Wednesday, October 23, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Dosa-Dosa Besar » Minum Minuman Keras

Minum Minuman Keras

Download PDF

Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Maidah: 90-91)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t telah melarang keras meminum minuman yang memabukkan, dan telah memberikan peringatan.

Nabi s.a.w. bersabda:

Jauhilah arak, sebab ia merupakan ibu segala hal yang kotor (keji).1

Maka orang yang tidak menjauhinya bermakna dia telah derhaka kepada Allah dan Rasulnya, dan dia berhak untuk mendapatkan azab kerana telah bermaksiat kepada Allah dan Rasulnya.

Allah s.w.t berfirman, “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina..” (An-Nisa: 14)

Ibnu Abbas r.a. berkata, “Ketika turun ayat yang mengharamkan minuman keras, para sahabat saling bertemu satu dengan yang lain sambil mengingatkan, minuman keras telah diharamkan dan mereka menyamakan meminum minuman keras itu seperti perbuatan syirik. “2

‘Abdullah bin Amru r.a berpendapat bahawa meminum minuman keras itu merupakan dosa yang besar, dan tidak disangsikan lagi merupakan ibu perbuatan-perbuatan keji. Dan juga orang yang meminumnya telah dilaknat dalam banyak hadits.

Ibnu ‘Umar r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Semua yang memabukkan itu disebut khamr (arak). Dan semua khamr itu haram. Barangsiapa meminum khamr di dunia lalu mati dan belum bertaubat darinya juga dia masih terus meminumnya, nescaya ia tidak akan meminumnya di akhirat. 2

Imam Muslim juga meriwayatkan dari sahabat Jabir r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah berjanji bagi orang yang meminum minuman yang memabukkan akan diberi minum dengan “thinatul khabal”.” 4

Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan “thinatul khabal”? Beliau menjawab, “Keringat atau air perahan penghuni neraka.”

Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa meminum khamar di dunia, maka akan diharamkan meminumnya di akhirat. 5

Orang yang terus-Menerus meminum arak sama dengan penyembah berhala

Imam Ahmad meriwayatkan di dalam Musnad sebuah hadits dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Orang yang senantiasa meminum khamr itu laksana orang yang menyembah berhala.” 6

Orang yang terus-menerus meminum arak jika mati sebelum sempat bertaubat tidak akan masuk syurga

An-Nasa’i meriwayatkan hadits dari Ibnu ‘Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

“Tidak akan masuk syurga orang yang derhaka kepada ibubapanya dan orang yang terus-menerus minum arak.” 7

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Tiga golongan orang yang diharamkan Allah syurga; iaitu orang yang terus-menerus minum khmar, orang yang derhaka kepada ibu bapanya, dan orang yang membiarkan isterinya berbuat curang.” 8

Allah tidak akan menerima perbuatan baik orang yang sedang mabuk

Jabir bin ‘Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiga golongan yang solat mereka tidak akan diterima dan kebaikan mereka tidak akan diangkat ke langit; hamba yang melarikan diri dari tuannya sehingga dia kembali dan meletakkan tangannya pada tangan tuannya, wanita yang suaminya marah kepadanya sehingga suaminya redha kepadanya kembali, dan orang yang mabuk sehingga dia sedar kembali.9

Khamr adalah semua yang merosakkan akal, baik ia berupa benda basah atau kering, makanan atau minuman. Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah tidak akan menerima sembahyang orang yang meminum khamr selama dalam tubuhnya masih ada sisa khamr tersebut,“ Dalam riwayat lain, “Barangsiapa meminum khamer Allah tidak akan menerima apa pun (kebaikan) darinya. Barangsiapa mabuk kerana meminum khamr maka sembahyangnya tidak akan diterima selama empat puluh hari. Jika dia bertaubat lalu kembali mengulanginya, maka Allah berhak memberinya minum dari lelehan logam Jahannam.” 10

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa meminum khamr namun tidak mabuk, maka Allah berpaling darinya selama empat puluh malam, dan barangsiapa meminum khamr sampai mabuk maka Allah tidak akan menerima kebaikannya sedikit pun selama empat puluh malam, jika dia mati dalam keadaan demikian, maka dia mati laksana pemyembah berhala, dan Allah berhak memberinya minum dari thinatul khabal.” Seseorang bertanya, “Apakah thinatul khabal itu, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Perahan dari penduduk neraka jahannam; nanah dan darah.11

‘Abdullah bin Abu Aufa berkata, “Barangsiapa mati dalam keadaan terbiasa minum khamr, maka ia mati bagaikan penyembah Latta dan Uzza.” Seseorang bertanya, “Apakah yang anda maksudkan itu seseorang yang tidak pernah sempat sedar dan terus meminumnya?” Dia menjawab, “Bukan. Ia adalah seseorang yang meminumnya ketika mendapatinya walaupun sudah bertahun-tahun ia meninggalkannya.”

