Wednesday, October 16, 2019
Home » ASAS ISLAM » Aqidah » Asas-Asas Aqidah Islam (Fiqh Akbar) » Ketiga Belas – Ciri-Ciri Ahli Sunnah

Ketiga Belas – Ciri-Ciri Ahli Sunnah

Download PDF

Menyapu khuf adalah sunnah.[44] Sembahyang tarawih pada malam-malam Ramadhan adalah sunnah.[45] Harus sembahyang di belakang setiap (imam) mu’min yang baik dan fasiq.[46]

Kita tidak mengatakan orang mukmin itu tidak terjejas dengan sebab dosa-dosanya[47] dan kita juga tidak mengatakan dia tidak akan masuk ke dalam neraka, dan kita juga tidak mengatakan dia akan kekal di dalamnya. Walaupun dia seorang yang fasiq tetapi dia masih beriman semasa meninggal dunia.[48]

Kita tidak mengatakan bahawa amalan kebaikan kita (pasti) diterima dan kesalahan kita diampunkan seperti yang didakwa oleh Murji`ah. Tetapi kita mengatakan, sesiapa yang melakukan kebaikan dengan (cukup) semua syaratnya, kosong daripada ke’aiban yang merosakkan, dan perkara yang membatalkannya dan dia tidak menghapuskannya/membatalkkannya dengan kufur dan murtad sehingga dia meninggal dunia dalam keadaan beriman maka sesungguhnya Allah s.w..t. tidak akan mensia-siakan amalannya, bahkan diterimanya dan diberikan balasan.[49]

Apa-apa kejahatan kecuali syirik[50] dan kufur[51] pelakunya itu tidak bertaubat sehingga meninggal dunia tetapi tetap dalam keadaan beriman,  maka sesungguhnya, dia berada dalam Kehendak Allah. Jika Allah kehendaki diazabnya dalam neraka dan jika Dia kehendaki diampunkannya dan tidak diazab sama sekali.

 

NOTA KAKI:
[44] Mulla ‘Ali al-Qari berkata: menyapukan khuf itu yakni sehari semalam untuk orang yang bermukin dan tiga hari tiga malam untuk orang musafir adalah Sunnah yakni sabit berdasarkan al-Sunnah yang hampir mutawatir tidak jauh untuk dikatakan hukum ini diambil dari ayat al-Qur’an juga kerana firman Allah s.w.t. …… dibacakan dengan menasabkan (baris atas pada huruf lam) mengikut qiraat tujuh yang lebih zahir menunjukkan membasuh kaki. Manakala dibaca dengan menjarrkan (baris bawah pada huruf lam) lebih zahir menunjukkan menyapu kaki dan kedua-dua ini saling bercanggah dan mengikut hukumnya ia adalah mubham tidak jelas. Lalu ia diterangkan oleh perlakuan Rasulullah s.a.w sendiri di mana baginda menyapu kaki ketika memakai khuf dan membasuhnya ketika tidak memakai khuf. (Sharh al-Fiqh al-Akbar, hal. 75)
[45] Perkara ini dibahaskan dalam bab aqidah untuk membantah golongan Syi’ah yang mendakwa sembahyang tarawih itu bukan sunnah tetapi rekaan Sayyidina Umar. Sedangkan pada hakikatnya, beliau menghidupkan kembali sunnah kerana Rasulullah s.a.w pernah sembahyang selama tiga malam Ramadhan di masjid bersama sahabat kemudian baginda meninggalkannya kerana bimbang difardukan ke atas ummatnya.
[46] Perkara ini diambil kira kerana untuk menjaga perpaduan ummat Islam dan mengelak dari berlaku perbalahan sesama sendiri demi menjaga kemaslahatan yang lebih umum dan mengelak daripada kerosakan yang lebih besar.
[47] Murji’ah mengatakan iman tidak terjejas dengan sebab ma’siat. Mereka berpegang dengan zahir hadis atau sebahagian hadis tentang kelebihan orang yang mengucapkan La Ila Illa Allah akan masuk syurga. Ahli Sunnah mengatakan dosa dan ma’siat yang dilakukan memberi kesan kepada iman dan di akhirat perlu dibersihkan terlebih dahulu di dalam api neraka. Ibn ‘Ubayd al-Qasim bin Sallam menulis kitab Al- Iman, khusus untuk menolak tafsiran Murji’ah yang menyeleweng.
[48] Berbeza dengan Mu’tazilah, kerana mereka secara putus mengatakan kekalnya orang fasiq dalam azab jahannam seperti orang kafir. (al-Maghnisawi, hal. 26)
[49] Seseorang itu hendaklah sentiasa berharap dan berdoa agar amalannya diterima oleh Allah s.w.t.
Firman-Nya, mafhumnya: “Wahai tuhan kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 127)
Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam keadaan penuh kerendahan memohon dari Allah supaya amalan mereka diterima. Tidak ada pada mereka kemegahan dan kesungguhan bahawa Allah pasti menerimanya. Dalam pada itu, mereka tidak lupa untuk berdoa meminta keampunan. (lihat (al-Baqarah: 128)
[50] Syirik ialah menyamakan Allah s.w.t. dengan mana-mana makhluknya. Ia juga bermaksud memberikan mana-mana sifat Allah yang khusus kepada benda-benda lain sama ada malaikat, jin, manusia dan sebagainya, seperti kuasa mentadbir alam dengan kehendaknya, memberikan sifat ilmu zati (ilmu tanpa usaha) kepada makhluk lain, meyakini kuasa lain yang dapat menyembuhkan penyakit, boleh melaknat, murka dan memberi rahmat.
Akibat buruk syirik antaranya ialah tidat mendapat doa keampunan nabi dan orang-orang mu’min (al-Taubah: 113), tidak diampunkan (al-Nisa: 48), diharamkan dari memasuki syurga (al-Ma’idah: 72)
[51] Kufur ialah mengingkari perkara yang daruri yang sabit dalam agama yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia terbahagi kepada Kufr Takzib dan Istihlal (mendustakan dan menghalalkan yang haram), Kufr Dalal Wa Ghayy (kufur kesesatan) Dan Kufr I’rad Wa Tawalli (kufur berpaling dan tidak mengendahkan).
Share...Pin on PinterestShare on Google+Share on FacebookDigg thisPrint this pageShare on RedditTweet about this on TwitterShare on LinkedIn
Download PDF

Check Also

Muqaddimah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang Asas tauhid[1] dan perkara yang sah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *