Monday, June 17, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Derhaka Kepada Suami

Derhaka Kepada Suami

Download PDF

 

Allah s.w.t. berfirman:

“Wanita-wanita yang kamu bimbangkan nusyuz, maka nasihatilah mereka, pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menta’atimu, maka janganlah kam mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.” (An-Nisa’:34)

Al-Wahidi r.a. berkata, “Maksud ‘nusyuz’ dalam ayat di atas adalah derhaka kepada suami.”

‘Atha berkata, “ ‘Nusyuz’ adalah perbuatan wanita yang memakai wangi-wangian di hadapan suami namun tidak mahu disetubuhi serta tidak taat kepada suaminya.”

Maksud ‘maka nasihatilah mereka’ adalah menasihati mereka dengan kitab Allah dan mengingatkan mereka tentang apa yang menjadi perintah Allah bagi mereka.

Tentang ‘pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka’, Ibnu ‘Abbas berkata, “Maksudnya adalah membalikkan punggung dari isteri dan tidak mengajaknya berbicara.” Sedangkan Asy-Sya’bi dan Mujahid berkata, “Maksudnya adalah tidak tidur bersama isteri dan tidak mencampurinya.”

Maksud ‘dan pukullah mereka’ adalah pukulan yang tidak membahayakan. Ibnu ‘Abbas berkata, “Pukulan yang mendidik, seperti dengan telapak tangan.” Seorang suami berhak untuk memperbaiki kederhakaan isterinya dengan cara yang diizinkan oleh Allah, sebagaimana tersebut dalam ayat di atas.

Tentang ‘Kemudian jika mereka menta’atimu’ maksudnya mentaatimu dalam hal mereka diperintahkan.

Adapun, ‘maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya’, Ibnu ‘Abbas berkata, “Janganlah kamu menuduh mereka berbuat dosa!”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya kemudian si isteri menolak sehingga suaminya tidur dalam keadaan marah kepadanya, maka dia dikutuk oleh malaikat sampai pagi.” 1

Dalam riwayat yang lain, “Jika seorang wanita meninggalkan tempat tidur suaminya dan dia enggan terhadapnya (tidak mahu disetubuhi) maka pastilah mereka yang ada di langit murka kepadanya sehingga suaminya redha kepadanya.” 2

Sahabat, Jabir r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Tiga golongan yang sembahyang mereka tidak akan diterima oleh Allah dan kebaikan mereka tidak akan diangkat ke langit; hamba yang melarikan diri dari tuannya sehingga dia kembali, meletakkan tangannya pada tangan tuannya, wanita yang suaminya marah kepadanya sehingga si suami redha kepadanya kembali, dan orang yang mabuk sampai dia sedar kembali.” 3

Al-Hasan berkata, “Seseorang yang mendengar dari Nabi s.a.w menyampaikan kepadaku bahawa baginda s.a.w bersabda :

“Perkara pertama yang akan ditanya kepada wanita pada hari kiamat nanti adalah tentang sembahyangnya dan suaminya.” 4

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat untuk berpuasa (sunat) sedangkan suaminya ada bersamanya (tidak berpergian) kecuali dengan izinnya; dan tidak halal memberi izin (kepada orang lain untuk masuk) ke dalam rumahnya kecuali dengan izin suaminya.” 5

Isteri tidak dibenarkan berpuasa (sunat) kecuali dengan izin suaminya dalam rangka taat kepada suaminya.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Seandainya aku (dibenarkan) menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh wanita bersujud kepada suaminya.” 6

Emak saudara kepada Hushain bin Muhsin mengadu tentang suaminya kepada Nabi s.a.w, lalu baginda menjawab, “Lihatlah bagaimana keadaanmu bersamanya! Dia adalah syurga dan nerakamu! 7

Abdullah bin ‘Amru r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Allah tidak akan memandang kepada wanita yang tidak mensyukuri suaminya dan tidak merasa cukup dengannya. 8

Baginda s.a.w bersabda:

“Wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya akan masuk syurga.” 9

Seorang wanita berkewajipan untuk mencari keredhaaan suaminya dan menjauhi kebenciannya, serta hendaklah melayaninya bila-bila saja si suami memerlukannya. Hal ini sesuai dengan sabda Nabi s.a.w, “Apabila seorang lelaki megajak isterinya ke tempat tidurnya maka si isterinya hendaklah mematuhinya sekali pun dia sedang berada di perapian.” 10

Para ulama berkata, “Kecuali jika si isteri berada dalam keadaan uzur (berhalangan) seperti ketika sedang haidh atau nifas. Dalam keadaan ini dia tidak boleh memenuhi ajakan suaminya. Begitu juga suami tidak dibenarkan menggauli isterinya yang sedang haidh atau nifas sehingga si isteri suci dari keduanya.”

Allah s.w.t. berfirman, “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci.” (Al-Baqarah : 222)

Maksudnya, jangan menyetubuhi mereka sehingga mereka suci.

Ibnu Qutaibah berkata, “Maksud ‘yathhurna’ pada ayat di atas adalah berhentinya darah haidh, sedangkan maksud ‘faizaa tathahharna’ adalah jika mereka telah mandi dengan air. Wallahu a’alam.”

Ada sebuah hadis yang berbunyi (maksudnya):

“Barangsiapa menggauli isteri yang sedang haidh atau pada duburnya, atau menziarahi seorang dukun, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” 11

Dan juga hadis,

“Terlaknatlah orang yang menggauli isterinya ketika haidh atau pada duburnya.12

Nifas hukumnya sama dengan haidh.

Seorang wanita tidak boleh mentaati suaminya apabila si suami hendak menggaulinya ketika dia sedang haidh dan nifas, dan dia wajib mentaatinya selain dari dua keadaan tersebut. Wanita hendaklah menyedari bahawa dirinya adalah milik suaminya. Oleh itu dia tidak boleh bertindak sekehendak hatinya atau membelanjakan harta suami kecuali dengan izinnya. Dia hendaklah mendahulukan hak suami daripada haknya sendiri. Begitu juga hak keluarga suami, harus didahulukan daripada hak keluarganya. Dia hendaklah selalu bersedia melayani suami dalam keadaan bersih dan rapi. Dia tidak boleh membanggakan kecantikannya kepada suaminya dan mencela keburukan rupa suaminya jika si suami kurang tampan.

Al-Ashma’i berkata, “Saya pernah mengunjungi suatu kebun. Di sana saya melihat seorang wanita cantik yang mempunyai suami yang hodoh. Saya berkata kepada wanita cantik itu, ‘Bagaimana kamu sanggup bersuamikan orang seperti dia?’ Wanita itu menjawab, ‘Hei kamu, dengarlah! Mungkin dia telah berbuat baik dengan Khaliqnya, lalu Dia menjadikan aku sebagai pahala baginya. Atau mungkin aku pernah melakukan perbuatan yang tidak baik, lalu dia menjadi hukuman bagiku!”

Aisyah r.ha berkata, “Wahai kaum wanita, seandainya kamu mengetahui hak-hak suami kamu, nescaya setiap wanita di antara kamu akan mengusap debu di kaki suaminya dengan pipinya.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Isteri-isteri kamu dari golongan penghuni syurga adalah yang penuh kasih sayang, yang apabila dia menyakiti suami atau disakiti suami dia akan datang kepada suaminya itu sambil meletakkan tangannya di tapak tangan suaminya seraya berkata, “Saya tidak akan tidur sampai kanda redhai saya.” 13

Diwajibkan pula bagi wanita untuk selalu bersikap malu kepada suaminya, menundukkan mata di hadapannya, mematuhi segala perintahnya, diam ketika suaminya bercakap, berdiri ketika suaminya datang dan beredar pergi, menjauhi segala yang dibencinya, melayani suami semasa dia akan tidur, tidak berkhianat semasa dia tidak ada di rumah; baik itu berkenaan dengan tempat tidur, harta, dan rumahnya. Isteri juga hendaklah selalu mengharumkan tubuhnya dengan wangi-wangian, menggosok gigi untuk menhilangkan bau mulutnya, berdandan semasa suami ada di rumah, dan tidak melakukannya ketika suaminya pergi, serta selalu menghormati keluarga dan saudara-mara suaminya. Dia juga hendaklah menganggap kebaikan suami walaupun kecil adalah besar.

Tentang Keutamaan Wanita Yang Taat Kepada Suami Dan Dahsyatnya Seksa Bagi Yang Derhaka

Wanita yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t mestilah berusaha keras untuk taat kepada Allah dan suaminya serta mencari keredhaan suaminya semaksima mungkin. Suaminya itulah syurga dan nerakanya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang berbunyi:

“Wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya akan masuk syurga.” 14

Hadis lain: “Jika seorang wanita telah mengerjakan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, dan taat kepada suaminya, maka dia berhak untuk masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya” 15

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Aku memandang ke dalam neraka, maka aku nampak kebanyakan penghuniya adalah wanita.” 16

Ini adalah kerana kurangnya ketaatan mereka kepada Allah, Rasulullah dan suami mereka. Dan juga kerana mereka sering mempamerkan kecantikan mereka kepada bukan suaminya. Apabila mereka hendak keluar rumah, mereka memakai pakaian yang cantik, berhias dan mendandan diri sehingga menimbulkan fitnah kepada orang ramai. Jika dirinya selamat, orang ramai belum tentu selamat darinya. Oleh sebab itu Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wanita itu aurat. Jika dia keluar rumah maka syaitan memuliakannya.” 17

Seorang wanita jika telah keluar berjalan, keluarganya bertanya, “Engkau hendak ke mana?’’, maka dia pun menjawab, “Hendak mengunjungi orang sakit.” Atau “Hendak bertakziah.” Atau seribu satu alasan. Demikianlah syaitan memujuknya sampai akhirnya dia keluar dari rumahnya.

Sesungguhnya wanita itu tidak akan mendapatkan redha Allah melebihi yang didapatnya dengan tinggal di rumahnya sambil terus beribadah kepada Rabbnya dan berbakti kepada suaminya.

‘Ali r.a berkata kepada isterinya, Fathima r.ha, “Wahai Fathimah, apa yang paling baik bagi wanita?” Fathimah r.ha menjawab, “Tidak melihat lelaki dan tidak dilihat oleh mereka.”

Pada suatu hari ‘Aisyah dan Hafshah sedang duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w lalu masuk Ibnu Ummi Maktum yang buta. Nabi s.a.w berkata kepada keduanya, “Berhijablah kalian berdua darinya!” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, bukankah dia seorang yang buta, yang tidak melihat kami dan tidak mengetahui kami?” Baginda s.a.w menjawab, “Apakah kamu berdua buta? Apakah kamu berdua tidak melihatnya?” 18

Sebagaimana lelaki wajib menundukkan pandangan kepada wanita, begitu juga wanita wajib menundukkan pandangannya kepada lelaki. Seperti yang telah diucapkan oleh Fathimah r.ha, yang baik bagi wanita adalah tidak melihat lelaki dan tidak dilihat oleh mereka.

Apabila seorang wanita terpaksa keluar rumah untuk mengunjungi kedua orang-tuanya atau saudara-maranya, atau untuk lain-lain urusan penting, maka hendaklah dia keluar dengan izin suaminya dan tanpa menonjolkan kecantikannya. Iaitu dengan memakai pakaian yang menutup seluruh tubuhnya dan sepanjang perjalanan dia hendaklah menundukkan pandangannya, tidak memandang ke sana ke mari. Jika dia tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, bererti dia telah derhaka.

Mu’az bin Jabal r.a berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidaklah seorang wanita menyakiti hati suaminya di dunia melainkan bidadari yang menjadi isteri suaminya akan berkata, “Janganlah kamu sakiti dia! Semoga Allah membinasakanmu!” Dan ketahuilah wahai puteriku, kecelakaaanlah bagi wanita yang derhaka kepada suaminya.” 19

Tentang Tanggung Jawab Suami Terhadap Isteri

Jika seorang wanita diperintahkan supaya mentaati suaminya dan mencari keredhaannya, seorang suami pun diperintahkan supaya berbuat baik dan bersikap lemah lembut terhadap isterinya. Dia juga diperintahkan supaya bersabar atas sikap kurang baik isterinya. Selain dari itu, dia wajib memberikan hak-hak isterinya; baik berupa nafkah, pakaian dan diperlakukan dengan baik, sebagaimana difirmankan oleh Allah, “Dan pergaulilah isteri-isterimu dengan cara yang baik.” (An-Nisa:19)

Sabda Nabi s.a.w.

“Bersikap baiklah kepada wanita (isteri-isteri kamu)! Ketahuilah bahawa kamu mempunyai hak atas mereka dan mereka juga mempunyai hak atas kamu. Hak kamu atas mereka adalah tidak membiarkan lelaki yang tidak kamu sukai memasuki tempat tidur kamu serta tidak mengizinkan lelaki yang tidak kamu sukai memasuki rumah kamu, sedangkan hak mereka atas kamu adalah kamu berbuat baik kepada mereka dalam hal pakaian dan makanan.” 20

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” 21

Dalam riwayat yang lain:

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling lembut terhadap isterinya.” 22

Marilah kita memohon kepada Allah agar diberi rezeki berupa kesabaran terhadap apa saja yang dicintai dan diredhainya. Sesungguhnya Dia Maha memberi lagi Maha Pemurah.

 

 

 

_____________________

Nota kaki:
1. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3237), Muslim (1436), Abu Daud (2141) dan Ahmad (2/433) dari Abu Hurairah.
2. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (5194) dan Muslim (1436)
3. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/69,128), Al-Hakim (4/147) dan Al-Baihaqi (8/288) dari Ibnu Umar dan hadis ini sahih. Disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Shahih Al-Jami’ (3052)
4. Mursal: Hadis senada diriwayatkan oleh Abu Syaikh dalam Tsawabul A’mal dari Anas secara marfu’.
5. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (5195) dan Muslim (1026)
6. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi (1159), Ibnu Hibban (4162), Al-Hakim (4/171) dan Al-Baihaqi (7/291) dan ianya sahih dari Abu Hurairah
7. Diriwayatkan oleh Ahmad (4/341,6/419) dan Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (532). Al-Haitsami berkata (4/306) para perawinya adalah perawi yang sahih selain Hushain, dia adalah Tsiqah. Iisnadnya insyaAllah hasan.
8. Dikeluarkan oleh An-Nasa’i dalam Isyratun nisa’ (251) secara mauquf dan sanadnya sahih. Dan diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dan Al-Bazzar dengan dua isnad dan salah satu isnad Al-Bazzar para perawinya adalah perawi Ash-Shahih secara marfu’, demikian yang dikatakan Al-Haitsami.
9. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (7/47/1), At-Tirmidzi (1171), Ibnu Majah (1854), Al-Hakim (4/173) dan Ath-Thabrani (23/374/884). Asy-Syaikh berkata dalam Dha’if Al-Jami (2226) dha’if
10 Diriwayatkan oleh Ath-Thayalisi (1097), Ahmad (4/22,23) At-Tirmizi (1160), Ath_thabrani (8235,8248,8224) Ibnu Hibban (4165), Al-Baihaqi (7/294) dan Isnadnya shahih dari Thalq.
11. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/408, 486), Abu Daud (3904), An-Nasai’ (1/78), At-Tirmizi (135), Ad-Darimi (1136), Ibnu Majah (639), A-Thahawi (2 26) dan Ibnu Jarud (107) dari berbagai jalur periwayatan dari Hammad bin Salamah dari Hakim Al-Atsram dari Abu Tamimah Al-Hujaimi dari Abu Hurairah. Disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Al-Irwa’ (2006)
12. Diriwayatkan oleh Ahmad (4/444/479) dan Abu Daud (2162) , bahagian yang kedua sahaja dari riwayatnya dari Abu Hurairah iaitu dalam Sahih Al-Jami’ (5889)
13. Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni dalam Al-ifrad Ath-Thabrani (19/140/307) dan juga dalam Al-Ausath (5648) dari Ka’ab bin Ajrah dan dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahih (2604) dan diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (1764) dan Ash-Shaghir (118) dari Anas dengan lafaz, “Hendakkah aku beritahu kamu tentang kaum perempuan kamu”, Al-Hadits.
14. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (7/47/1), At-Tirmidzi (1171), Ibnu Majah (1854), Al-Hakim (4/173) dan Ath-Thabrani (23/374/884). Asy-Syaikh berkata dalam Dha’if Al-Jami (2226) dha’if
15. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (4163) dan Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (4598) dari Abu Hurairah. Dan diriwayatkan oleh ahmad (1/91) dan Ath-Thabrani Ausath (8805) dari Abdurrahman bin Auf. Juga diriwayatkan oleh Al-Bazzar (1463) dari Anas; disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Shahih Al-Jami (661)
16. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3241) dan Muslim (2737) dari Ibnu Abbas.
17. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi (1173). Ibnu Hibban (5598,5599). Ibnu Khuzaimah (1686) dan Ath-Thabrani (10115) dari Ibnu Mas’ud. Ianya sahih, lihat Shahih Al-Jami (6690) dan Al-Irwa’ (273).
18. Diriwayatkan oleh Abu Daud (4112) dan At-Tirmizi (2940) dari Ummu Salamah. Dan didha’ifkan oleh Asy-Syaikh dalam Dha’if Abi Daud (887) dan Al-Irwa’ (1806).
19. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/242), At-Tirmizi (1184), Ibnu Majah (2014) dan Ath-Thabrani (20/113/224) dari Muaz. Ianya dimuatkan dalam Shahih Al-Jami’ (7192) dan Ash-Shahihah (173)
20. Sebahagian dari hadits yang diriwayatkan oleh Muslim (1218) dari Jabir dan diriwayatkan oleh At-Tirmizi (1163) dan Ibnu Majah (1851) dari Amr bin Ash dan di dalamnya terdapat kelemahan.
21. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi (3895), Ad-Darimi (2260) dan Ibnu Hibban (4177) dari Aisyah dan di sahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Ash-Shahihah (1/513)
22. Belum dijumpai hadis ini dengan lafaz ini. Telah diriwayatkan oleh Ahmad (6/47,99) dan Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (8719) dengan lafaz, “Kaum mukminin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling bagus akhlaknya dan paling lembut terhadap keluarganya.” Terdapat berbagai riwayat penyokong yang mensahihkan hadis ini dalam Shahih Al-Jami’ (3316).
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>