Orang yang meminum khamr bukanlah seorang mukmin semasa ia meminumnya

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda. “Bukanlah seorang mukmin seorang pencuri ketika dia mencuri, bukanlah seorang mukmin seorang yang berzina ketika dia berzina. Bukanlah seorang mukmin seorang yang minum khamr ketika ia meminumnya. Adapun taubat tetap dibentangkan sesudahnya. “

Dalam hadits lain disebutkan. “Barangsiapa berzina atau meminum khamr, Allah mencabut iman darinya sebagaimana orang yang melepaskan pakaiannya dari kepalanya.

Juga disebutkan, “Barangsiapa meminum khamr di waktu petang, paginya dia telah menjadi musyrik; dan barangsiapa meminum khamr di waktu pagi, petangnya dia telah menjadi musyrik.”

Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadits dari Abu Musa al-Asy’ari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang senantiasa minum khamr, orang yang percaya (maksudnya, membenarkan) sihir, dan orang yang memutuskan tali silaturrahim. Barangsiapa mati dalam keadaan minum khamr (mabuk) maka Allah kelak akan memberinya minum dari sungai Ghuthah. iaitu air yang mengalir dari kemaluan para pelacur, yang baunya sangat mengganggu para penghuni neraka.” 12

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mengutusku sebagai rahmat bagi alam semesta. Dia mengutuskanku supaya aku menghancurkan alat-alat muzik. Seruling-seruling, dan perbuatan-perbuatan jahiliyyah. Rabbku ta’ala telah bersumpah dengan kemuliannya, tidaklah seseorang hamba dari hamba-hambaku meminum seteguk khamr, melainkan Aku beri ia minum seperti itu pula dari cairan panas neraka jahannam, dan tidaklah seseorang hamba dari hamba-hambaku meninggalkannya kerana takut kepadaku melainkan aku beri ia minum dari minuman syurga bersama sebaik-baik teman minum. “13

Tentang orang-orang yang dilaknat berkaitan dengan khamr

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Khamr itu telah dilaknat zatnya, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang memerahnya, orang yang meminta untuk diperahkan, orang yang membawanya, orang yang meminta untuk dibawakan, dan orang yang memakan harganya.” 14

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas katanya. “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Jibril r.a mendatangiku menyampaikan. Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah melaknat khamr, orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkan, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang meminumnya, orang yang memakan harganya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan, orang yang menuangkannya, dan orang yang meminta dituangkan untuknya.” 15

Larangan menziarahi peminum khamr yang sakit dan mengucapkan salam kepadanya

‘Abdullah bin ‘Amru bin Ash r.a berkata, “Janganlah kamu mengunjungi para peminum khamr di kala mereka sakit.’

Imam Bukhari berkata, “Ibnu Umar memesan, ‘Janganlah kamu memberi salam kepada para peminum khamr.” 16

Sebahagian ulama berkata, “Adapun alasan larangan menziarahi peminum khamr yang sakit dan larangan memberi salam kepada mereka itu kerana mereka orang fasik yang terlaknat. Allah dan Rasulnya telah melaknatnya sebagaimana disebut sebelum ini. Maka jika ia membeli dan memerahnya ia terlaknat dua kali ganda. Jika dia menuangkan untuk orang lain dia pun terlaknat tiga kali ganda. Kerana itulah menjenguk dan mengucapkan salam kepadanya dilarang kecuali jika dia bertaubat. Barangsiapa bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.”

Khamr bukan ubat

Ummu Salamah r.ha berkata, “Puteriku jatuh sakit lalu aku pun membuatkan minuman anggur untuknya dalam sebuah periuk. Rasulullah s.a.w datang ketika isi periuk itu mendidih. Beliau bertanya, Apa ini, wahai Ummu Salamah?” Aku pun menjawab bahawa aku akan mengubati puteriku dengannya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah ta’ala tidak menjadikan kesembuhan bagi ummatku di dalam apa-apa yang diharamkan.” 17

Hadits dan pernyataan salaf berkaitan dengan masalah khamr

Di dalam kitab Hilyatul Auliya’, Abi Nu’aim meriwayatkan dari Abu Musa r.a bahawa Nabi s.a.w pernah diberi minuman anggur di dalam sebuah buyung. Minuman itu berbuih, lantas baginda bersabda, “Lemparkan buyung itu ke dinding. Sesungguhnya ini adalah minuman orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhir.” 18

Ganja termasuk ke dalam sabda Nabi s.a.w, “Semua yang memabukkan itu khamr.” Pembahasan tentang ganja ini akan diberikan nanti in syaa’a Allah.

Ibnu Mas’ud r.a berkata, Jika seorang peminum khamr mati, maka tanamlah ia dalam keadaan disalib di atas papan. Kemudian gali kembali kuburnya. Jika kamu tidak melihat wajahnya berpaling dari arah kiblat, maka biarkanlah ia tetap tersalib.’

Mari kita memohon perlindungan kepada Allah dan juga ampunan serta kesejahteraan dari segala yang menyebabkan azab di akhirat.

Maka setiap hamba hhendaklah segera bertaubat kepada Allah s.w.t sebelum datangnya kematian sedangkan dia dalam keadaan yang sangat buruk yang menyebabkannya dimasukkan ke dalam neraka. Kita berlindung kepada Allah dari semua itu.

Hukum benda memabukkan selain khamr

Candu yang terbuat dari daun ganja hukumnya haram sebagaimana khamr. Orang yang menghisapnya dihukum had (disebat) seperti yang berlaku bagi peminum arak. Candu lebih buruk dari pada arak ditinjau dari implikasinya yang merosakkan akal dan mental, sehingga seorang lelaki boleh menjadi dayus, lenyap sikap cemburu dan malunya, serta hal-hal lain yang rosak. Sedangkan arak lebih buruk dari pada candu ditinjau dari implikasinya yang dapat menyebabkan pertengkaran dan perkelahian. Keduanya sama-sama melalaikan seseorang dari dzikrullah dan mengerjakan solat.

Sebahagian ulama mutakhir tidak memberikan pendapat yang jelas mengenai hukuman kepada penghisap ganja. Mereka berpendapat bahawa orang yang menghisap ganja hanya diberi ta’zir (hukuman peringatan) bukan had (hukum dera). Ini adalah kerana mereka menganggap bahawa perubahan akal tanpa disertai rasa gembira adalah sama dengan ubat bius. Di samping itu mereka tidak mendapati para ulama terdahulu yang menghisap ganja itu akan mabuk dan ketagihan seperti orang yang meminum khamr. Ia tidak akan tahan tanpa menghisapnya. Ganja menyebabkan mereka lalai dari berzikir kepada Alllah dan sembahyang. Apatah lagi ia juga menyebabkan orang kehilangan sifat malu dan cemburu, serta merosakkan badan dan akal dan lain-lain lagi. Oleh kerana ia benda padat yang dimakan bukan diminum maka para ulama berbeza pendapat tentang kenajisannya; terdapat tiga pendapat dalam mazhab Imam Ahmad dan lain-lain. Pendapat pertama mengatakan bahawa ganja itu najis seperti arak. Ini adalah pendapat yang sahih. Ada pula yang mengatakan bahawa ganja tidak najis kerana bentuknya padat. Ada lagi yang berpendapat wajib dipisahkan bahan yang padat dari yang cair. Walaubagaimanapun, ianya tetap termasuk barang yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasulnya, sebagaimana arak (khamr) yang memabukkan, baik dari segi lafaz atau pun makna.

Abu Musa berkata, “Wahai Rasulullah, berilah fatwa kepada kami mengenai dua macam minuman yang pernah kami buat di Yaman; yaitu al-bita’ (minuman keras dari madu) dan Al-Mizzr (minuman keras dari barli)” Rasulullah s.a.w yang diberi anugerah berupa kata-kata ringkas namun bermakna luas menjawab:

Setiap yang memabukkan itu haram.” 19

Baginda juga bersabda:

“Apa-apa yang memabukkan bila banyak, maka ianya haram walapun sedikit”20

Rasulullah s.a.w tidak membeza-bezakan jenisnya; baik iianya berupa minuman atau pun makanan. Sebab arak itu boleh dipadatkan menjadi seperti

roti dan ganja boleh dicairkan dengan dicampur air lalu diminum. Oleh itu khamr boleh diminum dan dimakan, begitu juga ganja. Sebab mengapa para ulama tidak memberi pendapat tentangnya adalah kerana pada masa salaf tidak diketahui adanya ganja. Ia baru dikenal setelah datangnya orang-orang Tartar ke negeri-negeri Islam. Tentang sifatnya ada sebuah syair:

Pemakan dan penanamnya secara halal

Sesungguhnya itulah dua musibah bagi orang yang celaka

Demi Allah, tidak ada yang lebih mengembirakan syaitan dari pada daun ganja. Ia boleh menjadkan ganja itu menyenangkan dalam pandangan manusia sehingga mereka menganggapnya halal dan murah.

Katakan kepada penagih ganja kerana kejahilannya,

“Dengan menghisapnya, Anda hidup dalam seburuk-buruk kehidupan

Harga diri seseorang itu adalah berlian, lalu mengapa?

Wahai saudaranya kebodohan, mengapa Anda menukarnya dengan ganja?!”

Semoga Allah menjadikan kita semua sebagai sebahagian dari golongan orang-orang yang taat serta menjauhkan kita dari perbuatan orang-orang yang fasik. Sesungguhnya Dia Maha Memberi lagi Maha Pemurah.

 

NOTA KAKI:
1. Dikeluarkan oleh Ibnu Hibban (5348), Ibnu Abi Dunya dalam Zammul Muskir (1), Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab (5197) dan Ibnul Jauzi dalam Al-‘Ilal (1122) dari jalur Ibnu Abi Dunya dari Utsman secara marfu’ dan juga datang secara mauquf dan inilah yang lebih tepat. Dikeluarkan oleh Abdur Razzaq (17060), An-Nasa’i (8/315). Ibnu Abi Dunya dalam Zammul Muskir (2) Al-Baihaqi (8/287) dan Asy-Syu’ab (5198) dari Utsman secara mauquf, Ad-Daruquthni berkata: Bahawa hadits ini mauquf itulah yang benar. Dan diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (4/247) dan Al-Qudha’i (57) dari Abdullah bin Amr. Dan diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (4/247) dan Ath-Thabrani (11372, 11498) dari Ibnu Abbas.
2. Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Kabir dan para perawinya adalah perawi Ash-Sahih sebagaiman yang dikatakan Al-Mundziri
3. Diriwayatkan oleh Muslim (2003). Abu Daud (3679). At-Tirmizi (1861). An-Nasa’i (8/296,297). Ath Thahawi (4/216). Ad-Daruquthni (4/248) dan Ibnu Hibban (5360) dari Ibnu Umar
4. Diriwayatkan oleh Ahmad (3/361). Muslim (2002) An-Nasa’i (8/328) dan Ibnu Hibban (5360) dari Jabir .
5. Diriwayatkan oleh Malik (2/746) Abdur Razzaq (17057). Al-Bukhari (5575). Muslim (2003). An-Nasa’i (8/318). Al-Baihaqi (8/287) dan Ahmad (2/19) dari Ibnu Umar.
6. Diriwayatkan oleh Ibnu Adi (6/229). Ibnu Hibban (5347). Al-Bazzar (2934). Ath-Thabrani (12428). Ahmad (1/272). Abu Nu’aim (9/253). Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (5208). Ibnu Jauzi dalam ‘Ilal (1118) dan sanadnya dha’if. Didha’ifkan oleh Asy-Syaikh dalam Dha’if Al-Jami (5737).
7. Diriwayatkan oleh An-Nasa’I (8/218), Ath Thayalisi (hal:303). Ibnu Khuzaimah Tauhid (2/865). Ahmad (2/201) dan Ath-Thahawi Musykil (1/395) dari Ibnu Amr dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Sahih Al-Jami’ (7553)
8. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/69,128). Al-Hakim (4/147) dan Al-Baihaqi (8/288) dari Ibnu Umar dan hadits ini sahih. Disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Sahih Al-Jami’ (3052). H.
9. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (940). Ibnu Hibban (5355). Al-Baihaqi (1/389). Ibnu Adi (3/1074). Dan didhaifkan oleh Asy-Syaikh dalam Adh-Dha’ifah (1075)
10. Riwayat yang pertama diriwayatkan oleh Abd Bin Humaid dalam Al-Muntakhab (983) dan isnadnya dha’if dan As-Suyuthi menyebutkannya dalam Al-La’ali (2/205). Dan riwayat yang kedua: Dikeluarkan oleh Ahmad (2/178). Al-Hakim (4/146). Al-Baihaqi Sunan (1/489) dan Asy-Syu’ab (5192) dari Abdullah bin Amr dan ia adalah hadits hasan
11. Riwayat senada diriwayatkan juga oleh An-Nasa’i (8/317). Ibnu Majah (3377). Ibnu Hibban (5333). Ahmad (2/189). Al-Hakim (4/145) dan Al-Baihaqi Asy-Syu’ab (5192) dari Ibnu Amr dan disahihkan oleh Asy-Syaikh dalam Sahih Al-Jami’ (6189) dari selain lafaznya “Fain mata fiha mata abidi watsanin”
12. Isnadnya dha’if. .Diriwayatkan oleh Ahmad (4/399) Al-Hakim (4/146) Ibnu Hibban (5346) dan sanadnya dha’if
13. Isnadnya dha’if. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/257,268), Ath-Thayatisi (1134), Al-Hakim At-Tirmizi dalam Al-Manhiyaat (hal:44.58) Al-Uqaili (3/255). Ath-Thabrani dalam Al-Kabir (8/232). Ibnul Jauzi dalam Al-‘Ilal (2/78). Ibnu Abi Dunya dalam Dzammul Malahi (hal 71) dan sanadnya dha’if.
14. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/25,71). Ath-Thayalisi (1957). Abu Daud (3674). Ibnu Majah (3380). Ath Thahawi Musykil (4/305). Al-Hakim (4/144) dan Al-Baihaqi (8/287) dari Ibnu Umar disahihkan oleh Al-Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi sedangkan hadits ini adalah hadits sahih. Dan hadits senada juga diriwayatkan dari At-Tirmizi (1295) dan Ibnu Majah (3381) dari Anas.
15. Diriwayatkan oleh Ahmad (1316), Ath-Thabrani (12976),Al-Hakim (4/135) dan Ibnu Hibban (5356), Isnadnya jayyid (baik).
16. Al-Bukhari menyebutkannya secara Mu’ailaq dalam kitab Al-Isti’dzan bab salam terhadap ahli bid’ah dan maksiat, dan Al-Bukhari memaushulkan hadits dalam Al-Adab Al-Mufrad.
17. Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani (23/749), Al-Baihaqi (10/5), Ibnu Hazm (1/175), Ibnu Hibban (1391), Abu Ya’la (1/323). Dan Ia mempunyai syahid dari Hadits Ibnu Mas’ud dan lainnya. Hadits ini adalah hadits hasan, insya Allah .Imam Muslim juga telah meriwayatkan (2/1573 no 12) Abu Daud (3873), Ahmad (4/317), Ath-Thabrani (22/14/15) Ibnu Majah (3500) dan At-Timizi (2046) dari Al-Qamah bin Wa’il dari bapanya secara marfu’ “Annaha laisat ad-dawa walakinnaha ad-da”
18. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi (8/303), Abu Nu’aim (6/84), Ibnu Abi Dunya dalam Zammul Muskir (11) dan di dalam sanadnya terdapat kemajhulan dari Abu Musa. Ia memiliki syahid dari hadits Abu Hurairah diriwayatkan oleh Abu Daud (3716) Ibnu Majah (3409), Di dalamnya terdapat kedha’ifan dan hadits ini dapat menjadi kuat dengan hadits di atas, insya Allah.
19. Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (3/361), Muslim (2002) dan An-Nasa’i (8/327) dari Jabir, dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari (5575), Muslim (2003), Abu Daud (3679), Ath-Thahawi (4/216) dan At-Tirmizi (1861) dan Ibnu Umar. Dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6124) Muslim (1733), Abu Burdah dari bapanya
20. Sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (6/190) Al-Bukhari (5585) Muslim (2001) Abu Daud (3682) At-Tirmizi (1863), An-Nasa’i (8/298) Ad-Daruquthni (4/251) dan Ath-Thahawi (4/216) dari Aisyah
· Nota: Saringan oleh www.darulkautsar.net dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Mengadu Domba (Namimah)

  Orang yang mengadu domba adalah orang yang menyampaikan cerita dari satu orang kepada yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *