaiannya haram dan juga makanannya haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ada dua malaikat di Baitul Maqdis setiap siang dan malam berseru, “Barangsiapa memakan barang haram maka Allah tidak akan menerima amalnya yang sunat dan yang wajib.”

Abdullah bin Mubarak berkata, “Mengembalikan wang satu dirham yang meragukan itu lebih saya sukai dari pada saya bersedekah seratus ribu dirham.”

Nabi s.a.w bersabda, “Barangsiapa menunaikan haji dengan wang haram, maka ketika ia mengucapkan kalimat `Labbaik!’, malaikat akan menjawabnya, “Tidak ada labbaik dan tidak pula sa’daik, hajimu tidak diterima” 7

Wahb bin al-Ward berkata, “Sekalipun Anda berdiri (solat) laksana tiang, itu tidak berguna bagimu sampai kamu memperhatikan apa-apa yang masuk ke dalam perutmu; halalkah atau haramkah?.8

Ibnu Abbas berkata, “Allah tidak akan menerima solat sesetengah orang yang didalam perutnya ada makanan haram sampai ia bertaubat kepada Allah taala darinya.”

Sufyan ats-Tsauri berkata, “Orang yang menafkahkan wang haram dalam perbuatan taat adalah ibarat orang yang mencuci baju dengan air kencing. Padahal baju tidaklah dicuci kecuali dengan air, dan dosa tidaklah dihapus kecuali dengan yang halal.”

Umar berkata, “Kami membiarkan sembilan persepuluh yang halal kerana khuatir jatuh ke dalam yang haram.”

Kaab bin Ajrah berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak akan masuk syurga tubuh yang diberi makan dengan yang haram.” 9

Zaid bin Arqam berkata, suatu masa dulu, Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang memberikan kepada beliau wang tebusan dirinya. Setiap kali hamba itu datang sambil menyerahkan tebusan itu, Abu Bakar selalu bertanya, `Dari mana kamu memperoleh ini?’ Jika jawaban hamba itu memuaskan hatimya, maka dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya. Pada suatu malam, hamba itu datang membawa makanan. Maka beliau pun makan sesuap darinya, lupa bertanya kepada hamba itu dari mana makanan yang dibawanya. Sesudah makan, barulah beliau bertanya, “Dari mana kamu perolehi makanan itu?’ Hamba itu menjawab, saya pernah menjadi dukun sewaktu masih jahiliyah. Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa, saya membohonginya saja” Abu Bakar berkata, “Celaka, kamu hampir-hampir membinasakan aku!’ Kemudian beliau memasukkan tangannya ke mulutnya supaya dapat memuntahkannya, namun tidak berjaya. Seseorang memberitahu bahawa makanan itu dapat dikeluarkan dengan bantuan air. Maka beliaupun mengambil air, meminumnya lalu memuntahkan seluruh isi perut. Seseorang berkata, “Semoga Allah merahmati kamu. Apakah ini semua hanya kerana sesuap sahaja?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya, jika ia tidak dapat keluar kecuali bersama keluarnya nyawaku aku pasti melakukannya. Sebab aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap tubuh yang tumbuh dari barang haram itu neraka lebih layak untuknya. Saya khuatir jangan-jangan yang sesuap itu tumbuh menjadi daging di dalam tubuhku. 10

Sebelum dari ini, telah disebutkan bahawa sabda Nabi yang maksudnya, `Daging yang tumbuh dari barang haram tidak akan masuk syurga. Neraka lebih layak sebagai tempat tinggalnya”, adalah hadis sahih.

Para ulama berkata, “Termasuk dalam bab ini antara lain; pemungut cukai, pengkhianat, pemalsu, pencuri, penganggur, pemakan riba dan wakilnya, pemakan harta anak yatim, orang yang memberi kesaksian palsu, orang yang meminjamnya, pemakan wang riba, orang yang mengurangi timbangan dan sukatan, orang yang menjual barang cacat namun dia menutupinya, penjudi, penyihir, peramal, pelukis (makhluk hidup,pent), pelacur, orang yang kerjanya meratapi mayat, broker yang mengambil komisyen tanpa izin penjual, orang yang memberitahu pembeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga jual (agar dia mendapat bahagian dari aqad tersebut, pent.), dan orang yang menjual orang yang merdeka lalu memakan wangnya.”

Pasal

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Pada hari kiamat akan didatangkan orang-orang yang membawa kebaikan laksana gunung Tihamah. Tetapi Allah menjadikannya bagai debu yang beterbangan lalu mereka dilemparkan ke dalam neraka.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana itu mungkin terjadi?” Baginda menjawab, “Mereka dahulu adalah orang-orang yang rajin mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan lain-lain amal kebajikan. Namun demikian jika dihulurkan kepada mereka harta yang haram, mereka mengambilnya, maka Allah pun menghapuskan amal mereka. 11

Semoga Allah memberi kita keampunan, kesejahteraan, dan taufiq kepada apa yang dicintai dan diredhai-Nya.

 

 

—————————————————————-

NOTA KAKI
1 Diriwayatkan oleh Muslim (1015), At-Tirmizi (2989), Ad-Darimi (696), Ahmad (2/328) dan Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (1118)
2 Hadis ini bukan dari Anas tetapi yang meminta hal tersebut adalah Sa’ad, lantas Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu pasti engkau akan menjadi orang yang doanya terkabul Demi Dzat Yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman tangan-Nya, sungguh seorang hamba memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya yang menyebabkan amalnya selama empat puluh hari tidak diterima. Mana-mana hamba yang dagingnya tumbuh dari barang haram dan riba, maka neraka lebih layak untuk dirinya.” Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (6495) dari Ibnu Abbas secara marfu’. Al-Haitsami berkata (10/291) di dalamnya terdapat perawi yang tak dikenal.
3 Diriwayatkan oleh Ahmad (1/387), Al-Hakim (1/34), Ibnu Adi (4/166), Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (599), Abu Nu’aim (4/166) dan Ibnul Jauzi dalam Al-`Illal (2/352) dan Ibnu Mas’ud secara marfu’. Dan diriwayatkan oleh Ibnul Mubarak dalam Az-Zuhd (1134) Zawaid dan Ibnu Abu Syaibah (3/294), Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (279), Ath-Thabrani (8990/9/229) dan Abu Nu’aim (4/195) secara mauquf dan Ibnu Mas’ud. Ad-Daruquthni berkata, terdapat sekelompok ulama yang me-marfu’kannya dan sebahagian yang lain me mauquf-kannya; namun yang benar adalah mauquf.
4 Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (5139) dari Ibnu Umar dan disahihkan (1592) dan Ash-Shahih (3410)
5 Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani (1660, 1661, 1662) dan Al-Baihaqi (5370) dari Jundub secara marfu’, `Barangsiapa di antara kamu yang mampu untuk tidak mengalirkan darah yang diharamkan dan tidak juga mengalirkan sedikit darah pun yang diharamkan, maka dia tidak akan mendatangi sebuah pintu dari pintu-pintu syurga kecuali pintu syurga sudah berada dihadapannya ketika hendak memasukinya.” Isnadnya tidak ada masalah.
6 Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (5379) secara marfu’ dari Abu Hurairah. Isnadnya sahih.
7 Al-Munziri berkata: Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani; sanadnya dhaif. Dan Ibnu Adi telah mengeluarkannya (3/106) dari Ibnul Jauzi dalam Al-I’lal (2/930)
8 Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim (8/154)
9 Diriwayatkan oleh Ahmad (3/999) Al-Bazzar (1609) kasyf Ad-Daarimi dalam Ar-Raqaiq (hal: 714) Abdur Razzaq (20719), Ibnu Hibban (5567), Al-Hakim (1/79,4,422), Abu Ya’la (1999) dan Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (5377). Hadis ini adalah hadis hasan.
10 Shahih Dan diriwiyatkan oleh Al-Baihaqi (5375) dan telah disebutkan dimuka. Adapun asalnya dalam Ash-Shahiban dan riwayat Aisyah.
11 As-Suyuti berkata dalam Ad-Durr (5/122) dikeluarkan oleh Samawaih dalam Fawaidnya dari Salim hamba Abu Huzaifah.
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *